Hafizul Faiz's Blog, page 4

May 22, 2017

SEMENTARA MENUNGGU BAS NO.36

Ada banyak perkara yang menjadikan saya orang yang biasa pada hari ini. Antaranya ialah menunggu matahari terbit dan mengharapkan hari ini awan tidak terlalu mengamuk sehingga melindungi cahaya matahari. Di depan jendela kecil di rumah (sebuah rumah berkonsep studio) saya sering merenung dan melihat cahaya matahari cuba mencari sela-sela meskipun sempit untuk memanah saya. Saya sering menjadikan sejambak Tulip di jendela yang saya hadiahkan kepada isteri menjadi sudut saya memandang cahaya matahari. Matahari akan naik seperti biasa dan Tulip akan semakin indah seperti biasa.Hari ini hari Jumaat dan saya perlu ke masjid. Masjid yang terdekat dengan rumah saya ialah Anandale Mosque. Di Edinburgh hanya ada tiga masjid. Mujur sahaja saya tidak perlu mengambil banyak masa berjalan. 10 minit berjalan kaki saya sudah sampai di masjid. Zohor masuk jam 12.16 Petang tetapi solat Jumaat akan bermula pada jam 1.15 Petang dan habis jam 1.35 Petang. 20 minit sahaja semuanya. Ini adalah kerana mahu memberikan ruang kepada pekerja-pekerja yang cuma mempunyai waktu sejam untuk rehat. Scotland bukan Malaysia.Saya akan masuk ke masjid melalui pintu sebuah kedai karpet Pakistan. Saya akan memasukkan kasut saya ke dalam plastik dan memasukkannya pula ke dalam beg galas saya. Saya akan menggantung baju sejuk tebal saya di penyangkut yang paling hujung dan akan duduk di saf ketiga masjid. Sebelum khutbah bermula saya akan mendengar tazkirah daripada Syeikh Hasan; seorang pensyarah di Universiti Edinburgh dan juga imam masjid Anandale. Syeikh Hasan mempunyai pengetahuan mendalam tentang sufisme khususnya Islamic Sufism. Saya pernah berbual-bual dengan syeikh tentang kedudukan syair-syair Hafez dan Sa'adi yang penuh dengan penghayatan meta khayalan, yang kadang-kadang berpotensi untuk disalahtafsirkan. Syeikh menyebut bahawa self adalah peranan penting dalam menentukan hukum setiap suatu perkara.Menjadi Muslim di negara bukan Muslim ternyata tidak mudah. Jika kita membaca Memburu Kesepian di Bumi Geordy karya Dr. Maszlee Malik kita akan faham ada ruang-ruang di mana kita berperang dengan diri kita sendiri berkaitan soal-soal prinsip agama. Syeikh benar. Ada dua elemen penting untuk ditelusuri terlebih dahulu sebelum kita pergi kepada soal hukum; iaitu prinsip dan self (diri sendiri).Di sini kita tidak boleh bergantung hanya pada hukum. Hukum tak akan datang tanpa konteks. Saya sering berbual-bual dengan isteri. Kadang-kadang beliau minta pandangan segala perkara termasuklah perkara-perkara yang kecil yang boleh memberi kesan kepada imej Islam. Saya banyak bertemu dengan ahli-ahli daripada Islamic Society of Edinburgh University (ISOCEd) yang semuanya sudah tentu Muslim tetapi latar belakang mereka sangat pelbagai. Pokok permasalahan agama yang sering dibincangkan tetap sama; hukum dan perbahasannya.Saya katakan hukum tidak menjadi asas kepada kehidupan kita. Prinsip dan nilai agama adalah asasnya. Hukum datang dengan pelbagai elemen penting. Ada dua orang perempuan tidak berhijab dan mereka memberikan alasan kenapa mereka tidak berhijab. Seorangnya memberitahu bahawa dia faham hijab melalui perbahasan yang lain. Seorang lagi memberitahu bahawa dia tinggal di negara ini dan tidak berhijab menyelamatkan dirinya daripada cemuhan masyarakat. Memang di sini menjadi Muslim juga bererti menghormati dominan culture. Itu tidak boleh dinafikan.Tetapi apakah yang membezakan kedua pandangan tadi? Saya membayangkan saya seorang mufti dan sekarang saya akan menjatuhkan hukum.Kedua-dua perempuan tadi mempunyai sebab yang sebenarnya valid untuk mereka membuat keputusan ke atas diri mereka. Tetapi hukum tidak datang hanya dengan sebab luaran, hukum sangat tergantung dengan sebab dalaman. Self adalah jawapan yang lebih tepat. Memahami diri sendiri (self) adalah faktor utama hukum terhadap diri sendiri jatuh. Di antara kedua pandangan perempuan tadi saya katakan ada satu garisan halus yang memisahkan niat dan objektif mereka; adakah mereka mahu gain the faithfulness atau mereka mahu to please the dominan culture? Adakah mereka mengambil sesuatu hukuman untuk "beriman" atau "untuk menyelesakan diri sendiri"?. Ada pula yang kata, bukankah menyelesakan diri di mana-mana setting sosial ialah beriman? Memang, tetapi yang mana datang dahulu?Ramai orang mengambil sesuatu hukum hanya untuk menyelesakan dirinya sendiri sesuai dengan setting latar dalaman dirinya, tetapi berapa orang yang mengambil sesuatu hukum untuk jadi benar-benar beriman? Syariah Islam tidak datang dengan peraturan yang hanya sebuah perlembagaan bertulis tetapi datang dengan aspek spiritual yang amat penting. Kita mengambil sesuatu pandangan bukan untuk menyelesakan fikiran kita, tetapi untuk menjadikan hati kita lebih beriman kepada-Nya. Dua hal yang sangat sukar dibezakan tetapi ia memang berbeza.Maaf, terpanjang pula tulisan saya kali ini. Cuma mahu mengomel di hujung minggu dan sesekali berkongsi perjalanan sederhana saya di sini. Bas no. 36 sudah menunggu saya. Saya pergi dulu.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 22, 2017 13:36

