Ada Simpanan Lebih Baik Untuk Haji Berbanding Tabung Haji
[Kemaskini 13 Feburari 2018] Tak sampai 24 jam pengumuman hibah Tabung Haji 2017, netizen hangat memperbincangakan tentang kaedah baru pembayaran hibah yang dibuat oleh Tabung Haji. Walaupun hibah yang diisytiharkan tahun ini (iaitu bagi simpanan tahun 2017) adalah lebih tinggi, hakikatnya ia jauh lebih rendah daripada apa yang pendeposit terima berbanding tahun lalu (hibah simpanan 2016). Hibah tahun 2017; 4.50% + 1.75%, manakala tahun 2016; 4.25% + 1.50%. Pertusannya bertambah, tetapi kaedah pengiraan ditukar daripada berdasarkan “purata minima bulanan” kepada “baki minima tahunan”.
Dividen / hibah Tabung Haji 2017 dibayar berdasarkan “baki minima tahunan”. Poster ini saya download terus daripada Page Official : Lembaga Tabung Haji.
Dividen / hibah Tabung Haji 2016 dibayar berdasarkan “purata minima bulanan”.
Kalaulah kaedah pengiraan baru itu benar (tetapi ramai masih mengharapkan ianya satu kesilapan), maka saya antara orang yang kecewa dengan kaedah pengiraan begitu. Walaupun saya tak menjadikan Tabung Haji sebagai instrumen “pelaburan” saya, tetapi saya rasa kecewa bagi pihak pendeposit yang rata-ratanya rakyat marhaen yang naif tentang kesan yang mereka terima akibat perubahan tersebut.
Ini pandangan saya tentang isu Tabung Haji (TH) yang hangat beberapa hari ni.
1. Apa yang mengecewakan tentang pengumuman hibah TH?
Apa yang mengecewakan tentang TH pada tahun ni sebenarnya bukanlah pulangan yang rendah, tapi seolah-olah mempermainkan pada pendeposit dengan membuat pengumuman peratusan lebih tinggi, sedangkan hakikatnya ia jauh lebih rendah. Kesian pada mereka yang naif tentang pengiraan kadar keuntungan
Kalaulah pengumuman dibuat menunjukkan peratusan hibah makin rendah tetapi mengekalkan pengiraan sebagaimana tahun sebelumnya, ia tak menjadi isu yang hangat. Untung rugi memang perkara biasa.
Pengumuman yang dibuat oleh pihak Lembaga Tabung Haji menggambarkan hibah tahun ini lebih baik berbanding tahun sebelumnya. Bagi saya, ini yang membuatkan ramai yang kecewa sebenarnya.
Bagaimana pengiraan mengikut “baki minima tahunan”, ditunjukkan oleh Dr Azizul Azli Ahmad yang dilihat turut kecewa dengan perkembangan terbaru ini.
2. Kenapa kadar keuntungan TH penting?
Untuk menenangkan keadaan, ada yang mengatakan TH tak sepatutnya dijadikan tempat mendapatkan keuntungan. Ia sepatutnya hanyalah sebagai simpanan untuk menunaikan haji semata-mata.
Pada saya, kalau simpan duit di dalam akaun TH tanpa mengambil kira kadar keuntungan, itu tak betul sebab duit simpanan itu lama-lama susut kuasa belinya dimakan inflasi. Kalaulah simpanan di TH memang tak ada apa-apa pulangan keuntungan, maka TH bukanlah tempat yang betul untuk simpanan pergi haji sebab bila duit dah cukup, kos haji makin mahal.
3. Kenapa TH dijadikan benchmark pelaburan?
Ada pihak yang mempersoalkan kenapa TH dijadikan benchmark (penanda aras) pelaburan dan ianya tidak wajar.
Bagi saya, TH adalah tempat simpanan duit jangka panjang. Salah satu kos yang besar sepanjang hidup bagi rakyat marhaen ialah kos menunaikan haji. Bila ia melibatkan kos yang besar, semestinya kadar keuntungan perlu diambil kira supaya ianya berbaloi untuk simpanan JANGKA PANJANG.
