Shima Rostam's Blog, page 5

March 15, 2022

Bukan Sekadar Mimpi


Prolog

Mimpi tentang aku dan dia.

Pertemuan itu sangat manis seakan realiti.

Dia yang aku temui menghadirkan rasa ingin menyintai

Dia, lembut suara meresap ke dalam jiwa.

Dia yang melontarkan seribu rasa ingin memiliki.

Dia yang hadir dalam mimpi..

Bukan sekadar mimpi.

Bahkan ia satu impian yang perlu direalitikan.

Dia,

Akan kucari sehingga jumpa.

Kerana bersamanya aku merasa indahnya cinta

Mimpi ooo mimpi

Bukan sekadar bayangan ilusi

Dia.. Mimpi yang pasti.

Wujudnya ku nanti.

Dia...

Mimpi bukan sekadar mimpi..

Wujudnya ku nanti.









Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasicerit... Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan. Terima kasih kerana sudi membaca. Wasalam.. Jumpa lagi entri akan datang.. Sayang semua!!! :)
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 15, 2022 17:51

March 8, 2022

Beautiful Jodoh bab 10

Bab 10 ni bab terakhir saya akan kongsikan di blog ini. Kalau nak baca kisah Haura dan Ferran sampai tamat, korang kena beli novel dan ebook. Ebook juga dijual di esentral.my dan juga play book google. Tak pun korang boleh klik kedai online kami https://wasep.me/shima-rostam-book-sandwich



HAURA NUR mendongak.

‘Dia lagi. Kenapa kerap sangat mamat ni muncul di depan aku. Kenapa tidak dulu?’ Haura Nur menjegilkan mata, sebagai isyarat menghalau Ferran Atiq.

Ferran Atiq berpura-pura tidak faham. Selamba dia duduk di hadapan Haura Nur.

Haura Nur ketap gigi kemudian kembali tunduk membuat kerjanya. Dia mahu cepat habis menyalin maklumat yang diperlukan dan balik ke kolej. Tidak guna dia memarahi Ferran Atiq yang tidak faham bahasa. Memang tebal sungguh kulit lelaki itu!

Ferran Atiq tidak mengacau Haura Nur, cuma sesekali pandangannya singgah di wajah gadis itu. Semakin dilihat, semakin yakin dengan perasaannya sendiri.

“Ferran, ada orang tak kat sini ... boleh I duduk?” Terdengar suara perempuan berbisik.

Anis Syatilla senyum menawan memandang Ferran Atiq, seolah-olah hanya ada Ferran Atiq di situ.

“Banyak lagi tempat kosong. Sini dah penuh,” balas Ferran Atiq perlahan, tidak mahu Haura Nur berasa terganggu.

Akan tetapi, Haura Nur sudah hilang tumpuan sejak Ferran Atiq duduk di hadapannya. Mujurlah rujukannya telah siap disalin, jadi tangannya cepat mengemas buku-buku dan barang-barangnya. Tidak mahu menjadi orang ketiga di situ.

“Duduk sini. Kerja saya dah siap.” Haura Nur bangun dan menyandang beg sambil mengelek bukunya. 

“Samalah. Kerja saya pun dah siap.” Ferran Atiq turut bangun, mengikut Haura Nur.

Air muka Anis Syatilla terus berubah. Ferran Atiq langsung tidak memandangnya. Dia pula yang menjadi perhatian pelajar yang ada di situ. Malu dan sakit hati bersatu.

Di luar perpustakaan, langkah Haura Nur terhenti. Dia berpaling memandang Ferran Atiq di belakangnya.

“Awak nak apa sebenarnya?” soal Haura Nur. Sudah dua kali Ferran Atiq mengacaunya.

“Saya nak berkenalan dan berkawan dengan awak,” balas Ferran Atiq bersahaja. Sedikit pun tidak terasa dengan sikap dingin Haura Nur.

Haura Nur memandangnya tidak puas hati. Geram! Rasa hendak ditarik pipi Ferran Atiq kuat-kuat.

Heii ... boleh serius sikit tak!

“Sebab Imran?” soalnya.

Ferran Atiq menggeleng kepala. “Sebab saya memang dah lama nak berkenalan dengan awak.”

Hati Haura Nur tersentuh tetapi dia tidak percaya. Ini tentu sebab Imran Iman. Tidak mungkin Ferran Atiq sukarela hendak berkawan dengannya. Dia mendengus kuat.

“Awak tak payahlah ikut sangat apa yang Imran cakap tu. Saya tak pandai berkawan dengan lelaki dan tak suka terlibat dengan lelaki,” tekan Haura Nur.

“Bagus. Itu lagi baik. Awak hanya boleh berkawan dengan saya saja,” balas Ferran Atiq lega, sambil menghadiahkan senyuman manis kepada Haura Nur.

“Awak dah makan?” Sengaja dia menukar topik, mahu berlama-lama dengan Haura Nur. Tidak dihiraukan wajah marah gadis itu.

Terkebil-kebil Haura Nur mendengar suara maskulin Ferran Atiq bertanya, prihatin. Hilang punca hendak marah. Mengapa lelaki itu seperti tidak faham yang dia tidak suka didekati?

 “Suka hatilah!”

Malas mahu melayan kerenah Ferran Atiq, Haura Nur segera berlalu.

          “Hati saya sudah lama sukakan awak,” balas Ferran Atiq perlahan, menyapa gegendang telinga Haura Nur.

Langkahnya terhenti seketika, namun cepat saja dia meninggalkan lelaki itu. Tanpa sedar bibir Haura Nur menguntum senyuman.

Tidak mengapa hari ini pelawaannya tidak disambut. Esok lusa masih ada. Mata Ferran Atiq setia mengikut langkah Haura Nur sehingga gadis itu menaiki bas.

“AYAH ada telefon Ara?” soal Imran Iman setelah menjawab salam Haura Nur.

“Ada. Dia suruh balik rumah dia hujung minggu ni. Abang Im?” tanya Haura Nur pula.

“Dia datang jumpa abang, hujung minggu ni ada majlis hari jadi anak perempuan dia. Ayah suruh kita ada sama,” beritahu Imran Iman.

Haura Nur mencemik kemudian tertawa menutup luka di hati. “Ara banyak kerja. Tak ada masa nak pergi rumah dia.”

Imran Iman diam. Dia memahami apa yang dirasainya adiknya saat ini. Akan tetapi, kalau difikirkan lebih mendalam, sampai bila mereka mahu mengelakkan diri. Lagipun, ayah mereka tetap wali Haura Nur. Haura Nur masih lagi di bawah tanggungjawab ayah mereka sehinggalah adiknya itu berkahwin.

“Ara ... sampai bila Ara mahu mengelak. Tak suka atau benci sekalipun, dia tetap ayah kita. Wali sah Ara nanti. Kita pergilah tunjuk muka sekejap, lepas tu balik,” pujuk Imran Iman.

Walaupun marahkan Encik Ismail tempoh hari, dia tetap tidak lupa tanggungjawabnya sebagai anak. Mana tahu, selepas majlis hari jadi nanti, hubungan mereka bertambah baik. 

