Ia tidak berkurang

Umur tidak pernah berkurang
Hari ini genap usia Sofea 9 tahun. Tan Sri Dr Abdul Rahman dan Puan Sri melayani Sofea di Panda salah satu shopping Mall terbesar di Madinah.
"Sofea suka umur 9 tahun?," saya bertanya. Beliau hanya tersenyum. Semakin banyak usianya maka semakin tipis peluang untuk tidur di tengah-tengah antara ayah dan mama.
Malah semakin sukar untuk didukung oleh Ayah.
Usia bertambah, banyak perkara yang terpaksa ditinggalkan. Dan ia bukan satu pilihan. Ia perlu dihadapi.
Ketika Amirul dan Sofea bersuka-suka dengan hiburan dalam mall, kami – saya, Roza, serta Puan Sri – mengenangi kisah lampau Tan Sri.
"Jika menoleh ke belakang, saya melihat bagaimana Allah mengatur kehidupan manusia. Banyak perkara yang berlaku dalam hidup saya yang tidak mampu saya fikirkan dengan akal biasa," kesimpulan daripada kisah panjang beliau.
"Tan Sri, bagaimana pendapatan Tan Sri selepas bersara berbanding dengan sebelumnya?,' soalan nakal saya.
"Kita jangan melihat jumlah pendapatan. Namun ia jumlah yang tidak berkurang. Allah cukupkan jumlah tersebut dengan kadar yang tertentu. Lakukan sesuatu dengan ikhlas. Lakukan semata-mata keranaNya. Jumlah pendapatan akan sentiasa mencukupi. Ia tidak berkurang".
Allah, Allah, Allah….
Apa yang hendak saya katakan?
"Mil… saya mencari sebab kenapa wanita Saudi menutup muka. Hanya nampak mata dan tapak tangan. Jawapannya ada di dalam surah Al-Ahzab, ayat 59. Nanti bila sampai di hotel saya tunjuk…"
Tan Sri benar-benar serius. Saya melihat quran beserta terjemahan yang dipenuhi dengan pelbagai lipatan kecil.
"Bacalah quran dengan ilmu. Fahami apa yang disampaikan," sambil mencari-cari ayat tersebut beliau menasihati saya.
Allah, Allah, Allah… apa yang hendak saya katakan?
Tan Sri banyak berjasa kepada umah Malaysia. Tidak perlulah saya nyatakan di sini. Namun biarlah saya berdoa dan memohon kepada Allah agar beliau, Puan Sri dan kita semua bertemu di Jannah.
Ia malam meraikan Sofea. Ia berakhir dengan hari yang sangat bermakna buat saya dan Roza.
Muhd. Kamil Ibrahim's Blog
- Muhd. Kamil Ibrahim's profile
- 102 followers
