Mantera Sihir
Mayat suami dan anaknya berlumuran darah. Mayzati ketakutan. Tubuhnya menggigil. Tiba-tiba dia mendengar suara mengilai yang amat mengerikan. Suara mengilai itu semakin kuat dan bacaan seperti mantera sihir pula bergema di sekeliling Mayzati. Mayzati berlari sekuat hati. Namun lariannya terasa semakin lama semakin perlahan. Sedangkan suara mengilai dan bacaan mantera semakin lama semakin kuat.
“Ya, Allah! Tolong aku ya, Allah!”
Mayzati terjaga daripada tidur. Dadanya berdegup kencang. Dahinya pula berkeringat. Dalam samar malam yang gelap, kelihatan suaminya masih tidur nyenyak. Mayzati tersenyum lega dalam keadaan masih tercungap-cungap. Mimpi ngeri itu sering menganggu tidurnya.
Mayzati meludah ke kirinya sebanyak tiga kali sambil memohon perlindungan Allah daripada syaitan terkutuk.
*****
“Kak May sihat?”
Pembantu rumahnya bertanya sambil menghidangkan sarapan pagi di atas meja makan.
“Alhamdulillah, akak sihat. Cuma mimpi buruk malam tadi.”
Mayzati suka membahasakan dirinya sebagai kakak kepada pembantu rumahnya. Rasa lebih mesra dan dekat.
“Jom makan sama.” Mayzati mempelawa.
“Baik, kak May.”
Mayzati tersenyum manis. Pembantu rumahnya ini masih agak muda dan kelihatan kekok. Baru mula bekerja di rumahnya seminggu. Itu pun kerana adik lelaki Mayzati yang meminta tolong. Katanya, adik isterinya sedang mencari kerja. Sudah lama tinggal di kampung dan ingin merasa kerja di bandar.
*****
“Zati selesa tak ada pembantu rumah ni?”
Mayzati memandang suaminya sambil tersenyum. Mereka berdua sedang makan malam bersama. Pertanyaan suaminya itu membuatkan dia berfikir.
“Entahlah, bang. Kalau boleh, memang Zati pun rasa tak perlu ada pembantu rumah. Tapi Zuhayr tu beria sangat minta dia kerja sini.” Suara Mayzati direndahkan.
Mayzati melihat sekilas ke bahagian dapur. Kelihatan pembantu rumahnya masih leka membuat kerjanya. Apabila suaminya ada, Mayzati tidak akan mempelawa pembantu rumahnya itu makan bersama. Mayzati mahu suaminya selesa berbual bersamanya tanpa ada orang ketiga.
“Abang bukan apa Zati, kalau boleh biarlah kita selesa. Bila ada orang luar ni, abang rasa lain. Zati pun memang suri rumah. Untuk apalah Zuhayr tu suruh dia kerja sini.” Suaminya mengeluh.
“Zati dah cakap dengan Zuhayr yang Zati tak perlukan pembantu rumah. Tapi itulah, Zuhayr kata nak buat teman Zati. Zati pun serba salah nak jawab macam mana dengan Zuhayr tu. Agaknya Zuhayr tengok Zati ni macam sunyi sebab anak kita tahun ni dah mula duduk asrama. Abang pun keluar kerja pagi, balik malam. Kalau abang rasa tak selesa, nanti abang cakaplah dengan Zuhayr sendiri.”
Suaminya hanya mengangguk setuju.
Tiba-tiba Mayzati mendapati pembantu rumahnya sedang mengintainya di celah-celah langsir pintu dapur. Namun, sebaik sahaja pembantu rumahnya sedar bahawa Mayzati sedang melihat ke arahnya, segera dia beredar dan menyambung kerjanya semula. Mayzati melepaskan keluhan berat. Dia tidak suka sikap pembantu rumahnya yang suka mencuri dengar perbualannya dan suami.
*****
“Wana, apa cerita sekolah?”
“Mama pun rindu Wana.”
Anaknya yang berumur 13 tahun itu kedengaran menangis teresak-esak.
“Ya, mama datang dengan papa tengok Wana nanti. Kita tunggu papa dapat cuti, ya. Sayang anak mama.”
Mayzati mengesat air mata yang mula membasahi pipinya. Dia tidak mahu Wana mendengarnya menangis.
“Kak May cakap dengan siapa tu?”
Pertanyaan pembantu rumahnya itu membuatkan Mayzati terperanjat.
“Kak May dah kata jangan curi dengar bila kak May bercakap!” Mayzati marah.
“Maaf, kak May. Saya nampak kak May menangis. Risau saya.” Pembantu rumahnya itu takut-takut melihatnya.
Mayzati memandang telefon pintar di tangannya dengan wajah sayu.
