Yang Utama
“Ziq, ada masa lapang tak petang ni? Jom pergi pasar malam.” ajak Roslan. Raziq menoleh sekilas kemudian menyambung mengemas begnya.
“Aku sibuk.”
Melihat Raziq yang agak kelam-kabut bersiap, Roslan bertanya. “Kau nak pergi mana ni?”
“Aku nak pergi rumah kawan aku. Aku tidur sana malam ni.”
“Oh, ada perbincangan ke?”
“Tak, aku dah lama janji dengan dia nak tidur rumah dia. Ada lah hal kitaorang. Kau tak perlu tau.” Raziq memakai jam tangan.
“Eleh sombong betul. Jangan lupa jalan nak balik rumah sendiri pula esok.” Roslan menyindir. Raziq tidak mengendahkannya dan menyarung kasut sukan berjenama Puma. Pintu ditutup perlahan. Roslan mengeluh kebosanan.
‘Nampaknya pergi pasar malam seorang diri lah aku hari ini.’ fikirnya. Malas ingin memanjangkan rasa kecil hati, Roslan menunaikan solat Asar dan bersedia untuk ke pasar malam.
***
“Ziq, jom teman aku pergi perpustakaan. Bosanlah belajar seorang diri. Nanti aku tertidur.” Wajah Roslan penuh dengan pengharapan. Bibirnya dicebikkan sedikit dan matanya yang sederhana besar sengaja dikerdipkan berkali-kali bagi memberi kesan comel. Raziq ketawa tapi kelihatan serba-salah.
“Err aku bukan tak nak teman kau, Lan. Tapi aku ada latihan ragbi petang ni. Maaf ya.” Raziq mengusutkan rambutnya tanda serba-salah. Roslan termangu di birai katil.
“Kenapa kau asyik sibuk je eh?”
“Nak buat macam mana. Aku aktif dalam semua benda kan. Terpaksalah korbankan sikit masa untuk perkara lain.”
“Contohnya masa dengan kawan baik kau sendiri?”
Raziq diam.
“Takpalah, aku pergi seorang diri je. Aku gerak dulu. Lambat sangat nanti perpustakaan pun tutup. Berlatih elok-elok.” Nada Roslan seperti berkecil hati.
“Lan, aku…..” belum sempat Raziq menghabiskan ayatnya, Roslan sudah pun menutup pintu dengan kasar.
‘Argh, serba salahnya rasa! Tapi aku memang ada latihan petang ni. Bukannya saja-saja cipta alasan. Tiba-tiba pula si Roslan ni tak nak faham jadual aku.’ Raziq bermonolog sendiri. Dia terbaring menelentang menghadap kipas siling yang laju berputar.
***
“Assalamualaikum Raziq. Lama betul abang tak nampak kamu. Sihat?” Fakhrul, naqib usrah Raziq dan Roslan datang menyapa Raziq yang sedang membetulkan rambutnya di cermin kereta salah seorang pelajar disitu.
“Eh abang Fakhrul. Waalaikumussalam. Sihat alhamdulillah. Abang sihat ke? Saya minta maaf sebab dah lama tak pergi usrah. Sibuk sikit.” Raziq mengusutkan kembali rambutnya. Apabila gelisah atau serba-salah, Raziq gemar mengusutkan rambutnya meskipun telah disisir rapi.
“Abang sihat alhamdulillah. Abang tiada masalah pun kamu tak dapat datang usrah. Yelah, masing-masing ada komitmen tersendiri kan. Cuma haritu Roslan ada bercerita dengan abang. Dia minta tolong abang cakapkan kat kamu. Dia kata kamu kebelakangan ni sibuk sangat-sangat sampaikan susah betul dia nak tengok batang hidung kamu. Betul ke?” Sambil berbicara, Fakhrul dan Raziq menyusun langkah menuju ke arah bangku kayu yang berhampiran.
“Roslan mengadu kat abang ke?” Fakhrul tersenyum.
