.: Cinta Datang Lagi I Bab 5 :.


MATA Dona terkelip-kelip seketika. Berhenti. Kembali terkelip semula. Membuatkan Raisya yang sedang merenungnya jadi Chipsmore. Sekejap ada, sekejap tak ada.
Raisya tidak menegur kelakuan Dona itu. Tidak juga mengarahkan Dona berhenti lakukan aksi yang membuatkan pangkal hatinya rasa digeletek. Lucu dan geli hati sebenarnya.
Namun dia tetap sekolahkan muka. Tidak mahu dianggap topik yang bakal dibincangkan—hanya akan dibincangkan sesudah Dona berhenti buat aksi mata gatal begini—hanyalah bualan kosong. Topik ini serius untuknya dan buat Dona. Lagipun, kan dia dah buat pengakuan ikhlas mengenai soalan yang dibangkitkan Dona semalam; “Who’s that Chinese guy?”
Sepasang kelopak mata Dona akhirnya berhenti berkejip.
Raisya mengucap syukur. Kini dia hanya perlu menanti respons Dona pada pengakuannya tadi; “That Chinese guy, yang kau kata tu, ada lagi semalam. Aku ternampak dia masa kita beli popcorn.”
“Kau nampak dia?”
“Ya.” Raisya menjawab dalam keluhan.
Dia sendiri tidak sangka dia boleh lakukannya. Mungkin lega kerana Dona sudah memberi tindak balas dan keinginan untuk menjawab soalan Dona cepat-cepat saling bertingkah. Sudahnya dia lakukan keduanya—bercakap dan mengeluh—sekali gus.
Sesudah membisu seketika, Dona bertanya lagi. “Dia nampak kita?”
“Ya.” Angguk Raisya dan serentak bibirnya disentuh senyuman apabila roman sawo matang Dona memerah. Dia tahu apa yang sahabatnya fikirkan. Jelas akan apa yang bermain di benak itu.
“Kau rasa dia dengar tak?” Dona menggigit bibir dengan wajah berkerut.
Raisya mengangguk lagi. Menawarkan muka simpati kepada Dona yang jelas mahu bersembunyi di dalam peti ais sekarang juga kalau boleh.
“Tentulah dia dengar. He was just like… what, ten feets from us. Kita pulak lama kat situ. Thanks to you. Muka budak cashier tu dah berubah gila. Aku rasa dia nak sangat letak jawatan waktu tu jugak. About fifteen people behind us and they moved to the other two counters. Again, thanks to you!”
Dona menjuih mulut. “Aku tengah marah dan geram sebab dia orang tak ambil Fanaa!”
“Dan, budak popcorn tu kena jadi mangsa? Don, twenty minutes with those two at Gold Class counter is not enough for you?”
“I was frustrated!” ucap Dona dengan memek muka yang masam. “Dahlah tak dapat tengok Fanaa, dia Nampak dan dengar aku! Patutlah kau asyik tarik baju aku macam budak kecik nakkan aiskrim daripada maknya!”
“Don, half of the theatre saw and heard you. Kenapa penting sangat dia nampak dan dengar kau semalam?” Raisya pelik.
Dia faham jika Dona rasa malu dengan apa yang berlaku. Bukan main dia ceramahkan budak di kaunter popcorn itu hanya kerana tidak puas hati bila mendapat tahu pihak GSC Mid Valley tidak mengambil filem Fanaa untuk ditayangkan di situ. Siap bercerita pada budak itu bahawa ini adalah filem kedua Kajol sesudah berkahwin dan mengapa Kajol berlakon dengan Aamir Khan dan bukan Shah Rukh Khan.
“Tentulah penting. Aku akan jumpa dia lagi,” balas Dona yakin.
“Kau jumpa dia lagi?”
Dona mengangguk tanpa sebarang penjelasan. Otaknya lebih ligat memikirkan bagaimana dia perlu selambakan diri bila bertemu dengan pemuda tanpa nama itu nanti.
Raisya terlongo dengan perangai Dona. Selamba katak! Aku dah berdebar-debar macam nak kena bom atom, dia boleh tayang muka tak bersalah gitu.
Dia paut kedua-dua bahu Dona, digoncang. Tanda mahukan perhatian gadis itu dan mahu gadis itu berada di ruang tamu rumah mereka, bersamanya. Bukan berkhayal!
“Apa maksud kau? Jelaskan!”
Dahi Dona berkerut halus. Matanya memauti sepasang mata bulat dengan anak mata coklat jernih yang nampak lebih kepada keemasan itu. Dia sendiri tidak pasti nak kategorikan anak mata Raisya dalam kategori mana mulanya. Namun bila tengok kamus, perkataan yang dia jumpa untuk gambarkannya ialah amber—kuning keperangan bak kismis.