Haura Nur menggigit kukunya. Hati terasa berat ingin memenuhi permintaan abangnya. Untuk apa? Menoreh luka di hati sendiri? Ayah? Sudah lama kasih ayah tidak dirasai sehingga dia sudah lali. Begitu juga kasih mama. Sudah lama hilang dari hati. Dahulu, dia sangat mengharapkan kehadiran orang tuanya. Namun, seiring dengan masa, harapan itu semakin menipis dan terus menghilang dari radar hati. Dia redha menerima takdir hidupnya. Dibuang oleh ayah dan mama. Dia bernasib baik kerana ada atuk dan mak tuk yang sanggup menjaganya dengan penuh kasih sayang.

Mak tuk pernah berpesan supaya dia tetap menghormati ayah dan mamanya, walaupun mereka membuangnya daripada hidup mereka. Kata mak tuk, tanpa mereka dia tidak akan wujud di dunia ini. Jadi, dia kena berterima kasih kepada mereka dan jangan sesekali hilang hormat terhadap mereka. Sakit hati itu simpan sahaja dan jangan berdendam, dan sentiasa berdoa agar Allah melembutkan hati mereka untuk kembali mencari dan mengasihi dirinya. 

“Ara ... dengar tak abang cakap ni?”

“Haa? Hmmm ... dengar.”

“Ara tak sendirian. Abang ada. Kita pergi ya?” pujuk Imran Iman.

“Hmm...” Tidak ada jawapan pasti daripada Haura Nur.

“Abang anggap Ara setuju ni. Sabtu ni pukul 11 pagi abang datang ambil.”

“Hmmm.”

“Oklah Abang Im tak kacau Ara dah. Abang WhatsApp bila sampai nanti.”

“Eh, Abang Im ... kejap!”

“Apa dia?”

“Abang Im cakap apa dekat Ferran sampai dia rajin sangat muncul depan Ara?” tanya Haura Nur.

Imran Iman ketawa kecil. Baguslah Ferran Atiq serius.

“Ara tak suka dia?”

Haura Nur diam. Bukan dia tidak suka tetapi terasa janggal apabila Ferran Atiq tiba-tiba muncul mengganggu hidupnya.

Imran Iman tersenyum di hujung talian apabila tidak mendengar balasan daripada adiknya. Dia tahu Haura Nur sukakan Ferran Atiq tetapi malu hendak mengaku.

“Abang Im cakap apa dekat dia?” tanya Haura Nur lagi tanpa memberi jawapan kepada soalan Imran Iman tadi.

“Abang cakap, abang Im suka kalau dia jadi adik ipar abang.”

“Buat malu je abang ni!” marah Haura Nur. Dia malu. Tidak sangka Imran Iman boleh pula berterus terang begitu dengan Ferran Atiq.

“Kalau dia tak suka, dia takkan mendekati Ara. Cuba fikir kenapa dia selalu muncul depan Ara selepas abang cakap abang suka dia jadi adik ipar abang.”

Haura Nur diam sambil menggigit bibir. Beberapa saat kemudian, baru dia menjawab.

“Sebab dia nak jaga air muka abanglah. Abang kan kawan dia. Dia tak sampai hati nak tolak niat baik abang tu sehingga terpaksa korbankan perasaan sendiri.”

Nonsense! Ferran tu bukannya orang yang tak ada pendirian. Dia tahu apa yang dia mahukan. Kalau dia tak nak, tak ada siapa pun yang boleh paksa dia,” jelas Imran Iman.

Kata-kata Imran Iman itu meresap masuk ke dalam hatinya.

“Saya sukakan awak” Haura Nur tidak pernah lupa bisikan Ferran Atiq itu.

“Ara pun sukakan dia juga, kan?” tekan Imran Iman di hujung talian.

Haura Nur diam, tidak mengaku atau menafikan.

“Diam tandanya suka. Jadi, Abang Im nak Ara bagi peluang kepada diri sendiri. Cuba berkawan dengan Ferran. Jika ada keserasian dan cinta dalam hati, teruskan. Jika tak serasi, tak apa, anggap je dia kawan,” Imran Iman memberi cadangan dan nasihat. Selebihnya terpulang kepada Haura Nur.

“Abang Im dah lama kenal Ferran ni. Kami samasama aktif dalam e-sport. Dia antara perintis e-sport ni. Bukan setakat bermain games, dia juga seorang leader yang baik. Dia mampu membawa pasukan negara ke peringkat antarabangsa. Dalam masa yang sama, dia juga buat business online dan seorang siswa. Selama abang kenal dia secara onlinedan offline, karakternya sama. Dia calon terbaik jadi suami Ara.”

Calon suami juga yang Imran Iman sebut. Wajah Haura Nur terasa panas.

“Tengoklah macam mana nanti. Ramai yang suka dia. Pilihan dia banyak. Cantik-cantik pulak tu. Ara ni gadis kampung. Asyik pakai baju kurung je. Manalah dia suka.” Haura Nur merendah diri.

Imran Iman ketawa. Terusik dengan sikap rendah diri si adik. Haura Nur sangat cantik di matanya. “Lagilah Ferran suka. Gadis Melayu berbaju kurung ni manis dan cantik.”

Haura Nur mencemik. Mata dijeling ke atas. Vivonya masih melekap di telinga. Dia terus memutuskan talian.



Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasiceritakudotcom Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan. Terima kasih kerana sudi membaca. Wasalam.. Jumpa lagi entri akan datang.. Sayang semua!!! :)
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on March 08, 2022 22:49

February 28, 2022

Beautiful Jodoh Bab 9

Jom kita layan bab 9. 
Novel ni kisahnya santai je. Saya tak mahu pembaca pening kepala. Saya mahu pembaca enjoy bila membaca novel-novel saya. Walaupun santai saya terapkan juga sedikit ilmu di dalamnya. Semoga memberi kesedaran kepada kita semua. 

“MUNGKIN Ferran jadi berani sebab tahu Ara ni adik Imran?” teka Naemah.

“Mungkin juga. Tapi, aku tengok sikap Ara, macam tak suka pun Ferran tu.” Latifah berkata pula.

“Laa ... baru lagi. Lama-lama nanti hati Ara tu cairlah,” balas Zakiah yakin.

“Kita tunggu dan tengoklah.”

Masing-masing mengangguk. Habis bergosip, mereka kembali membuat kerja masing-masing.

Haura Nur baru selesai mandi. Dia bersolat dan kemudian naik ke atas katilnya. Diari pinkdi bawah bantal diambil.

I feel like I’m dreaming. Does he really like me? Tak mungkin! Sebab Abang Im yang suruh!.

Emosi Haura Nur berubah. Dia tidak jadi menulis dalam diarinya. Dia memejamkan matanya, mahu berehat. Yang lain membuat hal masing-masing.

Namun, baru hendak terlelap, Vivonya bergetar. Tanpa melihat nama pemanggil, Haura Nur menekan butang reject tetapi si pemanggil tidak berputus asa. Haura Nur mengalah.

“Hello!”

“Hmmm...”

“Hujung minggu ni balik rumah ayah.” Haura Nur diam mendengar suara ayahnya.

“Sibuk,” balasnya sepatah dan segera talian mahu diputuskan.

