Setia Berdarah 5
Bab 5
“Man, kau ada masalah lain ke?” Pertanyaan itu menghentak tempurung kepalaku. Dia tanya aku tentang masalah peribadi. Masalah aku sebenar sudah sedia maklum. Tidak perlu lagi ditanya berulang kali. Aku hadapi masalah cinta. Cinta aku kecundangan. Dia ni tak faham bahasa ke? Tiba-tiba sahaja hati aku memberontak resah.“Ya!” Darah aku mengalir laju. Pertanyaan Fauzi tadi seperti peluru yang terbenam ke jantung. Tersentak Fauzi dengan raut wajahnya juga turut pucat.“Kenapa kau macam ni?”“Macam mana apa? Kau asyik Tanya aku soalan yang sama.” Jawabku lalu bangun dari kerusi. Aku melangkah keluar dari kamarku. Aku dapat merasakan bahawa Fauzi mengekori langkahku.“Relaks la Man. Aku cuma nak tahu. Salah ke kau berkongsi dengan aku?” Fauzi pegang bahu aku dan langkah aku serta merta terhenti. Aku menoleh dengan nafas yang laju. Aku mencerlung kepadanya.“Berapa lama kau nak suruh aku relaks? Suri lari bersama Nordin. Tahu tak? Kau pun tahu kan, dan kau sengaja pura-pura tak tahu. Hati aku sakit. Sakit tahu tak!” Jiwaku keruh mengenangkan angkara itu.“Habis tu? Kau sendiri yang fikir tentang tu.” Ujar Fauzi sambil memegang kedua-dua bahuku lantas segera aku menolaknya.“Ah! Lebih baik kau biarkan aku sendiri!” Bentak aku lagi terus melangkah keluar. Entah kenapa aku terasa mahu bawa diri seketika keluar dari rumah. Aku mahu ambil angin luar. Fauzi kaku tak ikut aku. Dia perhatikan aku dari jarak aku sedang melangkah keluar.“Kau jangan ikutkan sangat hati kau tu. Ingat Man, ikut hati mati. Ikut rasa binasa!” Pekik Fauzi berpesan pada aku yang tak mungkin akan memikirkan tentang hal itu.“Aku ikut je apa yang aku nak ikut!” Balas aku penuh emosi.Tiba-tiba angin melanggar tubuhku. Ia sepintas lalu. Angin yang mungkin menyebabkan aku jadi tidak keruan. Jantung aku terus berdebar-debar. Aku selalu mengalami situasi seperti itu. Sehingga ke saat ini aku masih tidak mengerti.Perlahan-lahan aku melangkah keluar dari rumah. Seluruh kawasan gelap. Tiada lampu jalan, tiada terang bulan. Yang wujud di hadapan mata aku adalah kabus tebal. Aku segera menoleh ke belakang setelah tiba di laman. Mana rumah? Aku tercari-cari rumah sewa aku.“Gie!!!” Aku menjerit sepuas hati memanggil nama Fauzi tetapi tiada sahutan. Hampa!Mana dia pergi? Rumah tak nampak. Aku teraba-raba dalam kegelapan. Aku dah macam orang buta. Kaki aku pula terasa sangat berat untuk melangkah bagaikan ada sesuatu yang sedang berpaut menumpang lalu. Aku tidak dapat melihatnya tetapi aku dapat merasakan kehadirannya! Ya, aku tidak nampak! Aku tidak nampak apakah benda itu?!“Rahman…” Namaku diseru.“Pergi! Jangan ganggu aku. Siapa aku yang selalu ganggu aku, sial?” Aku beranikan diri untuk bertanya walaupun aku gemuruh. Aku kaku di situ. Sekelilingku gelap gelita. Tolonglah aku merayu. Jangan seksa jiwaku sedemikian rupa. Apa kesalahan aku? Aku ingin tahu.“Rahman…” Sekali lagi namaku disebut. Apa dia mahu?Aku ingin tahu siapa dan angkara siapa? Kenapa harus aku? “Kenapa ganggu aku?!” Bentak aku lagi. Aku memandang sekeliling kawasan itu. Tidak semena-mena aku dengar desiran dedaun berguguran ditiup angin. Aku di mana?
