Tadabbur: Mencari perlindungan Allah

Dalam hidup ini jika kita ingin mencapai sesuatu perkara yang besar sudah pasti mempunyai halangan yang hebat untuk mendapatkannya. Jadi dalam agama Islam ini apakah perkara yang paling besar? Hidayah. Jadi senang kata nak dapat hidayah Allah ‘is not easy!’ Sebab itulah Allah meletakkan surah al-Fatihah di depan sekali kerana ia menceritakan tentang akidah. Apabila akidah kita sudah mantap, kita diuji teruk macam mana pun kita ada Allah SWT.


Contohnya seperti Nabi Ibrahim AS ketika baginda ingin dicampakkan ke dalam api, dia tidak memerlukan bantuan melainkan ‘hasbunallah wani’mal wakil’ (Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung). Sebenarnya di saat kita ditimpa ujian, Allah SWT nak mengangkat darjat kita. Allah SWT nak lihat sama ada kita bergantung pada-Nya atau kita bergantung kepada makhluk lain.


Dalam surah al-Fatihah juga kita melafazkan “Hanya kepada engkaulah kami mohon pertolongan”, nak mintak tolong apa ini? Allah SWT memberikan jawapannya di dalam surah yang terakhir iaitu Surah al-Nas. Dalam perjalanan kita menuju Allah, kita akan diganggu oleh apa yang disebut di dalam Surah al-Falaq dan juga Surah al-Nas. Kedua-dua surah ini juga dikenali sebagai Muawwizatain. Namun kali ini kita ingin melihat Surah al-Nas supaya kita dapat melihat apa yang bersarang dalam diri kita. Kita kena kenal musuh supaya kita dapat mengalahkan dia.


Allah SWT mengajar kita supaya memohon pertolongan daripada musuh luaran dan juga dalaman. Surah ini adalah surah yang sangat penting kerana jika kita lihat pada hari ini kita semua menghadapi pelbagai ujian, dugaan dan segala bentuk fitnah yang menyebabkan kita kadang-kadang lari daripada landasan kita sebagai orang beriman.


Menurut beberapa pengkaji al-Quran surah ini tidak boleh dilihat secara bersendirian kerana ia perlu dibaca bersama Surah al-Falaq, Surah al-Ikhlas dan juga Surah al-Fatihah. Ini kerana surah-surah ini mempunyai kaitan yang sangat rapat. Dan apabila kita membaca surah ini, kita dapati setiap ayat itu mempunyai kaitan dengan diri kita.


 


Kenapa Perlu Minta Perlindungan Allah?


Pada awal Surah al-Nas mengapa Allah SWT perintahkan kita sebut ‘Qul’ (Katakanlah)? Allah SWT nak sedarkan yang kita ini merupakan makhluk yang lemah. Jadi  tujuannya adalah untuk kita mengaku kelemahan kita dan  membuang ego. Kita rasa kita hebat, tanpa Allah kita boleh berjaya. Kita rasa kita kebal, tanpa Allah kita akan selamat. Apabila kita sebut sahaja kalimah ‘Qul ‘Auzu’ kita telah merendahkan ego dan memohon perlindungan daripada Allah SWT.


Walaupun manusia merupakan makhluk yang paling mulia, Allah SWT ingin beritahu bahawa yang berhak untuk kita mohon pertolongan hanya Allah SWT. Walaupun ada di kalangan manusia yang menjadi raja, namun Allah SWT adalah raja manusia yang sebenarnya. Jadi Allah SWT adalah satu-satunya tempat perlindungan dan bukannya kepada raja-raja atau penguasa dari jenis kita sendiri.


Pertama kita nak lihat sumber perlindungan. Dalam surah ini ada 3 sumber perlindungan iaitu ‘Rabbun Naas’ (Pemelihara Manusia). ‘Malikun Naas’ (Penguasa Manusia). ‘Ilahun Naas’ (Tuhan Manusia). Maksudnya ialah walaupun Allah SWT menciptakan manusia untuk hidup di muka bumi ini, Allah SWT tidak akan biarkan manusia bersendirian. Allah SWT sedia membantu dan melindungi manusia.