“Haura Nur! Jangan nak jadi anak derhaka. Malam Jumaat ayah datang jemput pukul 9 malam.”

Mengantuknya hilang. Hujung matanya basah. Jiwa terasa kosong.  Daripada nada suara Encik Ismail, sudah tiada lagi perasaan kasih seorang ayah.

“ADA apa ayah?” soal Imran Iman tanpa perasaan.

Setiap kali dia berjumpa dengan ayahnya, pasti dia teringat Haura Nur. Wajah Haura Nur banyak mengikut iras wajah ayah mereka. Manakala dia pula lebih mirip ibu mereka.

“Ara ... kamu ada jumpa dia?” tanya Encik Ismail. Wajah serius anak lelakinya ditenung.

“Ada,  minggu lepas. Dia sihat. Sibuk belajar,” jawab Imran Iman tanpa berselindung.

Encik Ismail mengangguk. Setiap kali dia berjumpa dengan anak lelakinya, tidak banyak mereka bualkan. Malah, sejak Imran Iman balik dari England, jarang sekali mereka berjumpa.

“Nanti ajak dia datang rumah ayah. Sejak dia belajar kat sini, tak pernah lagi datang rumah ayah.”

Imran Iman tergelak sinis mendengar kata-kata ayahnya.

“Ooo ... jadinya ayah masih ingat lagi ayah ada anak perempuan?” sindir Imran Iman.

Terus wajah Encik Ismail berubah. Dia terasa bersalah, namun dia menyalahkan bekas isterinya yang membawa lari anak gadisnya itu.

“Ayah ingat. Sentiasa ingat. Ayah rindukan anak perempuan ayah tu,” Encik Ismail tidak malu mengaku dalam nada memerli.

“Dah terlambat ayah. Anak perempuan ayah tu dah dewasa. Dia tak perlukan ayah lagi. Dia boleh hidup sendiri. Lagipun, abang dia dah balik. Boleh jaga dia,” balas Imran Iman. Dia berasa sakit hati dengan sikap lepas tangan orang tuanya.

Haura Nur berubah sebab mereka pentingkan diri sendiri.

“Ayah tahu ayah bersalah  tapi mama kamu yang tak bagi ayah jaga Ara,” Encik Ismail mula menyalahkan bekas isterinya.

Imran Iman senyum sinis. Teringat ibu kandungnya; wanita yang juga pentingkan diri sendiri. Sebaik sahaja habis iddah, dia terus berkahwin lain dan Haura Nur ditinggalkan di bawah jagaan orang tuanya.

“Ayah pun tak ada usaha nak ambil Ara balik. Sebelum mama kahwin, ayah dah kahwin dulu. Pernah tak ayah telefon Ara bertanya khabar? Beri duit belanja? Atau ayah ambil dia bawak bercuti ke?  Masing-masing dah bahagia dan terus lupa kewujudan kami berdua,” ujar Imran Iman kesal. Mereka seolah-olah anak yatim piatu, walhal orang tua masih ada.

Encik Ismail terpukul mendengar kata-kata anaknya itu. “Sebab itulah ayah nak tebus balik kesilapan ayah. Ayah nak jumpa dia, ayah nak dia tahu yang ayah sentiasa rindu dan sayangkan dia,” jelasnya supaya Imran Iman faham.

“Dah terlambat ayah. Kalaupun sebelum ini ayah beri duit belanja, ayah rasa duit tu boleh ganti kasih sayang ayah pada dia ke? Jadi, lebih baik ayah jangan kacau hidup dia,” balas Imran Iman tanpa menghiraukan perasaan Encik Ismail.

“Tapi, ayah nak Ara kenal dengan adik-adiknya. Ayah nak Ara tahu selain abang, dia ada dua lagi adik perempuan. Kamu pun tak pernah datang rumah ayah sejak balik. Hujung minggu ni majlis hari jadi Rara, jadi ayah nak anak-anak ayah semua ada. Sambut bersama-sama,” Encik Ismail memberitahu tujuannya, walaupun masih ada perkara yang disembunyikan.

Imran Iman merenung  wajah Encik Ismail. 

“Ayah ingat tak hari jadi Ara bila? Pernah tak ayah buat majlis atau bagi Ara hadiah? Ayah fikir tak, apa perasaan Ara hendak menyambut hari jadi orang yang dia tak pernah kenal, dan majlis tu dibuat oleh ayah yang tinggalkan dia?” selar Imran Iman. Seingatnya Haura Nur tidak pernah menyambut hari jadi selepas perceraian orang tua mereka.

Encik Ismail terdiam. Dihirupnya kopi yang masih berbaki, sambil cuba mengingati tarikh hari lahir Haura Nur dan Imran Iman, namun gagal. Banyak memori bersama bekas isterinya telah hilang daripada kotak ingatannya.

Imran Iman menggeleng kepala. Dia tidak mengharap sangat.

“Ayah terlupa tapi ayah tak pernah lupa kamu anak ayah.”

“Ayah lupa tanggungjawab ayah!”

“Sebab itulah ayah nak tebus balik. Ajak Ara datang rumah ayah hujung minggu ni,” tegas Encik Ismail. Segera dia bangun, tidak memberi kesempatan untuk Imran Iman menolaknya.

“Siapa tadi?” tanya Ferran Atiq yang baru sampai.

“Ayah aku,” balas Imran Iman.

Ferran Atiq tidak lagi bertanya.

“Lebih baik jadi anak yatim daripada ada ayah,” bisik Imran Iman perlahan.

“Bukan anak saja yang menderhaka. Mak bapak pun ada yang derhaka!”


 


Boleh dapat ebook dan novel di kedai online kami : https://wasep.me/shima-rostam-book-sandwich
Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasicerit... Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan. Terima kasih kerana sudi membaca. Wasalam.. Jumpa lagi entri akan datang.. Sayang semua!!! :)
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 28, 2022 19:41

February 22, 2022

Tips Menulis bahagian 1






Hi semua

Assalamualaikum dan selamat tengahari.

Tips menulis.

Bagaimana hendak mula menulis sebuah cerita.

Saya ni sebenarnya tidak berapa pandai juga hendak berkongsi ilmu penulisan ini. Tapi saya cuba ya.

Yang penting, ada idea. Bila ada idea cuba kembangkan idea itu. Sebelum itu tetapkan dulu tema dan genrenya. Dah tetap genrenya, draft dulu plot kasar. Setengah penulis contoh sayalah, saya tulis dulu bab-bab awal kemudian baru buat plot kasar. Sebab baru nampak ke mana arah ceritanya. Tak pun saya jump tu ending dulu kemudian barulah merangka bab-bab sebelumnya.

Yang penting tulis dulu. Ada orang buat plot dulu supaya nampak susunan ceritanya dari awal hingga ke akhir.

Jenis saya pulak, plot kasar memang buat. Ada tu dah susun cantik-cantik tapi bila time menulis plotnya bertukar. Ikut idea baru datang. Jadi jangan hadkan imaginasi kita kepada plot yang kita tulis itu sahaja. Mungkin idea yang muncul selepas itu lagi menarik danhebat.

Semasa menulis saya akan menggunakan minda separa sedar. Seolah-olah kita berada di dalam cerita yang saya tulis itu, Jadi ia akan bergerak spontan ikut naluri saya.

