Umum : Tips – 5 Langkah Menjadi Pengundi Berwibawa
Pilihan Raya Umum ke 13
Bukan sahaja penentu siapa yang bakal menerajui kepimpinan negara,
tetapi medan mencari siapakah pengundi yang berwibawa!
Raya?
Gamat benar suasana. Terasa akan bahangnya .
Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13) semakin hangat diperkatakan seusai Perdana Menteri mengumumkan pembubaran Parlimen minggu lepas. Tentunya, ramai di kalangan kita berkira-kira di minda dan perancangan masing-masing untuk melunaskan tanggungjawab sebagai pengundi dengan sebaiknya.
Peluang dan kesempatan ini harus digunakan sebaiknya. Bermula satu undi, ia akan membawa kesan dan pengaruh yang besar kepada percaturan masa depan pemerintahan negara untuk tempoh lima tahun mendatang.
Demam PRU
Hari ini, suasana persekitaran negara mulai hangat dengan pelbagai kempen secara tidak langsung, – kibaran bendera parti, pengumuman calon-calon yang bakal bertanding, hebahan manifesto parti-parti bertanding dan pelbagai ragam lagi yang boleh diperhatikan sama ada di media cetak atau media elektronik. Inilah pegangan demam PRU!
Sungguh PRU 13 kali ini mampu mendemamkan semua orang termasuk calon bertanding, parti-parti “gajah” yang sedia ada serta parti “nyamuk” yang baru menonjol dan satu lagi yang sedang “kepanasan” ialah pengundi!
Pengundi adalah penentu kepada keputusan pilihan raya. Kerana itu, pengundi-pengundi yang layak mengundi – sehingga kini seramai 13.1 juta pengundi berdaftar – mempunyai satu tugas, amanah dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan.
Bagi memastikan “kuasa” pengundi ini benar-benar bermakna – kita sebenarnya memerlukan pengundi yang berwibawa untuk memastikan pemimpin dan pemerintah yang bakal menerajui kepimpinan negara adalah yang benar-benar layak, bersahsiah tinggi, berwibawa, berintegriti dan mampu menyelesaikan masalah rakyat!
Kita Mahu Pengundi Berwibawa!
Kerana itu, masyarakat Malaysia secara umumnya yang akan mengundi harus meletakan diri mereka pada satu tahap keyakinan yang tinggi untuk menjadi pengundi yang berwibawa. Berwibawa di sini ialah mereka mempunyai tahap pengetahuan, kepakaran dan keilmuan yang menyeluruh dalam menjalankan tugas mereka sebagai pengundi.
Justeru itu, masyarakat di Malaysia harus dididik dan dicerdikpandaikan tentang ilmu pengundian agar kuasa, amanah dan hak mereka ini benar-benar bernilai.
Firman Allah yang bermaksud :
“ Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.”
(Surah an-Nisa’ 4 : 58).
Berikut digariskan beberapa langkah atau panduan yang boleh dimanfaatkan oleh semua rakyat Malaysia khususnya yang akan mengundi pada PRU 13, antaranya :
[1] Jadilah pengundi yang berilmu, berinformasi dan sentiasa up to date.
Mengundi harus dengan prinsip, asas dan dasar yang jelas. Bukannya dengan ikut-ikutan, suka-suka atau main-mainan. Bertindak, membuat keputusan dan memangkah calon pilihan nanti adalah berasaskan ilmu, bukan kejahilan.
Lantaran itu, setiap pengundi harus punyai ilmu. Ilmu yang akan membawa kepada “pencernaan” pengetahuan dan maklumat-maklumat yang akan menggerakan minda, hati dan nurani kita untuk menentukan siapakah yang bakal dipilih dalam kotak kertas undi nanti.
Dunia hari ini adalah dunia tanpa sempadan. Maklumat terlalu banyak sama ada di dunia online mahupun online. Justeru, kebijaksanaan harus menjadi pokok utama dalam menapis, menganalisis dan membuat kesimpulan untuk mendapatkan maklumat yang sahih, benar dan diyakini.
