Genap 2.5 Tahun Menjadi Jurutera

Saya jarang, atau barangkali tidak pernah, menyebut tentang identiti yang satu lagi, iaitu sebagai jurutera.

Sebabnya mudah - kerana saya tidak pernah menganggap kerjaya sebagai jurutera sebagai nyalarasa; sesuatu yang mengghairahkan sekaligus menghidupkan jiwa saya. Sebaliknya adalah suatu keperluan untuk menyara hidup, melangsaikan hutang dan memenuhi jangkaan orang lain terhadap saya.

Sedangkan menjadi penulis semacam suatu bentuk pemberontakan. Oleh itu, kendati pun tidak menjanjikan pulangan materi tetapi kepuasan peribadi itu lebih bohemian, cool, lebih mendefinisikan siapa saya sebenarnya.

Semalam Februari 3, 2012. Maka genaplah dua setengah tahun saya mempraktis sebagai jurutera. Dan saya terhenyak, terduduk sendiri, apabila menyedari bahawa saya sudah menyayangi lapangan yang pernah suatu masa saya benci ini.

Saya insaf bahawa yang saya tidak sukai itu adalah sisi-sisi lain pekerjaan ini - kerenah birokrasi, pengurusan, pentadbiran, politik pejabat dan sebagainya - tetapi saya senang sekali dengan kemahiran teknikal, analitikal, pemutusan dan integrasi rentas bidang yang didedahkan serta dilatih dan disemai dalam diri saya sejak menggeluti jalur kerjaya ini.

Inshaallah, tahun ini saya berazam untuk bekerja dengan lebih ikhlas. Semoga keikhlasan yang cuba saya pupuk ini akan menjernihkan tekanan yang pernah membuat saya bermimpi ngeri, jatuh sakit hampir setiap dua bulan, makan-minum di meja kerja kerana sayang meninggalkan train of thoughts yang berkesiuran dan sukar sekali untuk senyum sepanjang (paling kurang) 8 jam di pejabat.

Workaholic? Tidak. Saya cuma mengusahakan keberkatan rezeki.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 03, 2012 20:09
No comments have been added yet.