Surat Deepak kepada Peguam Negara mohon perlindungan pendedahan isu SD Bala
Surat Deepak kepada Peguam Negara mohon perlindungan pendedahan isu SD Bala
S YBh Tan Sri Abdul Gani Patail
Peguam Negara Malaysia
Jabatan Peguam Negara
No 45, Persiaran Perdana
Prescint 4,
62100 Putrajaya
13hb. Februari 2013
Per: Permohonan Untuk Mendapatkan Perlindungan Daripada Pendakwaan Kenyataan Bersumpah Balasubramaniam a/l Perumal Bertarikh 1Julai 2008 dan 3 Julai 2008
—————————————————————————————————
Adalah dengan segala hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas.
Seperti yang sudah dimaklumi, saya telah membuat beberapa pendedahan kepada beberapa wartawan tidak beberapa lama dahulu mengenai perkara sebenar yang menyebabkan berlakunya pembatalan Akuan Bersumpah bertarikh 1 Julai 2008 (SD 1) oleh Balasubramaniam a/l Perumal melalui Akuan Bersumpahnya yang kedua bertarikh 3 Julai 2008 (SD 2).
Sungguhpun pendedahan saya itu tidak dilaporkan oleh kebanyakan media arus perdana, tetapi ia telah mendapat liputan yang meluas oleh media alternatif yang lain seperti Malaysiakini, Malaysian Insider dan Harakahdaily.
Seperti yang telah saya maklumkan di dalam wawancara tersebut, saya tidak terlibat langsung di dalam pembuatan kedua-dua Akuan Bersumpah tersebut. Saya sendiri tidak kenal rapat dengan En. Balasubramaniam.
Penglibatan hanya bermula selepas munculnya SD 1 apabila saya telah dihubungi oleh isteri YAB Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor untuk membantu YAB Perdana Menteri yang namanya dilibatkan secara langsung di dalam SD 1 tersebut.
Sebenarnya apa yang saya dedahkan di dalam wawancara tersebut hanya merupakan secebis sahaja daripada maklumat sebenar dari maklumat-maklumat lain yang saya miliki mengenai penglibatan YAB Perdana Menteri, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan keluarga mereka di dalam insiden di atas dan kes-kes lain yang berkaitan dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Di dalam kebanyakan kes tersebut, saya bertindak atas arahan mereka dan terlibat sebagai pemudahcara atau conduit kepada mereka.
Saya bersedia bekerjasama dengan mana-mana agensi penguatkuasaan di dalam negara ini untuk memberikan maklumat selanjutnya mengenai penglibatan YAB Perdana Menteri di dalam perbuatan penyalahgunaan kuasa yang melibatkan keluarga beliau dengan syarat saya diberikan perlindungan dari sebarang kemungkinan pendakwaan jenayah terhadap penglibatan saya tersebut dengan memberikan kepada saya ‘certificate of immunity’ yang merangkumi semua undang undang negara kita.
Dengan adanya sijil tersebut dan mana mana surat yang akan diperlukan mengikut undang undang negara untuk menjaminkan saya immunity tersebut maka saya boleh memberikan maklumat sepenuhnya tanpa perlu bimbang dengan bayangan pendakwaan jenayah yang mungkin dikenakan terhadap saya.
Adalah menjadi harapan saya agar permohonan saya ini diberikan pertimbangan yang sewajarnya demi untuk keadilan kepada semua pihak dalam masa terdekat iaitu pada atau sebelum 11.3.2013.
Sekian, terima kasih.
Saya yang benar,
………………………………………
Deepak Jaikishan a/l Jaikishan Rewachand
Suara Keadilan's Blog
- Suara Keadilan's profile
- 1 follower
