Motivasi : Tips – 3 Projek Mati Yang Menghidupkan

Mencipta Seni Kematian.
Picture by Ibnu Fuad Of LangitIlahi
“ Kita harus persiapkan diri kita dengan projek-projek mati,” Pesanan Ustaz Abdul Hadi Osman,seorang murabbi saya sentiasa bermain-main di minda dan jiwa.
Projek Mati.
Jika dengar sepintas lalu, seolah-olah berbunyi negatif dan merugikan. Seolah-olah tiada projek lain yang lebih hebat, gah dan mega untuk diketengahkan. Macam tiada sebarang keuntungan dan mematikan produktiviti!
Namun, hakikatnya inilah projek yang luar biasa dan terbesar yang harus dilaksanakan dalam kehidupan kita. Biar betul?
Ya. Inilah projek yang terpenting lagi utama bagi kita semua. Projek-projek mengukuhkan asas-asas dasar, memasang “piling” dan mendirikan sebuah “bangunan” yang dinamakan bekalan pulang untuk dipersembahkan di hadapan Allah SWT di saat pertemuan dengan-Nya.
Mindsetting yang kita perlukan ialah projek ini adalah saham dan bekalan untuk kita selepas mati kelak. Kerana apa? Kita perlu dan wajib sedar bahawa kita semua akan mati.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Kami ini milik Allah, dan kepada-Nyalah kami akan dikembalikan.”
( Al-Baqarah 2 : 156)
Bayangkan. Jika tiada sebarang bekalan atau apa-apa “sesuatu” amalan yang boleh kita jadikan sandaran bahawa kita ini adalah hamba Allah SWT semasa dunia, tentunya kita adalah manusia-manusia yang paling rugi dalam sejarah peradaban manusia di dunia dan juga akhirat.
Apakah projek mati itu? Kita lihat, amati, fahami lalu sama-sama kita gencarkan dalam kehidupan yang singkat ini agar mendapat bonus yang lumayan daripada Ilahi :
(1) Islah (baiki) diri
Kita adalah manusia yang lemah, kerdil, hina dan amat-amat memerlukan Allah SWT. Kesilapan, kesalahan dan tersungkur berkali-kali di lembah dosa dan maksiat itu perkara biasa bagi manusia. Kerna itulah, antara projek mati yang paling utama bagi kita adalah, sentiasa memperbaiki diri.
Manusia yang celaka adalah manusia yang tidak tertingkat diri mereka zaman berzaman. Bahkan suka, gemar dan cinta kepada diri yang berada di takuk lama. 10 tahun hidup, 10 tahun yang sama tiada beza! Amalan diri tiada tertingkat dan diri juga beku tanpa perubahan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“ Sesiapa yang hari ini lebih baik daripada kelmarin, dia seorang yang hebat. Sesiapa yang kelmarinya lebih baik daripada hari ini, dia tercela.”
(Hadis Riwayat Naim bin Abdur Rahman dan Yahya bin Jabir)
Justeru, inilah yang perlu direncanakan segera!
Ubah diri untuk menjadi lebih baik. Motto kita ialah : “ Hari ini lebih baik daripada semalam, dan esok lebih hebat daripada hari ini.”
Ayuh, jom terus hebat dan luar biasa!
(2) Mencetak manusia
Menjadi soleh, baik dan bagus itu baik. Tetapi, tidak boleh seorang-orang diri sahaja yang bagus. Kita biarkan orang lain hanyut dan hancur ditelan kejahilan, kealpaan dan kegelapan.
Justeru, projek seterusnya yang terpenting ialah menyeru orang lain dan mencetak mereka untuk menjadi manusia yang baik, beriman dan bertaqwa! Ini adalah kerja-kerja yang mulia lagi terhormat. Jiwa, hati, nurani dan perasaan tertanam kesedaran untuk “membina” manusia-manusia di sekelilingnya menjadi hamba. Hamba siapa?
