.: Sayang Dia Suam-Suam [Bab 12] :.

SUASANA Vila Fatih tidak seperti hari-hari sebelumnya pada malam ini. Cahaya lampu neon berkerdipan di sekitar banglo mewah tiga tingkat itu. Pelbagai warna indah menyinari malam yang agak gelap, tanpa kehadiran bintang-bintang halus menghias ruang angkasa. Sesudah bertahun lamanya, inilah kali pertama sambutan sebegini diadakan. Semenjak pemergian Tuan Azamuddin dan Puan Nurfatih, semua ini seolah-olah telah dilupakan oleh pemilik baru Vila Fatih. Vila Fatih tidak pernah berwarna sebanyak ini. Namun malam ini, segalanya sudah berubah.Hiruk-pikuk kedengaran di halaman belakang Vila Fatih yang luas dan lapang. Batang-batang tubuh kelihatan berkumpul di mana-mana sudut. Terutama berhampiran dengan kolam renang sederhana luasnya di mana terletak meja yang disusun memanjang, dipenuhi hidangan bufet. Ada sama susunan kerusi-kerusi.
Ketika ini, yang menjadi tumpuan tentu sahaja Sirin, kerana majlis ini sememangnya khas buat gadis itu. Sudah berbulan-bulan Azaim merencanakannya, demi menyambut kepulangan Sirin ke Vila Fatih semula. Salah satu cara yang digunakan oleh pemuda itu untuk jelaskan kepada Sirin bahawa kehadiran Sirin memang dialu-alukan malahan amat-amat dinantikan sekian lama.
Sayang, Sirin tidak menyedari hakikat yang satu itu.
Di satu sudut, Sirin, Asma, Ainun dan Atiyah kelihatan rancak berbual sesama mereka. Tapi kalau ditengok gaya masing-masing, situasi yang lebih tepat adalah Asma, Ainun dan Atiyah menyoal jawab Sirin. Dan Sirin, sesekali hanya tayang gigi kerana tidak mampu menjawab setiap soalan ketiga-tiga wanita itu, yang sudah lama menjadi ‘ibu saudaranya'.
"Tambah manis Rin sekarang ni," ujar Asma menyentuh lembut paras kanan muka Sirin.
Sederhana. Begitulah Sirin semenjak dulu, malah sampai saat ini pun. Walau ada yang pasang badan untuk malam ini-contohnya dia sendirilah-namun Sirin tidak lari daripada kesederhanaannya. Hanya legging jeans hitam dengan padanan chiffon tee biru dengan lengan 3/4 panjangnya. Rambutnya yang berombak dibuat sanggul longgar dan rambut hadapan menutup seluruh dahi. Beberapa helaian rambut perang keemasan itu sudah terkeluar dari sanggul. Tidak menyelekehkan langsung mata yang melihat. Satu bentuk cantik semula jadi di mata Asma. Kerana anak gadis itu memang semula jadi cantik orangnya. Namun Sirin saja tak sedar, berkat perangai dua sepupunya yang nakal.
Sirin tayang gigi. Sungguh tidak tahu apa yang harus dilakukan, selain menjadi model iklan ubat gigi. Untuk melempiaskan rasa tidak selesanya dengan pujian-pujian yang diberikan oleh wanita-wanita di hadapannya ini, dia tidak tahu bagaimana. Sudahnya, jalan yang dipilihnya adalah upacara mengira batang gigiku sajalah. Yalah, dah orang nak puji, terima sajalah. Walau Sirin tidak pasti apa yang disumbatkan ke telinganya semenjak tadi adalah ikhlas ataupun tidak. Dia sudah terlalu lama mengajar diri untuk tidak percaya sesiapa sampaikan timbul prasangka pada setiap patah kata.
"Betul kata mak lang Rin tu. Mak teh setuju sangat. Kalau arwah abang ngah dan kak ngah masih ada, tentu dia orang bangga dengan Rin. Makin manis. Malah anak gadis pertama keluarga kita yang berjaya menyambung pelajaran ke luar negara. Rin pasti jadi kebanggaan dia orang, lebih daripada kami semua. Mak teh yakin. Tak gitu, kak su?" Ainun mengalih muka ke arah Atiyah lalu kembali talakan mata ke paras Sirin semula, bersama senyuman bangga seorang ibu.
"Betul, Rin. Arwah tentu bangga dengan Rin," ucap Atiyah menyokong. Bukan kerana mahu ambil hati kakaknya atau Sirin sendiri. Namun dia menyatakan hal yang sebenar.
