Himmah : Pedoman Anbiya’ – Adab Berdakwah Dengan Ayah Yang Tidak Beriman Atau Belum Memahami Islam
Di dalam Al-Quran, Allah s.w.t. telah menukilkan banyak kisah berkaitan Nabi Ibrahim a.s. Kisah Nabi Ibrahim dengan dirinya, kisahnya dengan ayahnya, dengan anak dan isterinya, dengan raja Namrud dan pelbagai lagi kisah perjalanan hidupnya.
Kisah-kisah ini bukanlah untuk didengar sebagai halwa telinga semata-mata, tetapi perlu diambil contoh dan diterapkan dalam hidup kita.
Kajilah kisah-kisah ini daripada lafaz-lafaz yang berada di dalam Al-Quran, pasti kita akan temui kemanisan dan teladan yang tinggi dalam kisah ini.
Episod kali ini kita bawakan teladan Nabi Ibrahim a.s. daripada ayat 41 hingga 47 surah Maryam.
Kisah dalam ayat ini menjadi inspirasi kepada kita bagaimana sepatutnya kita menyikapi seorang ayah yang belum beriman. Juga dalam realiti kita hari ini, aplikasi yang sama dapat kita terapkan dalam interaksi dengan ibu ayah yang mungkin belum memahami Islam dengan baik. Bagaimana interaksi kita dengannya dan bagaimana selayaknya dakwah disampaikan kepadanya.
Banyak Sekali Orang Tidak Sabar
Kebiasaannya, bila kita melakukan dakwah, orang yang paling mudah kita hilang sabar adalah anggota keluarga kita. Ayah kita, ibu kita, adik-beradik kita. Hilang sabar mungkin kerana kita mahu mereka cepat berubah.
Kalau belum Islam, agar segera menjadi Islam. Kalau belum baik, agar segera menjadi baik. Kalau belum memahami Islam, agar segera memahami Islam.
Kerana sifat kurang sabar itu menyebabkan kadangkala kita menggunakan kaedah-kaedah dakwah yang keras dan memaksa mereka sehingga mereka mula merasa jauh dari kita. Bahasa kita dengan mereka adalah bahasa yang keras. Kalau mereka menegur perubahan-perubahan yang ada pada diri kita, kadangkala kita balas dengan nada yang kasar dan tinggi suara. Perkataan kita tidak hikmah kerana kita inginkan perubahan segera pada diri mereka. Kita mula memperkatakan perkara-perkara yang betul tetapi dengan cara yang salah.
Di dalam surah Maryam, Allah s.w.t. telah meninggalkan kepada kita teladan Ibrahim a.s. dalam berdakwah kepada ayahnya sendiri, seorang yang tidak beriman kepada Allah s.w.t. Seorang yang tergolong dalam kalangan mereka yang menyembah berhala. Dia tahu anaknya itu membawa ajaran baru yang menyuruh mereka menyembah Allah yang Maha Esa dan meninggalkan berhala-berhala mereka, tetapi dia tidak mengimaninya malah menentang pula dengan ugutan untuk merejam Nabi Ibrahim a.s.
Namun, mari kita lihat teladan yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. melalui lafaz yang dinukilkan dalam Al-Quran.
Walaupun Kita Telah Lebih Dahulu Mendapat Kefahaman Islam, Adab Dengan Ibu Ayah Itu Tetap Perlu Dijaga
Banyak sekali kisah dalam masyarakat kita, anak-anak mendapat kefahaman Islam lebih dahulu daripada ibu ayah mereka. Begitu juga bagi masyarakat yang bukan Islam, ada anak-anak yang kadangkala mendapat hidayah Islam lebih dahulu berbanding mereka.
Namun, itu bukan alasan untuk kita bercakap kepada mereka dengan nada dan percakapan yang tidak baik, dengan menggunakan kalimah-kalimah yang keras dengan gaya yang biadab.