“Don?!” gesa Raisya mula tidak sabar.
“Apa nama dia?” Dona tunjuk muka keliru.
“Apa?!” Raisya separuh menjerit.
“Nama mamat yang dah tengok aku memalukan diri sendiri tu! Apa nama dia?”
“Fariz! Aku tahu apa yang kau tanya!” tekan Raisya geram. Sengaja dia mengecilkan mata, mencerun geram untuk sampaikan rasa tidak puas hati. Meniru aksi Kajol ketika geram kepada Shah Rukh Khan di dalam Kabhi Kushi Kabhi Gham.
Dona hanya mencebik selamba dengan lagak Raisya. Tahu sangat aksi apa yang ditunjuk dek Raisya. Dia kan dah hafal setiap filem Kajol. Terutama yang dilakonkan Kajol dengan Shah Rukh Khan—pasangan paling padan di layar filem.
“Hmm, kalau dah tahu buat apa tanya soalan gitu? Buat habis air liur aku aje bagi penerangan. By the way, Fariz? I thought he’s Chinese.” Dona mula menyelam sambil minum air—sambil marah sambil menyoal.
“Aku tak tahu. Yang aku tahu, dia seorang Muslim dan nama dia Fariz!” Raisya menjegilkan mata. Geram dengan sikap selamba Dona sedangkan dia serius.
“Fariz? Hmm… okey! Tapi, kau tak cakap pun kau orang pernah kenal. Jadi… kenapa mengelak? Tak bertegur sapa? Apa dah jadi sebenarnya sebelum ni?”
Raisya mula terlongo tidak percaya pada kemampuan mendengar kedua-dua telinganya sendiri. Tangan yang kemas di bahu Dona sejak tadi dialihkan ke paha. Nafas ditarik dan dihela. Menjana kesabaran diri.
Beberapa kali sedemikian, dia akhirnya memandang Dona. Tajam. “Satu soalan aku belum berjawab dan kau soal aku balik?”
Dona selamba menjelir lidah. Sedikit pun tidak gerun dengan memek ‘rasa-macam-nak-telan-kau-hidup-hidup-aje’ yang sedang dihadiahkan Raisya kepadanya.
“Aku janji akan jawab satu soalan kau tu lepas kau jawab soalan-soalan aku. Mula bagi penjelasan dari awal! Siapa Fariz dan di mana kau kenal dia? Kenapa pulak kau elakkan diri daripada dia?” Berwajah tenang, Dona capai Froggie Jr lalu dipeluk kemas dengan muka ‘aku-tengah-tunggu-ni’.
Raisya mencerun sekali lagi. Dona masih selamba dengan muka ‘aku-tengah-tunggu-ni’. Dia mengeluh keras sudahnya. Mengangkat kedua-dua tangan, tanda sudah tidak mahu bertanding lagi. Raisya mengaku kalah akhirnya.
“Okey! Aku akan mula jelaskan,” ucap Raisya keras. Nak sampaikan pada Dona yang dia tidak suka pada kekalahannya sendiri. Walau dia tahu penjelasan terperinci mengenai pemuda bernama Fariz itu adalah perlu.
Dona tersengih luas. Nampak segala batang giginya. Muka senang hati sungguh. Dia membawa kaki ke atas sofa, mula duduk bersila dengan selesa. “Okey, mula jelaskan daripada A ke D.”
“Aku jumpa…” Raisya terkebil seketika. Seolah baru sedar ada yang tak kena. Mulutnya memuncung. Apa yek? Hah!
“Jelaskan daripada A ke D? Kenapa D?”
“Nanti aku bagi tahulah. Cepatlah! Banyak songeh betullah kau ni!”
Raisya menggeleng sendiri. Cuba nyahkan huruf ‘D’ daripada mindanya. Dia mula tumpukan perhatian kepada Dona.
“Aku jumpa dia masa reception Jaspal. Aku tak tahan duduk dalam dewan tu lama-lama, jadi aku keluar. Masa itulah aku jumpa dia. Aku attend wedding ex aku dan dia pun sama!”
Dona nampak keliru. “Jaspal tu ex dia jugak?”
“No!” pekik Raisya geli hati. Antara tawa yang terletus dia berkata, “Of course not!”
Dia cuba mengawal tawa tapi tidak pula mampu mengawal senyuman yang tidak mahu hilang dari ulas bibirnya. Tidak dapat bayangkan Fariz punya ‘hubungan’ dengan Jaspal. Fariz nampak ‘sihat’ di matanya dan adalah satu kerugian jika jejaka sekacak itu adalah tidak normal. Sayang sangat!