Semenjak Sirin masih kecil lagi, gadis itu sudah menjadi kebanggaan arwah abang dan kakak iparnya. Walaupun bukan anak sendiri, namun mereka tidak pernah membezakan Sirin dengan Azaim. Sebagaimana Azaim dikasihi dan dikendong dengan perasaan sayang yang menebal, itu jugalah yang diberi kepada Sirin. Tapi sayang, masa mereka bersama Sirin tidak lama. Sirin hanya sempat merasa cebisan kasih itu sahaja. Itulah yang paling Atiyah kesalkan.
Sekali lagi Sirin tersengih. Pujian demi pujian yang serupa dan berulang daripada ibu-ibu saudaranya membuatkan dia jadi semakin tidak selesa. Dia tahu, ketiga-tiga wanita ini amat bangga dengannya malah gembira menerima kepulangannya. Segalanya jelas tersua pada raut muka mereka sejak bertemu semula buat pertama kali sesudah lima tahun masa menginjak, lebih setengah jam tadi. Tapi janganlah duk tekankan lif untuknya sampaikan dia berada terlalu tinggi. Sudah tiba masanya untuk dia kembali jejakkan kaki ke tanah. Bimbang lupa daratan pula. Dia pun tak bijak nak terbang di langit tinggi.
"Mmm, ramainya yang datang hari ni. Abang Im kata cuma perjumpaan keluarga, tapi… ramai pulak yang ada." Sirin mencuba nasib, menukar topik perbualan. Tidak mahu berkisarkan dirinya lagi. Dalam hati doa dilanjutkan agar usahanya direstui. Moga berjaya.
Asma, Ainun dan Atiyah hanya merenung Sirin. Agak lama. Sudahnya mereka saling menghadiahkan pandang-yang hanya diketahui oleh mereka maksudnya-lalu menguntum senyuman tipis. Sama-sama mengangguk serentak tanda mengalah. Mahu mengikut rentak Sirin.
Sirin mungkin hanya anak angkat arwah abang serta kakak ipar mereka. Itu pun bukan atas kertas. Namun semenjak Sirin mula-mula hadir ke Vila Fatih, tidak pernah seorang pun antara mereka anggap Sirin demikian. Untuk arwah Azamuddin dan Nurfatih, Sirin adalah anak perempuan mereka yang tidak pernah dilahirkan. Buat mereka bertiga pula, Sirin adalah anak buah mereka yang telah mewarnai hidup abang dan kakak ipar mereka semenjak hadirnya. Tiada siapa pun antara mereka pernah menolak Sirin sebagai salah seorang daripada keluarga itu. Sirin adalah darah daging mereka yang tidak pernah lahir, namun dinanti sekian waktu.
Hanya Sirin yang jadi lupa dan anggap diri orang luar sekian waktu.
"Memang pun ni majlis perjumpaan keluarga. Untuk sambut kepulangan Rin. Dah lama Im tak buat sebarang majlis macam ni. Kalau ada pun, kenduri arwah, untuk arwah ayah dan ibu Rin serta papa dan mama Rin. Selain tu, masa raya aje. Tapi tak pernah semeriah ni. Sebab tu jugaklah semua sanak saudara kita tak lepaskan peluang untuk berkumpul gini. Jauh mana pun kami, tetap datang untuk Rin…" Ainun usap lembut paras Sirin. Sayang sangat-sangat.
"Tambahan pulak sekarang ni dah tak macam dulu. Keluarga kita dah beranak pinak. Bila dengar Rin balik, lepas lima tahun diamkan diri kat UK, tak bagi siapa pun antara kami jumpa Rin kat sana, takkanlah nak lepaskan peluang? Semua pakat-pakat datang…" sambung Ainun mengerdip mata.
"Hmm, lima tahun pergi sana dah bertambah-tambah manis. Lepas ni susahlah Im nak jaga Rin. Mesti ramai yang mencuba nasib. Ia tak?" usik Asma menyiku lembut pinggang Atiyah. Sama-sama tayang sengih nakal. Sarat dua makna.