THE INNOCENTS

Filem bertempoh 116 minit ini benar-benar meresahkan saya. Usai menonton, saya membaca semua komentar berkenaan filem yang mendapat 7.4 rating di imdb ini. Ada yang mengatakan filem ini ditonton tanpa tangan tak sempat mengambil bertih jagung. Ada yang keluar seolah-olah tak mengenali siapa. Seolah-olah segala kesedaran telah hilang dirampas filem ini. Seolah-olah kehidupan realiti tidak bergerak dan yang bergerak hanyalah watak Mathilde Beaulieu.Suatu pagi di semester akhir, saya asyik berborak dengan Dr. Maszlee Malik bertopikkan moraliti melawan agama. Kami meninjau sejarah; bagaimana sekularisme bermula. Kami menjahit tragedi dengan realiti, kenapa manusia membenci agama? Kerana agama sering sahaja melawan moraliti. Inilah yang dikempen secara besar-besaran oleh Dawkins supaya manusia tak bergantung dengan agama kerana agama telah menghilangkan kemanusiaan dalam diri manusia. Tak kurang juga fakta yang dilontarkan Dawkins, ideanya bercerapah membanteras agama dalam konteks penindasan moraliti yang berpanjangan. Ketika menonton debat Dawkins dengan Tariq Ramadan, akhirnya saya akur; dalam banyak keadaan Dawkins benar tetapi ada sisi agama Islam yang Dawkins tak nampak.Saya pernah menulis satu cerpen tentang moraliti melawan agama, atau melawan tuhan, atau lebih tepat seperti yang P.K katakan dalam filem P.K lakonan Amir Khan; melawan 'tuhan' yang manusia ciptakan. Cerpen berjudul Surat Untuk Jolanda itu terpilih menghiasi jendela sastera di Berita Harian dan banyak pembaca daripada rakan-rakan berbincang tentang fakta yang saya kemukakan dan persoalkan. Lihat sahaja segala tempat bersejarah di Mekah dan Madinah yang dihancurkan oleh kerajaan Arab Saudi gara-gara atas nama 'agama' yang mereka fahami. Tempat tidur Nabi SAW misalnya dihapuskan kerana risau manusia syirik dan menyembahnya. Memang kerisauan itu bertempat tetapi cara menanganinya adakah perlu menghapuskannya? Tak bolehkah dengan kuasa yang ada pendidikan tentang apresiasi sejarah disuburkan dengan baik dan melata?Sejarah antara moraliti yang agama Islam seperti faham sesetengah pihak menolaknya mentah-mentah. Lihat sahaja apa yang terjadi kepada perdebatan tentang boleh-tak-boleh Maulud Nabi SAW. Ada pihak mempertikaikan Maulud sebagai sebuah bid'ah, ada pula yang mengesahkan Maulud sebagai sunnah. Apa masalahnya? Kenapa perlu melihat Maulud dari perspektif ritual agama? Maulud tak perlu dilihat macam ritual sembahyang. Anggap sahajalah Maulud ialah majlis sosio-budaya menghargai sejarah tokoh terbesar umat Islam dunia. Seperti mana kita menyambut Majlis Kemerdekaan, Hari Kebangsaan, atau Hari Lahir sesiapapun, semuanya tak ada masalah dan tak pernah mengkufurkan sesiapa. Semuanya dibuat untuk menghargai sejarah. Penghargaan kepada sejarah ialah moral yang sangat besar dan penting. Cuma Maulud seharusnya lebih bersifat sejarah berbanding ritual. Sejarah hidup Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam perlu dikedepankan berbanding selawat Ya Hanana supaya non-muslim juga boleh hadir dan mengenali tokoh penting umat Islam ini. Di samping menghafal semua teks selawat dan qasidah, seharusnya lebih penting menghafal semua nama, tempat dan tarikh peristiwa bersejarah Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam.  Sekurang-kurangnya bila orang sebut Rahiq al-Makhtum kita kenal dan pernah baca.Konflik moraliti menentang agama sangat evergreen dan sentiasa relevan sepanjang zaman. Filem The Innocents berjaya mendedahkan dalam cerita dan momentum yang bergerak laju, penuh kejutan dan persoalan, penuh kedut di dahi dan tanda tanya di kepala. Lihat sahaja sekian ramai penganut agama Islam di negara kita yang tak sanggup nak bagi makan anjing kelaparan sebab takut tersentuh anjing. Sedangkan kita semua tahu dan sedar bagi makan binatang ialah moral yang sangat penting. Tak kisahlah binatang itu apa, moral tak pernah mengecualikan sesiapa. Anjing itu the innocent dan kita tak ada hak untuk bersikap mengecualikannya apatah lagi menzaliminya.The Innocents mengajar kita bahawa agama yang menentang moraliti ialah agama ciptaan, bukan agama Tuhan yang sebenar. Mujur sahaja The Innocents membawa agama Kristian Katolik sebagai konflik. Mujur sahaja Anne Fontaine tak tahu atau tak mengambil peduli isu-isu moral yang diketepikan sesetengah penganut agama Islam selama ini.The Innocents menceritakan tentang sekumpulan biarawati di sebuah sekolah convent yang sarat mengandung -- semua orang tahu di dalam agama Kristian, biarawati dilarang melangsungkan hubungan kelamin. Di zaman peperangan apa sahaja boleh berlaku. Sekumpulan tentera Rusia telah meredah masuk ke sekolah ini dan merogol biarawati-biarawati tersebut. Demi menjaga nama baik biarawati agama Kristian, mereka merahsiakannya daripada pengetahuan masyarakat sehinggalah salah seorang biarawati sudah sarat dan pecah ketuban. Seorang biarawati berlari ke pekan dan menemui sebuah kem tentera German dan menemui Mathilde sebagai jururawat di kem tersebut lalu merayu Mathilde untuk menolong mereka.Anne Fontaine tak hanya meninggalkan kita dengan konflik itu. Mathilde ialah seorang komunis yang tidak percaya kepada kewujudan tuhan dan terpaksa merawat sekumpulan biarawati yang kepercayaan kepada tuhan melebihi segala-galanya. Semua orang tahu biarawati mempunyai pantang larang mereka. Badan mereka tak boleh dibuka dan disentuh oleh sesiapa yang bukan dari kalangan mereka. Bagaimana Mathilde mahu menyambut kelahiran bayi mereka?Konflik demi konflik menghujani mereka apabila seorang demi seorang sudah sarat dan hampir sampai bulan. Ketika agama diharapkan memberi harapan, agama juga tiba-tiba menampar manusia dengan ujian yang tidak terbayangkan. Ah, Anne Fontaine memang berjaya meresahkan saya. The Innocents berjaya membuatkan saya termenung dan menggeledah semua bacaan tentang moral. Bagaimanakah mahu menyelamatkan moral dengan kefahaman agama yang sebenar?Tontonlah The Innocents untuk menonton wajah agama yang merogol moraliti dengan ganas dan ekstrim sekali. Semoga kita termasuk dalam golongan yang beragama dengan cara yang sebenar. Amin!
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 22, 2017 13:34