Contoh mungkin ketika menulis saya teringat movie yang saya tonton atau berita yang saya baca atau status FB ke, tik tok ke, youtube ke atau cerita jiran sebelah rumah. Jadi separa sedar tercetus idea baru dari flash back dari sumber-sumber tadi. So saya tulislah ikut cara saya. gabungan-gabungan itu menghasilkan cerita saya tersendiri. Ini bukan tiru tau. Ini imaginasi separa sedar saya.

Sebab semuanya bersumberkan benda yang sama, mungkin sebab itulah ada tersama babak dalam sebuah novel itu.

Oklah itu saja tips menulis saya hari ni.. Jumpa lagi.#shimarostammenulis#Tips

Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasicerit... Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan. Terima kasih kerana sudi membaca. Wasalam.. Jumpa lagi entri akan datang.. Sayang semua!!! :)
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 22, 2022 21:13

February 20, 2022

Beautiful Jodoh bab 8

Saya sharekan di sini bab 8 



“AKU nampak Haura dengan Ferran tadi, keluar dari study room sama-sama,” beritahu Eilla.

Wajah Anis Syatilla terus berubah. Hatinya dirasuk cemburu. Tidak sampai sebulan dia mengumumkan perpisahan mereka, Ferran Atiq telah mendapat penggantinya. Usahanya mendekati lelaki itu selama ini, ternyata sia-sia. Haura Nur yang entah dari mana munculnya menjadi penghalang. Bucu meja digenggam kejap, cemburu dan marah bersatu di hati.

“Iya ... patutlah aku nampak mereka makan berdua dekat kafe tadi,” sambung Mazni pula.

Anis Syatilla, Eilla dan Mazni adalah rakan sebilik. Mereka bertiga tidak terlalu rapat tetapi ada kepentingan masing-masing dan sentiasa berbaik demi kepentingan diri sendiri.

“Mereka bercinta ke?” teka Mazni lagi.

Eilla angkat bahu. “Takkanlah Ferran pandang Haura tu, bukan cantik mana pun. Tak secantik Anis. Kalau iya pun nak cari pengganti, carilah yang lebih cantik,” dia menyuarakan pendapatnya.

“Entah-entah Ferran nak buat Anis cemburu kot. Mengalah dan cari balik dia,” ujar Mazni cuba mengambil hati Anis Syatilla

Wajah Anis Syatilla berubah lagi. Dia senyum nipis, seolah-olah terpujuk dengan kata-kata Mazni itu. Hanya dia sahaja yang tahu perasaan sebenar Ferran Atiq.

“Betul tu, aku rasa macam tu jugak. Kau mengalahlah Anis, dia masih sayangkan kau lagi tu,” sambung Eilla.

“Betul ke? Tapi, aku...” Anis Syatilla menggigit bibir.

“Alaaa ... tak salah pun kau mengalah. Kau sayangkan dia kan? Tak rela berpisah kan?” tanya Mazni.

Anis Syatilla mengangguk, malu-malu. Sejak kali pertama melihat Ferran Atiq ketika minggu orientasi dahulu, hatinya sudah terpikat dengan ketampanan Ferran Atiq. Dia juga seorang yang berwibawa dan menjadi pengarah minggu orientasi. Malah, disebabkan Ferran Atiq juga dia melibatkan diri dalam majlis perwakilan pelajar dan menyertai setiap program yang disertai Ferran Atiq.

Soo ... tak perlu fikir lagi. Kau kena pujuk dia dulu. Biar dia tersentuh hati dengan kesungguhan kau nak rujuk balik. Rugilah beb, kau lepaskan Ferran Atiq tu,” Eilla memberi galakan.

Mazni mengangguk, setuju. Anis Syatilla diam berfikir.

“Tapi, dia dah ada pengganti,” ujar Anis Syatilla lemah, padahal dia sendiri tahu Ferran Atiq tidak pernah menyukainya.

“Alaa ... setakat Haura tu, bila-bila masa Ferran boleh tinggalkan. Aku yakin dia pilih kau!” Mazni memberikan kata-kata semangat.

“Aku sokong. Aku yakin Ferran akan terima kau balik,” sambung Eilla pula memberi sokongan.

“Terima kasih roommate,” ucap Anis Syatilla kepada Mazni dan Eilla, menghargai sokongan mereka walaupun dia tahu sokongan itu hanya sia-sia. Namun, egonya tinggi. Mahu sentiasa dipandang dengan pandangan kagum dan cemburu oleh kawan-kawannya.

SAMPAI sahaja Haura Nur di bilik, tiga orang rakan sebiliknya telah bersiap sedia mahu menyoal siasat. Akan tetapi, dia buat-buat tidak faham dan melangkah masuk dengan selamba tanpa sedikit pun menghiraukan mereka bertiga. Dia membuka tudung dan menyangkutnya pada pintu almarinya. Diambilnya tuala, baju dan raga berisi alat mandian kemudian menuju ke pintu bilik semula. Namun, saat tangannya memegang tombol pintu, tubuhnya ditarik. Tuala, pakaian dan raga mandian diambil. Haura Nur kaget. Dia sudah cuba mengelak tetapi nampak gayanya tidak berjaya. Dia berpaling sambil tersengih-sengih seperti kerang busuk.

“Kau ada buat hutang dengan kami hari ni!” Zakiah jadi kepala. Sengaja wajah dibuat garang dan serius. 

Haura Nur menggeleng kepala. Selama hidupnya, dia tidak pernah berhutang!

“Tak ada. Semua aku dah bayar!” balas Haura Nur buat-buat tidak faham.

“Bukan hutang duit. Hutang penjelasan. Macam mana kau boleh bersama dengan Ferran tadi?” Naemah pula bersuara. Dia memegang bahu Haura Nur, takut gadis itu melarikan diri. Biar nampak gengster sedikit.

Haura Nur diam. Dia mengeluh. “Dia tiba-tiba muncul sebelah aku dalam study room. Kemudian ikut aku makan, itu je.”

“Itu je?” serentak tiga suara berkata dalam nada tidak puas hati.

Haura Nur mengangguk dengan dahi berkerut. Apa yang tidak kena dengan jawapannya?

“Bukan dating?”

“Dating apa ke bendanya. Dia muncul tiba-tiba sebelah aku. Dia buat kerja dia, aku buat kerja aku. Kami bercakap, boleh kira berapa patah. Lepas tu aku nak keluar, dia tanya aku nak pergi mana? Aku cakaplah ada kuliah pukul 3.30. Lepas tu dia cakap, kita solat dan makan sama-sama dulu. Aku cakap tak payahlah. Bukannya kita kenal rapat pun. Tapi, dia tu diktator, paksa aku ikut dia, ambil buku aku. Jadi, nak tak nak kena ikutlah. Sebab buku tu aku kena bawa ke kuliah,” jelas Haura Nur panjang lebar. Tidak mahu kawan-kawannya salah faham.

Apabila terasa pegangan mereka longgar, Haura Nur terus mengambil kesempatan melepaskan diri. Baru hatinya lega.

“Aku yakin Ferran nak memikat Ara,” Latifah mengeluarkan pendapatnya.

