Novel: Takdir2 – Percaya Yang Tidak Sirna – Cheritera 12.
Picture by UmarMita of LangitIlahi
Perjalanan Angkasa dan rakan-rakan disambung lagi.
Roda takdir berputar!
Enjoy!
Long Berk masuk ke singgahsananya dengan wajah yang masam. Namun wajah itu tersembunyi di balik topengnya yang megah. Tetapi bagi sesiapa yang mampu meneliti auranya yang tidak keruan, pasti mengetahui keadaan mental Long Berk sekarang.
“Kosongkan tempat ini segera. Aku ingin bersendirian!” Long Berk meninggikan suara. Lantai tempat dia berdiri meretak. Gerun menyusup ke dalam jiwa-jiwa makhluk yang berada di situ. Pegawai-pegawai dan pelayan-pelayan istana Long Berk bergerak pantas keluar.
Long Berk melangkah ke singgahsananya. Kemudian duduk. Memegang topeng yang melindungi wajahnya. Membuka. Wuaargh!
Api marak keluar dari mulutnya, seterusnya tubuhnya. Singgahsananya musnah. Kain-kain kemegahan yang tergantung di hadapannya, juga permaidani yang menghiasai lantai di hadapannya, termasuk kerusi-kerusi tempat duduk pegawai-pegawainya, semuanya hangus.
Api marak masih keluar dari tubuh Long Berk, kepanasan yang sangat tinggi, hingga Orihalcoln yang melindungi tubuhnya melebur sekali. Long Berk berusaha mengawal nafasnya, seterusnya bertenang, dan memusatkan seluruh auranya pada jantungnya, kemudian serentak menyalurkannya pada seluruh liang yang wujud pada tubuh badannya.
Bunyi letupan berlaku, angin menghembus seluruh tubuh. Api marak menghilang, begitu juga yang membakar balai megah itu. Kebakaran telah terhenti. Beberapa detik kemudian, barulah Long Berk tertunduk, melutut, kemengahan.
Bergema mengah Long Berk itu, memandangkan tiada sesiapa bersamanya.
Tubuhnya melecur di sana-sini. Dia menggeletar kegeraman. Mukanya yang berwajah singa itu kegeraman. Lantas ngauman penuh kemarahan kedengaran.
“Kiai Api, kau akan mati dalam keadaan paling hina sekali!”
Nyata Kiai Api telah berjaya ditangkap oleh Long Berk dan pengawal-pengawal elitnya. Namun nampaknya, dia tidak tewas tanpa menentang hingga ke akhirnya. Kecederaan Long Berk adalah buktinya.
5 dari pengawal elit Long Berk juga telah terkorban di tangan Kiai Api. Satu penghinaan besar buat Long Berk. Tetapi dia tidak menamatkan nyawa Kiai Api. Sebagaimana jangkaan Kiai Api sendiri, Long Berk ini menghina Kiai Api dan Agama Langit sehina-hinanya. Dia ingin menunjukkan kepada rakyatnya di Wilayah Amara betapa Agama Langit ini hanya omongan, dan Tuhan di langit itu tidak wujud.
Long Berk mengetap bibir.
Geram!
“Hoi.” Satu suara kedengaran. Long Berk pantas memandang ke atas. Skrin besar turun dari siling balai menghadap. Skrin komunikasi antara dia dan rakan-rakan jeneral Utopianya.
“Pertama kali aku melihat ketua kami selemah ini. Kau terkejut dengan kehadiran Kiai Api?”
“Kau mahu apa O Zero?” Long Berk memakukan matanya. Bengang melihat O Zero, walau hanya dua belah matanya sahaja kelihatan di balik topeng jeneral.
“Aku mahu beritahu, yang aku akan menghancurkan Duarte esok.”
“Jadi? Apa urusannya dengan aku?”
“Aku cuma mahu tahu bagaimana dengan kekuatan End. Setengah tahun yang lalu, engkau seorang sahaja yang bertembung dengannya di hadapan benteng Tanah Suci.”