FIKAH LUAR NEGARA

Setiap kali Jumaat tiba, saya rasa sedikit lapang. Tidak perlu kalut-kalut bangun jam 5 pagi esoknya untuk lekas bersiap dan mengejar bas jam 5.44 Pagi dan terus ke perpustakaan untuk mencuci. Jumaat akan menjadikan hari saya di waktu petang sedikit berbeza. Saya keluar, melepak di kafe Kas dan Pim (dua pasangan Turki yang baru saya kenali) dan berborak dengan Frize (Barista di kafe Kas dan Pim). Yang paling menarik kafe mereka bernama "Procaffination" (Cubalah cari maksudnya apa).Minggu lepas saya datang dan berborak dengan Kas tentang pelbagai perkara. Kas banyak membaca perihal eksistensialisme, dan Pim pula berminat tentang dekorasi, konsep, desain dan kedua mereka selalu menceritakan tentang dua ekor anjing mereka yang comel. Mereka memberitahu saya mereka sangat sukakan masakan Malaysia. Hari ini saya bawa rendang ayam dan nasi impit yang sempat saya masak sendiri selepas solat Jumaat tadi.Siang sudah menjadi semakin panjang dan saya sudah mula tidak biasa. Subuh jam 4 pagi dan Maghrib jam 9 malam. Selebihnya siang... siang yang panjang. Saya mengambil keputusan untuk menjamakkan solat Maghrib dan Isyak sahaja. Kak Dee pula sering tertidur menunggu Isyak kalau tidak dijamakkan. 10.30 Malam baru Isyak masuk, dan itupun mengikut kepada kiraan dan bukan kaedah cerapan. Saya pula perlu tidur awal untuk bangun awal.Ramai yang tidak tahu keharusan menjamakkan solat Maghrib dan Isyak di waktu-waktu sulit begini. Waktu Isyak yang ditetapkan oleh Central Mosque pula hanyalah kiraan berdasarkan hitungan waktu-waktu sebelumnya. Jika diperhatikan betul-betul, mega merah tidak kelihatan di langit, dan gelita pun tidak. Hanya biru kegelapan sahaja. Secara teorinya, waktu Isyak tidak ada.Perihal jamak solat ini sebenarnya agak tidak meluas diwacanakan di Malaysia. Sebab itu ramai rakyat Malaysia yang sukar bila mengembara kerana sedikit tidak tahu tentang fekah luar negara.Nasib baiklah saya pernah dan selalu juga mengembara. Ini membuatkan saya peka dengan keadaan dan perbezaan-perbezaan pendapat dalam fikah yang wujud. Hal ini menyebabkan saya sungguh tidak dapat tidak mengelak daripada taqlid kepada satu mazhab sahaja. Taqlid di sini bermaksud mengikut tanpa tahu dalil dan taqlid kepada mazhab telah diwajibkan oleh Imam al-Ghazali kepada sesiapa sahaja di dalam kitabnya al-Mustasyfa. Tetapi inilah pentingnya ilmu konteks. Al-Ghazali berbicara dalam konteks yang lain, waktu di mana semua orang punya kemampuan yang agak terhad untuk akses kepada sumber-sumber primer agama dan juga bukanlah satu budaya mereka mengembara ke luar negara. Sewaktu itu juga pelbagai pemikiran menular dan al-Ghazali mahu menyelamatkan mereka.Selepas al-Ghazali, fikah mula berkembang dan akses kepada sumber-sumber pula semakin mudah. Ibn Taimiyyah yang hidup 200 tahun selepas al-Ghazali kelihatan lebih aktif mengeluarkan fatwa-fatwa yang baru, yang banyaknya merentasi sempadan kumpulan-kumpulan mazhab.Ya, poskad kali ini sangat masak dengan perbahasan fikah.Dan tentulah yang tak dapat saya lupakan ialah Dr. Maszlee Malik. Beliaulah yang membentangkan kepada saya kaedah meneroka fikah dengan indah. Tetapi saya tidaklah menghabiskan Al-Mughniy seperti beliau dan tidaklah diiktiraf oleh mana-mana syeikh seperti iktirafnya syeikh-syeikh syariah di Jordan terhadap kesarjanaan beliau semasa beliau belajar di sana dahulu.Secara asasnya kata Dr. Maszlee, kita perlu melihat semua sumber yang ada dan kemudian pergi kepada mazhab-mazhab yang memegang sumber-sumber tersebut untuk mengeluarkan hukum. Sekiranya sumbernya lain, maka hukumnya lain.Sebagai contoh, Mazhab Hanafi tidak menerima perbuatan Jamak solat kerana bagi mereka perbuatan jamak solat bertentangan dengan ayat al-Quran Surah an-Nisa' ayat 103: "Sesungguhnya solat ialah fardhu yang telah ditetapkan waktunya."Jadi, mereka hanya menerima perbuatan jamak solat hanya ketika menunaikan haji di Arafah dan Muzdalifah sahaja (golongan hujjaj) kerana ada hadis sahih Nabi menjamakkan solat ketika waktu tersebut. jadi lihat, sumber mereka ialah ayat 103 Surah an-Nisa' ini dan hukum mereka lain.Mazhab Syi'ah pula menjamakkan solat bila tiba-tiba masa sahaja. Ini kerana mereka mengambil ayat 78 dari Surah al-Isra': "Dan dirikanlah solat pada waktu pertengahan siang hari, penghujung malam dan pada waktu fajar." Lihat sumber mereka, dan lihat pula hukum yang mereka keluarkan.Mazhab Hanafi dan Mazhab Syi'ah antara yang agak tegas dan sedikit tertutup (tanpa menafikan kesarjanaan Imam Hanafi).Teks (sumber) tidak berkembang. Tetapi konteks (keadaan) berkembang. Sekiranya konteks berkembang, maka fikah juga berkembang.Secara asasnya, kita dibolehkan melakukan jamak kerana tiga keadaan: (1) Hujan, (2) Sakit dan (3) Kesulitan tertentu.Tentang solat jamak kerana hujan dan sakit, perbahasannya agak mudah kerana keadaannya jelas. Tetapi tentang kesulitan tertentu, ini yang menjadi perbincangan dan sering diperdebatkan.Di Malaysia, kita sering didoktrinkan dengan qadha' solat. Sekiranya kita tak sempat misalnya melakukan solat pada waktu-waktu tertentu, kita teringat ustaz kita cakap, qadha' sahaja. Sedangkan qadha' solat sebenarnya bukanlah alternatif yang baik. Qadha' solat tak boleh dilakukan dalam keadaan kita sedar yang kita ini ada kewajipan solat yang mesti ditunaikan. Perbahasan tentang qadha' ini panjang dan ia di dalam tajuknya yang tersendiri.Sedangan kita ada konsep jamak yang merupakan alternatif yang lebih baik dan diamalkan oleh Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam dalam banyak keadaan. Apakah yang membezakan antara qadha' dan jamak solat? Qadha' solat kita tinggalkan solat. Jamak solat kita tak tinggalkan solat.Saya temui ramai sekali rakan-rakan khususnya doktor yang terlibat dengan praktikal yang padat dan tidak mempunyai waktu untuk menunaikan sembahyang di waktu yang ditetapkan (sebagai contoh melakukan pembedahan), memilih untuk menggantikan sahaja sembahyang. Doktrin ini katanya terlalu menular apatah lagi di sekolah-sekolah dan di peringkat-peringkat rendah lagi.Sedangkan Islam menawarkan alternatif yang lebih syariatik, iaitu menghimpunkan dua solat dalam satu masa. Sebahagian ulama' dalam Mazhab Syafi'i seperti Abu Ishak, Qaffal dan Khattabi, juga Asyhab dari Mazhab Maliki, dan juga ramai lagi golongan ahli hadis berpendapat bahawa waktu sulit boleh dilakukan jamak solat.Semua mereka berpegang kepada suatu hadis yang dilaporkan oleh Ibn Abbas di dalam Sahih Muslim, "Sesungguhnya Nabi Sallallahu alaihi wasallam pernah menjamakkan solat Zuhur dan Asar, dan solat Maghrib dan Isyak di Madinah tidak kerana musafir dan tidak kerana hujan. Lalu Ibn Abbas ditanya apakah yang dikehendaki oleh Baginda Sallallahu alaihi wasallam? Dan jawab Ibn Abbas, Baginda mahu memberikan kemudahan kepada umatnya."Kerana hadis ini jugalah Imam an-Nawawi dalam al-Majmu'nya, Ibn Taimiyyah dalam Al-Qaul al-Mubin fi Akhtha'il Mushollin, Syeikh Abdul Wahab Sya'rani dan termasuklah Syeikh Atiyyah Saqr dalam Ahsanul Kalam fil Fatawa wal ahkam sepakat mengatakan adanya keharusan menjamakkan solat kerana kesulitan tertentu bergantung kepada individu. Namun ada syaratnya, iaitu tidak menjadikan ianya adat dan kebiasaan.Syeikh Yusuf al-Qaradhawi di dalam Fatawa al-Mu'asoroh  juga menerima pendapat ini bahkan menyatakan bahawa harus menjamakkan solat sambil memberikan contoh di Eropah ketika mega merahnya tidak kelihatan jelas untuk menandakan masuknya waktu Isyak, maka dibolehkan menjamakkan waktu Maghrib dan Isyak.Sekali lagi, fikah bukan untuk golongan oportunis, dan bukan untuk golongan yang bermudah-mudah. Ia bergantung kepada objektif fikah sendiri iaitu: untuk beriman kepada Allah, bukan untuk merasa senang dan bukan untuk 'asalkan buat' semata-mata.Ya, kali ini poskad menjadi poskad fikah luar negara. Letih!
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 22, 2017 13:32

