Kritikan Sosial : Hidangan “Beracun” – Menu Utama Generasi Y
Kita tidak dapat menerobos ke minda dan jiwa mereka. Tetapi kita punyai “wahana” untuk menyentuhnya.
Picture By UmarMita Of LangitIlahi
Saya terlihat berita tentang hebahan Konsert terbesar yang bakal melanda kita beberapa hari lagi. Intipatinya ditatap dan difahami secara menyeluruh. Lalu hati ini bergetus kecil :
“Bala!.”
Cukuplah hidangan demi hidangan, jamuan demi jamuan dan santapan demi santapan “beracun” buat generasi muda hari ini. Konsert yang digambarkan sebagai yang terbesar yang bakal dianjurkan di Malaysia membuat saya semakin berfikir secara kritis dan mendalam. Apakah semua ini?
Tidak cukupkan kerosakan demi keroskan, keruntuhan demi keruntuhan dan kebejatan demi kebejatan yang mewarnai dunia generasi Y hari ini. Generasi yang hidup dalam dunia kecanggihan teknologi, maklumat dihujung jari dan segala-galanya diperolehi sepantas kilat.
Generasi Y – Lihatlah Kesengsaraan Mereka
Paparan di dada akhbar, media massa samaada cetak atau elektronik hari ini bagaikan berpesta menjamukan berita-berita salah laku dan kerosakan generasi muda hari ini. Ponteng sekolah, seks bebas, gangsterisme, pukul-memukul, buang bayi, bunuh kanak-kanak, rompak, rogol hatta membunuh diri sudah menjadi lumrah dalam masyarakat hari ini. Jika dahulunya, air mata tertumpah membasahi pipi saat menatap berita sebegini, hari ini jiwa sudah tawar.
“ Ala, biasalah budak-budak zaman sekarang”
Biasa-biasa ini bahaya – kerana ia mampu membunuh! Ia membunuh kepekaan, sensitiviti dan kehalusan jiwa!
Rata-rata remaja, pemuda dan pemudi hari ini adalah suatu kelompok yang dikatergori sebagai generasi Millenium atau generasi Y. Gen-Y. Siapakah mereka?
Mereka adalah sekelompok generasi yang lahir sekitar tahun 1977 sehingga 1997. Suatu fakta, mereka mewakili sejumlah besar populasi seluruh rakyat Malaysia. Mereka adalah generasi yang paling ramai aktif dengan dunia maya – facebook, twitter, blogger dan pelbagai lagi platform dunia online. Kepantasan, kecanggihan dan kepesatan teknologi hari ini telah memberikan banyak kesan dan pengaruh kepada mereka!
Dewasa ini, pembangunan modal insan menjadi laungan serta slogan yang bergema dalam pendidikan arus perdana hari ini. Keseimbangan antara fakulti keinsanan ditekankan oleh semua pihak, namun yang menyedihkan – ia seolah-olah tidak selari seperti apa yang dinyatakan, diharapkan dan diimpikan.
Lihat dengan kacamata keimanan, kesedaran dan penghayatan – apa sudah terjadi kepada generasi hari ini? Rata-rata jiwa, rohani dan intelek mereka kosong lagi walaupun disumbat dengan hidangan, jamuan dan santapan. Kerana apa?
Semua hidangan ini adalah hidangan yang beracun dan mematikan!
Mematikan potensi jiwa untuk menjadi hamba!
Mematikan keupayaan fizikal untuk aktif dalam daerah kebaikan!
Mematikan kecerdasan intelektualan dalam membangunkan negara!
Kita melihat mereka daripada kejauhan, hidup – bangun tidur setiap hari. Berjalan, bergaul, berinteraks, bergerak dan bersosial. Tetapi, tahukah kalian jiwa mereka memberontak? Terseksa, tertekan dan terhimpit. Bila ditanya mengapa?
Mereka tidak mampu memberikan jawapan.
Hidangan pelbagai perisa tetapi kesannya sama – DOSA
Gen-Y dimomokan dengan hidangan-hidangan yang memuaskan nafsu serakah dan kedahsyatan hawa yang tidak pernah kepuasan. Sama ada ia disedari atau tidak, inilah reality yang ada.Semuanya hanya hiburan, keseronokan dan kelalaian yang melampau batasan. Semua batasan yang ada.
Batasan agama,
Batasan budaya,
Batasan syariat!
Akhirnya, inilah hasil yang kita dapat. Campuran dan gaulan ramuan pelbagai perisa yang menjijikan, meloyakan lagi kotor! Campur baur antara kebaikan dan kemaksiatan. Antara kebenaran dan kebatilan. Antara kejernihan dan kegelapan!
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik, apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. ”
( Fussilat 41 : 34)
K-Pop, Ke- Pak, Gangnam Style, Rock Kapak, Balada, Gangsterisme. Budaya kuning, budaya hitam dan budaya jahaman. Sebutlah apa sahaja, selagi ia mungkar dan maksiat ia tetap mungkar dan maksiat. Apa jua cara, jalan dan sebutan untuk “menjernihkan”nya tidak akan menghalalkan sesuatu kemungkaran itu. Letaklah ia dengan jenama, brand atau apa jua gelaran kesan kemungkaran ini hanya satu sahaja iaitu dosa.
Dosa-dosa inilah yang menghitamkan hati dan jiwa generasi-Y. Mereka tumbuh membesar dengan titik-titik hitam yang membebankan dan menekan mereka. Dosa-dosa yang meruntuhkan keyakinan, kepercayaan dan kepasrahan mereka kepada Allah SWT. Dan, mengambil Tuhan dan Ilah yang lain selain daripada Allah SWT.
Justeru, kepada siapa lagi yang kita boleh harapan dalam membangunkan ummat ini jika hampir sebahagian besar generasi muda hari ini hidup bergelumangan dosa dan maksiat kepada Rabb Yang Maha Kuasa Lagi Agung?
Bahkan, dosa-dosa ini yang akan menghancurkan ummat ini dengan izin Allah SWT. Bala akan tiba jika kita semua menutup mata, jiwa dan minda daripada ambil peduli tentang hakikat ini.
Tunggu sahaja! Atau bagaimana?
Penutup : Salah Siapa?
Menarik.
Satu kelompok berjuang berhabis-habisan. Satu kelompok menentang bermati-matian. Pihak A kata salah pihak B. Pihak B menafikan. Pihak B kata salah semua pihak.
Tunjuk-menunjuk. Tuding-Menuding. Salah-menyalah. Memang sinonim dengan manusia. Tidak kira sesiapa pun. Dalam hal ini, jika kita amati, telesuri dan hayati – ada sesuatu yang lebih penting untuk disoal. Apa dia?
Apa peranan kita? Inilah yang lebih wajar meniti di bibir, berbekas di hati dan bermain-main diminda kita semua. Berperanankah kita dalam memacu perubahan yang lebih harmoni, islamik dan diredhai oleh Allah SWT pada masa hadapan? Sudahkan kita memainkan peranan-peranan ini untuk memperbaiki diri kita dan ahli keluarga kita untuk mencorak suasana yang Allah SWT sukai?
Kerana itu, buat pada belia ( generasi-Y) – ketahuilah kalian semua adalah agen perubahan untuk masa hadapan bagi Malaysia yang harmoni, damai dan Islami. Imam Hassan al-Banna pernah menyatakan :
“ Generasi muda adalah rahsia kehidupan bangsa dan sumber kebangkitannya. Sejarah bangsa tidak lain adalah sejarah para pemuda yang berjiwa besar dan berkemahuan yang kuat.”
Beliau Pemacu Perubahan!