Himmah : Ini Langkahku !

steps


~ Picture by senandungputri.wordpress.com


 


Saya terdorong untuk menulis tentang tajuk ini setelah terdengar salah satu lirik lagu ‘Shoutul Harakah’ yang bertajuk Ini Langkahku.


Lagunya bersemangat. Ya, siapa saja yang pernah mendengar lagu ini pasti akan terdorong untuk melompat-lompat atau paling kurang mahu mengayunkan tangannya. Begitulah kali pertama seawal saya mendengar lagu ini.


Rasa bersemangat dan tidak boleh duduk diam. Sesuai dengan nama kumpulan nasyidnya, Shoutul Harakah. Harakah itu bermaksud sentiasa bergerak, tidak duduk diam.


Rasa bersemangat ini, tidak dapat tidak, ia ada kaitan yang sangat dekat dengan jiwa orang muda. Betul, bukan?


Bagaimana biasanya jiwa orang muda? Jiwa orang muda adalah jiwa yang mengalir di dalamnya darah panas, sentiasa bersemangat untuk melakukan sesuatu kerja bila dia meminatinya, tenaga dan kudratnya pula masih banyak.


 


Begitulah Masa Muda Harus Diisi


Semangat, tenaga dan kudrat di waktu muda tidak harus dibazirkan dengan hanya menghabiskannya untuk tidur berjam-jam, main game semata-mata, menonton movie semata-mata tanpa menghasilkan apa-apa karya atau produk.


Sedangkan di masa inilah peluang untuk kita melakukan kebaikan cukup banyak.


Masa muda yang terabai dan terbazir dengan perkara-perkara yang sia-sia akan membawa kita kepada kerosakan. Semangat dan kudrat yang banyak sekiranya tidak diarahkan ke arah kebaikan, maka ia akan menjadi begitu cenderung ke arah kemaksiatan dan kerosakan.


Begitulah syair Imam Syafie menukilkan :


“Sungguh aku melihat diamnya air merosakkannya, bila bergerak ia jernih, bila tak bergerak ia tak menyihatkan.


Dan singa yang tak tinggalkan sarangnya tidak akan mendapat mangsanya, dan panah yang tak terlepas dari busurnya tidak akan mengena.


Dan matahari yang tetap pada paksinya, tentu akan membosankan manusia, baik dari ajam (bukan Arab) mahupun Arab.


Dan biji emas tidak ada bezanya dengan tanah saat bercampur keduanya, kayu gaharu berserakan di tanah pun umpama kayu bakar.”


 


Meneruskan Langkah, Mengayunkan Tangan Tanpa Henti


Maka, menyahut seruan semangat di waktu muda ini, kita harus terus meneruskan langkah memanfaatkan masa muda ini.


Mustahil langkah ini dapat diatur jika perancangannya saja belum ada. Bagaimana mahu melangkah tanpa mengetahui apa yang diinginkan di masa hadapan?


Justeru, kita harus bersegera memulakan perancangan untuk masa depan kita. Apakah yang kita inginkan dari apa yang sedang kita lakukan di saat ini? Apa yang kita harapkan terhadap diri kita?


Perancangan ini sudah tentulah tidak akan cukup dan menjadi tidak seimbang sekiranya kita hanya merancang untuk memenuhi keperluan kudrat dan tenaga zahir sahaja. Ada beberapa aspek perlu diberi penumpuan, antaranya :


 


1)      Aspek kerohanian


Hubungan dengan Allah adalah rahsia kekuatan sebenar kita. Benar, tenaga muda itu memang satu kekuatan, tetapi itu saja tidak akan mampu menampung kehidupan kita baik di dunia mahupun di akhirat. Sebab itu, kita sangat perlukan Allah dalam segenap kehidupan kita.


Maka, aspek ibadah dan zikir adalah sangat penting untuk kita berikan perhatian.


 


2)      Aspek keilmuan


Semangat dan kudrat saja tidak cukup untuk memandu kita di atas jalan kebenaran. Kita mesti memiliki kemampuan dari sudut keilmuan. Ilmulah yang akan membantu kita membina prinsip dan cara berfikir dalam diri kita.


