Umum: Kenyataan Rasmi Pengasas LangitIlahi.Com Pasca PRU’13


PRU’13 sudah melabuhkan tirainya.


 


 


Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barokatuh,


 


Keputusan pilihanraya telah keluar,

dan Barisan Nasional nampaknya sekali lagi meneruskan pemerintahan.


Kami di LangitIlahi mengucapkan tahniah dan takziah kepada pemenang. Tahniah sebab menang, takziah sebab diberikan amanah yang berat.


Kami suka untuk mengingatkan bahawa amanah bukanlah satu perkara untuk dikhianati. Amanah akan ditanya oleh Allah SWT. Walaupun di dunia kelihatan seperti kita boleh berbuat sesuka hati, di akhirat kelak Allah akan menghitung detail setiap amalan kita nanti.


Maka kepada para pemimpin, ittaqullah, bertaqwalah kepada Allah. Jangan diambil harta yang bukan harta kita. Santunilah orang-orang miskin dan anak-anak yatim. Jauhilah negara ini dari kemaksiatan dan kemungkaran. Semua ini akan ditanya oleh Allah SWT di akhirat kelak.


Kepada Pakatan Rakyat pula, semoga dapat menjadi pembangkang yang baik di negara ini sebagai check and balance kepada kerajaan kita. Amanahlah juga dengan tanggungjawab kalian, dan bersabarlah dengan sebarang duga serta cabaran. Tidak dinafikan ada beberapa perkara meragukan dengan keputusan pilihanraya kali ini, namun kadangkala perlulah juga dimuhasabahkan semula keadaan kumpulan dan diri. Harapnya sebarang ketidak puas hatian, sebarang perkara yang dirasakan tidak adil, boleh diusahakan mencapai penyelesaian dan keadilan secara aman dan selamat, untuk kesejahteraan semua pihak.


Apa-apa hal pun, kami di LangitIlahi percaya bahawa, kerajaan yang baik itu memerlukan pembangkang yang kuat. Teruskan usaha, bersuara membawa aspirasi golongan bawahan, menjadi suara kedua yang memeriksa dan mengimbangi kerajaan kita.


Kami amat yakin bahawa segala apa yang Allah aturkan selepas kita semua berusaha keras di tempat masing-masing, pasti ada hikmahnya.


Semoga Allah melaknat para penipu, dan menjaga mereka yang menegakkan kebenaran agamaNya, dalam semua pihak yang ada.


Sekian,


~ Pengasas LangitIlahi.Com


Muhammad Hilal Asyraf

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 05, 2013 21:20
No comments have been added yet.