Makanan
“Tiada makanan yang halal tidak lazat. Cuma ia tidak sesuai dengan kita. Ia rezeki Allah. Jangan sekali-kali mencebek rezeki Allah”.
Itulah sebahagian daripada tazkirah ringkas yang saya sampaikan kepada anggota rombongan kami apabila tiba di pantai Cherating. Saya katakan juga,
“ketika pertama kali saya minum Qahwah Arab, saya dapat rasakan yang ia satu minuman yang sangat teruk. Cuma saya berfikir, kenapa orang Arab menyukainya? Tentu sekali ada sesuatu yang istimewa.Jika mereka boleh minum, kenapa tidak saya?”
Lalu saya mencuba kali kedua. Rasanya tidaklah seteruk kali pertama. Saya cuba kali ketiga. Ada tanda-tanda yang rasa teruk semakin berubah. Saya cuba kali keempat… dan ia menjadi sejarah!
Saya terangkan lagi,
“Apabila ada rezeki di hadapan kita, bersyukurlah. Jika kita tidak menyukainya, senyum dan beristifarlah kepada Allah. Katakan kepadaNya, Ya Allah aku mohon kemaafanMu, aku tidak mampu menelan makanan ini ya Allah. Ia tidak sesuai dengan ku. Permudahkanlah daku”.
Kemudian, sambil ketawa-ketawa saya nyatakan, “ramai yang tidak mampu menerima makanan sebagaimana yang kita perolehi ini. Allah… Allah…. nikmat makna lagi yang hendak kita dustakan”.
Akhirnya saya membuat sedikit kesimpulan, “begitulah dalam amal ibadat. Ia kelihatan sukar, berat dan tidak masuk akal untuk kita mahu melakukannya secara istiqamah pada peringkat permulaannya. Lakukanlah. Apabila kita sudah merasai nikmatnya, InsyaAllah ia seumpama bagaimana saya ketagih dengan Qahwah Arab yang begitu teruk rasanya”.
Saya berasa lega kerana dapat menyampaikan sesuatu yang terlalu sukar.
Solat Berjemaah
Alhamdulillah. Saya bertegas kepada semua ahli rombongan dengan menyatakan, “kita diberi kemudahan untuk jamak dan Qasar, Namun solat subuh tiada jamak dan Qasar. Kita perlu ke masjid untuk solat berjemaah”.
Semalam, kami tiba di perhentian rehat Gambang ketika waktu Dhuha. Kami mahu berehat seketika. Rehat yang paling aman dan damai ialah dengan mengadapNya. Lalu saya bisikkan kepada anak-anak agar mengambil wudhu dan bersolat Dhuha.
Iman bertanya, “di mana mereka?”
“Solat Dhuha”.
Ringkaskan cerita, kesemua anggota rombongan kami berada di ruangan solat dan menunaikan solat sunat tersebut. Saya bertanya Amirul, “Amirul berdoa?”
“Ya…”
“Apa yang Amirul minta dari Allah SWT?”
“Supaya perjalanan kita selamat”.
Itulah makna rehat dan rawat (R&R) yang mahu saya terapkan selain daripada buang air kecil atau besar, makan dan minum.
Mudah-mudahan apabila selesai kembara ini akan ada sesuatu yang lebih bermakna yang dapat kami perolehi untuk dibawa pulang ke Madinah.
Agaknya begitu

Selepas 10 hari Sheikh Khalid sudah boleh mengikat pelikat. Masjid UiTM Dungun.
Solat subuh di Masjid UiTM Dungun yang baru diubahsuai. Setiap kali bersolat di sini, saya sering diminta untuk menyampaikan sedikit tazkirah kepada jemaah yang hadir.
Kali ini juga saya bersedia. Malah saya telah nyatakan kepada Azrai, “kita bawa dua kereta, takut-takut ayah diminta untuk bercakap”.
Agaknya itulah yang dikatakan perasan!
Namun hakikat sebenar, UiTM Dungun sentiasa hampir dengan saya. Saya pernah belajar di sini. Berjumpa, bertunang dan berkahwin dengan pelajar UiTM Dungun.
Ketika menjawat jawatan Pengarah UiTM Johor, saya pula dilantik sebagai pengerusi perlantikan pensyarah baru untuk kampus ini. Juga, setiap kali pulang ke Besut, saya tentukan bermalam di Hotel UiTM Dungun.
Banyak lagi sebab-sebab yang boleh saya senaraikan kenapa saya menyukai UiTM Dungun.
Saya fikir tidaklah terlalu pelik untuk saya berasa sebak dan pilu apabila melihat hanya beberapa kerat yang muncul untuk solat subuh berjemaah di masjid yang sebesar ini.
Sheikh Khalid berkata kepada saya, “mungkin mereka tidak berkenderaan”.
“Bagaimana mereka ke kuliah? Adakah tuan fikir kuliah itu lebih penting dari solat berjemaah di masjid? Jika mereka boleh ke kuliah, agak saya ia tidak bermasalah untuk ke masjid”
Rasa sayang membuat kita pilu. Rasa cinta membuat kita sebak. Namun saya tahu, saya akan melupakan suasana ini apabila beredar pergi. Saya doakan agar masjid seindah ini akan sentiasa dikunjungi oleh ramai orang.
Junita Musliha

Adik Nombor 10
Kami makan tengahari di Kemaman.
Allah… Allah… Junita Musliha (pewaris jemput-jemput Wan) menyediakan Nasi Arab, Ayam Ketumbar, Kambing, Colek Buah dan banyak lagi….. Dicelah-celahnya terselit Ketupat Sotong yang memang sangat istimewa.
Makanannya memang lazat kerana ia sesuai dengan tekak kami. Namun seronoknya bertemu adik-beradik mengatasi keinginan merasai juadah yang tersedia.
“Ta, kereta Exora bercium sedikit di belakang. Abang tidak baiki. Abang gantikan dengan DVD yang mempunyai tiga skrin. Kira OKlah tu…”
Kami singgah hanya seketika tetapi memadai untuk menghilangkan rasa rindu.
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
