Jiwa Yang Terpenjara Dalam Makna Merdeka

 


Saban tahun kita menyambut hari Kemerdekaan, kita perlu jujur bertanya, apakah perubahan yang sedang dialami oleh generasi baru kita? Sudah lebih dari 5 dekad kita menikmati kemerdekaan daripada tangan penjajah, namun apakah jiwa generasi baru kita juga telah merdeka dari ikatan jahiliah?


Jujurlah pada diri kita.


Berita couple dan pasangan ditangkap berpesta maksiat pada malam sambutan kemerdekaan adalah sesuatu yang merisaukan masa depan kita. Apakah kita redha di kala nikmat kemajuan yang semakin mencengkam kehidupan kita ini, segelintir generasi muda kita pula hanyut dan semakin merudum prestasi iman dan akhlak mereka?


Apa ada pada kemerdekaan yang dikecapi di tengah-tengah kemajuan ini kalau aspek akhlak dan nilai moral semakin corot?


 


Erti Kemerdekaan Sebenar Dari Rib’ie bin Amir


Sewaktu pengutusan Rib’ie bin Amir kepada panglima tentera Parsi, dia telah mengucapkan kata-kata yang ringkas tapi padat menggambarkan akan erti kemerdekaan sebenar yang diperjuangkan oleh Islam :


“Allah telah mengutuskan kami untuk mengeluarkan siapa yang Dia kehendaki dari perhambaan kepada sesama manusia kepada perhambaan hanya sanya kepada Allah, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam, dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.”


Inilah erti sebenar kemerdekaan yang telah membangunkan generasi awal Islam.


Keimanan mereka yang benar hanya kepada Allah telah membuatkan generasi ini bebas merdeka dari pengaruh jahiliah yang pekat sebagaimana kehidupan bangsa mereka sebelum Islam.


Iman telah memandu mereka untuk menjauhi dosa dan maksiat yang dibenci oleh Allah s.w.t.


Iman juga telah membersihkan perasaan mereka dari keinginan-keinginan yang bertentangan dengan kehendak Allah s.w.t.


Lantas membuatkan pertimbangan hidup mereka sentiasa bergerak di atas landasan Allah s.w.t.


Ramai di kalangan mereka yang telah memeluk Islam di awal dakwah Rasul s.a.w. adalah daripada kalangan hamba dan orang susah yang tertindas. Dakwah Rasul s.a.w. telah memerdekakan ramai di kalangan mereka. Rasul s.a.w. telah membawa satu perjuangan yang telah memberikan hak yang adil kepada semua manusia sama ada dia itu hamba atau majikan, sama ada dia itu ketua negara atau rakyat biasa, sama ada dia itu bangsawan atau orang jalanan, sama ada dia itu lelaki atau wanita.


Semua yang memeluk Islam telah menikmati harga kemerdekaan diri mereka. Namun, mereka tidak melampau batasan kemerdekaan itu sehingga melanggar sempadan-sempadan Allah.


Merdeka mereka, semakin memuliakan mereka di depan dua tamadun besar yang pernah menakluk mereka dahulu, iaitu Rom dan Parsi.


Merdeka mereka, semakin membangunkan generasi yang cemerlang.


Merdeka mereka, semakin meluas daerah Islam di serata dunia.


Kita, di saat bangsa kita menyambut hari merdeka kita dengan upacara kawad kaki, tarian dan kibaran bendera, apakah ummat yang tenat ini semakin terubat? Apakah semakin ada pembaikan di dalam ummat ini?


 


Kebebasan Telah Ada, Apakah Yang Menghalang Kita Melakukan Pembinaan Generasi?


Negara ini telah mencapai kemerdekaannya, rakyat telah menikmati kebebasan hasil proses demokrasi yang dilaksanakan di negara ini.


Di celah kebebasan ini, sepatutnya kita menggunakannya dengan serius untuk melakukan pembinaan generasi baru.


Pembinaan generasi baru ini tidak cukup diasaskan atas semangat cintakan negara semata-mata. Cintakan negara adalah satu keperluan, tetapi untuk menanam asas dan nilai baik dalam diri insan, maka tidak ada rujukan lain untuk manusia menghubungkan dirinya melainkan kepada Tuhan.


Semangat cintakan negara adalah perlu didirikan atas satu asas yang lebih kukuh dan diyakini ketahanannya.


Itulah asas yang telah ditanam oleh Rasul s.a.w. kepada para sahabatnya. Kalau mencintai Kota Makkah itu dijadikan asas dakwah baginda, sudah pasti dakwah baginda tidak akan kekal lama dan para sahabat pun tidaklah akan mempunyai keimanan sehebat sirah yang telah kita dengari.


