Pemuda : Pencemar Dan Pengotor Di Jalan Juang, Bersihkanlah !

 


14798_549279631749571_368995799_n


Perjuangan adalah jalan yang mahal harganya. Jangan cemarinya.

~ Picture by Umar Mita



Ramai anak muda hari ini yang begitu bersemangat untuk memperjuangkan Islam, tidak kiralah sama ada yang berada di zaman kampus ataupun zaman bekerja.


Diajak pergi usrah, datang. Kadangkala kedengaran ada kisah yang sampai-sampai memanjat pagar universiti semata-mata untuk hadir usrah. Itu mungkin cerita versi dahulu. Versi sekarang, mungkin sudah lain ceritanya.

Diajak datang ke ceramah politik, datang meskipun sudah lewat malam ceramahnya.

Diajak untuk menganjurkan program, begitu bersemangat sekali melibatkan diri.

Dikeluarkan qarar untuk turun berdemontrasi ramai-ramai, begitu bersungguh reaksinya.


Itulah anak muda. Zaman darah masih basah dan tenaga masih penuh kudrat untuk sebuah perjuangan. Zaman yang sangat signifikan untuk sebuah perubahan dan pembaharuan.


Namun, menjadi anak muda yang berjuang tidak cukup hanya sekadar itu.


Memang benar, sekurang-kurangnya berjuang itu lebih baik daripada duduk saja memikirkan hal sendiri dan terjebak pula dalam gejala yang rosak.


Tetapi bagi anak muda yang berjuang, ia perlukan lebih daripada hanya sekadar sebuah semangat. Kerana semangat kosong semata-mata tanpa dilatari oleh ilmu dan akhlak akan menjadi penghalang terbesar kepada kejayaan masa depan perjuangannya.


Di persimpangan jalan perjuangan, seringkali semangat semata-mata akan menyesarkan kita jauh dari jalan yang benar.


Semangat yang dilatari kejahilan, dilatari keburukan akhlak akan merosakkan makna dan hadaf (tujuan) perjuangan.


 


Kejahilan Dan Kemalasan Diri Untuk Belajar


Saya teringat apa yang disebutkan oleh Dato’ Dr Siddiq Fadhil dalam satu muktamar ABIM, katanya :


“Orang-orang muda kita ini dari semangatnya tidak kurang sekali, tetapi ilmunya itu yang dangkal.”


Ini adalah fitnah paling besar bagi anak muda yang berada di atas jalan perjuangan.


Perjuangannya dilatari oleh ilmu yang sangat cetek dan pengalaman yang sangat singkat, tetapi dia malas pula untuk mahu belajar daripada orang lain, malas pula untuk membaca daripada bahan-bahan yang pelbagai sumber di era perubahan zamannya, malas pula mahu mendengar dan menerima idea orang lain.


Ini akan menimbulkan masalah yang serius terhadap asas cara fikirnya dalam menggerakkan perjuangannya.


Malas membaca adalah penyakit kronik dalam pemuda yang mengaku dirinya terlibat dalam perjuangan, terlibat dalam usaha dakwah dan islah untuk mengubah masyarakat. Para pejuang yang malas membaca, pada asas apakah dia mahu letakkan titik perjuangannya?


Adakah ilmu itu hanya sekadar melalui ceramah-ceramah dalam usrah atau liqo’nya sahaja ? Ataupun melalui penyampaian murabbi perjuangannnya semata-mata? Adakah itu cukup untuk menampung keperluan perubahan era baru sekarang ini?


Ini amat bermasalah. ‘Leaders are readers’ ya akhi.


Kalau kita dakwa kita sedang berjuang, kita perlu rajin membaca. Setiap hari dalam hidup kita mesti ada masa yang kita luangkan untuk membaca bahan-bahan ilmu untuk menambah kefahaman dan keluasan cara fikir kita. Tidak cukup sekadar scroll up Facebook untuk baca update status orang yang kadangkala entah mana datang sumbernya, entah betul ke tidak, tetapi yang lebih menjadi keperluan adalah membaca bahan bacaan dari sumber yang diyakini seperti buku-buku, artikel-artikel ilmiah dan kajian-kajian.


Facebook-facebook juga. Tetapi berjam-jam di depan Facebook scroll atas bawah tunggu update status orang, layan chat seorang dua orang sahaja, ada baiknya kita luangkan masa itu membaca bahan bacaan yang berfaedah. Jangan bazirkan masa kita.


Malas membaca, tetapi masih ada perasaan untuk belajar daripada orang lain masih baik lagi. Ada pula yang sudahlah kurang bahan bacaannya, kemudian malas dan sombong pula mahu belajar daripada guru-guru yang alim, malas mahu mendengar dan menerima idea orang lain. Dia hanya tersekat dengan cara fikirnya saja yang terbina atas asas yang tidak kukuh kerana kejahilan serta kemalasan dan kesombongan untuk belajar.