“Apa kata engkau hubungi Rafael yang teruk dibelasah oleh dia? Kenapa mahu ganggu aku di sini?” Long Berk mengaum marah. Dia bangun berdiri. Bau hangit menusuk hidungnya. Kebenciannya terhadap gangguan O Zero menambah kebusukan yang dirasainya.
“Rafael sedang merawat tubuhnya dan masih belum selesai. Sebab itu aku bertanyakan engkau.” O Zero bersuara. Dia tidak seperti biasa, penuh dengan amarah. Kini dia nampak seperti lebih bertenang. Long Berk yang kelihatan seperti hilang kawalan.
“Kau sengaja mahu menghina aku!”
O Zero menggeleng. “Terpulanglah. Cuma melihat kepada Rafael, engkau, dan aku, aku macam melihat kekalahan berada di tangan kita.”
Long Berk tersentak dengan kenyataan itu. Suasana jadi sunyi seketika. Ketika ini barulah Long Berk perasan perubahan sikap O Zero. Dia kelihatan tidak seyakin dan segarang selalu.
“Kau… takut?” Long Berk mengerutkan dahi.
Kedengaran kemudian O Zero menghela nafas.
“Aku tidak tahu. Tetapi mengapa ada satu perasaan di dalam diri aku ini, yang menyatakan bahawa kita akan tewas?”
“Jangan merepek!” Long Berk mengaum garang. “Kita adalah jeneral Utopia. Setengah tahun ini kita telah berlatih menjadi lebih hebat lagi!”
“Jadi, bagaimana kita mahu mentafsirkan keadaan Rafael dan engkau?”
Long Berk terdiam sekali lagi.
“Sudah. Aku tidak mahu mendengar engkau membebel lagi. Lagi aku dengar engkau merungut sebegini, aku akan laporkan kepada Tuanku Asura!”
O Zero mendengus.
“Kadangkala Long Berk, terlalu bongkak itu juga tidak sihat buat kita. Aku sudah menerima pengajarannya.”
Dan skrin itu pun gelap semula.
Long Berk mengetap bibir. Marahnya menjadi tidak terhingga dengan kata-kata terakhir O Zero.
“Celaka!” Terus dia mengaum sekuat-kuat hatinya, diiringi semburan aura yang tidak terkata.
Skrin besar itu pecah. Long Berk kembali mengah.
“Agama Langit itu akan binasa!”
*******
Uftzi bergegar dengan letupan demi letupan. Walaupun Ashnul telah tumbang, namun pasukan pemberontak tetap garang memberikan serangan balas. Tembakan laser berbalas-balas, sambil yang berperang menggunakan pedang, tombak dan panah juga masih berterusan. Kuku yang tajam, semburan api dari mulut, dan lilitan serta libasan ekor, turut dimaksimakan penggunaannya oleh mereka. Memang pertarungan antara raksasa!
Namun End langsung tidak terganggu dengan semua itu. Dia kini berada betul-betul di kawasan musuh. Menebas baik Makhluk Genetik atau Kaum Gergasi dari pasukan pemberontak tanpa rasa takut dan gentar. End kekal memakai zirah Jeneralnya, dan bertopeng. Itu semua untuk menimbulkan rasa gentar pada diri musuh. Kini di sekeliling End sedang kosong, kerana tiada yang berani merapatinya. Namun semua masih mencari peluang jika ada untuk menumbangkannya.
End seperti biasa, tidak berkata apa-apa. Memerhati sahaja.
Angkasa dan Aizan Fahmi pula bergandingan. Mereka ditemani oleh Kiai Laut, yang akan menggunakan aura airnya untuk menghalang tembakan-tembakan laser yang ditujukan ke arah mereka. Walau tidak sebanyak mangsa End, namun yang tumbang di tangan kumpulan tiga orang ini tidak kurang banyaknya.
“Bagaimana?” Aizan Fahmi bertanya sebaik sahaja belakang tubuhnya dan Angkasa bertemu. Peperangan sudah masuk hari yang kedua.