Lagipun, ustaz-ustaz kalau ‘berceramah’ tentang hukum ASB, maka jalan alternatif yang dicadangkan selalunya hanyalah TH. Ia lebih tenang sebab bebas daripada perbahasan isu halal haram dan ianya lebih memudahkan sebab tak perlu keluarkan zakat atas simpanan tersebut.
4. Simpanan lebih baik untuk biaya kos pergi haji?
Saya secara peribadi dah lama tak jadikan TH sebagai tempat pelaburan, bahkan untuk simpanan pergi haji pun saya tak simpannya dalam Akaun Tabung Haji. Sebaliknya, saya jadikan TH sebagai simpanan Dana Kecemasan saya berjumlah 3 bulan gaji sahaja, dan kekalkan RM1,300 (simpanan minimum) untuk dapat giliran pergi haji.
Duit simpanan untuk pergi haji, saya lebih suka simpan dalam bentuk emas sahaja sebab fakta menunjukkan, kos naik haji makin lama makin murah kalau dibayar dengan emas. Kalau di Malaysia, kos naik haji sebenarnya turun 80% dalam tempoh 20 tahun kalau dibayarnya dengan emas! Lagipun, hari ini kita boleh simpan emas sekecil 1 gram 1 bulan. Bila cukup 60 gram emas, ia sudah cukup untuk tampung kos biaya haji hari ini dan masa depan. Tak perlu risau dengan kos haji yang makin lama makin meningkat.
Kos menunaikan haji turun 80% dalam tempoh 20 tahun jika dibayar dengan emas.
5. Kenapa TH masih dianggap tempat simpanan wang yang baik?
Walaupun begitu, saya masih percaya TH dan ASB adalah instrumen kewangan yang bagus untuk sesiapa sahaja yang tak tahu nak labur duit ke mana-mana. Daripada labur duit ke tempat yang kita tak ada ilmu, TH dan ASB jauh lebih baik. Dan pulangannya masih dianggap bagus berbanding merisikokan simpanan itu ke dalam pelaburan yang tak tahu hujung pangkal.
Pengalaman saya mendapat feedback sejak menulis blog ini tahun 2008, ramai sebenarnya lebih kaya kalau dia tidak melabur. Ya, mereka lebih kaya kalau tak melabur sebab ramai yang `terbakar´ duit dalam pelaburan berbanding buat duit sebab majoritinya melabur tanpa ilmu.
Pengumuman Perubahan Kaedah Hibah (Kemaskini 13.2.2018)
Pengumuman baru dibuat oleh Tabung Haji pada 9 Februari 2018, iaitu selepas isu ini kecoh dan viral di internet.
Kenyataan media Tabung Haji pada 9 Februari 2018, sekitar 6.30 petang.
Alhamdulillah.
Lepas viral isu kaedah baru pengiraan hibah yang dilihat mempermainkan pendeposit, TH kembalikan semula kaedah pengiraan lama yang tentunya pihak TH perlu adakan bajet tambahan untuk pembayaran hibah.
Terima kasih kepada TH dan tahniah kepada netizen yang memviralkan isu ini. Saya lampirkan kaedah pengiraan baru yang dipaparkan di FB “Official: Lembaga Tabung Haji” dan kaedah pengiraan lama yang ditukar semula setelah isu itu diviralkan sebagai rujukan.
Ini contoh pengiraan kaedah “baki minimum tahunan” dan baki purata minimum bulanan”. Banyak perbezaannya tu.
Saya percaya, isu ini bukan isu typo atau kesilapan teknikal oleh pihak TH. Tetapi TH mengambil kira kesan besar kepada TH (dan kerajaan) apabila pendeposit sedar kaedah baru “baki minima tahunan” yang merugikan pendeposit.
Zulkifli
Cyberjaya
9 Februari 2018, 12.29 p.m
24 Jamadil Awal 1439H
Mohd Zulkifli Shafie's Blog
- Mohd Zulkifli Shafie's profile
- 9 followers