“Bukan mengadu. Dia bimbang. Betul ke apa yang Lan cakapkan tu?”
“Betullah. Saya memang agak sibuk kebelakangan ni. Ada perlawanan ragbi bulan depan jadi setiap petang saya sibuk berlatih. Lagi satu, abang pun tahu kan saya ada jawatan di fakulti? Memang banyak masa saya dihabiskan dengan aktiviti-aktiviti bukan akademik. Lan patutnya lebih memahami. Dia kawan baik saya.” Raziq meluahkan rasa kesalnya. Kenapa Roslan seakan tidak mengerti malah mengadu pada naqib usrah mereka pula?
“Raziq jangan marah pula pada Roslan. Dia berniat baik. Sibuk, sibuk juga Ziq, tapi keperluan akhirat kita pun kena isi juga. Resume kita mungkin penuh dengan pencapaian-pencapaian yang membanggakan. Tapi mampu ke semua tu memberi ilmu agama pada kita? Roslan bimbang kamu jauh dari jalan ini. Itu sahaja kerisauan dia.”
“Dia tak patut rasa macam tu. Saya ni kan kawan baik dia? Takkanlah dia tak percaya saya. Walaupun saya sibuk tapi tanggungjawab hakiki saya sebagai seorang Muslim saya tak pernah abaikan. Solat tetap saya tunaikan.” Raziq berasa tercabar. Fakhrul meletakkan tangannya di atas bahu Raziq, memberi ketenangan melalui sentuhan.
“Raziq pun tahu kan, menjadi seorang Muslim bukan hanya pada solatnya semata-mata? Usrah yang diadakan setiap minggu tu untuk menambahkan ilmu agama kita je, insya-Allah. Kita bakal jadi ketua keluarga. Tak cukup ceramah tiga bulan sekali yang kita hadiri tu. Jiwa kita perlu diisi setiap minggu. Roslan bimbang Raziq terlalu leka dengan aktiviti dunia.”
Raziq diam. Fakhrul menarik kembali tangannya dari bahu Raziq setelah menyedari kedinginan Raziq saat itu. Mungkin patut dibiar sendiri, fikir Fakhrul.
“Takpalah, Raziq fikir dulu ya apa yang abang katakan tadi. Jangan marah pada Roslan. Dia hanya ingin membantu sahaja. Dia seorang sahabat yang baik. Abang balik dulu. Kirim salam pada Roslan nanti. Assalamualaikum.”
***
Raziq menolak daun pintu dengan kasar. Wajahnya merah menahan marah. Roslan mendongak dari penulisannya di meja belajar.
“Kau ni kenapa, Ziq? Macam marah je? Bukalah pintu tu elok-elok.”
“Abang Fakhrul kirim salam pada kau.” Roslan menoleh.
“Eh, kau jumpa abang Fakhrul? Waalaika-waalaikumussalam. Sihat ke dia?”
“Dah, kau tak payah nak bersandiwara. Aku tau kau mengadu dengan dia kan tentang aku? Kau cakap apa pada dia? Aku sibuk dengan dunia sampai abaikan akhirat?” Dada Raziq berombak kencang.
“Aku tak cakap macam tu.” Roslan berdiri tenang sambil berpeluk tubuh dan bahunya bersandar di pintu almari.
“Kau jangan nak menipu, Lan. Abang Fakhrul sendiri kata kau suruh dia tegur aku. Apa semua ni? Aku ingat kita kawan?” suara Raziq mulai meninggi.
“Tak, kita bukan kawan. Kita sahabat, Ziq. Sahabat! Sebab tu aku minta tolong abang Fakhrul nasihat kau apa yang patut.”
“Kenapa kau tak cakap sendiri je? Kenapa nak libatkan abang Fakhrul? Lagi satu aku nak tanya. Kenapa cara kau cakap ni macam aku dah sesat je? Jangan melebih, Roslan!”
