Motivasi : Tips – 4 Syarat Menyertai Perlumbaan Menuju Syurga
Hidup umpama sebuah perlumbaan yang sengit. Ganjarannya hanya satu.
Mampukah kita?
———————
Syurga.
Hati kita semua pasti berbunga dan berbahagia mendambakannya. Ia adalah hadiah teristimewa daripada Allah SWT untuk hamba-hamba-Nya yang terpilih dan berusaha keras memilikinya.
Jiwa dan diri kita semuanya pasti ingin berlumba-lumba untuk menjejakiinya. Itulah fitrah manusia yang sukakan pertandingan, perlumbaan dan persaingan yang sihat. Apatah lagi, memilih untuk persaingan dalam perlumbaan mengejar Syurga yang nilainya tidak boleh disamakan dengan dunia seisinya.
Perlumbaan ini boleh disertai oleh sesiapa sahaja. Tidak kira latar belakang, pangkat dan darjatnya. Cumanya, untuk melayakan kita menyertai perlumbaan ini – terdapat beberapa prasyarat asas yang harus dimiliki bagi membolehkan kita dikategorikan sebagai “peserta” perlumbaan menuju Syurga.
Apakah syaratnya? Kita sama-sama semak dan nilaikan ia dalam diri kita.
Syarat Satu : Hati Yang Bebas
Asas utamanya ialah kita harus memiliki hati yang bebas dan merdeka. Bebas daripada belenggu hawa nafsu dan tidak terpenjara dengan dunia.
Numan Bin Basyir pernah berkata :
“ Sesungguhnya syaitan itu mempunyai jerat dan perangkap, dan sesungguhnya termasuk perangkap dan jerat syaitan ialah mengingkari nikmat-nikmat Allah SWT, sombong terhadap sesama hamba Allah SWT dan mengikut hawa nafsu bukan kerana Allah SWT.”
Kita punyai autoriti dan kekuatan untuk memimpin dan mengawal diri kita. Dan, perkara inilah yang akan membawa kita kepada titik akhir perlumbaan nanti.
Anda mampu?
Syarat Dua : Hati Yang Sedar
Sedar. Ia adalah titik mula kepada perubahan diri. Kesedaran yang berputik dalam hati umpama suis yang apabila dipetik, ia akan menyalakan lampu yang bercahaya yang akan memberikan sinar harapan bagi kita untuk melakukan apa sahaja di muka bumi Allah SWT dalam rangka mentaati-Nya.
Soal, tanya dan koreksi diri kita.
Adakah kita benar-benar sedar akan hakikat diri kita?
Syarat Tiga : Hati Yang Tekun
Tekun itu bermakna bersungguh-sungguh. Ia mempunyai kuasa untuk bersedia dalam beramal soleh. Manusia-manusia yang bergerak menuju cita-cita dengan tekun dan bersungguh telah mengecapi apa yang mereka impikan.
Soalnya adalah kita?
Sejauh mana kesungguhan kita dalam beramal soleh?
Sejauh manakah kita bergerak dan melaksanakan semua kebaikan sebagai modal untuk ke Syurga?
Syarat Empat : Hati Yang Berjuang
Daya pecutan kita dan semangat untuk konsisten dalam perlumbaan memerlukan daya juang yang tinggi. Hati menjadi enjin untuk yang memberikan tenaga yang luar biasa kepada pemilik badan untuk sentiasa berjuang bersungguh-sungguh melaksanakan apa yang Allah SWT perintahkan dan meninggalkan apa yang Allah SWT larang di sepanjang tempoh perlumbaan.
Kita benar-benar perlukah hati sebegini sebagai pelengkap kepada syarat untuk menjadi peserta dalam perlumbaan yang sengit ini.
Adakah anda bersedia untuk memulakan perlumbaan ini?
Penutup : Kita mampu berusaha dan panjangkan doa
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“ ….. dan barangsiapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya, nescaya Allah memasukkannya ke dalam Syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai sedang mereka kekal di dalamnya dan itulah kemenangan yang besar.”
( An-Nisa 4 : 13)
Tidakah kita teruja dengan tawaran hadiah Allah SWT bagi pemenang perlumbaan ini? Hadiahnya hanya satu iaitu Syurga tetapi pemenangnya akan Allah SWT berikan kepada sesiapa sahaja yang berjaya menempuhi segala ujian, halangan dan cabaran dalam perlumbaan ini.
Apakah rahsia bagi memenangi perlumbaan ini? Jawapannya ialah kepada hati. Keadaan ruh, jiwa dan nurani kita yang dilengkapi dengan syarat-syarat di atas. Benarlah seperti yang diungkapan oleh Al-Izz Abdus Salam :
“ Barangsiapa keadaan rohaninya baik di sisi Allah SWT maka dia akan rindu bertemu dengan-Nya kerana mengharapkan rahmat-Nya, dan barangsiapa rosak keadaan rohaninya di sisi Tuhannya maka dia akan segan untuk bertemu dengan-Nya kerana takut akan siksaan-Nya.”
————–
Berjiwa Bebas + Sedar + Tekun + Berjuang = Ramuan Menuju Kemenangan!