“Sukar juga. Makhluk Genetik yang pelbagai kebolehannya berdasarkan keadaan mereka, dan makhluk gergasi yang besar lagi gagah perkasa. Bukan mudah hendak menumbangkan mereka.” Angkasa berbicara tanpa memandang Aizan. Matanya kekal menumpukan perhatian kepada suasana peperangan.
“Ini belum kemuncak lagi. Ketua mereka belum muncul, begitu juga dengan empat saudara Ashnul. Mereka berlima itu digelar 5 Syaitan Langit.” Kiai Laut memberikan pesan. Tubuhnya kini telah kembali merapat dengan Aizan dan Angkasa. Tangannya sempat menghayun tombaknya yang unik itu, dan air keluar mengurung beberapa makhluk genetik yang ingin menerkam ke arah mereka. Lemas.
“Kepada Allah jualah kita bergantung harap. Sesungguhnya kemenangan itu milik Dia.” Angkasa mengembalikan segala keperkasaan kepada Allah SWT. Hubungan dengan Allah SWT, di mana jua perlu dijaga. Kerana Dialah Yang Maha Berkuasa Atas Segala-galanya.
Mereka semakin hampir dengan kubu utama Pasukan Pemberontak. Api marak menjadi hiasan perjalanan mereka. End mendahului semua. Pasukan penembak dan pemanah konsisten dari belakang memberikan asakan. Kadangkala kala musuh leka berperang secara dekat, mereka akan ditembak. Namun, itu bukan sahaja kelebihan pihak kebaikan. Namun ia juga merupakan kelebihan pihak pemberontak. Tentera-tentera milik Que Ron dan Ezzen ramai juga tumbang kerana lalai, ditembak oleh laser pasukan pemberontak.
Tetapi kehadiran End banyak memberikan kelainan dalam serangan kali ini. End tidak gentar langsung, terus terjun ke kawasan musuh dan menebas penembak-penembak mereka. Menyebabkan barisan musuh kucar-kacir, dan pasukan Ezzen Que Ron dapat bergerak maju ke hadapan dengan lebih lancar.
Ketika mereka semakin menghampiri kubu utama, kedengaran suara yang amat menyeramkan. Suara itu juga menggegak gempita, hingga ramai yang menutup telinga masing-masing. Angkasa dan Aizan turut memasukkan jari ke telinga mereka. Tetapi Kiai Laut dan End, juga Ezzen dan Que Ron, masing-masing kekal berdiri gagah memandang ke arah suara itu datang.
Pada ketika ini, gerbang kubu utama dibuka.
Melangkah keluar dua makhluk gergasi. Lengkap berzirah. Aura milik mereka sangat menekan. Seorang berkulit merah dan seorang lagi berkulit hijau. Yang berkulit merah itu mempunyai sebatang tanduk pada dahi, sedikit janggut, bermata hitam, mempunyai empat tangan, dua sayap dan dua ekor. Manakala yang berkulit hijau pula, mempunyai tiga mata, tidak bertanduk, bermata kuning, mempunyai enam sayap, bertubuh kuda, mempunyai empat kaki.
Mengiringi mereka, dua makhluk genetik. Tubuh besar sedikit sahaja berbanding manusia. Lengkap berzirah perang. Seekor berwajah T-Rex, dan seekor lagi berwajah gajah, siap dengan belalai dan gading. Kelihatan sangat perkasa, dengan senjata masing-masing. Yang berwajah T-Rex membawa kerambit, manakala yang berwajah gajah menggunakan dua pucuk pistol.
End mula ditinggalkan oleh musuh-musuhnya. Semua pergi di belakang empat jaguh yang baru muncul. End tidak mengejar, dan tidak lama kemudian, Angkasa, Aizan, Kiai Laut dan seluruh tentera Ezzen dan Que Ron berada di sisinya.
“Ah, mereka inikah yang menumbangkan Ashnul?” Jaguh berwajah T-Rex bersuara. Gayanya menghina.