SUATU PAGI, SAYA, EMAK DAN AYAH

"Cek, bangun! Mak siap dah nih."Saya menggenyeh mata yang masih mengantuk, kemudian menarik selimut toto busuk berwarna oren, melitupi kepala.Mak menampar punggung. "Cepat!, sat lagi ayah marah," tambahnya lagi. Mak menuang air teh o, menuang nasi goreng putih dua senduk, dan telur mata separuh masak mak letak piringnya sebelah pinggan, dibanjiri kicap dan sos. Mak terus melondehkan telekungnya dan membuka pintu belakang rumah. Bunyi pintu menggeser lantai sungguh bising dan dengan kebisingan itulah saya bangun, terduduk, dan melihat ke arah jam di tiang kayu, 5.30 Pagi.Bunyi sok-sek sok-sek di belakang rumah mengisi kesepian pagi. Terlalu pagi. Yang ada selain bunyi kokokan ayam jantan ayam ialah bunyi kesunyian pagi yang sampai sekarang terlalu saya rindui.Saya mandi kerbau. Cukup lima enam gayong dengan air panas yang mak jerang. Seluar dan baju sekolah mak sudah letak di atas lantai, dilapik dengan kain batik mak. Saya capai, sarung, dan terus menunaikan solat Subuh. Berdoa entah apa, saya terus menerpa ke hidangan yang mak sediakan.Mak masuk semula ke dapur dengan pakaian menorehnya. Busuk. Mak memakai seluar yang penuh dengan gelitir getah, tudung hitam lesu yang masih busuk walaupun semalam mak baru basuh, sambil diikat di kepala mak pelita suluh dan di pinggang mak pula ubat nyamuk yang tak berasap lagi.Mak duduk sebelah saya. Tengok saya makan sambil menambah-nambah kalau nasi goreng saya sudah habis. Bunyi geser batu pengasah mengeriau. Ayah di muka lawang, duduk bersila sedang mengasah pisau menoreh di atas alas kayu tebal."Hari ni kena bubuh cuka, petang ni nampak gaya macam nak hujan," kata ayah."Tak tau lagi tuh ayah hang," balas mak spontan. "Sat lagi lepas lembu kot tinet (1), jangan bagi mai kot sungai takut kacau mengala (2) orang. Sat lagi Sidi mai habaq kata lembu masuk mengala orang, tak dan nak pi hantaq nasi kat Paih pula dok kalut hambat balik," sambung mak lagi. Ayah diam saja dan bunyi seriau pisau menoreh bergeser dengan batu asah menggemerincing di telinga."Nah, pisau hang nih." Ayah bangun dan berdiri di depan pintu. Tangan ayah memegang palang pintu. Melihat langit. Melihat pagi. Melihat kesunyian dan melihat ketiadapaapaan.Mak bangun dari bersila sebelah saya dan mencapai pisau menoreh getah yang ayah sandar di pintu."Berasa dok dengaq bunyi rok-rek rok-rek (3) tuh." Mak melihat pula ke arah langit. "Dia usik saja tuh," kata mak membantah. Membantah ramalan ayah. Membantah rasa risau dan gusar.Saya letak pinggan di dalam sinki. Mak menunggu di muka pintu. Ayah merenung langit walaupun sedang berdiri betul-betul di hadapan mak. Saya berjalan ke pintu, sambil mengelap tangan di seluar sendiri. "Cepat." Mak menghulur tangan.Saya menyalami mak. Mak menenyeh pipi saya kanan dan kiri, dan mencium pula dahi. "Belajaq elok-elok," tambah mak lagi. Mak terus berjalan ke belakang. Saya melihat mak berjalan ke arah bukit landai yang dilebati pohon para. Kebun getah lebih kurang lapan ekar itu menampakkan kemegahan, keegoan, dan ketuanannya setiap pagi. Berkabus tebal dan merimbun daun-daun hijau muda. Merengus memanggil orang-orang kampung datang mengerjakannya.Tidak sedar saya ayah sudah menyarung jaket kelabu tahi kucingnya. Ayah memakai kasut dan berjalan ke arah motorsikal Honda Bulat. Saya segera mencari beg sekolah, menggalas dan mengejar ayah. Ayah letak motor di bangsal depan kedai runcit ayah yang berpintukan papan-papan lapis nipis.Saya membonceng ayah, memeluk perut boroi ayah. Embun pagi yang lemah itu dirempuh ayah, dan dingin itu bagaikan jarum-jarum yang menyucuk wajah. Sekejap lagi ayah akan pulang. Ayah akan menyarung baju kemeja buruknya, seluar buruk yang bertalipinggangkan tali rafia, dan dihujungnya digantungkan ubat nyamuk. Ayah membuka bekas tembakaunya, mengambil pemetik api dan menyalakan ubat nyamuk, kemudian dikunci rapat di bekasnya. Ayah menggelintir daun rokok dengan tembakau perang, mencucuh api di hujungnya dan mencapai pisau menoreh, terus berjalan ke arah bukit yang garang, sombong dan megah itu.Ayah akan menyertai mak. Mak akan menyertai semua orang di bukit yang lebat dengan pokok para itu. Semua orang akan menyertai kehidupan yang penuh dengan kesusahan. Dan kehidupan akan menyertai keberkatan dan kerahmatan. Dan kerahmatan Tuhan akan menyertai langit; melindungi mereka, melindungi mak dan ayah, melindungi saya, dan melindungi semua.Akan bersambung.Glosari:(1) Tinet bermaksud "utara". Ke arah tinet bererti ke arah utara. Merujuk juga ke arah bukit-bukau, bukan ke arah tanah landai dan rata.(2) Mengala bermaksud bidang tanah atau ladang, atau kebun.(3) Rok-rek rok-rek ialah permulaan bunyi hujan menghempap atap rumbia dan zink.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 22, 2017 13:22