“Aku setuju,” sokong Naemah.

“Yeahhh! Pssst ... aku ada rahsia nak cakap kat korang,” bisik Zakiah pula, cuba menarik minat mereka semua.

Haura Nur angkat bahu, tidak berminat. Sekarang dia mahu mandi, solat dan berehat.

“Jadi, boleh aku pergi mandi sekarang?”

Ketiga-tiga mereka mengangguk, masing-masing tidak sabar hendak tahu rahsia yang ingin Zakiah kongsikan. 

Pintu ditutup. “Cepatlah. Apa rahsianya?”

Zakiah sengaja berjeda. Kedua-dua belah kening digedik-gedikkan.

“Apa dia?” Naemah menampar lengan Zakiah, tidak sabar.

“Sebenarnya Ferran dah lama sukakan Ara. Sejak sekolah lagi.” Zakiah membongkar cerita yang diperoleh tengah hari tadi.

Naemah dan Latifah diam mencerna kemudian memandang Zakiah kembali, seakan-akan kurang percaya. Bukan sebab Haura Nur itu tidak cantik tetapi personaliti dan kehidupan  kedua-dua mereka sangat berbeza. Masakan Ferran Atiq memandang Haura Nur.

“Kau dan Ara satu sekolah. Jadi, Ferran pun sekolah yang sama?”  Naemah cuba mengaitkan Haura Nur dengan Ferran Atiq.

Yesbetul. Kami berempat; aku, Haura, Ferran dan Zarif satu sekolah. Ferran dan Zarif senior kami. Sejak sekolah dulu, Ferran ni terkenal dengan gelaran pelajar pintar dan  pengawas. Masa tingkatan 5 dia jadi ketua pengawas. Sejak dulu dia memang suka meronda di blok tingkatan 1. Setiap hari tak pernah miss; tak pagi, tengah hari. Dia memang popularlah. Ramai yang minat dia dan nak jadi adik angkat dia. Sampailah tersangkut dengan kawan sebelah Ara. Selama ini aku ingat dia suka kat Shidah, rupa-rupanya dia suka dekat orang sebelah Shidah.”

“Orang sebelah Shidah? Maksudnya Haura? Jadi, Ferran dah lama sukakan Ara?” teka Latifah. Bab-bab begini otaknya cepat menangkap.

Zakiah mengangguk. “Bijak kau. Zarif best friend

Ferran pun baru tahu.”

Mereka terdiam.

“Tapi, kenapa baru sekarang Ferran nak usha Ara?”

Zakiah angkat bahu. “Entah, aku pun tak tahu.” 

Boleh dapatkan novel dah ebook di kedai online : https://wasep.me/shima-rostam-book-sandwich

Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasicerit... Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan. Terima kasih kerana sudi membaca. Wasalam.. Jumpa lagi entri akan datang.. Sayang semua!!! :)
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 20, 2022 20:35

February 19, 2022

Dia Yang Kupuja Blurb

Dia Yang Kupuja korang adalah novel bonus di dalam novel beautiful Jodoh. Tapi untuk ebook korang kena beli berasingan. 
Pssst... korang masih remaja tak? Ataupun dah jadi remaja tua? Hahaha.. ebook ni kira kisah fanfiction laa.. Kisah seorang remaja baru lepas SPM yang minat sangat dengan pelakon dan model ni. Sampaikan bilik dia penuh dengan poster artis tersebut. 
Siapa sangkakan boleh pulak terjumpa... 
Alaa.. malaslah banyak tulis di sini, nak baca terus boleh beli di kedai online kami. https://wasep.me/shima-rostam-book-sandwich
Blurb

Sebagai seorang remaja, AINA tidak terlepas daripada meminati ALAN, seorang artis dan juga model kacak yang digilai ramai. Sekadar memuja dari jauh, suatu perkara biasa buat gadis muda sepertinya.

Namun, segalanya bermula sewaktu dia dihantar ke kampung oleh orang tuanya sementara menunggu keputusan SPM.

Pertemuan yang tidak diduga dengan artis pujaannya, membuatkan Aina malu sendiri.

"Dalam bilik along, terpampang besar gambar abang. Along cakap itulah pakwe dia.” - Adik. 

“Diamlah. Kau ni buat malu along je.” - Aina

“Tapi, kalau betul pun, apa salahnya?” - Alan

Dia tekad selepas itu, segala poster Alan yang ditampal di dalam biliknya akan dibuang.

Sebaliknya, bagi Alan pula pertemuan tersebut telah mengundang cinta pandang pertama. Ternyata gadis kecil itu berjaya membuka pintu hatinya untuk menerima cinta.

Namun, perjalanan cinta mereka bukan mudah. Ada pengorbanan diperlukan untuk memiliki gadis kecil itu. Cabaran itu membuatkan Alan mengenal erti cinta sejati.

Apakah yang telah Alan lalui? Bersediakah Aina menunaikan wasiat datuk dan neneknya? Adakah mereka akan bersatu? Atau hanya perasaan sementara antara peminat dengan artis pujaan?

‘Love is you. I love you.’



Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasicerit... Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.Terima kasih kerana sudi membaca. Wasalam.. Jumpa lagi entri akan datang.. Sayang semua!!! :)
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 19, 2022 18:00

February 17, 2022

Blurb Beautiful Jodoh

Lupa saya sharekan di sini latest novel dan ebook saya yang terbit penghujung tahun 2021. 
Stok Novel dan ebook Beautiful Jodoh sudah tersedia. 
Boleh dapatkan di kedai online saya : https://wasep.me/shima-rostam-book-sandwich 


Blurb Belakang

 Menumpang kasih atuk dan mak tuk, Haura Nur tumbuh menjadi seorang gadis introvert.  Namun keadaan itu berubah apabila dia melanjutkan pelajaran ke universiti. Berkenalan dan tinggal sebilik dengan Naemah, Zakiah dan Latifah memberikan pengalaman baru. Dia mula membuka hati untuk membina sebuah persahabatan tanpa perasaan rendah diri.

 Ferran Atiq crush Haura Nur sejak di bangku sekolah lagi. Mereka tidak pernah bercinta, tetapi saling memendam rasa. Bertemu kembali di universiti, Ferran Atiq khabarnya sedang hangat bercinta dengan gadis lain. Benarkah?

 Ferran Atiq - tidak kira di mana dia belajar, sentiasa menjadi pujaan ramai. Biarpun digosip sedang hangat bercinta dengan gadis popular kampus, tidak dihiraukannya kerana dalam hatinya hanya ada Haura Nur.  Sudah lama diintai, memikat sahaja belum.

“Gosip panas, Ferran dah putus dengan Anis!” - Zakiah

 “Akhirnya Ferran tinggalkan juga minah fake tu.” - Latifah.

 Hati Haura Nur gembira. Si dia yang menjadi pujaan bukan lagi kekasih orang. Namun untuk memunculkan diri di hadapan lelaki itu, tidak sama sekali.

 “Saya tak suka awaklah. Boleh tak jangan kacau saya lagi!  - Haura Nur.

 “Tapi saya sukakan Ara!” - Ferran Atiq.

 Mengapa Haura Nur mengelak tatkala Ferran Atiq muncul mencurah rasa?