“Aku dengar Jeneral End yang menumbangkan dia.” Gergasi berkulit merah mendengus.
“Si Bisu dari Utopia yang baru menderhakai Tuanku Asura itu?” Gergasi berkulit hijau tersengih.
“Kita tidak gentar kepada sesiapa, melainkan kepada Sang Asura dan raja kita.” Jaguh berwajah gajah pula berbicara.
Semua nampak yakin.
“Allahuakbar. Mereka ini seakan-akan bertaraf Jeneral Utopia. Kuat sungguh tekanan kuasa mereka.” Angkasa menyepetkan mata. Seakan dia sendiri berdepan dengan cabaran untuk kekal tidak terlutut dengan tekanan kuasa dari empat saudara Ashnul itu.
Aizan Fahmi pun sama. Tombak Naganya telah menjadi tongkat.
Namun End dan Kiai Laut tidak terkesan.
“Selama ini, kita tidak mampu pun melepasi Ashnul apabila dia muncul. Inikan pula Wokie Si Gergasi Merah, Fampush Si Gergasi Hijau, Meizin Berwajah T-Rex dan Gutrul Berwajah Gajah yang memang terkenal merupakan antara jeneral kami dahulu?” Ezzen mengeluh, memandang Que Ron. Que Ron mengangguk.
“Itulah yang tiada pada kamu Tuanku Ezzen dan Tuanku Que Ron.” Angkasa mencelah.
Kedua-dua raja itu memandang Angkasa. Kini anak muda itu sudah dapat menyesuaikan diri dengan tekanan kuasa empat jaguh yang muncul itu.
“Kami manusia yang beriman, sesukar mana pun halangan yang kami perlu tempuhi, kepada Allahlah pergantungan kami. Maka kami tidak gentar. Kerja kami adalah usaha, dan menang kalah itu di tanganNya. Kami akan berusaha hingga ke akhirnya, kerana kami percaya bahawa takdir itu adalah di hujung usaha kita.” Angkasa tersenyum. Yakin.
Ezzen dan Que Ron tersentak.
“Jika kami mati, kami akan ke syurga Allah SWT. Jika mereka mati, mereka akan ke neraka Allah SWT. Bukankah kita telah berada di dalam kumpulan yang menang sekarang?” Aizan Fahmi pula menambah dengan persoalan.
Kedua-dua raja di Uftzi itu seperti dapat melihat sumber kekuatan manusia yang mengabdikan diri kepada Allah itu.
Iman. Itu sumber kekuatan mereka. Kerana itu mereka langsung tidak gentar kala berjuang.
“Kami berempat akan menentang mereka. Ezzen, Que Ron, kamu berdua pimpinlah tentera kalian untuk merempuh kubu utama mereka.” Kiai Laut bersuara.
Que Ron dan Ezzen mengangguk. Seterusnya arahan dikeluarkan kepada tentera mereka untuk bersedia. Kemudian mereka berdua berpaling semula ke hadapan, dan melihat Kiai Laut, End, Angkasa dan Aizan Fahmi telah bergerak untuk mencabar empat jaguh pasukan pemberontak.
“Ezzen, kau saksikanlah bahawa aku ini beriman kepada Allah yang diimani mereka berempat itu, dan aku naik saksi bahawa Muhammad Utusan Langit Terakhir itu adalah UtusanNya.” Que Ron tiba-tiba bersuara.
Ezzen terkesima sebentar dalam dongakannya memandang Que Ron yang lebih tinggi.
“Que Ron, aku juga begitu. Saksikanlah bahawa aku ini telah beriman kepada Allah yang diimani mereka berempat itu, dan aku menjadi saksi bahawa Muhammad Utusan Langit Terakhir itu adalah UtusanNya.”
Kemudian perlahan-lahan Que Ron menghulurkan tangan gergasinya kepada Ezzen. Dan tangan itu disambut.
“Mulai hari ini, kita bersaudara. Jika kita mati, kita akan ke syurga. Jika kita masih hidup selepas peperangan ini, kita akan membantu memenangkan agamaNya.” Que Ron berbicara.
