Cukup dengan Percaya

“Aku rasa aku tak jadi nak daftarlah,” Shah bersuara, memecahkan keheningan malam.


 


Jam dinding menunjukkan pukul dua pagi. Shah dan Wan masih segar terjaga, masing-masing tenggelam dalam kesibukan yang berbeza. Dua sekawan ini telah tinggal serumah sejak lima tahun dahulu, apabila mereka bercadang untuk melanjutkan pelajaran jauh dari kampung halaman mereka. Kedua-duanya anak yatim dari kecil lagi, dan dibesarkan di sebuah rumah anak yatim. Sejak umur mereka mencecah 11 tahun, mereka sudah berdikari untuk mencari pendapatan masing-masing, sehari demi sehari. Pengalaman berdikari dari kecil membuat mereka menjadi orang dewasa yang sangat bertanggungjawab dan matang.


 


“Eh, kenapa pula? Kau ini, janganlah semangat hangat-hangat tahi ayam,” Wan berhenti menaip di komputer ribanya dan menoleh ke arah Shah. “Kau ok tak? Apa yang terjadi?”


 


Shah menolak kepalanya ke belakang dan menutup mukanya dengan kedua telapak tangannya sambil mengambil nafas yang panjang.


 


“Aku rasa aku tak layaklah, Wan. Aku tahu ini satu peluang dalam seribu, tapi aku pun rasa mungkin belum tiba masanya aku ambil langkah ke hadapan,” Shah menyuarakan fikirannya. “Aku cuba lain kali ya? Sambil itu, aku boleh cari kerja di restoran-restoran terdekat, jadi tak bebankan kau sangat. Sekarang ini, hanya kau sahaja yang ada kerja tetap di antara kita berdua.”


 


Wan mengecilkan matanya dan menumpukan pandangannya ke Shah, seolah-olah menembak peluru dari matanya.


 


“Shah, kita sudah ulangi perbualan ini sebanyak 10 kali minggu ini. Ok sekejap, biar aku rekod apa yang aku nak cakap, jadi kalau sekali lagi kau cakap kau tak layak, aku mainkan rakaman ini untuk kau,” Wan berkata sambil menunjukkan tanggannya yang digenggam, seolah-olah hendak menumbuk Shah.


 


Shah tersenyum melihat gelagat teman karibnya. Dia menghela nafas yang panjang.


 


“Jangan risau lah. Lepas ini kau tak akan dengarkan lagi,” Shah berkata. “Pendaftaran tutup esok.”


 


Mendengarkan itu, Wan sejurus berlari ke meja Shah dan memeluk kepalanya. Dia melepaskan tumbukan kecil bertalu-talu di kepala Shah.


 


“Apa kau kata?! Esok pendaftaran tutup?! Kau jangan main-main, aku nak kau daftar sekarang juga!” Wan melepaskan geramnya dalam tumbukan mesra di kepala Shah.


 


Shah cuba mengelak dari Wan dan akhirnya berjaya. Kali ini, dia tertawa dengan reaksi Wan, sehingga dia perlu mengambil seminit dua untuk meleraikan tawanya.


 


Wan kembali ke tempat duduknya sambil menggelengkan kepalanya. Dia tahu Shah sangat layak untuk peluang ini. Shah bercita-cita untuk menjadi seorang juruterbang. Beberapa bulan yang lalu, mereka terjumpa iklan biasiswa juruterbang yang menawarkan dua tahun di sebuah universiti yang terkemuka. Jika keputusan akademik itu memuaskan, biasiswa itu akan membenarkan pelajar itu untuk terus melanjutkan kerjaya juruterbang dengan sebuah syarikat besar dan maju. Semua ini tanpa bayaran, tetapi amat memerlukan kerja yang keras dan semangat yang jitu. Wan tahu Shah hanya gementar dan tidak yakin kerana mereka sebagai anak yatim sentiasa merasa bahawa semua orang lebih hebat dari mereka.