BERPUASALAH, UNTUK MENJADI YANG DICINTA BUKAN DIPAKSA

Ramadhan pun tiba buat kali ke entah berapa dalam hayat kita. Semenjak kita Muslim, atau benar-benar Muslim, atau semenjak kita disuruh oleh ibubapa kita supaya kita berpuasa, atau semenjak kita sedar bahawa kita perlu berpuasa supaya kita tak kelihatan malu di depan kawan-kawan kita.Saya masih ingat ketika kanak-kanak dahulu. Mak sering sahaja suruh saya berpuasa. Katanya ambil sahaja setengah hari kalau tak dapat. Esok ambil lagi setengah, maka jadilah satu hari. Setiap hari mak kata akan dapat upah RM1. Cukup sebulan, duit raya yang saya dapat dalam RM15 hingga ke RM20. Pada waktu saya kanak-kanak dahulu, duit raya yang orang bagi dari setiap rumah hanyalah 50 sen rata-rata.Tiada kesahihan fikah atau keharusan hukum untuk menjustifikasikan tindakan Mak. Mak cuma melakukannya atas dasar pendidikan. Dan semakin saya mendewasa, semakin saya sedar bahawa Mak telah menanamkan suatu nilai dalam diri saya; berpuasa bukan kerana ianya wajib semata-mata (hukum), tetapi kerana mahu menjadi hamba (nilai).11 bulan kita hidup sebagai Muslim, melakukan paling kurang dua rukun Islam; mengucapkan dua kalimah syahadah dan mengimplementasikannya, serta menunaikan solat lima kali sehari. Tiba bulan Ramadhan, kita menambahkan lagi satu rukun agama, iaitu berpuasa. Dalam ayat 183 Surah al-Baqarah, satu-satunya ayat yang menurunkan perintah puasa, Allah menyatakan;"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa." (2:183).Ayat selepasnya, iaitu ayat 184, Allah menerangkan kepada kita bagaimana harus berpuasa. Sejurus sahaja selepas itu Allah memberitahu pengecualian bagi mereka yang sakit atau bermusafir. Mereka boleh berbuka dan menggantikannya di waktu yang lain.Ayat selepasnya lagi, iaitu ayat 185, Allah menerangkan tentang Ramadhan, kemudian Allah mengulang lagi pengecualian berpuasa kepada dua golongan ini: yang sakit dan yang musafir.Tertanyalah diri kita, kenapa Allah perlu mengulang pengecualian ini di ayat 185? Bukankah sudah kita get that point pada ayat 184?Kita pun mengetahui, oh, kalau ada pengulangan dalam Al-Quran bererti pengulangan itu sendiri ialah pesanan. Allah mengulang-ulang"Fabi'aiyyi ālāi rabbikumā tukazzibān"yang bermaksud "dan nikmat yang manakah lagikah dari Tuhanmu yang mahu kamu dustakan?" di dalam Surah ar-Rahman dengan banyak sekali. Sekilas kita baca, kita cuma rasa keindahan bahasanya dan iramanya, namun dua kilas kita renung, kita dapati bahawa setiap pengulangan itu rupa-rupanya mengandungi makna-makna tersendiri yang dikendong daripada setiap babak sebelumnya.Tahulah kita bahawa perkataannya dan ayatnya berulang, tetapi maknanya dan perasaannya tidak berulang. Setiap pengulangan, ada makna, pesanan dan perasaan tersendiri. Berulang di fikiran, tidak di perasaan. Berulang di mata, tidak di jiwa. Begitulah agungnya Al-Quran.Namun, apakah pula pesanan Allah mengulang pengecualian dua golongan ini daripada berpuasa?Untuk mengetahuinya, mestilah kita merenung sejenak apakah matlamat tertinggi puasa. Bukan untuk menjaga diri daripada perkara yang membatalkan puasa sahaja, sebaliknya, matlamat tertinggi berpuasa ialah untuk beriman dan bertakwa kepada Allah,la'allakum tattaqūn, seperti mana Allah mengakhirkan ayat 183 tadi.Allah tidak rugi kalau mana-mana hamba meninggalkan puasa, atau membatalkan puasa, atau melakukan pelbagai dosa. Tiada satu pun tiang dalam kerajaan Allah akan runtuh sekiranya hambaNya tidak menunaikan ibadah yang diturunkanNya. Allah tidak memerlukan apa-apa daripada kita. Kita yang memerlukan Allah, dan berpuasa adalah manifestasi bahawa kita memang benar-benar memerlukan Allah.Allah tidak mahu manusia menyangka puasa ini susah dan sukar semata-mata. Memang sukar. Saya di Edinburgh ini akan berpuasa lebih kurang 18 jam sehari. Di sana ada pekerja buruh yang perlu berpuasa dalam keadaan kerjanya yang sangat mencabar. Memang sukar. Tetapi kesukaran bukanlah kehendak Allah. Yang Allah mahukan ialah kita menggarap peluang ini untuk terus mentaati Allah.Maka, apabila ketaatan kepada Allah yang sepatutnya tidak lagi menjadi matlamat tertinggi, dan khuatir pula menyusahkan hambaNya, Allah memberikan pengecualiannya, iaitu golongan yang sakit dan musafir. Agar hambaNya tidak menyangka bahawa agama ini sukar, tetapi kembali menangkap makna puasa terbesar, iaitu mentaati Allah yang Maha Besar.Penurunan perintah puasa ialah penurunan yang sangat cinta. Allah memanggil kita"Wahai orang beriman!"(2:183), Allah tidak memanggil kita dengan "Wahai orang Islam" atau yang selainnya, kerana belum tentu menjadi Muslim itu ertinya kita akrab dengan Allah, tetapi menjadi mukmin itu, sudah pastilah akrab dengan Allah.Allah juga memanggil dengan panggilan yang lembut,"Yā Ayyuha",panggilan ini digunakan oleh seseorang yang memanggil orang yang dicintanya. Seperti seorang ayah memanggil anaknya,"Ayyuhal walad".Panggilan di permulaan ayat berpuasa ini menjadi bukti bahawaperintah Allah ialah perintah kerana cinta.Dan ayat 186 pula, ayat terakhir dalam mukasurat 28 itu berakhir dengan ayat yang paling menawarkan cinta dan harapan. "Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul." (2:186).Berpuasalah! untuk menjadikan kita hamba yang dicinta, bukan yang dipaksa.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 22, 2017 03:17