***
Aku bertanyakan pada hati, dalam banyak-banyak perkara, apakah yang menyulitkan? Hati pun menjawab, sebenarnya adalah soal cinta. Lihatlah hati pun selalu menyebut tentang cinta. Cinta mampu merosakan hati! Itupun kalau terlalu memikirkan tentangnya. Aku menyatakan ia adalah kejam kerana si pemilik hati itu tidak bertimbang rasa. Pemilik hati yang memberikan cinta adalah zalim. Dia adalah kekasih yang tidak mengenang budi. Sampai hatinya mempermainkan hati dan perasaanku. Dia memperjudikan kepercayaan yang aku berikan kepadanya selama ini.Diperolokkan oleh cinta memang membinasa jiwa nuraniku sehingga ke hari ini pun aku masih tidak dapat melupakan bayangannya. Aku tidak dapat melepaskan jiwanya. Aku juga tidak mampu keluar dari lilitan kasih dan sayangnya terhadapku. Sebelum diburu Nordin, aku memang terpaut hati padanya. Sebelum wujud Nordin, Suriani yang kulihat begitu menenteramkan jiwaku. Dari situ aku merasakan dialah cinta pertamaku. Cinta pertama memang sukar dilupakan. Cinta pandang pertama!Nah! Nordin kacau daun. Wujud di mata merebut cinta. Katanya Suriani tunangnya. Memang tak masuk akal. Aku bertanyakan pada Fauzi, “Betul ke?” Fauzi pun tak tahu. Jawab Fauzi, “Mungkin teman biasa.” Kata-kata Fauzi menguatkan semangat aku untuk menerima hati mesra. Beramah mesra dengan Suriani kerani di situ. Hanya kerani sahaja. Walaupun kerani biasa, Suriani sangat cantik dengan rambut ikal mayang dan bermata bundar. Susuk tubuh Suriani memang menawan. Dia layak jadi supermodel antarabangsa. Dia sekadar itu, dia juga memiliki pelajaran yang tinggi tetapi kerjanya begitu. Suriani pernah berkata, “Zaman sekarang susah nak dapat kerja bang, semua main kroni.” Itu katanya.Dia panggil aku abang. Panggilan itu memang menggetarkan sukmaku. Pertama kali masuk kerja, dia pun dah pandang semacam. Itu waktu aku mula-mula kenal dia. Aku kerja penghantar surat dan tak aku hairan pun daripada duduk goyang kaki. Pekerjaan ini lebih mulia dari rembat barang orang dan pergi jual. Itu kerja Mat Pet!Suatu hari aku kena bedal. Bedal dengan Nordin. Dia tu budak pejabat. Suka buli aku. Aku tahu aku ni tak sesuai lawan dia. Sekali dia hentak aku, lempeng aku jadinya. Tapi aku masih menyimpan dendam. Dendam keramat setelah gigi aku patah dek ditumbuk olehnya. Dia ingat gigi aku ni apa? Argh!Kalau aku kenangkan sikap dia, bernanah jiwa aku. Cis! Aku memang tak suka dia. Dia berlagak bagus. Semua benda nak tunjuk hebat. Di hadapan Suriani dia akan berlagak baik. Baik nak mampus. Macam pijak semut tak mati. Lelaki macam si Nordin rambut pacak tu bersepah boleh didapati tepi jalan.“Aku nak selidik tentang latar belakang Nordin la, Gie.”“Kau nak buat apa?”“Mewah gila la.”“Itu kan rezeki dia.” Fauzi bersandar pada kerusi sambil berpeluk tubuh. Sekilas dia pandang tempat lain.“Kerja biasa je tapi pakai kereta mewah.” Aku meragui Nordin. Dia mungkin memancing cinta Suriani dengan kemewahan yang dia ada.“Kau ni tak serik-serik lagi ke? Dia dah ugut kau macam-macam. Jangan sampai kita berdua kena buang kerja. Tau tak? Dia tu terlalu baik dengan Encik Zaki. Kau kena ingat tu!” Komen Fauzi yang agak takut dengan Nordin. Kes sebelum itu pun dah jadi hangat. Nordin si panas baran berlagak Iron Man Malaysia! Bermacam-macam gelaran yang aku berikan untuknya tetapi belum cukup memuaskan hatiku yang terlalu sakit.“Aku tak takut dengan ugutan dia. Tapi kau tengoklah, aku hairan kenapa Suri dah macam dingin kat aku.” Aku merasakan Suriani macam sengaja nak uji kesetiaan aku. Tapi kenapa dia ikut Nordin?“Hurm…” Fauzi mengeluh pula.“Jadi betul la Suri tu tunangnya?” Aku sedut teh o ais limau sampai habis sehingga tidak bersisa.“Kalau betul pun Man, apa kau nak peduli? Ramai lagi awek lain yang kau leh cari. Kau lupakan je la Si Suri tu. Buat menyemak je la. Aku rasa Suri tu player.” Ucap Fauzi tanpa berlapik. Cakap main lepas je. Sedikit pun dia tak jaga hati aku.Aku tak boleh marah Fauzi. Mungkin tu pendapat peribadinya. Aku kena belajar terima. Fauzi bangun dari duduknya. Terasa tengok bangunan yang tinggi. Fauzi tu dahlah tinggi, berdiri dekat-dekat dengana ku pula tu, terpaksa aku mendongak lebih untuk tengok wajahnya.“Kau nak gi mana ni?” Soalku.“Kau kena belajar terima hakikat, Man. Aku tak nak Nordin terus pukul kau.” Fauzi angkat kaki. Aku pun kejar langkahnya. Setiba di situ aku tarik tangannya. Langkah Fauzi mati bersama langkahku. Dia tenung aku. “Apa?” Soalnya.“Aku pernah nampak kereta Nordin kat sebuah tempat, kelab malam.” “Kau buat apa dekat situ? Jadi kau dah mula jadi penyiasat persendirian nak sibuk hal peribadi orang lain?” Fauzi marah dan merentap tangannya lalu menyambung langkah.Kawan aku ni tak faham. Dia memang tak faham langsung apa yang aku maksudnya. Aku bukan ke kelab malam tu. Aku cuma lalu aje dekat kawasan tu. Aku tak berniat nak masuk tempat tu. Lagipun secara tak sengaja aku terlihat kereta Nordin. Kereta mewah BMW 4 Series memang menjadi kegilaan golongan berada. Bukan itu sahaja, kalau dah banyak duit, perempuan keliling pinggang la jawabnya. Dah sah! Itulah selama ini aku fikirkan. Takkan Suriani bodoh sangat memilih lelaki kaki perempuan begitu. Jadi apa yang Nordin mahukan daripada Suriani? Kalau diikutkan, gaji Nordin tu bukannya banyak sangat untuk menampung kehidupan mewah. Siapa dia sebenarnya? Dan apa kaitan dia dengan Suriani? Sekarang itulah persoalan untuk aku beritahu pada Fauzi. Ini tak, marah aku semacam.
Published on May 17, 2013 21:42
No comments have been added yet.
Miqael Arshad's Blog
- Miqael Arshad's profile
- 2 followers
Miqael Arshad isn't a Goodreads Author
(yet),
but they
do have a blog,
so here are some recent posts imported from
their feed.