Terkelip-kelip Sirin rendahkan mata melihat ketiga-tiga wanita yang biasa-biasa saja tinggi mereka. Sungguh konspirasi mak cik-mak cik aku ni! Sakan nampak menyakat aku, detik hati Sirin tidak langsung lepas pandang wajah mak lang, mak teh dan mak su, yang bukan main anggun tayang gigi kepadanya. Sebagaimana anggunnya mereka berhias badan. Sama sekali dia tidak mengagak ibu-ibu saudaranya akan bersikap sebegini. Dulu, zaman dia kecil-kecil, tak pernah pula dia lihat perangai kuat menyakat mereka. Mungkin sebab baru kini tersua. Diam-diam ubi sudah berisi rupanya…
"Hah, Rin, kat sana tak ada pakwe ke? Tak tersangkut dengan mana-mana mat salih?" Asma mula cucuk jarum.
Terbuntang mata Sirin mendengar soalan itu. Biar betul! Mak cik aku ke ni?
"Rin ke sana untuk belajarlah, mak lang, bukan nak cari pakwe mat salih!" Sirin menjuih bibir.
Asma sengih luas. Ainun dan Atiyah turut ikut jejak kakak mereka.
Pesta tayang gigi gamaknya. Sirin tambah-tambah pelik.
"Jangan berseorangan lama-lama sangat, Rin. Sepupu-sepupu perempuan Rin semua dah berumah tangga. Sebab tulah ramai sangat malam ni. Anak pinak semuanya ada. Anak-anak perempuan mak teh Rin semuanya dah berpunya. Aliah, Adlin dan Ariana dah selamat jadi isteri orang. Atifa pulak tengah hitung hari aje, untuk langsungkan akad. Sebulan lebih aje lagi. Dah tak lama…" Atiyah menarik nafas panjang lalu dihela.
Sirin sudah faham. Itu tandanya mak su nak ‘menurunkan' ilmu. Panjang lebarlah ceritanya nanti. Itu pasal tarik nafas siap-siap. Takut semput tengah jalan.
"Anak-anak mak lang Rin pulak, si Adan, Adna dan Adni pun alhamdulillah dah berumah tangga. Adan dah nak masuk anak kedua dah pun. Gembira bukan main dia bila tahu nak jadi papa lagi. Adna pulak tengah sarat dengan yang nombor tiga. Sebab tulah Rin tak nampak Adna. Yang datang cuma suaminya, Akhbar, dengan dua orang anak dia orang. Adni pulak baru dua bulan kahwin. Adni nilah yang paling liat antara semua sepupu Rin. Dia patah hati dengan si Eman," terang Atiyah penuh semangat.
Sirin hanya diam mendengar. Mak su, sejak dulu, kalau bab bercerita tentang anak-anak buahnya, cukup suka. Lepas itu, bertong-tong pujian dihadiahkan buat mereka. Tapi kalau masuk bab anak-anak bujangnya, Adham dan Afham, tetap juga berkobar-kobar semangatnya. Namun diiring dengan bertimba-timba rasa geram dan tidak puas hati. Semenjak dulu, memang begitulah nasib Adham dan Afham. Anak kandung yang dilayan macam anak orang.
Tapi memang patut pun! Degil dan nakal tak ingat! Sempat Sirin mengomen.
"Patah hati sangat-sangat dengan Eman. Kesian betul mak su tengok Adni tu…" Atiyah menggeleng kepala. Baur simpati membuak-buak pada bait bicara.
"Kenapa Kak Adni tak jadi dengan Abang Eman? Rin ingatkan Kak Adni kahwin dengan dia. Masa dapat berita perkahwinan Kak Adni, mati-mati Rin ingatkan dengan Abang Eman…" Sirin meluahkan rasa terkejutnya. Masakan tidak, hubungan Adni dan Eman bukannya terjalin untuk sebulan dua. Sebaliknya lebih sepuluh tahun.
Ainun meneruskan gelengan adiknya. "Eman buat hal. Bertahun berkawan, dua-dua belah pihak dah tahu dan setuju, tiba-tiba semua tak jadi. Sebabkan perempuan lain, yang tiba-tiba datang dalam hidup Eman, dia tolak Adni tanpa fikirkan keadaan Adni. Macam tu aje. Kesian sungguh Adni masa tu. Tak sanggup mak teh tengok keadaan dia. Betul-betul patah hati. Tapi, jodoh… buat apa pun, kalau bukan dia yang tercipta untuk kita, kenalah terima dengan hati yang pedih. Macam tulah keadaan Adni masa tu."
"Betul kata mak teh Rin tu," sokong Atiyah.
Asma di sisi turut menggoncang kepala.