Ezzen mengangguk. Dan semua itu diperhatikan seluruh tentera mereka. Moral mereka dibakar dengan apa yang ditunjukkan oleh kedua-dua tentera mereka. Kesatuan mereka menjadi lebih mantap. Bunyi semboyan bersahut-sahutan. Para gergasi menghentakkan kaki, membuat gegaran kepada bumi. Suasana menjadi gempar, dan semangat menjadi tertingkat.
Ketika ini, dentuman kedengaran.
Semua memandang.
Keempat-empat jaguh telah bersemuka dengan empat saudara Ashnul.
Pusingan kedua telah bermula.
“Serang!” Que Ron dan Ezzen melaung.
“Serang!” Dan seluruh tentera mereka menyahut.
******
Mughirah Syu’bah, Toriq dan Khalid telah berjaya sampai ke Tanah Suci. Khalid terus dibawa Waqqas ke bilik rawatan. Manakala Mughirah Syu’bah dan Toriq diperiksa kecederaan mereka walaupun mereka berulang kali menyatakan bahawa kecederaan mereka ringan sahaja. Mereka tetap dibawa ke bilik rawatan ringan.
Semua kepimpinan besar Tanah Suci dan Bumi Barakah berkumpul di sekeliling Syu’bah dan Toriq yang sedang duduk dirawat di atas kerusi. Ada doktor yang sedang mencuci dan membalut luka-luka mereka.
“Keegan datang membantu kalian?” Tok Akram, Pertapa Arjuna dan Panglima Terasing bertanya kepada Syu’bah dan Toriq tatkala mereka menceritakan perjalanan mereka. “Keegan itu nama sebenar Kiai Api.” Pertapa Arjuna menjelaskan, apabila melihat Syu’bah dan Toriq seperti terkesima sebentar mendengar nama ‘Keegan’.
Syu’bah dan Toriq kemudiannya mengangguk.
“Dialah yang menghalang Long Berk dari membunuh kami bertiga. Allah SWT telah menghantarkannya sebagai bantuan. Tetapi malangnya, kami tidak tahu apa yang terjadi selepas itu.” Toriq bercerita.
“Dari bicara Kiai Api, nampaknya dia sendiri tidak yakin untuk menumpaskan Long Berk.” Syu’bah menambah.
Ruh Faizan menghela nafas. Sungguh dia tidak menyangka Long Berk akan masuk campur di dalam urusan ini, dan berjaya menjumpai utusan mereka di tengah padang pasir yang luas.
“Sepatutnya aku pergi bersama kalian.” Izrayel bersuara.
Semua yang ada membisu sebentar.
“Tetapi pelik bagaimana Long Berk boleh mengesan kalian di tengah padang pasir.” Waqqas menimbulkan persoalan yang bermain di hati Ruh Faizan, membuatkan Raja Tanah Suci itu mengangkat kepala dan memandang ke arah panglimanya itu.
“Wilayah Amara itu besar. Dan kejadian yang berlaku di sebuah kampung itu boleh dikatakan kes terpencil. Bukan sahaja kalian telah meninggalkan kampung itu, bahkan kalian telah berada di tengah padang pasir. Justeru agak tidak logik bagaimana Long Berk mampu mengesan kalian.” Waqqas menyambung.
“Tambahan pula, kami telah menyembunyikan aura kami sebaik mungkin.” Syu’bah memperkukuhkan lagi bicara Waqqas.
Semua diam. Berfikir.
“Apakah ada sesiapa di Tanah Suci ini yang membongkarkan rahsia kepada mereka? Mungkin mereka memberitahu jalan yang akan kita ambil di tengah Padang Pasir itu?” Toriq cuba meminta pendapat.
Izrayel mengangguk. “Ada kemungkinannya.”
“Nampaknya begitulah.” Kiai Awan bersuara.
Ruh Faizan mengerutkan dahi. Mempunyai tali barut Utopia di dalam Tanah Suci nyata bukan satu perkara yang disenangi. Hatinya jadi luka.