REFLEKSI KISAH NABI MUSA: KETIKA KITA TIDAK PUNYA APA-APA

Ketika Musa sampai di Madyan setelah lapan hari berjalan kaki, tidak berkasut dan langsung tidak membawa bekalan makanan hingga dikatakan terpaksa makan daun-daun di jalanan, Musa berehat di bawah sepohon pokok. Dari kejauhan Musa melihat dua orang gadis sedang menahan kambing-kambing mereka supaya tidak mendekati telaga kerana ramai lelaki yang sedang berkerumun. Di situ hanya terlihat dua orang sahaja perempuan, selebihnya lelaki.Taurat mencatatkan dua anak gadis itu ialah Zipora dan Lea. Ayah mereka bukan Nabi Syuaib kerana Nabi Syuaib hidup di zaman lain. Cuma namanya kebetulan sama dengan nama Nabi Syuaib. Situasi ini menggambarkan bahawa perempuan ditindas. Lelaki yang kuat sahaja mendahului untuk mengambil air dan memberi minuman kepada ternakan. Menariknya, kenapa Allah menceritakan perihal babak ini di dalam al-Quran? Apa kaitannya dengan umat akhir zaman iaitu kita?Ini antara sebab kenapa saya mengatakan sebenarnya Islam mengangkat feminisme. Cuma feminisme yang Islam angkat ialah feminisme yang awal, yang tidak diseleweng dan ditambah-tambah. Hak kesamarataan lelaki dan perempuan Islam iktiraf itu. Islam mengangkat feminisme bertujuan keadilan. Bukan melebihkan mana-mana. Wacana keadilan ini menjadi prinsip agama. Ketika lelaki-lelaki ini mendahului, atas dasar mereka lebih kuat, itu sudah menyanggahi keadilan. Bukan soal siapa kuat dan lemah sepatutnya, tetapi "first come first serve"-lah.Lihat istilah yang Allah gunakan iaitu تذودان yang bermaksud "sedang menahan" kambing-kambing mereka. Bererti kambing-kambing itu pasti sedang tidak sabar mahu minum. Bererti kambing-kambing ini sudah lama menahan dahaga. Bererti juga, sudah lamalah dua gadis ini menunggu giliran mereka yang sering dipotong oleh lelaki-lelaki atas justifikasi "kami lelaki". Inilah yang menyanggah keadilan. Namun, belum tentu kerana Musa tidak tahu perihal sebenar.Musa bertanya, ما خطبكما "kenapa kamu berdua?". Kenapa Musa bertanya? Meskipun sudah jelas di depan matanya dua orang gadis ini dianiaya, penjelasan tetap penjelasan. Mesti tahu apa yang terjadi di sebaliknya. Walaupun kita melihat orang sedang memperjuangkan hak, kita mesti tahu apa yang terjadi sampai begitu semangat mereka. Jangan membabi buta mengikut mereka atas nama "perjuangan hak asasi manusia". Begitu juga dengan mana-mana organisasi yang katanya memperjuangkan hak. Perlu diperhalusi dan dijelaskan, hak apa dan apakah situasi sebenarnya. Cari sebab yang relevan dan dengan sebab itu kita bergantung.Selepas itu, mari kita lihat apa penjelasan dua gadis ini dan kenapa Allah merakamnya? Mereka berkata, "kami tidak akan memberi minum kambing-kambing kami sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternakan mereka", dan surprisingly, mereka menyambung, "dan bapa kami seorang yang sudah terlalu tua." Allah menggunakan perkataan حتى yang bermaksud "sehingga". Perkataan ini digunakan untuk menunjukkan tempohnya agak lama. Bererti memang selalunya mereka kena menunggu lama untuk sampai giliran mereka. Ia dikuatkan lagi dengan hukum tajwid dua rakaat panjang jika dibaca pada perkataan ini.Kemudian, timbul pula persoalan, kenapa mereka terus menjawab soalan yang tidak ditanya Musa? Musa tidak tanya bagaimana ayah kalian berdua? Tetapi mereka memberitahu juga. Ini kerana mereka sudah agak, pasti tertimbul di kepala Musa juga kenapa perempuan yang mesti menternak, ia sungguh janggal. Hal ini memberitahu tentang kedudukan perempuan di zaman itu. Perempuan tidak berkarier dengan kerja-kerja berat pada zaman itu lagi. Melainkan ada sebab seperti tiada anak lelaki atau ayah yang sudah tua dan tidak larat berkerja. Itupun amatlah jarang. Sebab itu mereka terus memberitahu, "ayah kami sudah terlalu tua". Bertambah yakinlah Musa untuk membantu mereka. Justifikasi mereka sangat jelas. Pertama, mereka dianiaya dan dinafikan hak kerana mereka perempuan yang dikatakan "lemah". Kedua, mereka diantara rakyat marhaen yang perlu menyara ayah yang tua dan uzur.Saya yakin, sebenarnya mereka tidak lemah seperti dakwaan lelaki-lelaki itu. Jika mereka lemah, kenapa mereka boleh mengembala kambing? Saya tiada pengalaman mengembala kambing tetapi yang pasti, mengembala kambing bukan sesenang menulis catitan ini. Bermakna, persepsi pada perempuan sebagai "insan lemah" bukan hanya wujud pada zaman jahiliyyah dan zaman Nabi Muhammad SAW, tetapi ia warisan turun-temurun. Pada waktu itu sudah ada persepsi sebegini. Yang paling menarik, insan yang memperjuangkan hak keadilan bagi perempuan sudah ada pada zaman abad ke-12 Sebelum Masihi lagi.Ya, bila bercerita tentang babak selepas ini, inilah yang paling menyedihkan bagi saya. Seorang lelaki yang berjalan selama lapan hari, tidak berkasut dan sedang dalam lapar dan dahaga tidak terkira masih memilih untuk membantu insan teraniaya, dan insan itu ialah perempuan pula. Tanpa menunggu lama, Musa terus membantu mereka. Perkataan فسقى menarik jika dikupas. Huruf "fa" bererti "maka" dan ia digunakan sebagai penerusan tanpa ragu-ragu. Bererti, Musa tidak tunggu lama sebaliknya terus menolong mereka. Kemudian Allah menggunakan perkataan ثم yang bererti "kemudian" dan perkataan ini digunakan untuk menunjukkan prosesnya lama. Bererti, bukan sekejap Musa membantu mereka. Musa memberi minuman kepada kambing-kambing mereka dalam tempoh yang agak lama. Bukan tolong lepas tangan. Tapi tolong sungguh-sungguh. Sehinggalah kambing-kambing itu kenyang.Musa kembali ke tempat berteduh tadi. Lambat-lambat berjalan. Sebab itu perkataan تولّى dibaca dengan enam (atau lapan) harakat. Untuk menunjukkan betapa lemah longlainya Musa berjalan kembali ke tempat berteduh tadi. Tiada sedikitpun tenaga yang berbaki. Semuanya sudah habis digunakan. Ketika ini Musa berdoa, dengan sebuah doa yang sungguh bermakna, yang bermaksud, "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian kebaikan (pertolongan) yang Engkau berikan kepadaku". (Al-Qasas:24)Musa memanggil Tuhan bukan dengan "Ya Allah", tetapi "Rabbi" yang bermaksud pemelihara. Kerana Musa yakin, Allah akan memeliharanya dan telah memeliharanya sampai setakat ini. "Sesungguhnya aku" bermaksud sekarang Musa mahu bercakap tentang dirinya sahaja. Letih lelahnya dirinya. Musa meminta supaya Tuhan tumpu hanya kepada dirinya sahaja. Apa yang Musa minta cuma satu, turunkanlah apa-apa sahaja kebaikan untuk dirinya yang fakir (memerlukan). Lihat uslub doa ini, perkataan "faqir" berada di hujung doa. Musa tak berkata, "sesungguhnya aku ini fakir berilah aku apa-apa kebaikan" sebaliknya Musa berkata, "berikanlah kebaikan kerana aku fakir". Musa dahulukan "tujuan" iaitu "sebarang kebaikan" (kalimah "khair") barulah Musa mengadu. Ini menunjukkan sikap Musa bukan jenis meminta-minta dan merayu-rayu (meskipun boleh meminta-minta dengan Tuhan). Kita sering kata, "aku tak larat, tolonglah". Kita tunjukkan kelemahan diri, baru minta. Berbeza dengan kita berkata, "Tolong, aku tak larat". Kita utamakan pertolongan, dan "tak larat" sebagai unsur sokongan. Itulah Musa. Minta Allah tolong turunkan satu sahaja kebaikan, ia sudah cukup. Kerana hanya pada waktu ini Musa menggelarkan dirinya "fakir" iaitu yang memerlukan.Sebelum ini jika diikutkan memang Musa "fakir". Berjalan tanpa kasut. Makan sahaja apa yang ada. Dikejar lagi. Ditindas kerana lahir sebagai orang Bani Israel lagi. Suhu yang agak panas ketika berjalan. Itu sudah tentu ciri-ciri seorang yang memerlukan (fakir). Tetapi selagi kudrat ada, selagi itu Musa berusaha. Sehinggalah kudrat tiada, yang ada hanyalah sekujur tubuh yang lemah, ketika itu barulah Musa menggelar dirinya "fakir".Entahlah. Geleng kepala saya memikirkannya. Takjub. Mengujakan. Terima kasih Musa. Terima kasih kerana memberikan doa ini untukku, untuk kita.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 22, 2017 00:41