Tetapi kerana baginda telah menanam asas iman kepada para sahabatnya, maka nilai itulah yang telah menjadi titik tolak dalam kehidupan para sahabat Nabi s.a.w. Nilai itu telah membentuk satu pertimbangan dan prinsip yang kukuh dalam jiwa para sahabat Nabi s.a.w. sehingga membentuk sebaik-baik generasi manusia yang dianggotai oleh orang-orang seperti Abu Bakar as-siddiq, Umar Al-Khattab, Khalid Al-Walid, Uthman Affan, Ali Abi Talib, Abu Ubaidah, Bilal dan lain-lain.


Baginda s.a.w. telah berusaha menanam asas ini dalam keadaan menghadapi tentangan dan tohmahan daripada masyarakat Quraisy sendiri. Tidak bebas, tidak merdeka. Banyak usaha disekat. Banyak usaha yang dibalas dengan kejahatan.


Namun, kerana tingginya nilai keimanan ini, membuatkan Rasul s.a.w. dan para sahabat tidak pernah mundur dari perjuangan mereka.


Wajar kita bertanya kepada diri kita sendiri, di saat kebebasan telah kita nikmati, bahkan kecanggihan yang ada hari ini menyebabkan dunia itu umpama di hujung jari, apakah yang menghalang kita untuk bersungguh-sungguh melakukan pembinaan diri kita dan generasi ini ke arah kebaikan sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasul s.a.w.?


Kita ada lebih banyak ruang dan kemudahan untuk dimanfaatkan.


Namun, dengan kesenangan yang dinikmati ini membuatkan kita selalu leka dan lalai.


Benarlah firman Allah s.w.t. :


“Tidaklah dunia itu melainkan kesenangan yang menipu.” [Al-Imran : 185]


Kesenangan dan keselesaan telah membunuh perasaan berjuang serta kesanggupan untuk meniti kesusahan dan kepayahan dalam kehidupan. Kesenangan dan keselesaan telah memerangkap kita di dalam tipu daya maksiat dan dosa.


Masa muda segelintir kita dirosakkan oleh tipu daya nafsu dan iblis yang telah memenjarakan jiwa kita dalam keseronokan suasana senang yang telah kita nikmati. Kita menyangka kita bebas merdeka dengan kemudahan untuk melakukan apa saja yang kita mahukan.


Tetapi, bebas merdekakah kita sebenarnya?


Hakikatnya kita tidak lagi bebas merdeka, tetapi terpenjara dan terperangkap dalam tipu daya kesenangan dunia.


Dosa memang tidak pernah gagal membuatkan manusia merasa enak dan lazat dengan dunia sehingga melupakan tempat kembalinya di akhirat nanti.


 


Penutup : Tanggungjawab Kita Untuk Merdekakan Diri Kita Dan Masyarakat Kita


Penjara pertama yang perlu kita buka adalah penjara yang telah memerangkap jiwa kita.


Itu adalah halangan pertama yang selalu menghalang perubahan besar dalam masyarakat.


Ramai orang bercakap tentang perubahan-perubahan dalam skala yang besar, tetapi mereka terlupa untuk memulakan perubahan kecil pada diri mereka.


Apakah ertinya para pemimpin yang melaungkan kalimah merdeka kalau mereka sendiri terperangkap dalam sikap tidak amanah dan rasuah dalam pentadbiran mereka? Apakah laungan dan kata-kata yang kosong dari contoh teladan itu mampu memberikan kesan terhadap pembinaan generasi baru yang lebih baik ?


Sesungguhnya Rasul s.a.w. adalah sebaik-baik pembina generasi dan tidaklah terbina generasi didikannya itu melainkan kebanyakannya terkesan dengan contoh teladan baginda s.a.w.


Apakah manfaat dari nikmat keamanan dan kemerdekaan kalau ia telah memenjarakan para muda-mudi kita dalam sikap individualisme dan pentingkan diri, yang tidak mempedulikan masyarakatnya, tidak mempedulikan kesan tindakannya terhadap masyarakatnya, apakah ada manfaat?


Kita tidaklah ingin kembali kepada zaman penjajahan. Jangan disalahtafsir.


Tetapi kemerdekaan yang kita laung-laungkan selama ini sebenarnya cacat perjalanannya kalau kita mengabaikan aspek kemerdekaan jiwa kita daripada unsur-unsur jahiliah.


The post Jiwa Yang Terpenjara Dalam Makna Merdeka appeared first on Langit Ilahi.

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on August 30, 2016 08:25
No comments have been added yet.