Yang kedua, kita nak berlindung daripada apa? ‘Was-was al-Khannas’ (Bisikan yang selalu bersembunyi). Menurut al-Qurthubi, Yakni: “Dari kejahatan syaitan”. Iaitu: “Dari kejahatan makhluk yang suka mewas-waskan (membisikkan kejahatan). Adapun dinamakan khannas kerana ia sering bersembunyi. Perkataan khannas terdapat dalam firman Allah Ta`ala: “Oleh itu, aku bersumpah dengan al-Khannas (iaitu bintang-bintang)” [Surah at-Takwir 81: 15]. Disebutkan bintang dengan “al-Khunnas” kerana ia sering tersembunyi dan tidak terlihat (dengan jelas).” Ada pula yang berpendapat: “Makna khannas itu adalah mundur kerana ia selalu mundur tatkala seorang hamba berzikir kepada Allah.” Ada juga yang berpendapat: Perkataan khannas itu bermakna kembali kerana syaitan itu akan kembali ke dalam hati seorang hamba yang lalai dari mengingati Allah.”


Selain itu, dalam diri kita juga ada hawa nafsu. Hawa itu bermaksud keinginan. Nafs itu bermaksud diri. Bila digabungkan menjadi ‘keinginan diri’. Hawa nafsu ini kita boleh kawal atau tidak? Boleh. Sebab kita yang membuat keputusan. Apabila kita buat keputusan mengikut hawa nafsu dan bertentangan dengan wahyu kita akan mendapat dosa.


Sebenarnya tanpa kita sedari kita mempunyai penasihat atas setiap keputusan yang kita buat. Tidak kira sama ada baik atau jahat. Ibnu Abi Hatim meriwayatkan dari ‘Abdullah bin Mas’ud RA; Rasulullah SAW bersabda:


“Sesungguhnya syaitan memiliki bisikan dalam hati anak Adam dan malaikat pun memiliki bisikan. Adapun bisikan syaitan adalah menjanjikan keburukan dan mendustakan kebenaran. Adapun bisikan malaikat adalah menjanjikan kebaikan dan membenarkan yang haq. Sesiapa yang mendapat perkara seperti ini (bisikan malaikat) maka ketahuilah bahawa itu adalah berasal dari Allah dan hendaknya dia memuji Allah. Sesiapa mendapatinya yang lain (bisikan syaitan), hendaklah dia meminta perlindungan kepada Allah dari godaan syaitan yang direjam .” Hadis Riwayat at-Tirmizi dan an-Nasaie.


Ini memberikan isyarat kepada kita supaya berhati-hati dengan bisikan dan pujuk rayu daripada syaitan. Syaitan yang selalu berdamping dengan manusia bernama Qarin. Qarin inilah akan sentiasa bersama kita setiap masa. Berkata ‘Abdullah bin Mas’ud RA: Rasulullah SAW bersabda:


“Tidak ada seorang pun dari kamu semua melainkan telah ditugaskan kepadanya satu qarin dari golongan jin dan satu qarin dari golongan malaikat. Para sahabat bertanya: “Apakah engkau juga begitu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: “Begitu juga aku, namun Allah telah menolongku atasnya (qarin dari golongan jin) sehingga ia masuk Islam. Maka, tidaklah ia (qarin tersebut) memerintahkan kecuali kepada kebaikan.” Hadis Riwayat Muslim.


Syaitan juga telah berazam dengan meminta tempoh kepada Allah supaya dapat menggoda manusia dari atas, bawah, kiri dan kanan sehingga ke Hari Kiamat. Apakah bentuk-bentuk was-was (Bisikan jahat syaitan)?


 


Pertama: Memperindah Segala Jenis Maksiat


Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hijr 15: 39,


“Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, sesungguhnya aku akan memperindahkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya.”


Contohnya Iblis telah menghasut Nabi Adam AS supaya memakan buah yang telah dilarang oleh Allah SWT. Iblis telah memberitahu kepada Adam bahawa jika ingin hidup kekal selama-lamanya dan mendapat kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap, makanlah buah ini. Maka terpedayalah Adam dan juga Hawa sehingga terbuka auratnya. Selain itu juga kisah Balqis dan pengikutnya yang menyembah matahari. Syaitan telah memperelokkan pada pandangan mereka daripada menyembah Allah SWT.


 


Kedua: Menakut-nakutkan Manusia Melakukan Kebaikan


Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah 2: 268,


“Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan atau kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat kedekut dan sebagainya); sedangkan Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurniaan-Nya. Allah Maha Luas (limpah rahmat-Nya), lagi Maha Mengetahui.”


Ketika makan di luar, saya sering didatangi oleh peminta sedekah. Ada yang memang semata-mata minta sedekah, ada yang menjual tisu, keropok dan sebagainya. Jadi kadang-kadang syaitan bisik kepada kita, “Uish kacau je. Orang tengah makan sedap-sedap ini. Hilang selera nak makan.” Ataupun kucing datang nak mintak makanan. Kita akan cepat berkata, “Uish aku pun baru nak makan nih, kang kalau aku bagi tak kenyang aku.”