Sirin menyepi sahaja. Tidak tahu apa harus diucapkan sesudah mendengar segala cerita ibu-ibu saudaranya. Tambah pula apabila menyedari ada kesuraman yang cuba mengambil tempat pada wajah Asma. Mungkin mengenangkan kembali keadaan anak gadis bongsunya yang terpaksa menahan hati dan menanggung kesedihan akibat apa yang dilakukan oleh Eman dahulu. Entah berapa lamalah masa yang diambil oleh Adni untuk benar-benar pulih dan merelakan hatinya menjadi isteri kepada lelaki lain, yang tiba-tiba jadi sebahagian daripada hidupnya.
Sirin tak dapat bayang hendak letak diri di tempat itu…
Tanpa Sirin mahu, matanya terarah pada susuk tubuh Adni. Gadis manis berusia 31 tahun itu kelihatan begitu cantik dengan kurung moden pilihannya. Warna merah garang membangkitkan seri muka Adni yang putih melepak dan nampak girang. Jejaka di sebelahnya pula, yang mungkin lebih kurang usianya, kelihatan tampan dengan gaya kasual pilihannya. Kemeja lengan pendek merah garang dengan jean biru lusuh.
Padan! Itulah perkara pertama yang terdetik dalam hati Sirin melihat mereka. Malah pasangan itu nampak begitu serasi berbanding dia melihat Adni bersama Eman dahulu. Adni nyata lebih sesuai dengan lelaki di sampingnya itu, Zikry, yang sudah dua bulan menjadi suaminya. Nyata, masa bukan tanda akan bersama. Lebih sepuluh tahun berkawan dengan Eman bukan tandanya.
Asma, Ainun dan Atiyah turut mengikut arah pandangan Sirin. Sama-sama memerhati lagak Adni dan Zikry, yang nyata nampak mesra dan gembira. Tanpa menutupnya. Inilah yang ingin mereka lihat dahulu. Kala hati Adni pedih, inilah yang mereka harap-harapkan. Hendak sangat-sangat lihat Adni gembira ria. Kuasa Tuhan, atur Dia, menghadiahkan anak muda sekuat dan seyakin Zikry dalam mendapatkan hati si isteri yang ada parah dan cabek.
"Rin mesti tak percaya kalau mak su kata Zikry lebih muda daripada Adni dan Zikry jugak sepupu Eman." Atiyah senyum luas tiba-tiba. Cukup seronok kalau dapat khabarkan kenyataan itu kepada pihak yang tidak tahu.
Aturan dan permainan takdir yang tidak terjangkau dek sesiapa pun antara mereka. Malah Adni sendiri.
"Hah?" Sirin memang tak menyangka. Nganga sakan dia.
"Hmm. Itulah kenyataan. Nanti ada masa mak su cerita. In detail. Ikut kronologi. Mesti Rin lebih-lebih tak sangka." Atiyah gelak tiga nada-konspirasi, inspirasi, misteri.
Asma dan Ainun senyum tengok semangat Atiyah.
Sirin hanya membisu, namun sempat lagi menilik Adni dan Zikry. Tidak terjangkau. Sangat ya. Bab umur dia boleh terima lagi kerana dalam dunia sekarang ia bukanlah sesuatu yang pelik. Cumanya… Zikry sepupu Eman?
"Mmm, macam mana dengan Kak Adni sekarang?" soal Sirin tidak sempat menghalang diri. Tahu soalan itu terlalu peribadi sebenarnya. Dan dia seolah-olah mempersoal keyakinan ketiga-tiga wanita ini, yang telah menerima perkahwinan pasangan pengantin masih baru itu dengan hati yang sangat lapang.
"Apa yang Rin nampak?" Senyuman Asma tak lekang.
Sirin mengerling semula Adni dan Zikry. Ah, tidak sangsi lagi! Matanya tidak menipu. Memang pasangan yang sepadan.
"Kalau dah jodoh, tak ke mana. Larilah ke hujung dunia sekalipun, dengan kuasa Allah mesti bertemu jugak. Seperti Adam dan Hawa, terpisah di sana namun kekuatan jodoh serta cinta, akhirnya mereka ditemukan Allah di dunia," ucap Asma bangga.
Sirin hanya mengangguk. Setuju dengan kata-kata mak lang. Kekuatan jodohlah yang akhirnya menyatukan Adni dengan Azri. Tidak semena-mena, kata-kata yang pernah dihadiahkan Azaim kepadanya ketika hubungan mereka masih baik meniti benaknya. Walau berkali-kali dia menghalang akal daripada mengingatinya, namun apa yang sudah kemas terakam tidak mungkin mampu dicampak keluar begitu sahaja. Otaknya bukan CPU, yang boleh membuang mana-mana maklumat yang dia tidak mahu. Mr. recycle bin, here you are! Nope!
