Tidak semua orang suka

Benar sekali.


Apa sahaja yang kita dilakukan akan ada yang tidak berpuas hati. Ada dua kemungkinan. Pertama kekurangan diri kita dan keduanya kerana kekurangan diri mereka.


Manusia tidak sempurna.


Dalam konteks saya, saya fikir dalam kebanyakan kes ia kerana kekurangan atau kelemahan diri. Saya seorang berhadapan dengan ribuan khalayak.


Namun saya terus belajar, bermuhasabah dan memikirkan untuk menjadi manusia yang lebih baik. Akhirnya ia kembali kepada prinsip utama, mencari keredhaan Allah.


Saya tidak boleh lagi berfikir sebagai seorang Malaysia kerana khalayak saya ada hadirnya dari Brunei, Singapura dan Indonesia. Bila saya menulis, "sungguh dermawan rakyat Malaysia," ada rakan bukan rakyat Malaysia menulis dengan lemah-lembut, "Alhamdulillah Prof.. tentu sekali ramai yang menyumbang, mereka mungkin datang dari Brunei, Singapura dan Indonesia".


Hati saya cepat terasa maksud ayat tersebut. Opps… tentu sekali saya terkhilaf. Saya mohon maaf!


Di sana-sini, terdapat khalayak yang tidak dapat saya layani sebagaimana kehendak mereka. Ada beberapa batasan dan halangan yang tidak mungkin dapat saya nyatakan.


Itulah kekurangan diri saya.


Namun jika ada yang menyatakan, "tidak semua yang suka" maka ia bermakna "ada yang suka". Di sebelah mana kita menyaksikan kenyataan ini, ia tetap memberi motivasi untuk saya terus hadir bersama khalayak pembaca KRTS.


Cara mereka makan


Ia hubungan semulajadi. Anak-anak Somali ini sangat mudah menghampiri Roza, Amirul dan Sofea


Niat membina masjid di Somalia mengundang kami bertemu dan bermesra dengan rakyat Somalia. Semalam kami berada di rumah rakyat Somalia di Mekah yang berasal dari Galkayo.


Lebih banyak maklumat yang saya dan Roza perolehi.


Kita tinggalkan kisah masjid KRTS. Kami makan bersama. Hidangan petang sebelum kembali ke Madinah ialah Nasi Mandy berlaukan Kambing dan Nasi Bukhori Ayam.


Nasi Mandy Kepala Kambing!


Saya teringat kisah memberi ceramah di sebuah kampung di Melaka. Mereka menyembelih kambing dan kepalanya dihidangkan kepada saya sebagai tetamu kehormat.


Lazat sekali!


Namun ada yang lebih menarik tentang cara orang Somali makan. Di sisi mereka ada beberapa sikat pisang. Setiap orang mengambil sebiji pisang dan dimakan dengan nasi. Opps… lauk mereka semasa di Somali…. saya fikir begitu. Ke mana-mana mereka pergi ia tetap begitu.


Jika berjumpa dengan orang yang makan nasi dengan pisang masak pergilah bertanya…. "tuan dari Somalia?".


Saya mencuba dan sangat OK… apa bezanya dengan Roza memasak sayur pisang muda atau orang Kelantan makan nasi dengan tembikai atau juga makan budu dengan durian.


Ia menarik sekali!


Bahasa Malaysia


Sofea dan Amirul akan kehilangan Bahasa Malaysia. Masa akan menentukannya.


Lalu saya bertanya Sofea, "Sofea mahu menulis di blog?". Jawapannya, "ya". Saya tidak tahu berapa lama ia boleh bertahan tetapi sekurang-kurangnya beliau perlu menulis.


Dan kami mahu ia ditulis dalam bahasa Malaysia. Lahirlah FARAH SOFEA…..

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 04, 2012 10:54
No comments have been added yet.


Muhd. Kamil Ibrahim's Blog

Muhd. Kamil Ibrahim
Muhd. Kamil Ibrahim isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Muhd. Kamil Ibrahim's blog with rss.