Lihat bagaimana Ibrahim a.s. mengajar kita :
“(Ingatlah) ketika (Ibrahim) berkata kepada ayahnya, ‘Wahai ayahku, mengapa engkau menyembah sesuatu yang tidak mendengar, melihat dan tidak dapat menolongmu sedikitpun?” [Maryam : 42]
Ibn Asyur menukilkan bahawa panggilan Nabi Ibrahim kepada ayahnya itu (dalam bahasa Arab berbunyi ‘ya abati’ yang bermaksud ‘wahai ayahku’) adalah ucapan yang penuh kelembutan dan memanggil dengan panggilan pangkat yang sesuai. [Ruj : Tahrir Wa Tanwir]
Sekali imbas, mungkin kita akan merasakan perkara ini sebagai suatu keadaan yang biasa sahaja. Tetapi psikologi bagi orang berdakwah kepada ahli keluarganya, kadangkala inilah yang susah hendak dilakukan.
Kita merasakan diri kita telah berada di pihak yang benar, maka orang lain tak dapat tidak perlulah mengikuti jalan ini juga. Kadangkala, kita tidak pedulikan cara dan sikap kita ketika menyampaikannya. Yang penting kita menyampaikannya sehingga kadangkala kita mengabaikan hak keluarga kita, hak ayah ibu kita sebagai orang tua kita.
Sehingga kadangkala ada yang tidak lagi menghormati ibu ayahnya dengan mungkin memanggil ayahnya ‘si kafir’, ‘si jahil’ dan panggilan lain yang tidak selayaknya. Ini patut dihindari dan teladanilah sikap Nabi Ibrahim yang tetap memberikan ayahnya hak sebagaimana yang dia patut perolehi.
Tidak dipanggil ayahnya itu, ‘Hei, si kafir’, tetapi dipanggil ‘Wahai ayahku’ dengan tetap menghormati kedudukan ayahnya itu dengan dirinya.
Inilah antara pengajaran awal daripada ayat ini yang kita akan dapati juga dalam ayat-ayat yang seterusnya, Nabi Ibrahim berulang kali memanggil ayahnya dengan panggilan hormat dan penuh kelembutan ini.
Bila kita ingin menyampaikan dakwah kepada keluarga kita, hormatilah kedudukan ahli keluarga kita dengan diri kita, ayah ibu kita, adik abang kakak kita, saudara mara kita, panggillah mereka dengan panggilan selayaknya yang membuatkan mereka rasa perubahan kita ke arah Islam ini, ke arah kebaikan ini, wajar dicontohi oleh mereka pula, bukannya dijauhi oleh mereka.
Memilih Perkataan Terbaik
Az-Zamakhsyari telah memberikan komentar terhadap kata-kata Ibrahim a.s. ini dengan katanya : “Lihatlah ketika ia ingin menasihatkan ayahnya dan menyedarkannya dari kesalahan besar yang dia telah terlibat, serta kesilapan buruk yang telah menafikan urusan akalnya (yakni penyembahan berhala), serta melakukannya dengan cara yang berbeza, bagaimana dia menyusun kata-katanya dengan konsistensi yang terbaik, dan wacana yang digunakannya adalah sehalus-halus wacana, dengan penggunaan budi bahasa, kelembutan, kehalusan, kesopanan, adab yang cantik dan akhlak yang baik.”
Pemilihan bahasa dan perkataan terbaik ini tidak hanya berlaku di permulaan percakapannya sahaja, bahkan baginda konsisten dalam isi percakapannya juga.
Lihatlah firman Allah s.w.t. dalam ayat seterusnya :
“Wahai ayahku, sungguh telah sampai kepadaku sebahagian ilmu yang tidak diberikan kepadamu. Kerana itu, ikutilah aku, nescaya aku akan menunjukkan jalan yang lurus.” [Maryam : 43]
Kata Ibn Asyur, setelah soalan Ibrahim kepada ayahnya yang menyatakan berhala itu tidak dapat mendengar, melihat dan membantu apapun, yang kalau ditanya pun apa sebabnya menyembah berhala itu, tidaklah ada jawapan yang dapat diberi diberi, maka seruan Nabi Ibrahim dalam ayat seterusnya ini kepada ayahnya adalah kelebihan buat Nabi Ibrahim yang membuktikan bahawa dia diberi sebahagian ilmu yang tidak diberikan kepada ayahnya.
Pun begitu, kata Ibn Asyur, tidaklah pula baginda menyifatkan ayahnya itu sebagai si jahil kerana kelebihan ilmu yang dimilikinya itu. [Ruj : Tahrir Wa Tanwir]
Inilah contoh yang patut kita teladani dalam kehidupan kita.