“Siapakah agaknya tali barut itu?” Ruh Faizan menggumam persoalan itu.
Ketika ini, pintu bilik rawatan diketuk.
“Masuk.” Waqqas memberikan kebenaran. Pintu pun terbuka perlahan-lahan. Melangkah masuk seorang yang berpakaian gelap, yang tidak asing lagi buat semua yang berada di dalam bilik itu.
“Hisyam Wakeel.” Ruh Faizan memandang lelaki yang lebih kurang seusia dengannya itu.
Lelaki tua itu tersengih.
“Kau ada hajat apa ke mari?” Ruh Faizan menyoal, dan semua rakan-rakannya yang lain sekadar memandang. Semua punya perasaan tidak senang.
“Aku insaf, dan ingin menyertai pasukanmu. Begitu juga anak-anak muridku.” Hisyam Wakeel melutut.
Dan tiada siapa yang tidak terkejut dengan tindakan dan bicara Hisyam.
Mughirah Syu’bah tidak berkelip memerhatikan Hisyam Wakeel.
Dia seakan dapat menghidu sesuatu.
*******
Setelah memakan masa sehari setengah perjalanan, mereka akhirnya sampai di hadapan hutan yang mengelilingi Kota Utama Duarte. Hutan itu adalah perlindungan bagi Kota Utama Duarte, sebelum perlindungan dalam bentuk benteng yang sebaris dengan pintu gerbangnya. Maknanya, Kota Utama Duarte mempunyai dua lapisan pertahanan.
Penuh rasa megah dan angkuh, O Zero duduk di sebuah kerusi yang mahal, menanti jika ada utusan dari Duarte untuk hadir membuat rayuan. Dan jika ada yang hadir pun, dia tidak akan memberikan belas kasihan. Cuma dia suka melihat mangsanya merayu.
Pada masa yang sama, dia melihat sebentar kepada tangan robotiknya yang baru. Besar sedikit dari tangan kirinya. Digantikan oleh Tuanku Asura sendiri menggunakan kuasanya. Tangan baru itu lebih hebat dan punya kuasa pemusnah yang kuat. Ditambah dengan latihan selama 6 bulan yang dilaluinya sebelum ini, membuatkan dia yakin dia kini tidak terkalahkan.
Namun, di celah keyakinannya itu, ada satu perasaan jauh di dalam hatinya yang kecil, bahawa mereka akan tewas. Perasaan itu muncul semenjak tangannya putus. Semenjak itu, dia jadi teringat dengan bicara Fathan Adi kepadanya, kala lelaki itu tiba-tiba tumbang kala mereka berhenti bertempur setelah beberapa ketika.
“Kau memang hebat O Zero. Tetapi engkau tidak belajar dari pertemuan kita 12 tahun yang lalu. Allah itu lebih hebat. Dan sepatutnya kepada Dia engkau menundukkan diri. Sesungguhnya Sang Asura itu juga adalah makhlukNya, dan tiadalah makhluk akan mampu menandingi Pencipta Alam Semesta.”
Selepas itu Kiai Bumi tumbang seakan-akan ajalnya hadir. Lebih membuatkan O Zero terasa resah adalah apabila Kiai Bumi tumbang bersama senyuman yang menghiasi bibir. Seakan-akan mati itu bukan satu masalah dan ketakutan bagi lelaki tua bertubuh tegap itu.
Kini, dia berada di hadapan Duarte, ingin merampas Wilayah milik End itu.
Kemakmuran Duarte adalah perlu menjadi kepunyaan mereka semula, bagi menghasilkan ketumbukan tentera yang kuat untuk menggempur Tanah Suci dan Bumi Barakah.
Ketika ini, dari kejauhan dia melihat tiga lembaga keluar dari hutan, dan semakin lama semakin jelas. Tiga susuk tubuh sedang menunggang kuda menuju ke arah dia dan tenteranya.
“Ah,” O Zero sedikit terkejut.