Sirin masih ingat segalanya. Tiap patah kata. "Cinta sejati adalah cinta di mana kita tak pernah berharap dengan yang kita cintai namun berharap agar Dia reda dengan cinta itu."
Sirin langsung tidak sedar akan apa yang dilakukannya. Namun, pandangan ketiga-tiga ibu saudaranya menyampaikan segala. Jelas, dia tidak berfikir sendirian seketika tadi. Sebaliknya setiap bait kata yang pernah diungkap oleh Azaim telah meniti bibirnya. Tanpa sedar dia sudah pun mengucapnya.
Wajah Sirin mula berubah. Tambahan pula apabila lihat senyuman melebar pada bibir ketiga-tiga wanita itu. Walau tanpa sebarang kata, senyuman mereka telah menyampaikannya. Ya Allah… Memalukan! Macam mana boleh tak sedar? Bodoh! Sirin mula mengutuk diri. Terlalu alpa dalam kenangan silam sehingga tidak sedar pada kenyataan hari ini. Sirin, apa yang tak kena dengan kau?!
"Hmm… Mungkin sebab cinta Zikry kepada Adni adalah sejati, sebab tulah hati Adni terbuka." Atiyah meluaskan senyuman.
Sirin cuba tayang muka selamba. Bukankah dia cukup terror bab sua muka slumberland?
"Sekarang ni, Rin dah balik. Semua orang tengah tunggu giliran Rin. Dah tak sabar nak tengok Rin bersanding atas pelamin. Ingatkan Rin balik kepit mana-mana mat salih sorang. Nasiblah tak. Taste Rin masih orang tempatan, kan?" Asma pula bersuara.
"Mujur!" ucap Atiyah sendirian. Namun mampu didengar oleh Sirin.
Aik, mujur apa pulak ni? Sirin pandang wajah ibu saudaranya satu per satu. Masing-masing cuba diamkan sesuatu di balik senyuman yang menggetah. Ah, lantaklah! Yang dia tahu, wanita bertiga ini, kalau mahu diamkan sesuatu, sampai sudahlah bibir terjahit. Dalam bentuk senyuman. Apa usaha pun tak akan tetas ia."Rin muda lagi. Kalau ada yang perlu berumah tangga, orangnya Abang Im. Dah jatuh harus rasanya." Selamba Sirin menyatakan pandangan. Dah memang betul pun…
Senyuman yang kian meluas-mujur tak cecah telinga-bersama pandangan yang punya maksud tersendiri, yang hanya boleh difahami ketiga-tiga wanita itu, terlukis. Membuatkan kerutan halus menodai dahi Sirin. Tidak faham dengan maksud sebenar mereka bertiga. Namun Sirin tidak suarakan apa-apa. Membisu sahaja. Tidak mahu memanjangkan cerita. Tambah pula bila menyentuh hal nikah kahwin.
Usia dia baru 23 tahun. Masih muda, malah ada kalanya Sirin rasakan terlalu muda dan mentah. Belum boleh dapat title bujang terlajak pun. Lainlah kalau title itu diberi kepada Azaim. Tapi, usia 31 tahun untuk seorang lelaki… boleh dikira terlajak ke? Tambah pula apabila jejaka itu adalah Azaim Haji Azamuddin.
"Daripada fikirkan Rin, baik mak su tumpukan pada Adham dan Afham. Mak su tak risaukan dia orang tu ke? Dia orang pun belum kahwin lagi." Sirin melihat mak su, yang tiba-tiba menarik muka masam apabila mendengar nama anak-anak kembarnya disebut.
Senyum kecil menyentuh bibir Sirin. Hmm, masih yang serupa. Rupanya mereka masih racun dan penawar hati mak su. Masih seperti tujuh tahun lebih yang sudah. Rupanya ada juga yang tidak berubah dikejar waktu.