“Kak May cakap dengan anak kak May. Kasihan dia. Dia rindukan kak May.”
*****
“Abang, kasihan Wana, bang.” Mayzati memandang suaminya yang sedang bersiap untuk tidur.
“Kasihan apanya?” Tanya suaminya sambil menguap.
“Kasihanlah, Wana menangis masa Zati telefon dia tadi. Rindu katanya.”
“Zati janganlah manjakan Wana tu sangat. Kita baru je melawat dia bulan lepas.”
“Alah, abang ni! Bulan lepas tu 30 hari lalu. Lama tu. Jomlah, hujung minggu ni kita pergi lawat Wana, bang.” Mayzati memandang suaminya yang sudah memejamkan mata di sebelahnya.
“Abang ada kursus dari Jumaat sampai Ahad ni.” Suaminya menjawab sambil matanya sudah terpejam. Tidak lama kemudian, dengkuran halus mula kedengaran.
“Abang! Abang!” Mayzati memanggil sambil mencuit-cuit bahu suaminya itu. Namun, gagal. Suaminya sudah pun tidur lena.
Mayzati melepaskan keluhan berat. Kursus lagi! Perasaan Mayzati bercampur-baur. Marah, kesal, sedih dan kecewa. Dia menutup lampu meja dan turut melelapkan mata.
Malangnya, mimpi ngeri yang sama berulang lagi.
*****
“Tengah malam semalam saya dengar kak May menjerit. Kak May tak apa-apa ke?”
Pagi yang nyaman itu dikejutkan dengan soalan pembantu rumahnya.
Mayzati yang sedang membuat senaman ringan di halaman rumah berhenti dan memandang pembantu rumahnya dengan dahi yang berkerut. Melihatkan Mayzati tidak menjawab soalannya, pembantu rumahnya itu segera menyambung kerjanya menyiram pokok-pokok bunga di dalam pasu.
Mayzati memicit kepalanya yang mula berdenyut-denyut.
Sudahlah pening kepalanya memikirkan Wana yang kesedihan di asrama, di tambah pula pembantu rumahnya ini suka mengambil tahu urusan peribadinya. Mayzati benar-benar rasa bertambah sakit.
*****
“Eh, macam suara Zuhayr!”
Mayzati segera ke ruang tamu sebaik sahaja mendengar suara adiknya daripada televisyen. Kelihatan pembantu rumahnya sedang terpacak menonton siaran tersebut.
“Apa yang menarik, seperti yang dikongsikan oleh ustaz Hasrizal, kemurungan dan kesedihan melampau turut dialami oleh orang yang kuat imannya seperti Nabi Ya’qub. Kesedihan Nabi Ya’qub kerana kehilangan anak baginda iaitu Nabi Yusuf begitu mendalam sehingga menyebabkan kedua belah mata Nabi Ya’qub menjadi buta.”
“Jadi, doktor, adakah ini bermaksud bahawa kita tidak boleh mengatakan bahawa mereka yang depresi itu berpunca daripada iman yang lemah?” Pengacara di sebelah Zuhayr mencelah.
“Tepat sekali. Ini kerana kemurungan juga ialah salah satu bentuk ujian yang boleh menimpa sesiapa sahaja. Jika Nabi Ya’qub boleh menjadi buta kerana kesedihan, apatah lagi kita. Ada pesakit yang saya jumpa mengalami kemurungan sehingga hilang kewarasan. Bukan setakat hilang penglihatan.”
“Bahaya tu doktor. Mereka perlu dibantu dan dibawa ke hospital segera untuk mendapatkan rawatan.” Sekali lagi pengacara tersebut mencelah disertai dengan anggukan Zuhayr.
“Betul. Janganlah kita mengata mereka lemah iman, kurang amal dan sebagainya. Depresi perlukan bantuan pakar.”
Mayzati mengalihkan perhatiannya daripada kaca televisyen sebaik sahaja menyedari bahawa pembantu rumahnya sudah tiada di situ. Mayzati segera ke dapur untuk mencari. Kelihatan pembantu rumahnya sedang bercakap-cakap di telefon sambil menekupkan mulutnya seperti sedang berbisik-bisik. Sebaik sahaja pembantu rumahnya melihat Mayzati sedang berdiri di muka dapur, segera dimatikan panggilan telefon.
“Ya, kak May. Ada apa-apa yang saya boleh bantu?” Pembantu rumahnya tersenyum memandang Mayzati.
Entah mengapa, Mayzati dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan senyuman tersebut.
