Busyra Hannan, anak syurga
Tangisan bayi 7 tahun lalu seakan masih segar di ingatan aku. Pagi yang dingin bertemankan titisan embun yang mendamaikan suasana. Kedengaran laungan iqamah ke telinga seorang ahli keluarga baharu di dalam keluarga aku. Kalimah syahadah dibisikkan tatkala si anak menjengah ke dunia. Kalimah syahadah juga dibisikkan tatkala jasad dan nyawa tidak lagi bersatu. Namun, dalam kegembiraan menyambut kelahiran insan baharu, terselit kesedihan atas pemergian seorang insan yang bertarung nyawa asbab hadirnya si anak kecil.
“Tahniah, anak encik dapat diselamatkan. Maafkan kami, allah lebih sayangkan isteri encik.”
“Innalillahiwainnailaihiraajiun”
Sudah tujuh tahun ibu meninggalkan kami sekeluarga. Tetapi masih terasa pemergian ibu baru sahaja semalam. Seakan semalam ibu membelai rambut aku. Bebelan ibu masih terngiang di telinga kecilku. Suapan lauk kegemaran aku masih terasa. Aku menangis lagi. aku lepaskan semua kesedihan aku terhadap ibu. Kasih sayangmu hangat terasa.
“Ibu, Fiqa rindu ibu. Kenapa ibu pergi tinggalkan Fiqa dan ayah?”
“Ibu dah tak sayang Fiqa lagi?”
“Fiqa rindu ibu!”
Semakin lama semakin aku mengerti bahawa ibu hanya pinjaman seketika. Setiap yang bernyawa itu pasti menemui pengakhirannya. Allah Yang Maha Berkuasa telah mengaturkan segalanya. Namun, kerinduan aku kepada sebatang tubuh yang bergelar ibu tidak akan pernah padam dan luntur. Aku rindukan ibu.
“Akak!”
Aku tersentap dari lamunan panjang. Busyra Hannan, adik perempuan aku memanggil aku berkali-kali. Aku sendiri tidak menyedari panggilan itu pada awalnya.
“Akak tolonglah Busyra, Busyra tak pandai nak buka televisyen ni.”
“Susah betul nak guna benda ni.”
Alat kawalan jauh dihulurkan kepada Syafiqa. Busyra hanya memerhatikan tindak tanduk kakaknya itu. Mata Busyra terus beralih arah apabila rancangan kegemarannya itu bersiaran di kaca televisyen. Busyra hanyut dalam dunia hiburan di hadapanya itu.
Tujuh tahun sudah umur Busyra Hannan. Sama usia pemergian ibu dan kelahiran anak kecil ini di dalam keluarga aku. Aku tidak pernah menyalahkan dia kerana kematian ibu. Dia berhak untuk lahir ke dunia. Sejak pemergian ibu, aku mengambil alih tempat ibu membantu ayah yang bekerja mencari rezeki. Kadang-kadang aku tidak mengerti dengan sikap dan perangai Busyra itu sendiri. Dia seakan tidak normal tetapi fizikalnya sama sahaja seperti kanak-kanak lain. Tetapi apabila di dalam kelasnya, dia memang agak kebelakang. Dia tidak mampu mengikuti sepenuhnya pembelajaran di dalam kelas.
Aku selalu memarahi Busyra kerana dia tidak mampu melakukan perkara yang teramat mudah. Busyra akan bertanya dan terus bertanya apabila dia tidak dapat melakukan sesuatu perkara itu walaupun mudah.
Dalam aku memarahi diri dia, aku kagum dengan kelebihan yang ada pada dirinya. Busyra suka menghafal dan mudah ingat. Setiap kali dia memerhatikan aku dan ayah berbual, pasti dia dapat menuturkan semula. Busyra seorang yang suka berpegang pada janji. Andai kata aku ingin membelinya ais krim, pasti dia akan bertanya sehingga dia dapat apa yang aku telah janjikan itu.
“Akak, camna nak buka nasi lemak ni?”
“Busyra lapar.”
“Ya Allah! Kau buka jelah. Bukan susah pun. Takkan itu pun kau tak reti!”
Aku terus memarahi Busyra pada pagi itu. Tetapi dia masih kaku di tempat duduknya. Busyra mengangkat nasi lemak itu dan akhirnya nasi lemak itu jatuh ke lantai. Dia bangun ingin memakan nasi lemak tadi.
“Busyra! Kau ni dah kenapa?”
Aku mencubit Busyra dan memarahi anak kecil itu. Dia berlari memasuki biliknya. Pintu ditutup rapat.
“Apa Busyra dah buat?”
“Busyra betul-betul tak pandai buat.”
“Kenapa Busyra selalu kena pukul dengan kakak?”
Busyra Hannan menangis di dalam biliknya. Kedengaran suara Syafiqa cuba memujuk adiknya itu. Tetapi Busyra tetap tidak mahu keluar dari dalam bilik. Dia bimbang kan dipukul lagi oleh Syafiqa. Busyra tiba-tiba menjerit sekuatnya dan Syafiqa kaget mendengar suara adiknya itu. Syafiqa hanya keseorangan di rumah. Ayahnya tiada kerana pergi ke sekolah. Syafiqa terpaksa memecahkan pintu bilik adiknya kerana tidak menemui kunci pendua.
Aku meluru dan memeluk Busyra yang seperti dirasuk sesuatu. Pertama kali aku melihat Busyra sebegini rupa. Setiap kali aku memarahinya pasti dia akan membalas tanpa ada rasa riak bersalah dalam dirinya. Kali ini berbeza dan airmata anak kecil ini menangis seperti waktu aku mula-mula kehilangan tempat bermanja.