Mak su tidak seperti mak ngah atau mak teh. Tidak dikurniakan anak yang ramai. Adham dan Afham sebetulnya anak mak su yang keempat dan kelima. Namun kuasa Tuhan, Dia yang menginginkan sesuatu, maka ia terjadi. Anak-anak mak su, abang-abang kepada Adham dan Afham meninggal dunia ketika masih bayi lagi. Adham dan Afham pula, ditakdirkan panjang usia mereka walau mulanya Adham hampir-hampir meninggal dunia. Kuasa Allah, masih menghendaki Adham menjalani hari-harinya di dunia fana ini. Dan alhamdulillah, kedua-dua beradik kembar itu sudah pun menjangkau usia 22 tahun.
"Adham dan Afham tu sama-sama hingusan. Mak su tak harap kalau dia orang ada cita-cita nak menikah dalam umur macam sekarang ni. Kalau dia orang bawak balik mana-mana perempuan pun, mak su akan nasihatkan budak perempuan tu, fikirkan semula keputusan dia orang untuk bersama anak-anak bujang mak su tu. Hisy, tak nak mak su kalau hidup dia orang bakal dirosakkan oleh anak sendiri." Atiyah mencebik mulut.
Sirin mengulum senyum. Untuk tayang gigi secara terang-terangan, bimbang pula kalau mak su bakal kecil hati. Tapi dia tahu, mak su tak akan kisah sebetulnya. Kalau tidak, takkanlah mak su kutuk kedua-dua anak bujangnya secara langsung! Nasib kau oranglah, Adham, Afham. Balasan sebab kau orang asyik kenakan aku masa dulu kut!
"Yang tinggal sekarang ni cuma Im, Rin, Adham dengan Afham. Kau orang ajelah yang belum," ucap Ainun cuba pesongkan perhatian Atiyah daripada anak-anak bujangnya. Selalu sesak nafas adiknya itu kalau bangkitkan hal dua beradik itu.
"Eh, jangan lupakan anak perempuan arwah abang long, kak teh!" Beria-ia Asma mengingatkan.
Anak perempuan? Dahi Sirin berkerut. Niat untuk menyoal terbantut apabila mak su lebih dulu bersuara.
"Betul tu, kak teh. Anak abang long kan ada lagi. Jangan matikan dia tanpa kubur. Macam mana pun hubungan kita dengan dia orang, dia masih anak buah kita. Tetap anak saudara kita," ujar Atiyah lembut apabila Ainun menjuih mulut tanpa sembunyi dengan bicara awal Asma tadi.
"Anak arwah pak long? Siapa?" Sirin akhirnya mengambil peluang memuntahkan kekeliruan yang menguasai benaknya. Mahu tahu siapa sebenarnya anak perempuan pak long, yang tidak pernah diketahui kewujudannya sebelum ini.
Selain itu, kenapa pula mak teh nampak tidak senang apabila topik ini dibangkitkan?
"Ailee. Tulah nama anak arwah pak long Rin," jawab Atiyah tanpa pedulikan muka berkerut kakaknya, tidak puas hati dengannya.
"Ailee?" Kerutan halus kian menggarisi dahi Sirin. "Anak arwah pak long?"
Tidak pernah Sirin tahu yang pak long punya anak. Walau hakikatnya dia tidak punya kesempatan menemui pak long, abang kembar kepada arwah uncle dan abang kepada ibu-ibu saudaranya, kerana lelaki itu meninggal dunia sebelum kehadirannya ke Vila Fatih, namun dia tahu akan kewujudan pak long yang disangkanya meninggal bujang. Rupanya pak long bukan sahaja pernah berkahwin malahan turut punya seorang anak perempuan.
Tapi… kenapa dia tidak pernah tahu akan hal ini sebelum ini?
"Hmm, Ailee, anak perempuan pak long Rin. Rin tak tahu sejarah hidup pak long Rin sebenarnya. Dulu, nak ceritakan pun Rin masih terlalu kecil untuk faham. Tambahan pulak kami semua sangka kisah arwah dah tamat selepas pemergian dia. Rupanya tak, sebab arwah tinggalkan seorang balu dan anak perempuan," terang Asma secara ringkas.
"Rin tak faham," kata Sirin jujur. Masih tidak mampu menangkap cerita wanita itu. Malah raut tegang mak teh turut memberi kesan pada daya fahamnya.
"Cerita ajelah, kak lang. Rin ni bukan kecik lagi untuk kita diamkan. Dia dah besar panjang, dah boleh faham. Dia jugak bukan orang luar untuk kita sembunyikan hal ni. Arwah abang long tu pak long Rin jugak. Lagipun, lambat-laun dia akan jumpa Ailee jugak. Insya-Allah." Atiyah menggesa Asma.