Sikap buruk ini hanya akan mengotorkan saja langkah perjuangan apalagi jika perjuangan itu menjaja nama Islam bersamanya.


Dari aspek yang lain, kadangkala, corak perjuangan sesuatu kumpulan itu terikut-ikut rentak zaman 80-90 an kerana hanya membaca buku-buku sumber dari era perubahan di tahun itu semata-mata. Di zaman sekarang, zaman telah tersebarnya Revolusi Arab Spring ke banyak negara Arab, zaman di mana orang-orang yang dahulunya selalu ditindas hari ini telah naik menjadi pemimpin, zaman yang maklumat itu tidak boleh disekat melalui satu saluran lagi, zaman keterbukaan dan menyeru kepada bukti serta hujah, maka membaca buku-buku ulama’ yang terlibat dengan kebangkitan dan perubahan era 80-90 an sahaja tidak akan pernah cukup.


Kita perlu luaskan sumber bacaan dan perlu berani untuk baca lebih banyak dan lebih luas dari kebiasaan bahan bacaan kita sekarang.


Kita perlu berani untuk lebarkan fokus bacaan kita dari hanya memberi tumpuan pada satu aliran ulama’ atau imam (yang memang pernah terlibat dalam menggerakan perubahan rakyat) saja. Biar fikiran kita itu terbuka dan sederhana serta tidak jumud pada satu aliran saja. Barangkali aliran ulama’ atau imam yang kita pilih sebagai model kita dalam mendukung perjuangan ini pernah berjaya di tempatnya atau di masanya, tetapi tidak semestinya semua pendapat atau apa yang telah dilakukan oleh imam itu mesti kita ikuti bulat-bulat dan apa yang sesuai dilakukannya di tempat dan zamannya, barangkali ada sebahagiannya menjadi kurang relevan lagi di zaman dan tempat kita hari ini.


Sebab itu pentingnya luaskan bacaan.


Seruan memulakan perjuangan Nabi s.a.w. pun dimulakan dengan seruan membaca. Itu asas mana-mana perjuangan.


Sebab itu, pemerintah yang zalim selalu mahu menutup pintu kecerdikan rakyat, melakukan proses pembodohan ke atas rakyat, supaya rakyat tidak bangun dan berjuang menentangnya. Kerana bila rakyat sudah mula membaca, mendapat maklumat yang banyak, tahu banyak perkara, maka mudah sekali untuk pemerintah yang zalim ditumbangkan oleh rakyatnya.


Kita dan anda wahai para pejuang Islam, malulah untuk mengatakan anda sedang memperjuangkan Islam kalau ada satu hari pun dalam hidup anda berlalu tanpa pernah luangkan masa untuk membaca.


 


Fitnah Adab Dan Akhlak


Fitnah adab dan akhlak adalah antara masalah yang dominasi dalam mendokong perjuangan menegakkan kebenaran. Kadangkala, salah faham tentang adab dan akhlak akhirnya akan menyebabkan kedua-duanya itu menjadi modal untuk seorang pejuang menyelamatkan kesilapannya di atas jalan perjuangannya.


Akhirnya adab dan akhlak tidak benar-benar berada pada tempatnya, tetapi digunapakai setelah kebenaran tidak menyebelahi kita.


Seringkali, bila semangat semata-mata yang memandu perjuangan tanpa bekal ilmu yang benar, maka kegelinciran akhlak tidak dapat dielakkan akan berlaku. Ada beberapa fitnah adab dan akhlak yang sering berlaku dalam kalangan mereka yang berjuang untuk Islam di negara kita :


1)      Tindakan yang melampau-lampau dan berlebihan


Sesetengah orang mendakwa sedang memperjuangkan kebenaran tetapi seringkali tindakan mereka melampau-lampau sampai menimbulkan kebencian dan persengketaan.


Contoh yang paling mudah sekali dalam isu penggunaan kalimah Allah dahulu.


Saya tidak ingin sentuh tentang penggunaan kalimah Allah itu. Tetapi saya ingin sentuh respon seorang Presiden sebuah NGO Melayu Islam yang ingin membakar semua Bible sebagai tanda protes terhadap permintaan orang-orang Kristian dalam isu itu. Dakwanya, dia mahu memperjuangkan Islam, mahu mempertahankan kesucian Islam, tetapi adakah dengan mengeluarkan kenyataan sebegitu akan menyebabkan Islam semakin terbela?