“Busyra, maafkan akak ye. Jom makan. Busyra kan lapar.”
“Busyra taknak makan, nanti akak pukul Busyra lagi.”
“Tak sayang, akak tak pukul Busyra. Jom makan. Akak suapkan Busyra ya.”
Aku memimpin tangan anak kecil itu. Sepanjang waktu itu, aku hanya memerhati raut wajahnya. Persis muka ibu. Mungkin allah gantikan ibu dengan adikku ini.
Ayah aku seorang guru di sekolah dan Busyra Hannan juga ditempatkan di sekolah sama agar senang dipantau. Ayah aku selalu berpesan supaya jangan selalu memarahi adik aku itu. Bantu dia apabila dia tidak mampu untuk melakukan sesuatu. Kata ayah, Busyra seorang yang istimewa di dalam keluarga aku. Aku juga tidak mengerti. Dia tiada sesiapa lagi melainkan aku dan ayah. Busyra Hannan belum sempat merasakan kasih sayang seorang ibu. Mungkin sebab itu dia terlalu manja dengan aku walaupun aku sering memarahinya.
Suatu hari, aku menemani ayah membawa Busyra Hannan untuk melakukan ujian pemeriksaan kesihatan seperti biasa. Sebelum ini doktor pernah memberitahu bahawa adik aku mempunyai tanda-tanda penyakit yang belum dapat dipastikan. Hari itu aku tidak tahu mengapa hati aku sangat berdebar. Hati aku resah dan gelisah memikirkan adik aku
“Fiqa, selawat dan doa banyak-banyak untuk adik kamu. Semoga tiada apa-apa yang berlaku.”
Setelah beberapa jam menunggu, akhirnya nama waris pesakit di panggil ke bilik doktor. Aku mengikut ayah. Aku lihat Busyra masih terbaring di katil pesakit. Ada seorang jururawat sedang memeriksanya.
“Encik ni ayah dia ke?”
“Ya saya dan ini kakak dia. Macam mana perkembangan anak saya doctor?”
“Dia sihat. Alhamdulillah.”
“Alhamdulillah. Syukur.”
“Cuma saya ingin memberitahu sesuatu tentang Busyra Hannan. Dia sebenarnya…”
Jantung aku terasa seperti terhenti seketika apabila mendengar penerangan doktor tadi. Rasa bersalah mula menyelubungi diri aku. Hati aku mula sebak. Sepanjang perjalanan aku memandang wajah ayah. Wajahnya tenang menerima apa yang diterangkan doktor. Aku tahu jauh di sudut hati ayah sangat bimbang tentang anaknya. Itulah diri seorang ayah. Dia tidak menzahirkan dengan perkataan tetapi perbuatan.
“Sebenarnya Busyra Hannan seorang penghidap autism.”
Kata-kata yang keluar daripada mulut doktor itu masih terngiang-ngiang di benak fikiran aku. Aku cuba untuk tidak percaya kata-kata itu. Tapi tanda-tanda itu memang ada pada adik aku. Dia bukanlah autisme yang hiperaktif seperti sesetengah penghidap penyakit ini. Bukan semua penghidap autisme menyedari symptom ini pada awal kelahiran, malah ada yang menyedari saat lewat usianya seperti Busyra Hanna. Setiap apa yang berlaku untuk keluarga kami ini ada hikmahnya. Aku akan cuba untuk bantu Busyra Hannan.
“Busyra, maafkan kakak. Kakak tak tahu adik sakit.”
“Kakak minta maaf sebab selalu pukul adik.”
Aku duduk di tepi katil Busyra. Memerhati sahaja raut wajah anak kecil ini. Segala apa yang berlaku antara aku dan Busyra seakan bermain kembali di depan mata. Rasa bersalah sekali lagi menghantui aku. Aku menangis menatap wajah anak syurga ini. Betul kata ayah bahawa Busyra ini seorang yang istimewa. Aku berjanji akan menjaga Busyra sampai ajal menjemput aku. Andai aku pergi dulu, semoga akan ada orang yang sanggup melindungi dia.
Sejak hari itu aku mula menyesali atas perbuatan aku. Sesungguhnya berbuat baik sesama saudara itu amatlah dituntut. Mungkin nampak biasa sahaja perbuatan memarahi dan sebagainya. Tetapi untuk golongan yang istimewa seperti mereka ini ada kelainannya. Emosi dan perasaan mereka perlu di ambil perhatian. Mereka perlukan perhatian yang lebih daripada kita semua terutama orang terdekat. Sokongan dan dorongan untuk menempuh hari-hari yang mendatang perlu diberikan.
“Walaubagaimanapun adik akak, akak tetap akan jaga sampai bila-bila.”
“Maafkan kakak untuk semua perbuatan kakak.”
Ayah pernah berpesan. Anak istimewa yang lahirnya ke dunia ini adalah amanah dan anugerah daripada Allah. Sesungguhnya kelahiran mereka bukanlah suatu beban malah jalan untuk kita mendapatkan ganjaran dariNya. Mereka semua adalah pinjaman sementara dan jagalah anugerah istimewa ini dengan sebaiknya. Jangan dicaci dan dibenci. Corakkan mereka dengan warna-warna yang indah agar mereka membesar menjadi anak istimewa yang luar biasa untuk ummah. Moga mereka yang punya anak syurga ini mendapat ganjaran yang setimpal di sisi Allah saat memelihara mereka dengan baik.