Ainun tetap diam dengan muka masam. Tiada tanda mahu menghalang atau menyokong tindakan kakak dan adiknya.
Sirin memandang sekilas ketiga-tiga ibu saudaranya. Inilah yang dia suka tentang mereka. Biarpun ada berpuluh percanggahan pendapat antara mereka, namun penerimaan yang satu tidak pernah berubah sejak dulu. Dia adalah anak saudara walaupun tidak sedarah sedaging dan dengan keluarga tiada apa perlu dirahsiakan. Begitulah dengan hal anak perempuan arwah pak long dengannya!
Mata Sirin kembali memandang mak lang. Menanti butir bicara keluar dari mulut wanita itu. Bukannya dia nak bergosip atau bercerita tentang keburukan pak long, sebaliknya tidak mampu tahan diri daripada mengetahui kebenaran diri pak long yang selama ini dia tidak pernah maklum. Malah, baru kini dia tahu, bahawa dia sebetulnya punya satu lagi sepupu. Walau bukan sepupu kandung.
"Dah lama dah perkara ni jadi." Asma memulakan mukadimah. Matanya jauh daripada mereka. Seolah-olah kembali ke masa lampau.
"Pak long Rin waktu tu dalam pertengahan 20-an. Keluarga kami memang susah sejak kami kecil, tapi tak pernah sekali pun antara kami ada yang mengadu. Kami terima seadanya. Tapi pak long Rin tu lain sikit daripada kami adik-beradik. Dia dah bosan hidup susah. Nak cepat kaya, nak hidup senang. Tapi cara yang dia guna salah. Kalau dia berusaha dengan keringat peluh sendiri, mungkin kami adik-beradik bangga. Tapi dia gunakan orang lain untuk dapatkan semua tu. Dia…"
Kata-kata Asma tergantung apabila dipotong oleh Ainun, yang akhirnya meluahkan juga ketidakpuasan hati yang didiamkan.
"Kak lang bercakap macamlah abang long sorang yang salah. Perempuan tu pun salah jugak! Yang dia pergi terima abang long tanpa usul periksa, buat apa?!" Terbuntang luas mata Ainun. Tidak puas hati dengan ayat pilihan kakaknya.
"Kak teh, mulut tu baik sikit. Perempuan tu, perempuan tu pulak! Dia tu kakak ipar kita. Nak tak nak, kena terima. Hormat sikit," tegur Asma, keras.
"Entahnya kak teh ni. Walaupun kak teh anggap kak long yang bersalah selama ni, dia tetap isteri abang long. Kak long tetap kakak ipar kita! Kak teh tak boleh nafikannya, malah kak teh tak boleh tolak Ailee. Dia anak buah kita!" tokok Atiyah menyokong kakaknya. Penuh emosi.
Ainun menarik muka masam. Tidak lagi bersuara. Mungkin sedar kemenangan tidak akan berpihak kepadanya apabila dua pihak beradu tenaga dalam membangkangnya. Tambahan pula memang sejak dulu, inilah perbalahan yang tak sudah antara mereka. Hanya dia menentang. Pihak pembangkang.
Sirin yang semenjak tadi melakukan senaman leher, sebab duk kalih kiri, kanan, kiri, kanan, akhirnya memakukan pandangan ke muka Asma semula. Menunggu wanita itu meneruskan kisah pak long. Satu yang dia sedar sejak topik ini mula diperkata, mak teh sama sekali menentang pandangan kakak dan adiknya. Berlainan parti.
"Hmm, pak long Rin… dia kahwini mak long Rin, anak perempuan orang kaya dekat tempat kami waktu tu. Mak long Rin lebih berusia daripada pak long. Lebih lima tahun tak salah. Sangka mak long Rin, pak long kahwin sebab cinta. Tapi akhirnya dia dapat tahu sebab sebenar. Mak long Rin patah hati sangat. Dia tinggalkan pak long Rin dan harta yang pak long Rin nakkan sangat tu. Dia anak yatim piatu, saudara-mara jauh pulak tak setuju dia kahwin pak long Rin. Bila dia pergi, tak ada siapa peduli sebab untuk dia orang, tu salah dia.