“Jadi dia hadiri wedding ex mana pulak?” Sebaik mengajukan soalan itu, ada perubahan pada roman muka Dona. Faham sendiri.
“Shereen?”
Raisya mengangguk.
“Satu kebetulan yang… terlalu kebetulan!” simpul Dona seraya menggesa Raisya. “Bagi tahu aku semua. Semuanya, sepenuhnya!”
“Aku kat luar dewan, tengah nangis!” Raisya rasakan jemari tangannya hilang dalam genggaman tangan Dona. Itulah Dona—sentiasa mengambil berat akan dirinya.
“Tiba-tiba mamat ni tegur aku. Dalam sekelip mata aku menangis, aku marah, aku geram, aku menangis dan kemudian aku ketawa. Aku tak tahu macam mana dia lakukannya. It just happened. Dia kata dia kenal aku, sepejabat dengan Jaspal. Masa itulah aku nangis untuk kali kedua.”
“Depan dia? Hampir lima tahun kenal kau, duduk serumah dengan kau, aku sendiri tak pernah ada peluang tu. Dan dia, tiba-tiba aje dapat tiket VIP for the show?”
“Itu pasal aku kata it just happened. Malah aku sendiri terkejut dan aku turut buat pengakuan yang aku tak pernah nangis depan orang luar, tambah pula orang asing. Tengah aku huhuhu… dia buat aku gelak bila dia bercerita tentang adik perempuan dia. For your information, her name’s Neesa and she’s pregnant.” Raisya menarik nafas.
“Aku keluar dari dewan dengan perasaan sebak. Aku hanya nak peluang untuk duduk in a corner and cry my heart out. Tiba-tiba dia datang dan semuanya jadi terbalik, tak kena. Instead of crying, I started laughing. Kemudian kami berbual, tanpa kenal. Masa itulah dia ada cakap dia akan temukan aku dengan Neesa kalau ada pertemuan kedua antara kami.
“Mulut celopar aku jugak yang kata teringin nak jumpa adik dia tu. Berbalik kepada pertemuan kedua, aku kata aku harap takkan ada. Aku cuma nak ingat dia sebagai orang asing yang muncul dalam hidup aku pada hari perkahwinan bekas kekasih aku. Tapi tak termakbul.”
“Bila pulak kau tahu namanya Fariz?”
“Aku nak ceritalah ni. Masa kami tengah sembang, Shereen datang, kemudian Jaspal. Secara tak langsung mereka yang bagi tahu kami, nama kami masing-masing. Shereen sebut nama dia, Jaspal sebut nama aku. Kemudian, lepas beberapa minggu aku mula nampak dia kat panggung GSC. Aku elakkan diri, anggap dia sebagai virus, sebab aku tak nak ada pertemuan kedua antara kami dan hanya nak kenal dia sebagai Fariz, orang asing.”
Dona mengangguk. Mula faham jalan cerita kisah Raisya dengan pemuda bernama Fariz itu.
Suasana antara mereka bungkam seketika. Raisya mahu buka mulut, menghalang sepi yang cuba mengambil tempat namun hasratnya dimatikan apabila pintu utama apartmen tiga bilik itu dibuka.
Dua batang tubuh melangkah masuk. Seorang daripadanya kembali mengunci pintu manakala seorang lagi pula menonong sahaja mengatur kaki ke ruang tamu dan duduk di sofa bertentangan dengan sofa yang didudukinya dan Dona. Bulat matanya melihat batang tubuh yang terjelepok lesu ke sofa itu.
Dona turut memandang.
Gadis di hadapan mereka melepas lelah dan mula sedar pada sunyi yang menghurung. Matanya tertancap ke paras Raisya dan Dona. “Lia mengganggu ke?”
Raisya dan Dona menjawab dengan gelengan.
“Hmm. TV tak buka, radio tak bunyi. Kak Raisya dan Kak Dona tentu sedang berkongsi rahsia ni…” usik Fieda tersengih nakal.
“Tau takpe!” jawab Dona mengenyit mata pada kedua-dua gadis yang berada dalam lingkungan awal 20-an itu.
Kedua-duanya baru mula menyewa bersama mereka lebih lapan bulan yang lalu. Sama-sama menghuni bilik tidur utama.
Manakala dia dan Raisya mengisi dua bilik tidur lagi. Mereka mungkin selesa tinggal serumah, namun privasi masih perlu buat kedua mereka. Lagipun Raisya suka tidur mengeruh! Mana nak tahan! Hehehe…
Malia dan Fieda tayang gigi.