Aspek keilmuan ini tidak cukup dipenuhi dengan hanya mendengar kuliah-kuliah di universiti, di masjid semata-mata, tetapi perlu juga melazimi diri dengan membaca buku-buku dan bahan bacaan tambahan luar daripada apa yang kita pelajari.


 


3)      Aspek kemahiran-kemahiran semasa


Pembentukan kemahiran-kemahiran (softskill) seperti bercakap di hadapan (public speaking), kemahiran komunikasi (communication skills), pembinaan kumpulan (team building), kemahiran mempengaruhi (influence skills), kemahiran menulis (writing skills) dan lain-lain.


Kemahiran-kemahiran semasa ini sangat penting dalam memenuhi aset yang diperlukan oleh ummat.


 


4)      Aspek pembinaan masa depan dan cita-cita


Jangan menjadi anak muda yang kosong. Jadilah anak muda yang memiliki cita-cita dan wawasan masa depan. Tidak memiliki hala tuju, tidak tahu apa yang hendak dicapai menjadi penyakit kronik yang mengakibatkan segala usaha kita menjadi sia-sia ataupun menyebabkan kita duduk selesa tanpa mengusahakan secara maksimum apa yang diperlukan untuk mencapai masa depan kita.


Benar, masa depan itu dalam ketentuan Allah. Tetapi rancanglah ke arah itu. Yang berada di dalam ketentuan Allah itu, tidak ada yang tahu. Selain menjadi pemuda yang berwawasan, ia akan sentiasa menjadi pemangkin kepada diri kita untuk melangkah dengan penuh kesungguhan dalam hidup ini.


 


Kita Sumbangkan Untuk Islam


Apakah yang lebih besar dan lebih mulia daripada memberikan sumbangan terhadap Islam?


Tenaga muda yang ada pada kita ini, semangat, kudrat dan kemampuan mari kita sama-sama kerahkannya untuk pembangunan Islam.


Kita bersungguh-sungguh di masa muda hari ini, membina diri kita, membangunkan prestasi kita, meningkatkan ilmu kita, bukanlah kerana kepentingan diri semata-mata, tetapi supaya di kemudian harinya ummat bisa merasai manfaat dengan kehadiran kita.


Kita serius membina cita-cita kita, masa depan kita, bukanlah kerana ingin mengaut kepentingan duniawi untuk diri kita, tetapi supaya kelak ummat memiliki orang-orang yang hebat dan amanah untuk membimbing perjalanannya.


“Katakanlah : Ini jalanku. Aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak kamu kepada Allah di atas hujah-hujah yang nyata. Maha Suci Allah dan aku tidak termasuk orang-orang yang musyrik.” [Yusuf : 108]


 


Penutup : Ini Langkahku !


Derapan langkah kita di atas dunia yang singkat ini tidak akan membuatkan kita rambang mata sehingga kita tewas ketika berdepan dengannya.


Benar, ujian di dalamnya sangat kuat. Ujian hartanya, ujian kedudukan, ujian kecantikan wanita, ujian kesusahan, ujian kesenangan dan sebagainya. Siapa yang tahan?


Tetapi sesungguhnya langkah kita yang disertai oleh Allah itulah yang akan menjadikan kita lebih kuat daripada ujian-ujian ini.


Telah berapa ramai orang-orang soleh mendahului kita, langkah mereka tegar dan tetap di atas jalan yang diredhai oleh Allah s.w.t. Mereka berusaha membangunkan diri mereka, mereka mengusahakan sesuatu untuk ummat dan mereka terus-menerus berjuang meskipun banyak tentangan menghalang mereka di atas jalan kebenaran.


Inilah langkah yang kita mahu corakkan untuk diri kita.


Menghidupkan roh perjuangan dalam kehidupan. Kerana kehidupan tanpa perjuangan dan yang mengandung banyak kerehatan, apalah ertinya pada kehidupan itu.


Berjuanglah di masa mudamu. Kudratmu, kekuatanmu, rupamu, kemampuanmu dan sebagainya mari kita manfaatkannya untuk pelaburan saham yang berkekalan sehingga ke akhirat sana. Biar di sana, masa muda menjadi saham paling memberangsangkan, bukan sebaliknya. Biar di sana, masa muda menjadi bukti bahawa dirimu telah melakukan yang terbaik untuk deen ini, untuk Islam.


Ini Langkahku !

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 05, 2013 13:05
No comments have been added yet.