Bila kita sebagai anak memiliki ilmu lebih sedikit daripada ibu ayah kita, sewajarnya kita berbahasa dengan bahasa terbaik dalam menyampaikan apa yang kita miliki itu.
Bukanlah kelebihan ilmu itu jadi lesen untuk kita menggelar atau memarahi ibu ayah kita kerana kejahilan atau tidak tahunya mereka.
Jangan kita menggelar ibu ayah kita dengan gelaran si jahil hanya kerana mentang-mentang kita mempunyai kelebihan dari sudut sebahagian ilmu seperti ilmu agama, dari sudut ilmu teknologi dan lain-lain.
Hari ini, anak-anak mudah hilang sabar dengan ibu ayah bila mereka bercakap sesuatu tetapi tidak dapat difahami oleh ibu ayah mereka sehingga mereka perlu membuat penerangan berulang kali. Umpama iklan burung murai di tv3 yang biasa kita lihat pernah ditayangkan pada musim-musim perayaan yang lepas. Sehingga dijerkah ayah ibunya akhirnya kerana dirasakan mereka itu terlalu lambat dan menyusahkan dirinya.
Jangan, janganlah mempunyai perasaan sedemikian.
Bersabarlah sebagaimana Ibrahim a.s. sabar menyampaikan dakwah kepada ayahnya dalam nada dan bahasa yang terbaik pula.
Tidak dicela ayahnya atas kejahilan ayahnya. Tidak dimaki pula ayahnya. Bahkan usaha dakwah terus disampaikannya dengan perkataan dan cara yang terbaik.
Penutup : Tetaplah Berbuat Baik Kepada Ibu Ayah Selama Mana Mereka Tidak Menyuruh Kepada Maksiat
Seruan dakwah Nabi Ibrahim a.s. ini walaupun telah dilakukan dengan sehabis lembut bahasa dan sehikmah cara, namun masih tetap diugut oleh ayahnya untuk merejam dirinya.
Namun, jawapan balas Nabi Ibrahim pada ayat 47 surah Maryam ini masih mengekalkan konsistensi kasih dan kelembutannya dalam dakwah.
“Dia (Ibrahim) berkata : ‘Semoga keselamatan dilimpahkan kepadamu, aku akan memohonkan ampunan bagimu kepada Rabbku. Sesungguhnya Dia sangat baik kepadaku.” [Maryam : 47]
Barangkali, banyak ujiannya bagi mereka yang lahir di dalam keluarga bukan muslim. Menjadi muslim di dalam sebuah keluarga muslim bukanlah satu yang mudah apalagi untuk berdakwah kepada ayah ibunya sendiri. Ada yang bahkan pernah disisih, pernah dicaci maki. Hendak melaksanakan Islam pun harus sembunyi-sembunyi.
Namun, tetaplah terus berbuat baik kepada mereka meskipun mereka belum menerima Islam.
Itu mungkin bagi keluarga bukan muslim. Kalau saja dengan ibu ayah yang bukan muslim, kita disuruh berbuat baik, maka apatah lagi dengan ibu ayah yang sudah muslim dan baik pula mereka itu. Lebih-lebih lagilah patut kita berbuat baik kepada mereka.
“Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu tentang itu, maka janganlah engkau mentaati keduanya dan pergauliah keduanya di dunia dengan baik…” [Luqman : 15]
Allah tetap menyuruh kita berlaku baik kepada mereka. Abaikan sekiranya mereka menyuruh kita melakukan sesuatu yang menderhakai Allah s.w.t. namun tetaplah terus berlaku baik, bercakap yang baik, mentaati dan menghormati hak mereka sebagai orang tua kita.
Mari belajar dari Nabi Ibrahim a.s.
Teladan dakwah dalam rumah yang praktikal.
Belajar mengertikan dakwah di luar dan di dalam rumah.
Jangan menjadi hero di luar, tetapi di dalam rumah tanggungjawab kita pun terabai.
Pilih jalan yang benar, maka sampaikanlah pula dengan cara yang benar.
Biar jalan yang benar tidak terfitnah dengan cara dan sikap kita sendiri yang bermasalah.