Umum: Kalam Pengasas LangitIlahi.Com – Tolak RACISM
Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barokatuh,
Saya, Muhammad Hilal Asyraf, pengasas LangitIlahi.Com, berpesan kepada rakan-rakan Page Langit Ilahi ini dengan pesanan yang serius dan menekan.
Janganlah sesekali kalian wahai rakan, terjerat dengan permainan perkauman yang sedang dihangatkan sekarang.
Bertaqwalah kepada Allah wahai rakan-rakan.
Bertaqwalah kepada Allah,
bertaqwalah kepada Allah.
Jangan dihina-hina dan dituduh-tuduh kaum lain.
Jangan dihangatkan apa yang sebenarnya sedang menjadi permainan segolongan kumpulan tertentu.
Sesungguhnya yang mulia itu adalah Islam dan bukannya bangsa. Tetapi adalah taqwa dan iman. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Hujurat ayat 13:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” Surah Al-Hujurat ayat 13.
Taqwa dan iman itu pula bukan terbukti semata-mata dengan mulut dan apa yang tersemat di dalam hati, tetapi juga dengan amal dan tindakan. Kata-kata masyhur para tabi’in:
“Iman itu bukan sekadar cita-cita, bukan juga sekadar kata-kata, tetapi ianya adalah apa yang tersemat di dalam hati, DAN DIBUKTIKAN DENGAN AMAL!”
Maka rakan-rakan yang saya kasihi, terapkanlah nilai-nilai Islam dalam diri kita. Semaikanlah kasih sayang antara kita, antara kaum-kaum kita.
Jangan dek kerana kesimpulan melulu beberapa pihak, hendak terus ditegangkan hubungan antara kaum.
Bukankah mereka juga saudara kita dalam kehidupan? Allah menyuruh kita agar berta’aruf dengan mereka, bersuai kenal, mendalami. Bukankah kita semua SeMalaysia? Di manakah semangat 1Malaysia yang dicanang-canangkan selama ini?
Wahai rakan-rakan yang saya cinta dan kasih kerana Allah SWT,
bertaqwalah kita kepada Allah SWT,
Dan jadilah kita manusia yang sabar dan mengkaji. Pandang beberapa pandangan, dalami beberapa buah fikiran, kemudian barulah buat kesimpulan. Jangan dek kerana ketergesa-gesaan kita, maka ada kaum yang menerima bencana dek tangan-tangan kita.
Saya mengingatkan diri saya dan kalian dengan firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” Surah Al-Hujurat ayat 6.
Rakan-rakan yang saya kasihi dan cinta,
Janganlah kalian layan mereka yang racist, dan cuba mengapi-apikan isu perkauman serta menghina-hina kaum lain.
Marilah kita pulang kepada akhlak Islam yang santun dan sopan, dan mulakanlah tanggunggjawab yang selama ini ditinggalkan oleh kita, yakni ‘Dakwah dan Tarbiyah’ kepada diri, kepada kaum kita sendiri, dan kepada kaum-kaum yang lain di Malaysia ini.
Ingatlah bahawa dari kalangan kaum berbangsa Cina dan India itu, adanya saudara-saudara seIslam kita.
Jangan sesekali kita terperangkap dengan cetusan api perkauman yang me’generalise’kan semuanya dalam satu bakul bangsa.
Bangkitlah rakan-rakan dengan akhlak dan santun,
tunjukkanlah bahawa kita adalah Muslim yang ramah bukan Muslim yang marah,
sesungguhnya saya berpesan ini dengan serius dan menekan,
bertaqwalah kita kepada Allah,
dan ingatlah pesan Rasulullah SAW,
carilah keharmonian dan keamanan,
jauhilah api perkauman,
eratkan hubungan sesama kita,
pastikan Malaysia kita tenang dan aman!
~ Pengasas LangitIlahi.Com,
Muhammad Hilal Asyraf