Saya fikir ini adalah tindakan yang berlebihan dan melampau. Tidak perlu membalas sesuatu yang kita tidak bersetuju dalam perkara itu dengan tindakan yang tidak baik. Ia nanti bukan sahaja menimbulkan perpecahan, bahkan tidak membawa kepada penyelesaian masalah pun.  Barangkali masalah menjadi lebih teruk.


Berhati-hatilah dengan tindakan kita. Jangan sampai semangat kita membuatkan tindakan kita itu sampai terkeluar dari garis adab dan akhlak serta perkara yang harus dalam Islam.


 


2)      Kata-kata kesat dan lucah


Masalah ini adalah masalah yang amat biasa berlaku dalam masyarakat kita. Tambah-tambah di era dunia tanpa sempadan yang telah berkembang jauh ini, maka komen ikut sedap mulut itu memang perkara yang sangat sukar untuk dihalang.


Bila manusia tidak letak asas berbincang atau komen itu atas asas iman, maka keluarlah kata-kata yang buruk, kesat dan lucah. Bahkan, tempias ini turut terkena pada Adam Corrie yang baru masuk Islam. Orang Melayu Islam sendiri pula yang melakukan hal ini. Menuduh dan memburukkan orang sesuka hati.


Begitu juga kata-kata yang tidak selayaknya dan tidak perlu dalam perbincangan kita ataupun yang bukanlah sebahagian daripada isi perbincangan kita, tahanlah nafsu kita untuk mengeluarkannya kerana kata-kata sebegitu hanya merosakkan hubungan dan tidak semakin menyelesaikan masalah pun.


 


3)      Tidak tabayyun (siasat) dalam masalah


Antara masalah orang yang terlibat dalam perjuangan juga adalah mudah membuat kesimpulan akhir terhadap seseorang tanpa mendengar, menilai dan berjumpa sendiri dengan orang itu.


Contoh mudah adalah dalam isu Amanat Haji Hadi. Pada tahun berapa ucapan itu disampaikan, bagaimana situasi zaman ketika ucapan itu disampaikan, siapa yang meletakkan perkara itu sebagai satu ‘Amanat’, siapa yang heboh-heboh dahulu masalah ini. Itu adalah antara perkara-perkara penting perlu dikaji sebelum sampai kepada kesimpulan akhir.


Ada NGO Melayu yang masih setahun jagung baru umurnya terus saja memberikan arahan kepada Tuan Guru Haji Hadi Awang supaya segera menarik balik amanat itu kerana dikatakan telah menyebabkan berlakunya perpecahan dalam kalangan Melayu. Padahal, mereka sendiri tidak berada di situ pada zaman ucapan itu disampaikan apalagi dapat faham situasi zaman itu. Kemudian dengan mudah membuat kesimpulan akhir melalui media mereka agar TG Haji Hadi menarik semula amanat itu.


Ini adalah satu contoh.


Masalah ini masalah yang besar. Berapa ramai orang yang telah keluar meninggalkan perjuangan bersama kumpulan-kumpulan Islam ini kerana perjuangan yang kononnya didakwa sebagai perjuangan Islam yang sebenar dan syumul ini, tetapi dengan mudah mencantas sesetengah ahlinya sendiri yang didakwa seolah-olah membawa fikrah baru yang tidak sama dalam jemaah bila mereka berbeza dengan hanya mendengar khabar-khabar angin daripada orang tanpa pergi berjumpa dan berbincang betul-betul dengan ahlinya itu.


Tidak tabayyun itu saja sudah tidak melambangkan Islam. Dalam persaudaraan, sikap tabayyun amat penting. Bila kita mendengar sesuatu yang tidak baik terhadap saudara kita, pergilah bertemu dengannya, bersemuka dan berbincang dengan baik. Jangan hanya tahu memberikan arahan atau hukuman sebelum kita benar-benar faham akan masalah sebenar dan orang yang terlibat dalam masalah itu.


 


4)      Sombong ‘tarbawi’


Sifat sombong ini kadangkala menyerap dalam diri orang yang mengaku dirinya membawa perjuangan Islam. Walaupun didikan membersihkan hati dari kesombongan selalu dimainkan dalam tazkirah-tazkirah serta usrah, tetapi tanpa sedar ia menjangkiti juga sesetengah orang.


Tetapi sombongnya ini bukan bernada biasa, tetapi bernada Islamik kerana orang-orangnya ada yang terlibat dengan usrah, terlibat dengan dakwah tarbiyah.


Bila beri tazkirah, ayat biasa yang selalu akan disebut, “Tegurlah saya. Saya bersedia untuk ditegur kalau salah.”


Tetapi bila teguran diberikan kepadanya, ia bersikap defensif pula mempertahankan tindakannya. Seolah-olah tindakannya itu tidak salah dan tidak pernah ada salah.