“Sama-sama syif petang ke hari ni?” aju Raisya kepada dua wajah yang masih nampak ceria di balik letih yang mengulit.
“Ha’ah. Seronok sikit. Bukan selalu ada peluang ni!” Malia menerangkan.
“Tapi Fieda syif pagi esok! Kena tidur awal. Lia bestlah, syif petang jugak.” Fieda memuncungkan mulut kepada Malia.
Raisya dan Dona tersenyum melihat gelagat kedua gadis itu. Walau Malia dan Fieda seusia—sama-sama 22 tahun—namun antara keduanya, Fieda lebih manja dan kepoh. Malia pula sedikit pendiam di balik kemesraannya.
“Fieda mandi dulu tau. Fieda kena tidur awal. Lia kemudian.” Fieda bangkit dari sofa.
Malia mengangguk. Sama bangkit. “Lia baring-baring dululah dalam bilik. Penat. Nite, Kak Raisya, Kak Dona!”
“Nite, kakak berdua,” sampuk Fieda pula.
Kedua mereka sama-sama memasuki bilik apabila ucapan selamat malam mereka berbalas.
Sempat juga telinga Raisya dan Dona menangkap kata, “Lia jangan nak tidur tau. Jangan tidur sebelah Fieda kalau tak mandi,” daripada Fieda sebelum Malia menutup daun pintu.
Mereka berdua sama-sama tergelak kecil.
Dona mengalihkan mata ke arah Raisya sebaik pintu bilik Malia dan Fieda rapat ke tempatnya. “Seronok tengok dia orang. Macam tak ada masalah. Happy aje!”
“Selagi tak pakai ‘kasut’ mereka, bolehlah nak agak gitu.”
Dona mengangguk setuju. “Mmm. D for destiny.”
Raisya terkebil dengan peralihan topik Dona. Terlalu mendadak untuk diikuti. “Apa?”
“Tadi kau tanya, kenapa A ke D. A to D because D stands for destiny. Destiny, itulah jawapan untuk soalan kau tentang pertemuan sekali lagi antara aku dan Fariz. It’s not my destiny, but yours. Kebetulan demi kebetulan yang asyik temukan kamu berdua akan jadi satu takdir. And that’s your destiny, my dearest friend. Either you embrace it or not. Tapi aku nak kau embrace it. Siapa tahu dia orangnya untuk kau.”
“Orangnya untuk aku?” Raisya ketawa sinis. Lebih untuk diri sendiri.
“Don, kita tak cakap tentang ni. Kau dah jauh daripada topik asal. Aku tak nak jumpa dia lagi. Aku hanya nak kenal dia sebagai orang asing!”
“Orang asing yang ada nama? Come on, Raisya. Dia dah tak asing untuk kau. Nama dia Fariz, nama adik perempuan dia Neesa dan sedang mengandung, pernah jalinkan hubungan dengan Shereen dan sama-sama patah hati macam kau. Dah cukup untuk jadi orang yang tidak asing dalam hidup kau. Hubungan kau orang pun unik.”
“Hubungan? Don, kau dah hilang akal ke? Kami tak ada apa-apa hubungan. Inikan pula hubungan unik!” bantah Raisya tegas.
“Ada! Bukan hanya kebetulan yang temukan kau dan Fariz. Kau, patah hati dengan Jaspal. Kau orang bercinta dekat empat tahun. Kau ingat dialah orangnya, sampailah dua minggu sebelum wedding tu. Dia hanya beritahu kau dia akan kahwin dua minggu sebelum tarikh perkahwinannya. Itu pun sebab kau dapat tahu dan soal. Dia tak jujur, kan?
“Perkahwinan tu dah diatur sekian lama, tapi dia tak pernah rasa nak cakap langsung. Dua minggu sebelum wedding dia kata pada kau dia terpaksa kahwin dengan gadis pilihan keluarganya tapi dia akan usahakan cara untuk bercerai dengan gadis tu. Kau hanya perlu tunggu sampai hari tu tiba!”
Raisya mengangguk lemah. Kali ini tidak boleh membangkang bicara Dona. Kerana tiap patah ayat yang keluar dari bibir gadis itu adalah kebenaran—satu kenyataan berasas.
“Sekarang, dia terus ganggu kau. Sebab dia nak gunakan kau sebagai alasan untuk berpisah dengan isteri dia. Dia masih terus kacau kau sekarang, kan?”
Raisya mengangguk lagi.
