Tun Dr Ismail

My rating: 4 of 5 stars
Sebagai rakyat Malaysia (terutama bangsa Johor), anda wajar membaca buku ini atau paling minimum mengenali perjuangan beliau demi mencapai dan mengisi kemerdekaan.
Beliau tokoh Malaysia pertama mendapat gelaran Tun. 'Kalau' umur panjang, barangkali beliau tersenarai dalam senarai PM Malaysia.
Kalau ke Jalan Terus Johor Bahru, bayangkan wujud Klinik Tawakkal tempat Ismail bertugas. Manakala di seberang jalan, wujud kedai kawan baik beliau, Robert Kuok.
Buku ini cukup rinci sifatnya beserta sitasi dan rujukan lengkap. Ia penting, namun berikan cabaran sewaktu mahu mengunyah dan menghadam isinya.
Buku ini ditulis oleh rakyat Malaysia dan diterbitkan oleh institusi penyelidikan Singapura, ISEAS. Ia bukan tentang Ismail semata bahkan tentang detik kemerdekaan dan pembentukan Malaysia.
Secara peribadi, saya hargai catatan penting tentang kewibawaan beliau sewaktu menjadi Duta Malaysia ke Amerika Syarikat.
Begitu juga dengan sumbangan beliau berkaitan isu hubungan diplomatik dengan Singapura, Indonesia dan Filipina sewaktu pasca merdeka sekitar 1960-an.
Kewibawaan mengurus krisis sewaktu Tragedi 13 Mei menerusi penglibatan beliau dalam National Operations Council (NOC) wajar dijadikan kajian kes dalam modul latihan kepimpinan.
Buku dengan bibliografi setebal 15 halaman ini berjaya menzahirkan almarhum Tun Dr Ismail sebagai ahli politik yang bijak, tegas dan vokal.
Banyak contoh yang boleh kalian temui dan tak wajar saya berkongsi di sini. Malah mengapa muncul kalimat 'reluctant' biarlah anda cari jawapannya sendiri.
Dalam versi Bahasa Melayu, saya kurang pasti apakah tepat 'The Reluctant Politician' diterjemahkan kepada 'Bukan Kerana Pangkat'.
Menarik juga bila Ismail pernah berbicara tentang ahli politik yang ambil peluang untuk menjadi kaya raya dengan jalan politik - dengan jalan rasuah dan korupsi.
Yang baik jadikan teladan. Yang buruk jadikan sempadan, termasuklah alasan dangkal untuk tangan terima duit kopi dan tekak terima sisipan champagne.
Beliau meninggal dunia setahun sebelum saya masuk tadika. Sewaktu remaja, ayah pernah sebut yang beliau penuh disiplin dan menjaga masa - ada isyarat yang beliau bukan sebarangan pemimpin.
View all my reviews
Published on February 05, 2021 19:36
No comments have been added yet.