.: Sayang Dia Suam-Suam [Bab 11*2] :.

SYAMSUL menjenguk kepala ke arah pintu yang terbuka luas itu. Rumah dobi dibahagi kepada dua bahagian. Bilik dobi dan bilik seterika. Dari pintu masuk utama, dia dapat lihat terus bilik seterika. Mungkin bilik dobi yang jadi tempat mencuci dan mengering pakaian, lengkap dengan mesin-mesinnya, di balik sebuah lagi pintu yang nampak terbuka dari muka pintu utama.
Syamsul melangkah satu langkah ke hadapan, lebih mendekat dengan pintu masuk ke rumah dobi. Kepala terus menjenguk dan mata pandai melingas-lingas. Tergantung tinggi tiga palang besi dan beberapa pakaian yang kemas diseterika, berbalut kemas dengan plastik. Di satu sudut pula terhuni rak dengan lipatan kain putih.
Dan ketika itulah mata Syamsul disapa satu batang tubuh genit, dengan ketinggian yang mungkin saja tidak lebih 160 sentimeter, bertubuh kurus namun masih tidak hilang bentuk tubuhnya. Membuatkan mata Syamsul, sebagai seorang lelaki, sangat sedar akannya.
Seperti pembantu Vila Fatih yang lain, gadis itu juga dengan baju serba hitam dan apron hitam terikat kemas pada pinggangnya yang ramping. Rambut lurus dipotong layered, sentuh bahu ngam-ngam. Dan gadis itu nampak terlalu asyik dengan kerjanya untuk berpaling, memberi peluang kepada Syamsul melihat wajah itu. Gadis yang digelarnya Mayang si gadis dobi.
Tiba-tiba pandangan Syamsul terhalang. Bukan kerana apa yang berdiri di hadapannya lebih tinggi daripadanya, sebaliknya si gadis dobi yang terlalu rendah. Mata Syamsul mula buat baik pulih. Adjustment. Hilang susuk tubuh genit kena tempat pada bentuknya, diganti badan sasa ala bouncer di hadapan. Walaupun bertubuh tegap, lelaki di hadapannya ini tidaklah setingginya mahupun Azaim. Lebih 160 sentimeter tapi tidak 170 sentimeter. Masih boleh dipandang rendah dari aras matanya.
Syamsul perhatikan letak tubuh pemuda itu, yang diyakini dalam usia pertengahan 20-an. Berdiri tegak, berpeluk tubuh, membuatkan baju hitam pada tubuhnya nampak terlekat pada otot-otot badannya yang timbul. Raut muka itu, putih kemerahan, tegang. Tertempek tanda tidak puas hati pada dahi itu. Berkerut sakan, manalah mata kasar Syamsul tak kesan. Tak perlu soal lanjut, Syamsul tahu siapa yang berdiri di hadapannya ini dengan kedudukan sedia-sangat-nak-cari-pasal.
Zaheed!
“Ada apa boleh saya tolong?” tanya Zaheed terteran.
Syamsul senyum nipis. Faham dengan dilema Zaheed. Itu pasal ayat terteran macam itu. Hendak kurang ajar, dia tetamu tertinggi Azaim, juga Vila Fatih. Sungguh dilema moral.
“Mayang… Saya nak jumpa dia sekejap.”
Mata Zaheed pula terteran. Menyimpan geram.
“Dia…” Berdeham, mengawal rasa tertumpah garam ke atas luka, Zaheed menyambung, “Dia sibuk. Kami sama-sama sibuk. Malam ni ada majlis, jadi kami banyak kerja. Jadi, harap Tuan Syamsul tak ganggu kami!”Tegas pada patah ayat akhir Zaheed dicam telinga. Syamsul tersenyum, mengangguk-angguk. “Baiklah. Selamat bekerja.”
Sengaja Syamsul senyum kemudian berpaling. Tidak lama, dia kembali mengalih batang leher ke arah muka pintu. Pandangan melepasi Zaheed yang masih tayang muka bouncer.
“Bye, Mayang!” jeritnya sakan, meneruskan langkah. Langsung tidak peduli bagaimana penerimaan Zaheed dengan tindakan spontannya.
“Siapa tu, Zaheed?” tanya Mayang berpaling, menarik keluar ear-phone dari kedua-dua telinganya. MP3 di dalam poket apron dimatikan.
Rasa-rasa Mayang ada dia dengar suara menyebut namanya tadi. Asyik melayan lagu, sekuat telinga boleh terima, Mayang langsung tidak perasan.
“Tak ada sesiapa yang penting pun.” Zaheed cepat-cepat menarik daun pintu yang ternganga, mahu mengatupnya apabila dilihat Mayang mengatur kaki ke arahnya. Kerut pada dahi mulus berwajah kecinaan itu menunjukkan bahawa tiada percaya pada jawapannya.
“Jangan tutup pintu. Berapa kali kakak nak cakap, Zaheed. Jangan sesekali tutup pintu tu kalau kita berdua aje dalam ni. Tak manis!” Suara Mayang jadi meninggi. Geram sungguh dengan Zaheed yang sengaja tidak mahu faham dengan syarat utamanya itu.
Zaheed hentak daun pintu lalu meninggalkan rumah dobi dengan langkah geram.
Dan Mayang hanya boleh menggeleng. Sudah boleh faham dengan protes yang mahu ditunjuk Zaheed. Tak boleh ditegur sedikit. Malah pantang betul dengar dia bahasakan diri sebagai kakak apabila bercakap dengannya. Sedang memang itu hakikatnya. Dia tua tujuh tahun daripada Zaheed, jadi takkan nak bahasakan diri adik pula!
Sebetulnya, Mayang sangat sedar akan perasaan Zaheed kepadanya. Mana taknya, boleh dikata setiap hari Zaheed menutur ia, di hadapannya atau di hadapan rakan sekerja mereka yang lain. Malah Zaheed dan rakan sekerja mereka juga tahu dia tidak membalas perasaan Zaheed itu, tidak juga berniat membalasnya suatu hari nanti. Bukan kerana Zaheed lebih muda atau Zaheed terlalu keanak-anakan sikapnya, selain suka mendesak. Tapi kerana Mayang sendiri tidak mahu. Mayang terlalu sedar akan keadaan dirinya. Rahsia dirinya terlalu besar untuk dilibatkan pula dengan hal hati dan perasaan.
Mayang menghampiri daun pintu yang telah kembali nganga. Dibawa kepala ke sebelah kiri, tidak jauh dari ruang menyidai. Senyum kecil menyentuh bibir apabila terpandangkan Zaheed sedang duduk bersandar pada sebatang pokok yang merendang. Jelas wajah rajuk itu.
Begitulah Zaheed selalunya. Kuat betul rajuknya dan mudah pula pujuknya. Bukan olehnya, tapi oleh anak muda itu sendiri.
Mayang tidak pernah melayan rajuk Zaheed. Bimbang Zaheed akan anggap ada harapan dalamnya. Pandai Zaheed bawa diri, bijak jugalah datang kembali. Selalunya.
Perlahan-lahan menjauh dari muka pintu, kepala dialihkan. Dan ketika itulah Mayang terpandangkan susuk tubuh lampai yang sudah pun masuk ke pintu belakang ke ruang dapur. Lelaki itukah… tadi?
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 08, 2013 03:17
No comments have been added yet.


Bikash Nur Idris's Blog

Bikash Nur Idris
Bikash Nur Idris isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Bikash Nur Idris's blog with rss.