“Dia tetap cuba walaupun aku mengelak. Don, aku memang sedih dan kecewa dengan apa yang dia buat. Untuk empat tahun, sebagai kawan, kemudiannya hubungan kami berubah. Jadi lebih istimewa. Aku percaya pada dia, sangat-sangat. Tapi dia hancurkannya sekelip mata.
“Perkahwinan tu dah diatur hampir satu tahun, tapi… masa itulah dia nak bagi tahu aku. Dua minggu sebelum wedding tu! Alasannya mudah, dah tak boleh lari daripada perkahwinan yang diatur kedua-dua pihak keluarga. Alasan bodoh dan tak masuk akal.” Hambar senyum yang dititip.
“Aku setuju! Kau okey cakap pasal semua ni? Sejak wedding tu, kau tak pernah sebut pasal semua ni. Satu-satunya perkara yang aku tahu tentang kau dan Jaspal sekarang, dia asyik ganggu gugat hidup kau.”
Raisya mengeluh perlahan. “Aku okey. Tapi sangat kecewa dengan sikap Jaspal. Betul-betul sedih dan…”
Nada suara Raisya sedikit berubah. Parau. “Sedih sangat!”
Tangan Dona utuh mengaut tangan kanan Raisya yang sengaja mengalihkan muka daripadanya. Melempar mata ke arah jendela yang sudah terkatup kemas di balik langsir berwarna lembut.
“Kenapa dia buat macam tu? Aku masih tak faham. Takkah dia rasa kalau dia beritahu awal-awal, kami boleh usahakan sesuatu? Cetek sangatkah kepercayaan dia kepada aku? Dia ingat aku tak boleh hadapi semuanya bersama dia?” sambung Raisya merenung langsir yang terbuai dek tiupan angin daripada kipas yang berpusing.
Dona mengelus kura tangan Raisya. Dia faham rasa hati temannya itu. Sedih yang berbaur dalam diri Raisya hadir seiring dengan kecewa yang mengejar. Rasa kecewa yang amat mendalam.
“Kau masih pegang kata dia lagi? Akan tunggu… untuk hari tu tiba?”
Berhati-hati Dona menghadiahkan pertanyaan yang masih bersarang di hatinya semenjak tarikh dua minggu sebelum perkahwinan Jaspal dan Shereen, saat Raisya pulang dengan muka berserabut dan penuh dengan masalah. Sebaik sahaja meluahkan segalanya, Raisya terus hilang dari rumah itu. Pulang ke Tanjong Karang malam itu juga!
“Aku dah jadi bodoh selama empat tahun. Kau rasa aku tak akan belajar dari situ?” Raisya kembali menyoal, sekali gus memberi penerangan. Matanya tidak lagi pada jendela, sebaliknya berkalih ke roman muka Dona. Tunak di situ.
Dona menyeringai.
“I thought so. Sebab tu aku kata Fariz bukan lagi orang asing dalam hidup kau. Both of you are destined together. Kalau ada pertemuan sekali lagi, dia tak akan berdiam diri. Dia akan dekati kau dan tuntut janji. Kau kena jumpa Neesa. The only thing you could do, at least, try to do, is embrace your destiny!”
“No! Jangan bergurau, Don!” Beria Raisya menggeleng. Memikirkannya pun dia sudah jadi gerun, inikan pula untuk menerimanya sebagai satu takdir, destiny.
“Aku tak bergurau. Percayalah, dia akan kenalkan kau dengan Neesa.” Dona senyum girang. Seolah sudah boleh bayangkan saat itu.
Seketika, Raisya nampak cemas dan tidak kena. Kemungkinan itu menakutkannya. Namun dia cuba jauhkannya, sembunyikan di sudut hati paling hujung dan belajar menenangkan diri dan hati. Senyum kecil berarak di bibir.
“Percayalah, aku akan mengelak daripada diperkenalkan dengan Neesa!”
Dona mengangkat bahu lalu mula ketawa seronok. Tenang sahaja riaknya malahan sarat dengan keyakinan bahawa apa yang dikatakannya bakal terjadi.
Dan Raisya, hanya boleh mencemik bibir apabila kata sumpahnya itu dianggap satu jenaka dek kawan baiknya sendiri. Ianya tidak mampu menghalau kegirangan Dona yang diuliti keyakinan pasti.
“Cinabeng punya kawan!” gumam Raisya sendirian.

Fariz Daniel aka Jimmy The Crocodile


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 23, 2012 03:01
No comments have been added yet.


Bikash Nur Idris's Blog

Bikash Nur Idris
Bikash Nur Idris isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Bikash Nur Idris's blog with rss.