Setia Berdarah 4


Bab 4
Badan aku terasa begitu lemah tidak bermaya. Kudrat aku hilang. Lengan dan paha aku kebas menyebabkan aku hilang upaya untuk bangkit. Mataku terasa berat untuk dibuka seperti digam sahaja. Aku cuba kerahkan sisa-sisa tenaga yang berbaki. Kelopak mata ini cuba aku buka namun sia-sia. Kenapa susah sangat nak buka ni? Soalku dalam hati. Badan aku terasa berat seperti ada sesuatu yang sedang duduk di belakang badanku yang tertiarap. Argh!!! Payahnya! Aku cuba lagi tapi tak bergerak apa-apa pun. Aku kaku.Dada aku sesak! Aliran nafas aku tersekat-sekat. Aku tak pasti apa sebenarnya yang berlaku. Berapa lama aku berkeadaan seperti ini? Aku tidak mengetahuinya. Aku gerakkan kepala untuk menoleh ke sebelah kanan tetapi tidak terangkat. Tiba-tiba sahaja kepala aku terhentak semula ke lantai setelah terasa sedikit terangkat. Bagaikan ada kuasa yang menyedut aku ke lantai tidak mampu untuk bangkit.Aku cuba lagi, dengan perlahan-lahan aku cuba buka mata ini namun tetap juga gagal dan mengecewakan. Kenapa ni? Kenapa ni? Hati aku meronta-ronta mahukan jawapan. Aku baca surah Kursi tetapi ia semakin berat. Ayat yang aku bacakan tadi seolah-olah tidak berkesan atau mungkin aku tersalah bacaan. Dalam keadaan panik seperti ini aku tidak dapat berfikir dengan waras. Debaran kian mengeruhkan keadaan. Badan aku mula mengalirkan keringat. Dahi aku juga begitu, liang-liang roma menerbitkan cecair.Aku mula rasa ada urat-urat rambut menyentuh pipi aku. Ia mengurai. Aku cuma dapat merasakannya tetapi tidak dapat menyentuhnya. Ia mengalur ke pipi menyebabkan roma aku bertambah merinding. Ia mengerikan. Aku ditusuk rasa takut. Takut pada sesuatu yang buruk dan mengerikan. Rongga aku terhidu bau yang sungguh busuk. Busuk sekali sehingga aku hampir termuntah. Bau tersebut meloyakan umpama bangkai yang terbiar dan berulat. Kemudian bau hanyir darah kian mengulit ruang hidungku.“Rahman...” suara itu menyeru namaku. Itu namaku. Itu adalah namaku! Kenapa suara misteri itu memanggil namaku? Tolong jangan seru namaku!“Diam!!!” Akhirnya lidahku yang terkelu bersuara tiba-tiba.“Man! Kenapa ni?” Suara Fauzi tiba-tiba muncul. Entah dari mana datangnya Fauzi menyebabkan badan aku yang tadi berat sudah boleh bergerak. Sebentar tadi selepas mata aku dapat dibuka, aku terlihat satu lembaga putih lenyap keluar dari jendela kemudian suara Fauzi mula kedengaran.“Kenapa dengan kau ni, Man?” Fauzi duduk di sebelah aku lalu diribanya kepala aku sebaik sahaja aku kembali terlentang dan nafas tercungap-cungap seperti berhadapan dengan sukaratul maut.“Gie…” Aku bersuara perlahan. Kepala aku tiba-tiba pening. “Mana Suriani?” Soalku bertanyakan tentang Suriani yang aku cintai. Melihat riak wajah Fauzi, aku tahu Fauzi tidak tahu mana Suriani pergi.Fauzi menggeleng sambil mengetap bibir. Aku merayu sepuas hati agar Fauzi dapat menyampaikan khabarku kepada Suriani yang hilang. Hilang begitu sahaja tanpa khabar berita lagi.“Gie… tolonglah dapatkan Suri untuk aku.” Permintaan aku seperti mustahil sahaja untuk Fauzi tunaikan.“Man… sampai bila kau nak macam ni? Tolonglah belajar terima kenyataan.” Fauzi cuba pujuk aku yang degil.