Mengapa saat mahu mencipta bahagia, ramai pula yang menghalangnya?

 Beautiful Jodoh - Seindah takdir menyatukan hati mereka berdua.

 





Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasicerit... Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan.Terima kasih kerana sudi membaca. Wasalam.. Jumpa lagi entri akan datang.. Sayang semua!!! :)
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 17, 2022 22:35

February 8, 2022

Cinta November - 3

Selamat petang semua.. Maaf!Sudah dua minggu tak update cerita kat sini. Kesibukan sedikit dan tidak sempat menulis. Semalam baru siapkan bab baru. Harap korang suka cerita ini dan share di Medsoc korang ek. tanda sokongan korang. 

“Tadi tu siapa?” tanya Syed Yusof. Fail di atas meja dibuka dan dibaca sepintas lalu. Kemudian barulah diturunkan tandatangannya.

“Bos tak kenal staf tadi?”

Syed Yusuf panggung kepala memandang Zikry, pembantu peribadinya.

“Aku kena ingat ke setiap staf syarikat ni?” tanyanya dengan nada perli.

Zikry ketawa kecil. “Tak perlu tapi dia aku rasa kau perlu ingat dan kenal. Jadi aku ingatkan kau dah ingat dia,” balasnya dalam nada yang sama.

Syed Yusuf diam namun ligat berfikir. Rasa familiar dengan wajah itu tapi dia tidak ingat siapa gadis itu. Kenal ke? Pernah jumpa? Tapi untuk beberapa bulan ni tidak pula dia ingat pernah jumpa. Dalam dia termenung, Zikry meletakkan Ipad di hadapannya. Zikry tunduk melihatnya.

Siti Mariam binti Zahari. Berumur 21 tahun berkelulusan diploma pengurusan sumber manusia. Jawatan; kerani sumber manusia. Baru sebulan masuk kerja. Dibaca semua maklumat peribadinya termasuklah ahli keluarga dan jenis darahnya.

“Jadi dia tu?” Dia tidak faham kenapa Zikry menunjukkan data peribadi gadis itu. Dia tidak adalah mahu tahu terperinci sangat. Sekadar nama dan jawatan sahaja.

“Maklumat tambahan penting kau kena tahu. Dia merupakan anak saudara Finance director kau.”

Ting, loceng pintu di dalam kepala Syed Yusuf berbunyi dan pintu terbuka. Barulah dia ingat siapa sebenarnya gadis itu dan perkaitan antara mereka.

“Jadi kenapa dia diberikan jawatan kerani?”

Zikry angkat bahu. Dia juga tidak pasti kerana Fattah yang menguruskan semua itu. Cuma dia tahu gadis itu telah bekerja di sini sebulan lepas.

“Kenapa aku tak tahu?”

“Kau patut tanya Fattah bukan aku.”

“Sudahlah ketepikan dulu hal ni. Baca schedule kerja aku hari ni.”

“Pukul 10.30 pagi Director meeting. Dua petang meeting dengan RM property. Pukul 5.30 petang blind date...” tang blind date tu suara Zikry perlahan sedikit. Dijeling sahabat merangkap bosnya di depan.

Syed Yusuf angkat tangan suruh berhenti

“...di restoran berputar Menara KL dengan Cik Ain Farhana.” Sambung Zikry dengan sekali nafas. Fuh lega bila dapat melaporkan jadual kerja hari ini. Dia sengih. Tahu bersalah tapi arahan Puan Syarifah Haslin perlu diikut juga.

“Bila pula blind date boleh masuk ke dalam agenda harian aku?” soal Syed Yusuf tegas biarpun dia tahu siapa di belakang Zikry.

“Bila Puan Syarifah Haslin call aku sendiri bertanya jadual harian kau dan booking temujanji. Sorry aku tak dapat nak elakkan dah. Lagipun aku kasihan mendengar suara umi yang berharap sangat tu.”

Syed Yusuf menjeling tajam. Bukan dia tidak tahu Puan Syarifah Haslin ni pandai berlakon meraih perhatian orang.

“Kau pun tahu umi aku tu pandai berlakon dan kau boleh terjebak ke dalam perangkap dia tu kenapa?”

Zikry panas. Tali leher dilonggarkan dan dia selamba menarik kerusi duduk di hadapan bosnya.

“Aku dah cuba. Bermacam-macam alasan dah aku bagi tapi aku lemah bila umi mula masuk nada sedih tu. Aku tak sampai hati nak tolak. Alaaa... Kau pergi jelaa, makan-makan lepas tu balik. Bukan nak angkut minah tu balik sekali.”

“Ain Farhana. Kau rasa setakat makan-makan je ke?”

“Eh..” Zikry tepuk dahi. Patutlah dia rasa selalu dengar nama ni.

“Macam mana dia boleh kenal dengan umi kau pulak?”

“Kau pergi tanya dia, macam mana kenal,” suruh Syed Yusuf geram. Nama itu bagaikan mimpi ngerinya. Di mana-mana saja dia mendengar orang menyebut nama itu.

“Salah kau jugak dulu. Jangan permainkan perasaan orang nanti ia akan terus menghantui kau seumur hidup,” sindir Zikry.

Syed Yusuf mengertap gigi geram. Berjumpa di kelab malam, fikirlah sendiri, stranger people di kelab malam boleh jadi kawan dalam waktu beberapa saat. Luangkan masa, luahkan masalah dan minum serta menari. Itulah kali pertama di kelab malam dan itulah yang menghantuinya sampai sekarang. Kerana peristiwa itu dia insaf dan tidak lagi mengunjungi kelab malam.

“Aku menyesal beb. Menyesal!” getusnya geram.

Zikry geleng kepala. Itulah buat sesuatu perkara itu tidak pernah fikir dulu, tanggunglah akibatnya.

“Jadi kau kenalah menghadapi dia dengan berani. Jangan lari. Lagi kau mengelakkan diri, lagi dia cari kau. Aku ada satu cadangan.”

Kening Syed Yusuf terangkat, berminat mendengar cadangan itu.

“Bagi dia kerja kat sini macam Salwa tu. Habis cerita.”

“Gila kau. Mahu tunggang terbalik syarikat aku ni. Ini pun aku pening kepala fikir macam mana nak buang si Salwa tu.”

“Hahaha...” Zikry ketawa. Sakit kepala dia dapat bos macam Syed Yusuf ni. Masalah peribadi dia lebih rumit dan leceh berbanding masalah syarikat.

“Masalah jugak tu.” Salwa juga tergila-gilakan Syed Yusuf. Dia sanggup melakukan apa sahaja agar Syed Yusuf menerimanya. Tapi hati Syed Yusuf ini seperti logam aloi, sangat sukar dilembutkan.

Mungkin Siti Mariam?

“Kau pantau prestasi kerja dia. Cuba check CCTV dalam bilik dia tu. Aku mahu apa yang dia telah sumbangkan selama bekerja di sini. Aku juga mahu tahu setiap gosip yang berlegar dalam syarikat ini,” arah Syed Yusuf.

“Dia sudah dua tahun kan kerja di sini?”

Zikry angguk.

“Time up. Jika prestasi tidak memuaskan syarikat berhak memecat dia.”

