Umum: Perutusan Awal Muharram 1434H oleh Pengasas LangitIlahi.Com


Picture by UmarMita of LangitIlahi


 


Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barokatuh.


Segala puji kepada Allah SWT yang masih memanjangkan nyawa kita, saya dan anda, hingga ke hari ini, dan selawat serta salam kepada Rasulullah SAW yang telah memerah keringat juga darah untuk menyampaikan keimanan kepada kita yang hidup pada hari ini, tanpa kita lupakan para sahabat yang bersama baginda, begitu juga mereka yang telah mengikuti mereka dari masa ke semasa hingga ke hari kita hidup sekarang ini juga.


Alhamdulillah, telah sampai kepada kita 1 Muharram.


Bermulalah tahun baru buat Ummat Islam. 1434H. Ini menandakan bahawa telah 1434 tahun berlalu, semenjak kali pertama Ummat Islam berjaya membina sebuah daulah di Madinah Al-Munawwarah. Telah berlalu selepas itu beberapa daulah di bawah pimpinan khulafa’ Ar Rasyidin, kemudian oleh Bani Umayyah, Bani Abbasiyyah dan berakhir di tangan Uthmaniyyah. Seterusnya, semenjak tahun 1343H, kita telah melalui 91 tahun hingga ke tahun ini, hidup tanpa diperintah oleh kuasa Islam sebagaimana yang dirasai oleh masyarakat pada kurun-kurun yang lalu. Jika mengikut kalendar Masihi, tahun ini adalah tahun 2012M dan kejatuhan khilafah berlaku pada 1924M, 88 tahun masihi telah berlalu semenjak itu.


Bermakna, kita telah menyambut 91 kali awal muharram, semenjak tiadanya daulah.


 


Muharram Bulan Hijrah?


Telah jelas kepada kita bahawa Muharram bukan bulan Rasulullah SAW berhijrah. Bulan sebenar yang Nabi SAW berhijrah adalah Bulan Rabi’ul Awwal.


Namun Muharram dipilih oleh Umar Al-Khattab RA pada zaman pemerintahannya untuk dijadikan titik permulaan tahun. Muharram bukan bulan hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah, tetapi merupakan bulan hijrah dari tahun lalu kepada tahun sekarang.


Tetapi ini tidak menghalang kita dari membincangkan, kala menjengah tahun baru untuk ummat Islam mengikut kalendar qamariah ini, apakah tindakan kita?


Kecoh apabila datangnya 1 Januari, kita sibuk buat azam tahun baru. Sedangkan tahun baru kita adalah pada Muharram.


Ya. Allah berikan lagi kepada kita satu tahun baru. Apakah azam kita wahai orang yang beriman kepada Allah SWT?


 


91 tahun Di Bawah Kuasa Jahiliyyah.


Semenjak tahun 1343H, kita berada di bawah pemerintahan yang menjauhkan diri manusia daripada Allah SWT. Yang membebaskan hiburan sebebas-bebasnya, yang membebaskan pergaulan sebebas-bebasnya, tanpa kawalan dan peraturan yang selari dengan kehendak Allah SWT, yang selari dengan Al-Quran dan As-Sunnah.


Dan kita telah melalui hari demi hari itu dengan redha. Tanpa berusaha untuk mengembalikan Islam sebagai ustaziatul alam(mahaguru kepada alam).


Tidakkah ini satu penghinaan?


Maka, di manakah perancangan, gerak kerja kita, untuk keluar daripada lumpur ini?


Apakah kita redha hendak menambah lagi satu tahun, untuk sekadar menjadi hamba kepada sistem ini?


Siapakah Tuhan kita?


Bukankah Allah? Maka di manakah usaha kita dalam menjadi hambaNya yang baik, dan menjadi khalifah kepada bumiNya ini?


 


Ramai Yang Sekadar Menyambutnya, Tidak Ramai Yang Menyelami


Ramai menyambut Awal Muharram. Dengan majlis itu dan majlis ini. Tidak kurang pula yang mengamalkan doa-doa tertentu, yakni doa akhir tahun dan doa awal tahun.


Tetapi siapakah yang menyelami maknanya awal Muharram? Yakni telah berlalu tahun-tahun yang lepas, dan datang pula tahun yang baru.


Bagaimanakah tindakan kita dalam menerima anugerah Allah SWT ini? Masa yang baru ini? Peluang yang baru ini?


Apakah kita hanya akan membazirkannya lagi?


 


Penutup: Marilah Bergerak Ke Arah Perubahan, Menjadi HambaNya Yang Sejati.


Maka saya mewakili Team LangitIlahi menyeru kepada seluruh pembaca dan pelawat website ini, untuk kita memandang hari-hari kita yang telah berlalu. Jangan sekadar seronok menyambut tahun yang baru dan berbangga bahawa umur dipanjangkan sehingga ke hari ini. Sepatutnya kita menyambut kedatangan Tahun Baru dengan bertanya kepada diri – Apa yang telah aku lakukan sehingga ke hari ini? Dan mula merancang untuk hari-hari esok!


Katakanlah cukup kepada kehidupan yang sia-sia.


Depangkanlah tangan, bukalah hati, untuk bergerak ke arah menjadi hambaNya yang sejati.


Marilah kita mengambil momen ini untuk bermuhasabah barang sebentar.


Moga-moga kehidupan kita selepas ini adalah kehidupan yang bermakna di sisi Ilahi.


Jangan biarkan 1434H ini terbazir seperti tahun-tahun yang telah berlalu sebelum ini!


 


 


~ yang benar,


Muhammad Hilal Asyraf bin Abd Razak


Pengasas LangitIlahi.Com,


CEO Syarikat LangitIman Resources,


Penulis Buku Motivasi dan Novel Islamik.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 13, 2012 21:46
No comments have been added yet.