"Saya ulangi, semua pengaruh seni bina asing ini dan banyak lagi, tidak sewajarnya diangkat dalam mana juga reka bentuk masjid di Malaysia. Selaku sebuah entiti di Kepulauan Nusantara, kita tidak miskin dengan warisan seni bina yang tersendiri. Serambi, pemeleh, tiang seri, bumbung panjang, limas potong Belanda dan tebar layar misalnya, adalah antara ciri seni bina Melayu Nusantara yang seharusnya diraikan, bukannya disisihkan untuk memberi laluan kepada seni bina asing yang tidak menggambarkan pun identiti kita."Bentuk dan MaknaBerita Minggu05 Februari 2012
Alhamdulillah, cerpen Bentuk dan Makna disiarkan dalam akhbar Berita Minggu hari ini. Secara umumnya, cerpen ini cerpen baru. Ia siap beberapa minggu lalu, namun dimulakan sejak tahun 2010 lagi. Cerpen ini dicetuskan oleh sebuah buku - Rethinking Islamic Architecture tulisan Dr Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi, pensyarah jurusan Seni Bina dari UTM.
Pertemuan saya dan buku itu semacam ditakdirkan. Suatu hari Sabtu, saya memasuki sebuah kedai buku yang jarang-jarang saya kunjungi tanpa sebarang niat untuk memiliki sebuah buku pun. Saya tidak begitu ingat, tetapi jika tidak salah, saya berada dalam fasa jiwa kacau ketika itu. Ketika itu saya sedang mencari, dan belum bertemu dengan sesuatu yang dicari itu.
Saya bukanlah pakar tentang seni bina, cuma seorang peminat yang mengagumi estetika. Tetapi di sebalik keindahan bentuk itu, saya mendamba sesuatu yang lebih mendasar - keindahan makna. Buku ini menjawab sebahagian keinginan saya itu.
Seperti yang saya katakan pada perenggan pertama tadi, cerpen ini dimulakan pada tahun 2010. Ia tersangkak lama, sehingga watak Tengku Adli dan Amira itu telah pun diabadikan dalam novel Bumi Lestari. Sehinggalah pertengahan bulan Januari 2012 yang lalu, berlaku perbincangan pendek dengan seorang teman tentang
form, meaning and beauty.
Sehari dua selepas pertemuan itu, saya merenung kembali cerpen yang tertangguh dan bertemankan sedikit catatan dari kuliah yang saya ikuti sejak bulan Mei lalu serta nota dari syarahan dua sesi bulan November tahun lepas, saya cuba menyimpulkan apa yang saya cari dan temui itu.
Semoga
cerpen ini bermanfaat.
Published on February 05, 2012 04:05
Petikan ini yang paling saya suka: "Jikalau kita kenal makna diri, kita tidak akan berlaku zalim terhadap diri kita. Keadilan yang aku maksudkan di sini termasuklah meletakkan identiti dan jati diri kita di tempat yang sewajarnya. Kita tidak akan sewenang-wenangnya mengambil unsur asing biar sebagai mana mempesonakan bentuknya sekalipun, sedang warisan sendiri dipinggirkan. Itu - “…tak sedar diri namanya.”
Baru saja semalam saya kongsikan nota pendek bertajuk 'Pengertian di sebalik Kepala/Gerbang Pintu' (hasil kajian Prof Madya Dr. Mohd Sabrizaa Abd Rashid) di kalangan ahli-ahli kumpulan STOP Racism Lah! di FB, alih-alih hari ni dapat baca cerpen yang inti patinya berkait rapat. :)