“Wooo bro, kejam sangat tu.”

Kening Syed Yusuf terangkat.

“Bila pernah aku jadi orang baik!”

Zikry sengih. Dia angkat tangan dan berpaling keluar dari pejabat CEO itu. Sebaik sahaja duduk di mejanya, interkom berbunyi.

“Hello...”  

“Ello Zikry, Salwa cari pasal dengan Siti!”



 


Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasicerit... Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan. Terima kasih kerana sudi membaca. Wasalam.. Jumpa lagi entri akan datang.. Sayang semua!!! :)
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 08, 2022 23:05

January 20, 2022

Cinta November Bab 2




PA tahu nama aku?

Baru terlintas dalam fikiran tentang perkara itu selepas keluar dari lif. Macam mana dia tahu nama aku, tak mungkin PA big bos ingat nama semua pekerja di syarikat ini. bukan sedikit staff syarikat. Mahunya beribu termasuk dengan cawangan di negeri lain. Semakin kuat perasaan ingin tahu timbul dalam hati.

Kalau ikutkan ini kali ke dua aku terjumpa bos ketika waktu pagi. Aku tahu dia tu bos sebab Rafidah yang maklumkan. Kalau tak, sampai bila-bila pun aku takkan kenal kerana aku kerani yang bertugas di tingkat tiga, pejabat big boss pula di tingkat 20 pula. Memang jaraknya tinggi sangat. Aku tak mungkin menjejakkan kaki ke tingkat 20 itu.

“Sampai pun kau. Aku ingatkan lambat lagi kau boleh naik lif,” sapa Rafidah, lega.

Aku sengih. Tidak pula aku memberitahunya yang aku tertumpang lif big bos tadi.

“Tak merahkan punch kad kau hari ni?”

“Tak. Ngam-ngam pukul sembilan pagi.”

“Alhamdulillah. Kalau tak singa tua dalam tu mesti bagi amaran kat kau,” ujar Rafidah.

Singa tua tu dia merujuk kepada Pengarah Jabatan Sumber Manusia syarikat kami, Cik Salwa. Sudah berumur 32 tahun dan masih bujang. Orangnya cantik dan anggun. Menurut cerita Rafidah sebenarnya Cik Salwa tu sebenarnya bakal tunang big bos. Dah bertahun jadi bakal tunang tu, namun entah sampai sekarang masih lagi menyandang title bakal tunang. Tak naik jadi tunang atau isteri pun. Jadi ramailah yang sok sek, sok sek cakap Cik Salwa tu yang perasan nak jadi pasangan big bos, padahal big bos tidak pernah memandangnya pun.

Aku geleng kepala. Aku angkat bahu. Entah kenapa sejak aku masuk kerja ke syarikat ni, Cik Salwa pandang aku macam aku ni musuhnya, perampas kekasihnya. Padahal aku kenal dia masa hari pertama datang lapor diri ke syarikat nilah.

Oooh ya lupa nak perkenalkan diri, nama aku Siti Mariam. Aku berasal dari negeri Kelantan. Berumur 21 tahun dan baru tamat diploma pengurusan sumber manusia dari politeknik. Ini adalah kerja pertama aku. Mulanya aku tidak mahu pun cari kerja di Kuala Lumpur ni. Aku mahu cari kerja di Kota Bharu saja. tapi sebab covid-19 aku tidak dapat mencari kerja pun. Jadi aku tolong mok dan ayah di kebun mereka dan mengambil upah menjahit baju. Alhamdulillah berkat tinggal bersama orang tua, rezeki aku tidak pernah putus sehinggalah Ayah Su balik kampung dan dia ajak aku ikut dia.

Berat hati aku ni, maklumlah Ayah Su pun belum kahwin, takkanlah aku kena tinggal dengan dia pulak. Jadi bibik dia di KL tu. Tapi mok dan ayah sokong ayah su, terpaksalah aku ikut. Tidak sampai seminggu di KL, memang tinggal di rumah ayah su pun, eh kondo dia di tengah KL ni, ayah su kata dia telah dapat kerja untuk aku. Esok kena pergi interview, sekadar prosedur biasa dan lusa aku terus masuk lapor diri masuk kerja. Jadi sudah sebulan aku bekerja di sini.  

“Siti, Cik Salwa panggil kau ke bilik dia,” beritahu Jenny, setiausaha Cik Salwa.

“Kenapa Jenny?” soalku. Aku rasa tidak sedap hati. Berdebar-debar pula bila teringat Cik Salwa nampak aku keluar dari lif khas big bos.

“I pun tak tahu. Cepatlah, mood dia swing pagi ni, lagi lambat you jumpa dia lagi berapi singa tu,” gesa Jenny.

Aku sengih mendengar katanya. Mahu ketawa tidak mampu ketawa saat bersedia kena marah ni.

“Kalau dia marah you, you diam je. Angguk apa yang dia cakap. Lagipun dia tidak boleh buat apa-apa kat you. Berani dia nak naik tangan kat anak saudara bos.”

Aku geleng. Jari telunjuk aku letakkan dibibir, tidak mahu Jenny bercakap banyak. Di sini tidak ada siapa pun yang tahu hubungan aku dengan Naib CEO syarikat. Awal-awal lagi aku cakap dekat ayah su, aku tidak mahu orang tahu hubungan sebenar kami. Cik Salwa pun tak tahu, hanya Jenny saja yang tahu sebab dia yang aku jumpa semasa interview tempoh hari.

“Iya, betullah cakap you tu tapi you jangan terlepas cakap pula. Nanti I tak nak kawan dengan you lagi.

“Aayoo... you ni kan, suka ugut-ugut I.” Aku tertawa. Hilang sikit gerun dalam hati hendak berjumpa dengan Cik Salwa tu.

Tok..

“Masuk.”

“Cik Salwa nak jumpa saya?”

“Habis tu saya panggil awak buat apa kalau tak nak jumpa awak?” Sedas kau kena sindir dengan Cik Salwa.

Aku tunduk, tidak membalas. Nanti silap cakap lagi, hati aku juga yang koyak.

“Nampak fail tu?” Cik Salwa tunjuk lima fail besar di atas mejanya.

Aku angguk.

“Ambil fail tu dan buat report. Esok petang saya nak.”

“Report apa?” Aku blur. Fail sudahlah besar dan tebal. Apa laporan yang aku kena buat. Bukan ke syarikat guna sistem HRpos?

“Tak reti nak baca ke?” kena sindir lagi.

“Ambil fail ni dan keluar. Petang esok saya nak report siap,” tegasnya.

Terkejut aku. Jadi aku angkat semua fail tebal tu, memang berat. Rasa mahu patah lengan bawa semuanya keluar. Fail tersebut aku letakkan di atas meja. Penuh jadinya meja aku tu. Aku duduk melepaskan lelah dan menarik salah satu fail tersebut. Aku buka dan baca, semuanya mengenal training, seminar dan kursus yang telah dijalankan pada tahun 2019, sebelum wabak covid-19 melanda.

Jadi aku kena buat apa sebenarnya ni?

“Pssst.. kenapa Cik Singa panggil kau ke bilik dia?” Rafidah menarik kerusi mendekati aku.