Di hadapannya kini adalah Ashoka dan Arnav dari Chinmayi, dan Ketua Panglima Duarte – Armon. Armon bukan manusia. Dia makhluk genetik. Berwajah Puma, bertubuh tegap, berzirah lengkap, dengan mantel berwarna hitam, bersenjatakan parang panjang.
“Dua manusia yang diselamatkan Kiai Sunyi.” O Zero tersengih menghina. “Di sini rupanya kalian bersembunyi.”
Ashoka dan Arnav mendengus.
“Bagaimana Armon? Apakah kau hendak memberikan Duarte dengan aman, atau kita perlu berperang sedangkan kau mengetahui kekuatanku?” O Zero berbicara. Dan bicaranya penuh penipuan. Tiada aman jika dengan O Zero. Dia hanya akan membunuh semua orang.
Armon mengetahui akan perkara itu. Namun bukan kerana itu dia tidak menyerahkan Duarte.
“O Zero, Duarte kini kota orang yang beriman. Kerana itu, kepada engkau kota ini tidak akan sesekali diserahkan.”
Giliran O Zero mendengus marah. Dia amat pantang dengan mereka yang tidak gentarkan dirinya. Lantas auranya dipertingkatkan hingga ke tahap kuda-kuda tunggangan musuhnya tidak senang.
“Jika begitu, kalian menempah maut!” Dia menggenggam penumbuk tangan robotiknya. Marah.
“Tiada masalah bagi kami. Mati kami ke syurga, mati kalian ke neraka. Yang penting bagi kami adalah berusaha, dan kemenangan itu Tuhan kami punya.” Arnav bersuara. Keyakinannya telah kembali. Kekuatannya seakan meningkat.
“Perang, O Zero. Dan bila engkau tumbang, Ethan akan kami ambil.” Ashoka memasamkan wajahnya. Seakan mengimbau saat mereka di hadapan Ethan.
Kemudian mereka bertiga berpaling. Memecut tunggangan mereka laju ke dalam hutan semula. Ketiga-tiga mereka akan berkubu di benteng.
O Zero mengetap bibir. Geram.
“Mari kita ajar mereka!” Dia mengaum garang.
Dan peperangan di Duarte pula bermula. Tanpa O Zero tahu apa yang menanti mereka.
*******
“Kiai Sunyi memang tidak akan bersama kita hari ini?” Armon bersuara kala kuda mereka melepasi pokok-pokok besar.
Arnav menggeleng.
“Dia kata, persediaan yang dia lakukan sudah rapi untuk kita. Kita tinggal laksanakan, usaha dan percaya.” Ashoka menambah.
Arnav dan Ashoka sama-sama mengimbas sebentar perjalanan mereka dengan Kiai Sunyi.
Perjalanan untuk belajar akan erti percaya.
Percaya kepada Dia.
Kini mereka seakan-akan manusia yang baru. Keimanan mereka seperti diperbaharui dan dipertingkatkan. Mereka yakin mereka mampu menewaskan O Zero, seterusnya memberikan pukulan keras kepada Kerajaan Utopia.
“Harapnya, saudara-saudara kita di Tanah Suci dan Bumi Barakah juga sedang berusaha. Kita akan pergi melihat keadaan mereka selepas kita berjaya melepasi ujian di sini.” Arnav memandang Ashoka.
Ashoka mengangguk.
Mereka pun sampai ke pintu gerbang Bandar Utama Duarte.
Gegaran kedengaran. Mereka memandang sebentar ke arah hutan yang mengelilingi Bandar Utama. Tentera O Zero telah memulakan pergerakan.
“Peperangan telah bermula.” Armon bersuara.
“Semoga Allah SWT bersama dengan kita.” Ashoka menyambung.
“Kita akan berperang bersungguh-sungguh, membuktikan keperkasaan Dia!” Arnav mengangkat tombak hitamnya.
“Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar” Dan seluruh tentera pada kubu Duarte melaungkan takbir membesarkan Dia.