Bila dia memberikan teguran kepada orang, dia mahu orang menerima teguran dia. Tetapi bila dia ditegur, dia meminta orang berlapang dada pula terhadap dirinya.


Bila mereka memberikan teguran kepada orang lain, tidak mengapa melalui media saja. Tak bersemuka dan tidak berbincang baik-baik pun tidak mengapa. Tetapi bila orang memberikan teguran terhadap sikap mereka, mereka minta datang ke pejabat mereka pula untuk selesaikan. Kata mereka, bincang belakang-belakang ini bukan sikap kita.


Keliru. Sekejap kata begitu, sekejap kata begini.


Antara kesombongan orang yang mendakwa dirinya sedang memperjuangkan Islam juga adalah tidak mahu belajar atau menerima teguran daripada orang yang mengkritik mereka. Bila diberikan teguran, dibalas semula, “Ini arahan kepimpinan.”, “Nta ni tak faham lagi ni.”, “Jangan nak ajar saya !”.


 


5)      Sabar Yang Bukan Tempatnya


Sesetengah orang tersilap meletakkan makna sabar pada perjuangannya. Bila ditegur tentang kesilapannya, kegelincirannya dalam mendokong perjuangan Islam, terus disangkanya orang mahu menentangnya.


Kesimpulan mudah akhirnya dibuat, orang yang menentangnya adalah orang yang menentang Islam.


Dengan itu, apa saja perbezaan yang datang dari luar kumpulan selain kumpulannya seperti dikritik cara berpolitik, ditegur idea perjuangan, ditegur tentang sikap, maka baginya itu adalah ujian Allah untuk melatih kesabaran dirinya.


Bila dikritik, mulalah timbul jargon-jargon manis untuk tetap mahu bersangka baik dengan kebobrokan idea sendiri serta mahu terus bertahan dengan idea itu.


‘Bersabarlah. Sesungguhnya Allah bersama kita. Ini sebahagian daripada ujian dakwah untuk kita.’


‘Inilah lumrah orang yang berdakwah. Akan sentiasa diuji.’


Seakan-akan orang Islam selain mereka itu yang telah mengkritik atau menegur tindakan mereka yang salah pada beberapa sudut itu, Allah tidak bersama mereka (orang Islam yang lain itu) dan kritikan mereka itu sentiasa salah kerana mereka tidak berada bersama pihak kita.


Kalau mereka berada bersama pihak kita atau kumpulan kita, barulah itu yang dikatakan kebenaran. Kalau mereka di pihak lain, mereka tetap tidak benar walau sebenar dan seramai mana sekalipun yang menyokong teguran mereka itu. Adakah begitu cara fikir kita?


Kalau begitu cara fikir kita, kita memang akan bermasalah besar dalam mendukung perjuangan Islam.


 


Penutup : Ini Jalan Perjuangan Kita, Bersihkanlah Ia !


Perjuangan mendukung Islam di dalam masyarakat hari ini tidaklah mudah. Ia tidak dibentangkan dengan karpet merah apalagi disediakan bekas-bekas anggur dan buah-buahan untuk dijamu dan disuap masuk ke dalam mulut, tetapi ia adalah jalan yang sentiasa penuh onak dan duri.


Untuk menempuh jalan penuh onak dan duri ini, tidak wajar semangat saja yang memanduinya. Semangat semata-mata akan membuatkan ia selalu tersasar dan mudah sekali terluka kerana terpijak duri-duri di jalanan.


Ia perlu dipandu oleh ilmu yang benar serta akhlak dan adab yang diajar oleh Islam, bukan yang ditentukan oleh kita.


Janganlah malas untuk menuntut ilmu, wahai kader-kader perjuangan. Rajinkan diri untuk menerima ilmu biar daripada siapa pun pihak itu. Jangan hanya seronok mendengar daripada syuyukh sendiri sahaja. Belajar menjadi lebih terbuka dan sederhana dengan menerima pandangan-pandangan daripada orang lain juga.


“Kebenaran itu tidak dikenali dengan siapa pendukungnya, tetapi kenallah apa itu kebenaran, nescaya kamu akan mengenali pendukungnya.” [Saidina Ali b. Abi Talib, Tsaqafatuna Bainal Infitah Wal Inghilak Dr Yusuf Al-Qaradawi]


Bersihkan jalan perjuangan kita agar tidak menjadi fitnah besar untuk perjuangan ini.


Jangan sampai sikap jumud, sempit dan malas kita dalam menuntut ilmu serta kefahaman menyebabkan perjuangan ini lambat bergerak dan berkembang ke hadapan. Jangan sampai rosaknya adab dan akhlak kita merosakkan makna perjuangan ini.


Ini jalan perjuangan kita, bersihkanlah ia !

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 21, 2013 03:37
No comments have been added yet.