Umum: Perutusan Aidil Adha Langit Ilahi

 


Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, wa lillahil hamd.


 


Telah sampai kepada kita Aidil Adha, atau masyhur kita menyebutnya dengan nama Hari Raya Korban, Hari Raya Haji di nusantara ini.


 


Rakan-rakan yang dimuliakan, hendaklah kita mengambil masa sejenak, menyelami akan hikmah mengapa perayaan ini wujud di dalam agama kita, menjadi rutin tahunan seorang muslim.


 


Apakah Allah SWT itu suka akan perkara yang sia-sia? Semestinya tidak. Maka perayaan ini juga tidak sia-sia di dalam kehidupan seorang Muslim. Bukan terwujud sekadar untuk orang-orang Islam itu punya masa bersuka ria, tetapi perayaan ini wujud untuk setiap Muslim itu melakukan refleksi terhadap komitmen masing-masing terhadap agama mereka.


 


Rakan-rakan yang didoakan,


 


Sering diulang kepada kita akan kisah pengorbanan keluarga Ibrahim. Namun itu bukan kisah yang diulang hanya untuk menghiasi perayaan ini. Hakikatnya kisah itu adalah untuk muslim mengetuk fikirnya, bertanya pula akan bagaimana komitmen dirinya terhadap Islam.


 


Ibrahim dan keluarga baginda telah diuji dengan ujian keimanan yang tinggi. Kita juga hakikatnya teruji saban hari dalam kehidupan kita. Sekiranya Ibrahim AS perlu memilih antara mentaati perintah Allah SWT dan anak yang dikasihinya, kita pula teruji antara mentaati Allah SWT dengan perkara-perkara lain di dalam kehidupan kita.


 


Bezanya, Ibrahim diuji dengan ujian yang berat. Pengorbanan yang perlu dilakukan baginda ialah literal. Yakni baginda benar-benar diuji untuk mengutamakan perintah Allah berbanding nyawa anak baginda. Apakah ujian yang kita hadapi hingga ke tahap sedemikian rupa? Tidak rakan-rakan.


 


Pengorbanan yang dituntut kepada kita hanyalah pengorbanan nafsu shahwat ke atas perkara-perkara yang Allah larang. Mengorbankan sebahagian keinginan kita atas hal-hal yang dimurkai Allah. Mengorbankan sikap-sikap buruk untuk memilih bersikap dengan sikap yang diredhai Allah. Mengorbankan sebahagian masa untuk beribadah. Mengorbankan sebahagian harta untuk zakat dan sedekah. Mengorbankan sedikit keselesaan hidup untuk kisah dengan orang-orang yang dizalimi dan membela mereka. Mengorbankan sedikit kepentingan diri untuk berdakwah menyebarkan agama Allah SWT ini.


 


Namun apakah kita punya komitmen terhadap agama ini hingga mampu mengorbankan sebahagian kehidupan kita, untuk berdedikasi dan istiqomah memikul tanggungjawab sebagai seorang muslim dan muslimah?


 


Inilah persoalannya rakan-rakan, yang perlu kita ulang saban tahun. Yang mahu diperingatkan kepada kita saban Aidil Adha.


 


Sebahagian kita dilebihkan Allah SWT dengan rezeki menunaikan haji. Apakah ibadah Haji itu sekadar ritual kosong? Atau hakikatnya ibadah itu adalah untuk kita melakukan refleksi akan pengorbanan yang patut dilakukan oleh seorang insan dalam mematuhi Tuhannya? Pengorbanan masa, wang, tenaga, dalam melaksanakan perintahNya?


 


Alangkah ruginya apabila sebahagian kita sekadar menganggap Haji sebagai tempat mencuci dosa, supaya apabila pulang nanti kita dapat melakukan lebih banyak dosa!


 


Alangkah ruginya apabila sebahagian kita menganggap haji sebagai ibadah pengurniaan pangkat, agar gelaran haji atau hajah membuatkan orang lain lebih hormat!


 


Haji itu lebih daripada itu semua. Melakukannya patut membuatkan kita lebih sedar akan prinsip-prinsip Islam dan tujuannya. Ibadah Haji sepatutnya menghapuskan sikap rasis apabila pelbagai bangsa mampu bersatu di bawah satu syahadah. Ibadah haji patut menghapuskan keegoan diri kerana semuanya sama-sama memakai pakaian yang sama, berada di tempat yang sama, melakukan ibadah yang sama, untuk Tuhan yang sama!


 


Malang sekali apabila ada pihak-pihak mengambil kesempatan, memisahkan sang kaya dan sang miskin, menjadikan Haji lebih selesa untuk yang lebib berduit! Padahal Haji sepatutnya menghapuskan segala kasta dan kelas antara manusia.


 


Rakan-rakan yang dimuliakan, jangan dibiarkan Aidil Adha ini menjadi ‘sekadar satu lagi Hari Raya’ dalam kalendar tahunan kita.


 


Kembalilah kita meneliti komitmen kita terhadap agama ini.


 


Kita perlu melakukan pengorbanan untuk benar-benar menjadi muslim dan muslimah yang baik. Kerana antara dua cinta tidak akan bersatu dalam satu masa ialah cinta kepada Allah dan cinta kepada apa yang dimurkaiNya. Jika mahu menjadi muslim yang baik, cinta kepada apa yang dimurkaiNya itu sudah pasti perlu kita korbankan.


 


Semoga kita benar-benar mampu menghayati hakikat tersebut dalam perayaan ini, dan bangkit menjadi muslim muslimah yang jauh lebih baik dari sebelum ini.


 


Muhasabah.


 


Mari Menjadi Hamba!


 


~ Hilal Asyraf


Pengasas LangitIlahi.Com


 


===================


 14163814_935760266536106_1448132747_o


Rakan-rakan yang dimuliakan, ayuh bersama kami di #YouthACE2016, sebuah program anjuran Langit Ilahi yang bertujuan untuk memberikan manfaat dan kebaikan kepada generasi belia hari ini. Sedikit usaha untuk merawat suasana dan memberikan harapan kepada masa depan negara ini.


 


Youth Awards, Convention & Exhibition( Youth ACE) 2016 akan berlangsung pada 29hb Oktober 2016, di Main Audi, UIA Gombak.


 


Detail program seperti tentatif, yuran, pendaftaran, ada di link berikut:


 


http://bit.do/youthace2016


 


Ayuh bersama kami membina generasi belia mapan!

The post Umum: Perutusan Aidil Adha Langit Ilahi appeared first on Langit Ilahi.

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 12, 2016 05:20
No comments have been added yet.