[2] Perlu ada homework atau assignment PRU 13
Kita perlu membuat sedikit homework dan assignment terutamanya dalam mengkaji, membuat analisis, pemerhatian dan penelitian terhadap beberapa perkara. Antaranya : kajian latarbelakang calon yang akan bertanding, manifesto calon dan parti yang diwakilinya, agenda utama yang akan diangkat, keistimewaan yang tertonjol, dan lain-lain yang relevan.
Amat malang sekiranya, pada hari kita membuang undi – kita sendiri tidak tahu siapa yang bertanding, parti mana yang diwakili oleh calon dan tidak ambil kisah benar-benar merugikan kita sebagai individu yang amat “berkuasa” pada PRU 13!
[3] Penelitian terhadap calon bertanding dengan usaha, doa dan tawakkal!
Kita boleh mencari maklumat tentang calon bertanding dari pelbagai sumber yang ada. Lihat aspek-aspek berikut : Latarbelakang pendidikan, pengalaman dan kehidupannya. Rekod jenayah, akhlak, sahsiah, hubungan dengan manusia dan khidmat sosialnya dengan masyarakat. Amati semua perkara agar kita benar-benar kenal, tahu dan mendapat gambaran secara umum tentang kesemua calon yang bertanding.
Selain itu, boleh diusahakan untuk menghadiri ceramah, sesi penerangan calon dan mendekati mereka untuk mengenali lebih dekat. Kita boleh dengar sendiri idea-idea yang diutarakan, hujjah-hujjah dan pandangan mereka untuk dibuat penilaian. Dari sini, kita akan lihat sama ada, calon ini punyai gagasan yang jelas atau omong-omongan kosong yang hanya dihiasi cercaan atau makian!
Kemudian, buat keputusan! – Berdoa mohon petunjuk, bertawakall kepada Allah SWT dan terus memangkah calon pilihan di hati pada hari mengundi nanti!
[4] Wujudkan meja bulat, perbincangan dan brainstorming sesama ahli keluarga dan komuniti terdekat.
Bagi menghidupkan suasana politik yang sihat dan matang dalam kehidupan kita, disarankan agar adakan perbincangan dan meja bulat dikalangan ahli keluarga, sahabat handai dan komuniti masyarakat yang hampir dengan kita untuk mencernakan pelbagai input, pandangan dan buah fikiran masing-masing.
Suasana kondusif sebegini amat penting dalam mencerdik pandaikan masyarakat kita tentang politik dan akan menggerakan nadi masyarakat yang celik politik berasaskan ilmu, hujjah dan fakta. Sentimen perasaan yang berlebihan, penuh emosi dan budaya politik lapok harus disingkirkan agar budaya politik yang baru, sihat dan matang mampu disuburkan terutamanya dikalangan ahli keluarga kita.
[5] Elak provokasi, fitnah dan politik sempit.
Masyarakat yang bijak dan harmoni sangat cintakan suasana yang aman damai dalam segala aspek kehidupan mereka termasuk hubungan jiran tetangga sehingga kepada isu politik. Amat jelek dan malang sekali apabila kerana dek berlainan fahaman politik kita bermasam muka, tidak bertegur sapa dan bertindak di luar batas kemanusiaan.
Sama-sama kita gerakan secara profesional, matang dan penuh bergaya dalam berpolitik. Elakkan sebarang provokasi, cacian, makian dan buruk- memburuk sesiapa sahaja terutama penyokong dan calon yang akan bertanding. Sama-sama kita letakan iman di hadapan mengatasi perkara-perkara lain.
Penutup : Menuju Malaysia Yang Sejahtera
Harapan kita adalah negara yang tercinta ini akan terus aman makmur lagi sejahtera dan rakyatnya hidup dalam suasana penuh keharmonian lagi barakah. Bagi menjayakan harapan dan hasrat ini, kita punyai peranan yang besar dalam menentukan siapakah yang bakal menerajui pusat pentadbiran Malaysia – Putrajaya.
Sebagai pengundi yang berwibawa – saya, anda dan kita semua mempunyai amanah, dan tanggungjawab yang harus dipikul. Dan, sama-sama kita laksanakannya dengan penuh kewibawaan yang tinggi, keikhlasan dan kejujuran pada hari mengundi nanti.
Undi Anda Amat Berharga!