Hamba Allah SWT. Setiap hari, segala fikiran, tenaga, wang ringgit, masa hatta keringatnya difokuskan untuk mencari hati-hati baik, keperibadian yang jujur dan jiwa-jiwa yang berhajat untuk dibentuk, disedarkan dan difahamkan tentang Islam.
Hadis Rasulullah SAW ini terus menjadi inspirasinya dalam mencetak manusia agar kembali mendekati Allah SWT :
“ Jika Allah SWT memberikan hidayah kepada seseorang lantaran anda, itu lebih baik bagimu daripada dunia dan seisinya.”
( Hadis Riwayat At Tabrani)
Hati kita suka menyeru dan mengajak orang lain untuk merasai kemanisan dan kebahagiaan bersama suasana yang dekat dan hampir dengan Allah SWT.
Yakinlah, semua manusia sebenarnya hajatkan kepada kebaikan. Cuma, kita perlukan kunci yang benar, tepat dan betul untuk membuka hati-hati mereka dalam usaha membawa mereka kepada kebaikan.
Pilihan itu ada pada anda!
(3) Membina legasi
Seterusnya, inilah yang palig sukar dalam kehidupan kita. Keberadaan, kewujudan dan kebaikan kita dapat diperturunkan kepada generasi seterusnya.
Kita mampu membina legasi yang akan meneruskan kerja-kerja kebaikan yang telah kita laksanakan. Usaha mewarisikan kepada mereka inilah antara tugas yang sangat sukar, payah dan penuh getir.
Jika kita punyai persatuan semasa di sekolah, kita berupaya mendidik adik-adik junior agar mereka ghairah meneruskan amanah tugas itu dengan semangat juang yang tinggi.
Jika kita punyai keluarga, anak-anak kita dengan penuh gembira menyambut usaha-usaha yang telah berzaman kita laksanakan tanpa terbeban, ragu-ragu dan berdolak-dalik.
Jika kita berada dalam struktur organisasi yang besar, para kepimpinan pelapis begitu teruja untuk meneruskan usaha-usaha generasi terdahulu dengan penuh kepercayaan, bertanggungjawab dan jiwa berkobar-kobar.
Dan,tahukah inilah saham yang sangat menguntungkan apabila kita meninggal dunia kelak, pahala dan ganjarannya terus menerus mengalir kepada kita tanpa batas!
Penutup : Projek Mati Yang Menghidupkan.
Inilah projek mati yang apabila dilakukan ia sebenarnya menghidupkan hati-hati kita untuk lebih maju, berdaya saing, bersatu dan lebih giat berusaha. Bahkan, kita akan rasa ketenangan, ketenteraman dan kebahagiaan yang memuncak setelah melakukan ketiga-tiga perkara ini.
Dan, Rasulullah SAW memberikan suatu definisi yang sangat cantik tentang hakikat ini. Bahawa sesiapa yang menggerakan persiapan untuk mati adalah manusia-manusia yang cerdik.
Daripada Abi Ya’la Syaddad Bin Aus RA daripada Rasulullah SAW sabdanya yang bermaksud :
“Orang yang cerdik ialah orang yang selalu memperhitungkan dirinya dan dia suka beramal untuk bekalan sesudah mati, sedangkan orang yang lemah (tidak cerdik) ialah orang yang selalu mengikutinya hawa nafsunya dan hanya banyak berangan-angan kepada Allah SWT (untuk mendapat kebahagian dan pengampunan daripadanya tanpa beramal soleh).”
(Hadis Riwayat al-Tirmidzi)
Yang muda akan mati, yang tua pasti mati!
Inilah ketentuan Ilahi.
Justeru, marilah kita mengolah seni kematian kita ini dengan “karya-karya” yang mulia. Dan tiada yang lebih mulia daripada membumikan 3 projek ini dengan usaha semaksima yang mungkin.
——-
Ini langkahnya :
Hidup Mulia + Mati Berjasa = Terus Ke Syurga!