 


“Shah, kalau kau tak percaya diri kau sendiri, siapa lagi nak percaya dengan kau?” Wan menghadapkan tubuhnya ke arah Shah. “Kau perlu percaya pada diri sendiri. Sama macam percaya pada Tuhan – bila kau percaya ada Tuhan yang Satu, maka sampai bila-bila lah, inshaAllah, kau akan tidak percaya kepada apa pun selain Tuhan yang Maha Esa. Sama lah macam kau. Bila kau percaya kau boleh lakukan sesuatu, sampai bila-bila pun kau tak akan percaya yang kau tak boleh lakukan perkara itu. Kau tahu kau boleh, kau sangat percaya yang kau boleh, dan guess what – kau memang akan buktikan yang kau boleh! Apa benda yang buat kau ragu-ragu? Tepis semua itu! Itu hanya bisikan dari hati sebab kau takut, sebab ini kali pertama kau nak cuba. Kau banyak fikir tentang apa yang akan terjadi kalau kau gagal.”


 


Shah tekun mendengar nasihat dari sahabatnya. Dia memeluk tubuhnya sambil mengeluh.


 


But so what kalau kau gagal? Kau rugi tak? Paling-paling merajuk dua tiga hari, lepas itu, ambil iktibar dan berusaha sekali lagi. Look, you have to allow yourself to grow. It doesn’t happen overnight. Kejayaan perlukan banyak pengorbanan, kerja keras, kesabaran, dan azam yang kuat! Kalau kau betul-betul nak berjaya, pastinya kau akan buat segala-gala yang kau mungkin terdaya untuk buat, sehingga kau capai kejayaan,” Wan meluahkan buah fikirannya. Dia cuba memberi perangsang kepada kawannya itu yang sangat memerlukannya.


 


Shah memandang lantai. Dia membisu, tidak tahu apa yang harus dikatakan kerana semua yang dikatakan Wan itu benar belaka. Dia memang kurang percaya pada diri sendiri.


 


“Dah itu senyap? Aku cakap panjang lebar, kau tengok lantai aja?” Wan sambung dengan nada menyakat.


 


Shah tersenyum. Dia mendongak melihat kawannya yang telah lama dianggap sebagai abang.


 


“Betul apa kau kata. Aku memang tak yakin. Tapi kalau tak cuba, kita tak tahu, kan? Mana tahu ini rezekiku,” Shah memberi respon. “Selepas Subuh nanti aku daftar ya? InshaAllah.”


 


Wan tersenyum lega. Dia bersyukur dapat menaikkan semangat Shah yang hampir hilang sebentar tadi. Dia kembali ke komputer ribanya dan menyambung kerjanya. Di sudut lain, Shah mula menghilang dalam lautan fikirannya sambil dia melihat luar tingkap, jauh ke langit gelap yang diterangi cahaya bulan.


 


________


 


 


 


“Wan, kau pernah dengar pepatah Inggeris tak?” Shah menarik siku Wan untuk mendapatkan perhatiannya. “Pepatahnya adalah, ‘cuba sedaya upaya untuk mencapai bulan, tetapi jika kau gagal, kau akan jatuh di antara bintang-bintang’. Aku rasa kalau aku jatuh, tak sempat rasa keajaiban bintang… Aku rasa aku terus tembus langit, jatuh balik ke bumi. Biar jatuh terus sedar diri yang aku tidak layak untuk capai bulan.”


 


“Merepek lah kau ni!” Wan menepis tangan Shah. Dia mengerut wajah sambil mendengar tawa Shah yang berdekah-dekah. “Dah sampai masa ini pun kau masih nak ragu-ragu! Come on Shah, believe in yourself!”


 


Shah mengeluh. Mereka berdua telah menaiki bas untuk ke universiti yang berhampiran, di mana keputusan untuk biasiswa itu akan diumumkan. Dua minggu telah berlalu sejak Shah mendaftarkan diri untuk biasiswa ini. Sejak itu, dia telah sabar menanti untuk mendengarkan keputusan biasiswanya. Akhirnya, hari itu sudah tiba.