*****
Tengah malam ini benar-benar terasa sunyi. Suaminya tidak pulang kerana tidur di hotel tempat suaminya berkursus. Hati Mayzati rasa berdebar-debar entah mengapa. Dia cuba berbaring dan memejamkan mata. Namun, bayangan mimpi ngeri yang sering dialaminya itu menyebabkan dia segera bangkit.
“Baik turun bawah. Boleh borak-borak.” Mayzati mengambil keputusan untuk ke bawah. Pembantu rumahnya itu biasa tidur lewat. Jika dia bernasib baik, bolehlah dia mengajak pembantu rumahnya itu berbual-bual di ruang tamu atau di dapur.
Sebaik sahaja Mayzati menjejakkan kaki ke lantai bawah, dia mendengar sayup-sayup suara seperti orang menyanyi. Kelihatan hanya lampu dapur yang masih menyala. Pasti pembantu rumahnya itu masih di dapur.
Semakin dekat Mayzati menghampiri dapur, semakin jelas pula suara pembantu rumahnya itu. Namun, pembantu rumahnya itu bukan sedang menyanyi. Sebaliknya dia sedang membaca sesuatu daripada kertas. Sambil mengacau kuah sup, pembantu rumahnya itu menghembuskan bacaannya tadi ke dalam periuk.
Mata Mayzati membulat tidak percaya. Mayzati yakin, pembantu rumahnya itu sedang membaca mantera sihir!
*****
Nafas Mayzati turun naik. Dadanya berdegup kencang. Laju dia berlari meninggalkan dapur dan kembali ke bilik tidurnya di tingkat atas. Mayzati segera mengunci pintu. Dia yakin bahawa pembantu rumahnya langsung tidak perasan akan kehadirannya di dapur sebentar tadi.
Tangan Mayzati menggigil-gigil mengambil telefon pintarnya. Dia cuba menghubungi suaminya, namun tiada yang menjawab. Pasti suaminya itu sudah tidur mati. Mayzati menangis ketakutan. Dia cuba menghubungi adiknya Zuhayr pula.
“Assalamu’alaikum, kak May. Ada apa telefon malam-malam buta ni?”
Suara Zuhayr membuatkan hati Mayzati sedikit lega.
“Tolong kak May, Zuhayr! Kak May takut! Pembantu rumah kak May nak sihir kak May ni!”
Mayzati menangis teresak-esak.
“Sabar, kak May. Zuhayr tengah oncall lagi ni. Habis je oncall pagi-pagi esok, Zuhayr datang rumah kak May. Insya-Allah, Zuhayr janji.”
“Baik, kak May tunggu.”
Mayzati terpaksa bersabar. Dia tahu tugas adiknya sebagai seorang doktor di hospital. Mayzati segera ke bilik air untuk mengambil air sembahyang. Mayzati tahu, hanya Allah yang mampu melindunginya.
*****
“Makan, kak May.”
Pembantu rumahnya mempersilakan Mayzati bersarapan. Sup cendawan bersama roti bakar. Mayzati menelan air liurnya. Ketakutan yang dirasakan sepanjang malam semalam sudah sirna dengan terbitnya mentari pagi. Mayzati memandang wajah pembantu rumahnya itu dengan pandangan marah. Matanya yang bengkak kerana menangis dan tidak dapat tidur semalaman itu dijegilkan kepada pembantu rumahnya. Rasa takutnya semalam sudah bertukar ganti dengan amarah yang membara.
“Apa kau buat malam semalam hah?!”
Pembantu rumahnya memandang Mayzati dengan wajah yang pucat lesi.
“Kau ingat aku tak tahu?!”
Mayzati mengambil mangkuk yang berisi sup cendawan panas lalu dihempaskan ke lantai. Bunyi mangkuk pecah itu disertai dengan jeritan nyaring pembantu rumahnya. Mujur Mayzati masih waras. Kalau diikutkan rasa marahnya itu, ingin sahaja dia membaling sup cendawan panas yang sudah dibacakan mantera sihir itu ke muka pembantu rumahnya.
Pembantu rumahnya segera melarikan diri ke halaman rumahnya. Serentak dengan itu Mayzati membuka pintu pagar automatik menggunakan alat kawalan jauh. Mayzati tahu bahawa Zuhayr sudah tiba. Sekarang pembantu rumahnya itu tidak boleh lari lagi.
*****
Zuhayr dan isterinya, Nasuha keluar daripada kereta. Mereka memandang pintu pagar yang sedang terbuka perlahan-lahan.
Tiba-tiba muncul seorang gadis berlari ke arah mereka berdua.
“Tolong! Tolong, kak!” Gadis itu terus memeluk Nasuha erat.
Zuhayr memandang kakaknya yang berada di muka pintu rumah dengan penuh tanda tanya.
“Zuhayr!” Mayzati menjerit keriangan.