“Kenyataan tentang apa, Gie?” Aku cepat-cepat tanya. Fauzi mengeluh. Keluhan yang sangat kasar kedengaran. Perlahan-lahan aku melangkah dan Fauzi juga terus membantu untuk memapah aku menuju ke birai katil. Wajah Fauzi masih terkejut melihat keadaan aku dan aku juga yakin dalam terkejut itu, Fauzi terbiasa melayani ragam aku iaitu seringkali merindui Suriani. Mulut kata benci tapi hati aku masih sayang dan mencintainya.“Sampai bila kau nak layan perasaan kau? Kalau kau terus macam ni, sampai bila-bila pun tak selesai. Kau mesti mulakan hidup baru. Suri takkan kembali.” Ujar Fauzi meranapkan segala impian aku untuk hidup bersama Suriani.Fauzi terus labuhkan diriku di birai katil. Sekarang sudah Maghrib. Fauzi pulang untuk berehat dan esok dia akan sambung kerja lagi manakala aku, asyik berkurung sahaja. Aku malas. Aku tiada semangat untuk teruskan pekerjaan aku itu. Aku cukup penat.
***
Biarkan Indah Berlalu
Sesuatu yang indah sering dikenang namun perkara yang menderitakan adalah selepas sebuah keindahan. Ia adalah menyakitkan. Sukar untuk mengalihkan perhatian bagi melupakan seksa penderitaan. Derita yang dimaksudkan adalah kerinduan. Tiada siapa pun yang dapat menyukat isipadu sebenar rindu. Rindu tidak pernah tetap. Kalau lama ia terbiar maka ia akan usang dan mula beralih arah seterusnya akan menyebabkan seseorang yang menanti hadirnya sebuah rindu itu bagi menukarkanya dengan cinta menjadi tidak keruan. Menjadi gila atau menjadi kurang siuman. Seperti aku yang telah hilang hati. Hati aku tidak dipulangkan.
Separuh jiwa aku lenyap bersama cinta. Kejam kan cinta? Seorang lelaki yang begitu menghargai cinta si gadis akhirnya dibayar dengan pendustaan. Tidak tahukah dia bahawa lelaki ini benar-benar mencintainya. Kenapa perlu diperbodohkan ketulusan? Kenapa dianggap remeh sebuah perngorbanan. Mana ada lelaki lain yang sanggup tunggu berjam-jam ketika dia sedang hadirkan diri untuk sebuah temuduga tempat baru? Hanya aku sahaja. Aku sahaja yang sanggup tunggu.
Dan lagi, mana ada lelaki lain yang sanggup berdiri tengah panas konon-kononnya diuji kesetian. “Kalau sayang, lakukan untuk Suri.” Aku lakukan demi sayang. Di situlah kebodohan aku yang nyata. Setia yang bodoh. Setia yang punah dan setia yang dungu untuk aku katakan.
Suriani seperti alat kawalan yang mampu menyuruh aku melakukan apa-apa sahaja. Suriani seperti ada satu kuasa yang dapat mengarahkan aku melakukan satu tindakan yang kurang elok, yakni menidurinya. Aku tidak pernah mahu melakukan perbuatan itu dan aku tidak melakukannya. Kenapa Suriani begitu? Adakah itu Suriani yang aku kenal. Aku kena kuat menghadapi godaan Suriani yang semakin hari semakin pelik.
Siapa Nordin? Itu adalah kekasihnya, kan? Suriani tidak pernah mahu mengaku bahkan Suriani kata itu sebagai abang sahaja tetapi bagi Nordin, Suriani adalah segala-galanya. Aku ini apa?Hari ini aku alami lagi perkara misteri selepas kehilangan Suriani yang entah ke mana. Ini perkara ganjil dan sangat ganjil berlaku dalam hidup aku. Aku seringkali diganggu…

“Rahman…”Argh!!! Apa semua ini?! “Jangan ganggu aku!!!”
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 14, 2013 21:06
No comments have been added yet.


Miqael Arshad's Blog

Miqael Arshad
Miqael Arshad isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Miqael Arshad's blog with rss.