"Pak long Rin, yang sepatutnya rasa gembira sebab dah dapat apa yang dia angan-angankan, tak pernah bahagia sejak tu. Kekayaan yang ditinggalkan buat pak long Rin selalu dihambat rasa bersalah. Malah, dia mula rindu mak long Rin yang dah bawak diri. Pak long Rin akhirnya jatuh cinta kepada isterinya, tapi mak long Rin dah buang dia. Sejak tu, pak long Rin hanya harapkan kepulangan isteri dia." Asma menghentikan bicara apabila terasa ada air hangat menyentuh pipi. Lekas dikesat.
Sirin kemam bibir. Jadi kekok. Tambah apabila perasan mak su juga mengelap pipi yang disinari air jernih. Malahan keadaan mak teh pun sama. Namun ego wanita itu buat dia palingkan muka jauh-jauh, sembunyikan hakikat mata yang basah. Sirin terus diam. Tak pernah dia tahu arwah pak long ada menyimpan kisah sedih sebegini. Spontan, dikaut jemari tangan mak lang dan jemari tangan itu digenggam erat.
"Sayang, keinginan pak long Rin tak pernah tercapai. Lepas satu tahun, surat talak sampai daripada mak long Rin, minta dilepaskan. Nak tak nak bercerai jugak. Sejak tu semangat pak long Rin hilang. Perlahan-lahan… dia pun pergi. Tapi masa hayat dia, pak long Rin tak pernah jemu jejaki mak long Rin, malahan sampai akhir nafas dia, itulah usaha yang tak pernah dia hentikan. Lepas arwah pergi, arwah ayah Rin pulak teruskan. Berita yang kami dapat daripada orang yang diupah arwah ayah Rin, mak long Rin berhijrah ke China dan tak pernah berkahwin lepas cerai. Dan dia ada anak nama Ailee. Yang terkini, ikut maklumat orang upahan Im, mereka ada di Malaysia. Kalau diikut, umur Ailee dah 33 tahun sekarang. Mungkin dah berumah tangga, mungkin tak. Entah kat manalah dia orang sekarang…" Asma menarik nafas panjang sesudah selesai menceritakan semuanya.
Sirin hanya diam membungkam. Sehitam ini kisah pak long? Ya Allah. Dia tidak pernah tahu. Mungkin pak long bersalah pada awalnya, tapi bukankah pak long sedar sudahnya? Kenapa mak long terlalu degil untuk menerima maaf pak long? Tapi, ada jaminankah ia takkan berulang? Bukankah dia sendiri sering memikirkan soalan itu? Jadi apa haknya untuk tuding jari kepada mak long, yang hanya mahu jaga hati dan perasaan agar tidak disakiti sekali lagi?
"Ailee dan ibunya tak tinggal kat China lagi dan tu lebih sukarkan pencarian. Walaupun tahu mereka dah kat Malaysia, tapi…" Atiyah menggeleng-geleng. "It's harder to find. And, they are hiding. Dia orang tak mahu kita jumpa kut. Tapi Im tetap nak pencarian diteruskan dan kalau tahu kat mana dia orang, pastikan dia orang tahu yang kita mencari dan menunggu selama ni. Tak pernah berhenti. Cuma… tak pastilah kalau dia orang nak jumpa kita ke tak bila dah jumpa nanti…"
Sirin lihat saja Atiyah mengeluh penuh rasa.
"Bagi kak teh, lebih baik dua beranak tu terus duduk kat mana dia orang ada sekarang. Dia orang tak diperlukan lagi! Im pun satu. Buat apa entah suruh si Jamil jejak dia orang lagi. Dia orang tu dah tak ada hubungan dengan kita semenjak kak long mintak cerai!"
Asma dan Atiyah sama-sama mencerun mendengar kata-kata Ainun. Sungguh tak sayang mulut!
Sirin hanya melihat. Tidak layak rasanya untuk buka mulut beri pendapat. Apatah lagi campur mulut.
"Kak teh tak patut cakap macam tu! Ailee tetap darah daging abang long!"
Sirin mula rasa tidak enak dengan intonasi suara mak su. Wanita itu lembut orangnya. Tapi kalau marak, hilang rupa orang, apatah pula bahagian lembut. Dia pandang pula mak teh. Tegang terpamer. Akhirnya, mata mati kepada mak lang, yang sedang menanti pandangannya. Dengan isyarat mata, wanita itu mengarahkan dia agar lekas-lekas berlalu dari situ.
Sirin tidak tunggu lama. Terus pecut serupa dapat kereta.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 14, 2013 02:02
No comments have been added yet.


Bikash Nur Idris's Blog

Bikash Nur Idris
Bikash Nur Idris isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Bikash Nur Idris's blog with rss.