 


“Ya, aku tahu. Aku gurau aja lah. Kau ini, serius sangat,” Shah berkata. “Aku berserah aja lah. Tuhan yang lebih tahu jika ini terbaik untuk aku.”


 


“InshaAllah, Shah,” Wan menepuk bahu Shah dengan perlahan. “Jom turun! Kita sudah sampai.”


 


Tiba di universiti itu, mereka mencari dewan yang telah ditetapkan untuk majlis tersebut. Disebabkan ia sebuah majlis tertutup, hanya para peserta biasiswa yang dibenarkan masuk. Wan mencari tempat duduk kosong di luar dewan sementara Shah mendaftarkan diri di meja penyambut tamu.


 


Pembukaan majlis yang mengambil masa 10 minit terasa bagai 10 jam untuk Shah. Dia gelisah dalam tempat duduknya dan hatinya berdebar. Dia mula berdoa dan berzikir untuk menenangkan dirinya.


 


Wan setia menunggu di luar dewan. Sambil menunggu, dia membaca buku yang telah dibawa bersama. Setelah kira-kira lapan muka surat, Wan berhenti dan menutup buku. Dia melihat jam tangannya.


 


“Lagi lama ke? Seram pula aku jadinya,” Wan berkata-kata seorang diri. Dia mula berdiri dan berjalan ulang-alik di koridor di luar dewan.


 


Setelah 10 minit, tiba-tiba dia ternampak kelibat Shah yang baru sahaja keluar dewan, bersama peserta-peserta yang lain. Dia terus berlari menuju arah sahabatnya itu. Mata Shah berliar-liar mencari Wan, dan apabila dia melihat Wan sedang menuju ke arahnya, dia juga berlari ke arah Wan.


 


“Ya Allah, Wan! Aku berjaya! I did it! Aku tak sangka!” Shah hampir-hampir menjerit dalam kegembiraan. Matanya berlinangan dengan air mata. Dia memeluk tubuh Wan sekuat hatinya.


 


 


“Alhamdulillah Shah! Tahniah! Kan aku dah kata, kau memang sangat layak untuk peluang ini!” Wan tersenyum lebar, dan airmata juga berlinangan di matanya. Dia sangat gembira untuk sahabatnya yang satu ini. “Aku bangga dengan kau, Shah!”


 


“Tadi dalam dewan, aku dah bersedia nak berserah dengan apa sahaja yang ditakdirkan untuk aku. Perasaanku berkecamuk sampai aku tak tahu dah nak rasa apa. Bila aku dengar nama aku, aku terus nak pekik nama kau!” Shah mula kongsikan perasaannya. Hatinya masih berdebar dek gementar yang dialaminya tadi.


 


“Kenapa pula? Kau nak panggil aku buat apa?” Wan bertanya dengan hairan.


 


“Sebab kau sangat percaya dengan aku sejak dulu lagi. Aku memang fikirkan kata-kata kau sepanjang masa aku dalam dewan,” Shah berseloroh.


 


Wan tersenyum kecil dan berkata, “Kau silap, Shah.”


 


“Apa pula aku silap?” Shah mengerut mukanya.


 


“Yang percaya dengan diri kau adalah kau sendiri. Kalau aku dan seluruh dunia ini percayakan kau, tapi kau tak percaya dengan diri kau sendiri, memang kau tak akan pernah jejak tempat ini hari ini,” Wan menjelaskan. “Tapi, disebabkan kau percaya dengan diri kau sendiri, tengok apa telah terjadi hari ini. Cukup, kan? Cukup dengan hanya percaya. Kadang-kadang kita hanya perlu percaya.”


 


Shah tersenyum. Mereka berdua mula menuju ke pintu keluar universiti itu. Untuk Wan, dia sedang menoreh langkah ke tempat makan yang terdekat untuk bersarapan pagi. Tetapi untuk Shah, setiap langkah yang diambil sejak detik itu merupakan langkah-langkah pertama di dalam bab yang baru dalam hidupnya.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 31, 2018 17:37
No comments have been added yet.