“Ni.. dia suruh buat report. Tapi aku tak tahu report apa aku kena buat.”

“Owh.. Ini bukan patutnya kerja Zana ke? Semalam aku ada terdengar Zana cakap big bos nak tengok summary report pasal training course sebelum covid-19 dan planning untuk 2022.

“Jadi patutnya kerja eksekutif laa kan? Aku kerani je, mana faham nak buat report macam mana.”

Rafidah angguk. “Cik Singa tu memang sengaja nak kenakan kau,” bisiknya.

Cik Singa ni memang cari pasallah! Getus hatiku geram. 


Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasicerit... Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan. Terima kasih kerana sudi membaca. Wasalam.. Jumpa lagi entri akan datang.. Sayang semua!!! :)
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 20, 2022 19:46

January 9, 2022

Drama Korea : Snowdrop

Hi, 
Selamat tengahari semua!
Siapa follower blog ini peminat drama korea? 


Saya salah seorang peminat drama Korea dan tanah besar Cina. Sekarang tengah follow drama Snowdrop lakonan Jisoo Blackpink dan Jung Hae In. Mula-mula cerita ini tidak menarik minat saya langsung, alaaa lakonan Jisoo, blackpink tu mesti kaku sebab ini adalah drama pertama dia. Dia kan K-Idol, harapkan bakat menyanyi jelaa.. Ni pendapat peribadi saya tau. masa tu belum tergerak hati lagi mahu tengok cerita ni. 
Tapi saya tergoogle laa pulak Hero dia si Jung Hae In ni. Sebab rasa pernah tengok dia ni berlakon. Hensem jugak mamat korea ni kalau gaya rambut tak tutup dahi tu. Kalau ada bang rambut tu memang serius tak suka, sebab macam budak-budak je tengok. Jadi tersearch dia dan terminatlah kat mamat ni. Layanlah drama-drama dia sebelum ni.   - One Spring Night -A piece of your mind -While you sleeping (awal-awal lagi dah tengok tapi perasan pun dia yang polis tu. - Something in rain (tengok separuh, suka lakonan dia tapi tak suka dengan So Ye Jin) 
Akan datang nak layan pulak D.P kat Netflix. 
Nak jadi ceritanya tertengoklah Snowdrop ni. Ingatkan cerita dia cerita romantik drama yang biasa dilihat tu. Tapi rupanya lain dari lain. tambahan pula latar belakang cerita tahun 1987 ( umur saya 6 tahun ketika ini) 
Kisahnya bermula dengan kisah siswi kat kolej. Seribu satu kisah diorang membuatkan saya terus tertarik menonton drama ini. Pertemuan pertama di antara Lim Soo Ho denga Eun Young Ro semasa blind date berkumpulan. Menyampah dengan sikap Bok Ok yang berpura-pura jadi pelajar Univeriti dan ikut serta blind date (terover action kononnya dia memang student U) bagaimana dia rampas kapal terbang kertas dari Young Ro semata-mata mahu date dengan Soo Ho. Nasib baik Soo Ho cari alasan ada hal lain dan tak ikut tengok konsert dengan Bok Ok. 
Soo Ho dan Young Ro bertemu kembali di dalam kedai buku dan kaset (kalau tak silap). Young Ro yang termalu sendiri ketika test mendengar kaset. Buat konsert dalam testing room. siap nari-nari lagi. Melihat adegan ini membuatkan saya tersenyum dan malu sendiri (kononnya perasaan jadi Young Ro lah.. hahaha) Masa ni Young Ro tak tahu pun Soo Ho ada dalam kedai itu jugak. Soo Ho pulak menahan ketawa melihat gelagat Young Ro. Young Ro yang dah malu tu, cepat cover malu tu, mahu segera keluar dari kedai tu.. Dia berlari tunduk dan terlanggar Soo Ho. 
Masa nak bayar pulak, baru teringat kaset tu tertinggal dalam testing room. malu pun Young Ro pergi ambil jugak. Lagi triple malu bila nak bayar tak cukup duit. Terpaksalah keluar dan beli lain kali. Soo Ho yang melihat terus membayar harga kaset tersebut dan keluar mencari Young Ro. Ketika ini Soo Ho sebenarnya mahu mengajak Young Ro keluar lagi tetapi apabila dia perasan dia diintip oleh agen NIS, dia tidak jadi ajak Young Ro dating. 
Okeylah.. tak nak spoil banyak yang belum follow drama ni patut tengok. Lakonan Jisoo mantap untuk pelakon baru sepertinya. Chemistry antara Soo Ho dan Young Ro memang mantap. Sampaikan saya nak tengok drama lain dah hilang minat. Sentiasa tak sabar mahu melihat next episod drama ini. 
Drama ni dah masuk episod 9 minggu ni. Semakin mendebarkan. Apakah akan terjadi kepada mereka berdua? 



 Sedikit sinopsis ringkas drama ini;

Pada tahun 1987, Im Soo Ho dan Eun Young Cho adalah pelajar di sebuah universiti berprestij di Seoul.

Im Soo Ho, yang dibesarkan di Jerman, memiliki pesona lembut tetapi penuh rahsia.

 Eun Young Cho yang hidupnya sentiasa dikasihi dan ceria telah jatuh cinta kepadanya pada pandangan pertama di perhimpunan sosial.

 Suatu hari, jadi Ho tiba-tiba melarikan diri ke asrama wanita dengan baju berlumuran darah.

 Eun Young Cho menyembunyikannya dan merawat lukanya meskipun menghadapi bahaya di bawah pengawasan ketat. Mereka mesti Soo Ho dan Young Cho mesti mengelakkan Pi Seung Hee, penjaga asrama wanita itu yang terkenal ketegasannya  dan Kye Boon Ok, pengendali telefon di asrama yang terpaksa melepaskan pendidikan kolej kerana keadaan kewangan keluarganya.

 Lee Kang Moo adalah ketua Pasukan 1 Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan (NIS) yang tidak henti-henti dan sentiasa berkeras untuk melakukan segala-galanya dengan undang-undang.

 Sebaliknya, ejen NIS Jang Han Na adalah impulsif, panas marah, dan bersemangat tentang pekerjaannya.

Kang Chung Ya adalah seorang ahli bedah yang cantik dan berbakat di hospital yang dikendalikan oleh kerajaan yang dapat memikat sesiapa sahaja yang dimahunya. Kemahirannya di bilik operasi telah menjadikannya reputasi yang kukuh sebagai pakar bedah yang boleh dipercayai, namun Dr. Kang sangat misteri.


Dalam sinopsis pun ringkas je. Jadi kita tidak tahu apakah ending kisah mereka. banyak spekulasi hangat didebatkan di tik tok. 
Saya pun terjebak follow.. hehehee.. 
Drama ni bestt... Pelakon pun mantap. 

Boleh follow pages penulis di facebook https://www.facebook.com/fantasicerit... Instagram; shima.rostambs Jika sukakan cerita di sini boleh share link di medsoc masing-masing.. Terima kasih di atas sokongan. Terima kasih kerana sudi membaca. Wasalam.. Jumpa lagi entri akan datang.. Sayang semua!!! :)
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 09, 2022 21:58