 


Ketiga: Menimbulkan Keraguan


Saya teringat tentang kisah Perang Badar. Pada masa itu tentera Islam hanya berjumlah 313 orang sahaja yang akan menentang 3000 orang Kafir Quraish. Ini bermakna seorang tentera Islam akan menghadapi 10 orang musuh sekaligus. Namun Rasulullah SAW  telah menjanjikan kemenangan kepada tentera Islam. Ketika perang, syaitan telah bisik kepada tentera Islam untuk meragui kemenangan yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW.


Allah SWT berfirman dalam Surah al-Anfal 8: 11,


“(Ingatlah) ketika kamu diselubungi rasa mengantuk sebagai satu (pemberian) ketenangan daripada Allah dan Dia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk menyucikan kamu dengannya serta menghapuskan daripada kamu gangguan syaitan, dan juga untuk menguatkan hati kamu dan meneguhkan dengannya telapak kami (pendirian kamu di meda perjuangan).”


 


Keempat: Menjadikan Manusia Lupa Perkara Yang Baik


Hari ini kita dah rancang untuk baca al-Quran sebanyak dua muka surat, namun kita tangguhkan sekejap untuk selesaikan kerja. Kita anggap bila kerja dah selesai, barulah hati tenang untuk baca al-Quran. Begitulah hari demi hari kita berazam untuk baca al-Quran namun syaitan telah melupakan kita. Sedar tak sedar, sebulan sudah berlalu satu muka surat pun kita tidak baca.


Contoh lain seperti kisah Nabi Yusuf AS dalam Surah Yusuf 12: 42,


“Yusuf berkata kepada orang yang dia percaya akan dibebaskan antara mereka berdua, “Ceritakanlah perihalku kepada tuanmu.” Lalu dia telah dilupakan oleh syaitan untuk menyebutkan (hal Yusuf) kepada tuannya. Dengan sebab itulah tinggallah Yusuf dalam penjara beberapa tahun.”


Itulah antara contoh bisikan-bisikan syaitan yang sedaya-upaya menggoda manusia. Manusia kena sentiasa ingat bahawa tugas syaitan adalah untuk mengajak manusia masuk ke dalam neraka. Oleh itu, manusia perlu bersiap sedia melawan musuh yang sebenar agar tidak terperangkap dengan tipu daya syaitan yang penuh dengan helah. Malah dalam ayat terakhir surah ini memberitahu bahawa syaitan itu bukan sahaja dari kalangan jin, tetapi ada juga dari kalangan manusia ‘Minal jinnati wan naas’.


Apabila kita menghayati Surah al-Nas kita dapati Allah SWT ingin memberitahu kepada kita bahawa mintalah perlindungan kepada Allah SWT setiap masa dan keadaan. Ketika kita ingin menaiki kenderaan, makan, minum, beribadah, sebelum tidur, masuk tandas dan sebagainya. Sebab Allah SWT telah berjanji kepada syaitan bahawa dia dan tenteranya boleh buat apa sahaja yang mereka suka terhadap manusia, namun ingat  bahawa dia tidak akan mampu untuk mengalahkan hamba-hamba Allah yang beriman dan ikhlas.


Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’ 17: 65,


“Sesungguhnya hamba-hamba-Ku (yang beriman dengan ikhlas), tiadalah engkau (wahai Iblis) mempunyai sebarang kuasa terhadap mereka (untuk menyesatkannya). Cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi Pelindung (bagi mereka).”


 


Penutup: Perintah Memohon Perlindungan Dengan Allah Daripada Syaitan


 Oleh itu, kita tidak akan mampu berhadapan dengan syaitan tanpa bantuan Allah SWT. Tidak kira sama ada kita ulama, ustaz ataupun bukan ustaz kita akan jatuh dalam tipu daya mereka. Ini kerana Iblis mempunyai pengalaman dan kepakaran yang telah Allah SWT anugerahkan kepada mereka.


Allah SWT berfirman dalam Surah Fussilat 41: 36,


“Jika engkau digoda oleh sesuatu godaan daripada syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah , sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”


‘Auzubillahi minasyaitan nirajiim’.


Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam.


Aku berlindung dengan Allah daripada manusia yang terlaknat.


 


 


 


 


 


 


 


 


 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 26, 2018 23:32
No comments have been added yet.