Zuhayr segera menghampiri kakaknya itu.
“Tu! Budak yang Zuhayr hantar untuk jadi pembantu rumah kak May tu! Berani dia cuba sihir kak May! Sekarang berlakon macam apa pula. Kak May ni yang patut minta tolong!”
Mayzati memandang pembantu rumahnya yang sedang menangis sambil dipujuk oleh adik iparnya, Nasuha. Entah-entah, Nasuha pun terlibat sama untuk menyihirnya. Adik-beradik sama sahaja. Mayzati memandang mereka berdua dengan penuh benci.
“Cuba kak May cerita pada Zuhayr apa yang kak May nampak.” Zuhayr berkata tenang sambil memimpin kakaknya itu duduk di atas sofa di halaman rumah.
“Tu! Budak tu tengah-tengah malam buta baca mantera sihir sambil masak. Ditiup-tiupnya masuk dalam periuk! Patutlah hampir tiap-tiap malam kak May mimpi ngeri!”
“Kak May, kak May salah faham. Saya tak baca mantera sihir kak May..” Pembantu rumahnya mula bersuara sambil menangis tersedu-sedu.
“Saya baca ayat Kursi dan zikir-zikir pendinding, kak May! Sebab saya selalu dengar kak May menjerit malam-malam. Lagipun abang Zuhayr yang bagi kertas zikir-zikir tu untuk saya amal dan bacakan untuk kak May.”
Mayzati terkebil-kebil memandang pembantu rumahnya itu. Ayat Kursi? Zikir pendinding? Bukan mantera sihir? Mayzati tertanya-tanya sendiri.
“Kak May, betul ke Zuhayr dengar kak May selalu cakap seorang diri?” Zuhayr memegang kedua belah bahu kakaknya itu. Mereka bertentang mata. Mayzati segera melarikan pandangannya. Tangan Zuhayr segera ditepis.
“Mana ada! Budak tu ke yang mengadu pada Zuhayr? Dia nak kata kak May ni gila ke?!” Mayzati berang.
“Zuhayr yang minta adik Nasuha perhatikan kak May. Zuhayr minta tolong dia perhatikan apa yang kak May buat dan laporkan pada Zuhayr. Zuhayr nampak tanda-tanda depresi pada kak May. Kak May, Zuhayr bawa kak May ke hospital ye. Kak May kena jumpa pakar..”
“Apa ni Zuhayr?! Kak May tak pernah cakap seorang diri! Bila masa kak May cakap seorang diri tu?!” Mayzati segera memotong kata-kata adiknya.
“Kak May selalu cakap seorang diri bila makan malam. Lepas tu, bila cakap guna telefon, kak May nangis sorang-sorang.” Pembantu rumahnya tiba-tiba mencelah.
“Tipu! Semua tu tipu! Kak May selalu cakap dengan suami kak May masa makan malam. Masa telefon tu kak May nangis sebab cakap dengan Wana! Wana rindu kak May!” Mayzati segera menafikan pertuduhan yang dibuat oleh pembantu rumahnya.
Sekali lagi Zuhayr memegang kedua belah bahu Mayzati. Kali ini lebih kejap dan kuat.
“Kak May, suami dan anak kak May dah mati tahun lepas! Kak May ingat tak?! Abang Izwan kemalangan jalan raya bersama Wana masa ambil Wana daripada asrama! Kak May sendiri tengok jenazah mereka berdua dengan Zuhayr. Kak May ingat tak?!”
Zuhayr menggoncangkan bahu kakaknya itu. Mayzati terpana. Perlahan-lahan, Mayzati teringat kembali jenazah suami dan anaknya yang berlumuran darah.
Mayzati mula ketawa perlahan-lahan. Ketawa Mayzati kemudiannya berubah menjadi hilai tawa yang mengerikan seperti yang selalu hadir dalam mimpinya sendiri.
Zuhayr segera memeluk kakaknya itu. Hilai tawa Mayzati bertukar menjadi tangis yang menyayat hati. Mayzati tahu, dia sering dibayangi imaginasi untuk sentiasa bersama suami dan anak kesayangannya. Walaupun hakikatnya, suami dan anaknya sudah hampir setahun berada di alam kubur.
“Jom, kak May. Kita ke hospital ye.” Lembut Zuhayr berbisik ke telinga kakaknya itu.
Mayzati mengangguk lemah sambil memeluk erat adiknya. Perlahan-lahan dia memandang pembantu rumahnya yang sudah datang menghampirinya bersama Nasuha.
“Maafkan kak May, Nawra.” Mayzati bersuara lirih.
Nawra dan Nasuha segera memeluk Mayzati. Mereka tahu, Mayzati memerlukan sokongan dan bantuan.