Fahmi MP pertama bentang kad laporan prestasi
Anggota Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menjadi anggota Parlimen pertama membentangkan kad laporan prestasi bagi kawasan parlimen yang diwakilinya.
Laporan tersebut menggariskan 10 pencapaiannya dalam 2019 sewaktu menggalas amanah sebagai wakil rakyat selepas memenangi kerusi parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei tahun lepas.
Ia juga turut menggariskan enam pencapaiannya selaku anggota Parlimen di Dewan Rakyat serta fokus beliau bagi 2020 untuk pengundi Lembah Pantai.
Pengarah Komunikasi KEADILAN itu berkata, antara pencapaiannya termasuk melaksanakan projek tabung makanan dan program ‘Ikan Segar Harga Berpatutan’ untuk bantu golongan isi rumah berpendapatan rendah B40.
“Pencapaian lain termasuk mengembalikan nama warisan Kampung Kerinchi, perluasan perkhidmatan bas percuma GoKL dan mengembangkan Program Tuisyen Rakyat termasuk kelas Bahasa Inggeris secara percuma,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Bersama Media di Kerinchi, semalam.
Katanya untuk fokus tahun depan satu pusat kerja yang dinamakan Pusat Kerja Lembah Pantai akan diwujudkan bagi membantu penduduk yang tinggal dan bekerja di Lembah Pantai.
“Di kawasan ini terdapat kira-kira 200 syarikat yang boleh menawarkan pekerjaan dan latihan kepada penduduk setempat. Ini bagi membantu mereka yang tinggal di kawasan ini boleh turut bekerja di sini tanpa keluar,” katanya.
Fahmi turut menyasarkan untuk membina satu lagi Projek Perumahan Rakyat (PPR), pembukaan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan 100 perpustakaan mikro di kawasan itu.
Suara Keadilan's Blog
- Suara Keadilan's profile
- 1 follower