“Cuba kau ingat balik. Bila kali terakhir kau terima ajakan aku? Bila kali terakhir kau tunaikan janji kau dengan aku, abang Fakhrul dan sahabat usrah kita yang lain? Bila kali terakhir kau balik rumah dan jumpa mak bapak kau? Bila?!” Suara Roslan keras membalas pertanyaan Raziq dengan pertanyaan juga.
“Takkan sebab aku tak terima ajakan kau pergi pasar malam kau nak melampau sampai macam ni sekali, Lan? Matanglah sikit!” Raziq maju sedikit dan menampar pintu almari yang tadinya menjadi tempat bahu Roslan bersandar.
“Dah tiga kali berturut-turut kau batalkan janji kau dengan abang Fakhrul untuk pergi usrah. Padahal tarikh usrah tu dah tetap setiap hari Khamis pukul 9 malam! Bukannya kau tak tahu. Penting sangat ke kau pergi rumah kawan kau tu? Dimana prioriti kau sebenarnya? Kau dah ada komitmen setiap hari Khamis pukul 9 malam jadi sepatutnya kau kosongkan jadual kau pada waktu itu untuk usrah!”
“Kalau aku tak pergi usrah pun apa kena mengena dengan kau hah?! Kalau aku jauh pun aku susahkan kau ke?” Raziq seolah mencabar kesabaran Roslan dengan sengaja. Roslan memejamkan mata dan menarik nafas panjang. Mulutnya terkumat kamit mengulum istighfar.
“Ziq, aku sahabat kau kan?” Dengan tenang, Roslan bertanya. Suasana sepi seketika. Hanya bunyi bilah-bilah kipas usang berkejaran yang mengisi kesepian itu.
“Mestilah. Kau sahabat aku dunia akhirat.” Nada suara Raziq mendatar.
“Aku sayangkan kau. Sebab tu aku nak tegur kau. Kalau kau dah berjanji, tepati ia. Walau apa pun yang datang selepas kau berjanji, kau kena berpegang teguh dengan janji itu. Jangan pernah ubah rancangan kau semata-mata kerana rancangan lain yang datang kemudian. Tetapkan prioriti kau, sahabat. Jangan terlalu leka dengan kesibukan dunia sampai kau lupa jiwa kau dahagakan ilmu akhirat.” Raziq mengusutkan rambutnya.
“Aku bukan sengaja, Lan. Aku terlalu banyak komitmen dan aku fikir aku harus korbankan salah satu komitmen aku.”
“Dan kau memilih untuk korbankan usrah? Korbankan masa dengan sahabat kau?” Roslan memintas laju kata-kata Raziq.
“Bukan macam tu maksud aku. Aku minta maaf, Lan. Aku tak terfikir langsung apa yang aku lakukan akan memberi kesan pada ramai orang.”
“Tak, apa yang kau lakukan ini hanya akan memberi kesan pada kau sahaja. Kau ingat orang lain terkesan ke kalau kau malas pergi majlis ilmu? Kau ingat siapa yang akan terkena tempias sekiranya kau ponteng kelas sebab kau tidur lewat gara-gara perbincangan kelab? Semuanya akan kembali pada kau, Ziq. Bukan aku, bukan abang Fakhrul, bukan orang lain tapi kau. Aku tegur kau kerana aku sayangkan kau. Kau sahabat aku.” Mata Roslan bergenang. Dia sebak kerana rasa kasihnya pada Raziq amat tinggi. Inikah yang dikatakan cinta kerana Allah?
“Terima kasih Lan sebab tegur aku. Aku minta maaf kalau aku abaikan kau selama ni. Lepas ni aku cuba untuk tak mungkir janji. Kalau aku ponteng usrah atau kelas lagi, kau azankan je kat tepi telinga aku.”
Roslan tertawa sambil mengesat air mata. Raziq menghampirinya dan mereka berpelukan buat seketika. Cinta lillahi taala.