May 21, 2017

GIFTED DAN HUKUM NORMALITI

Kehidupan dibina di atas hukum normaliti; bererti, apa sahaja yang kita lakukan harus tidak keluar dari pagar normal. Adakah hukum normaliti ini suatu hukum kebenaran? Saya fikir tidak.Normaliti hanyalah sebuah kehidupan superfisial yang wujud di dalam kedamaiannya yang tersendiri. Namun, normaliti tidak pernah bersifat hakiki, bukan pula bersifat dengan sifat kemanusiaan, kerana hari ini, kita lihat normaliti ini pulalah yang merampas institusi kemanusiaan.Filem Gifted (2017) memplotkan dirinya di atas wacana normaliti. Saya sememangnya peminat Chris Evans -- sebab itulah saya meminati Captain Amerika, selain X-Men. Tetapi jauh dari kehendak bobrok Marvel, Chris Evans kali ini tampil menjadi seorang pakcik yang penuh resah -- bukankah Chris Evans memang pelakon yang paling pandai mewajahresahkan karakternya? -- yang mempunyai pula seorang anak saudara perempuan berumur tujuh tahun, comel dan yang paling penting, gifted, Mary namanya.Plotting dalam filem Gifted menarik kerana dramanya tidak terlalu melampau dan melebih-lebih. Tidak perlu bunuh membunuh, tikam menikam, tembak menembak, tendang menendang, mati, sakit, cedera parah, atau semuanya. Tidak perlu semua itu. Gifted sudah gifted dengan sendirinya.Mary Adler cuma seorang anak gadis tujuh tahun yang tidak meminta untuk menjadi genius menyelesaikan masalah matematik dengan jentik jari dan menyelesaikan kalkulus sebagai hobi. Mary Adler tidak tahu dia akan dilahirkan sebagai seseorang yang secara tidak sengaja telah melanggar hukum normaliti. Mary Adler cuma seorang Mary Adler yang tidak memilih untuk menjadi Mary Adler.Cerita ini bermula dengan apa yang sudah cuba dinormalkan oleh Frank Adler, pakciknya (lakonan Chris Evans), setelah memilih untuk menjaga Mary Adler, memastikan Mary Adler hidup seperti kanak-kanak sebayanya yang lain. Tidak perlu pergi ke sekolah-sekolah genius seperti G.A.T.E. atau Westmount Charter School di Alberta, Canada. Hidup sahaja di sekolah biasa, berkawan dengan orang biasa, dan cuba hidup dengan normaliti dan kebiasaan.Namun, adakah Mary Adler boleh hidup dengan kehidupan normal itu? Atau soalan yang lebih rumit, bolehkah kehidupan normal itu menerima Mary Adler sebagai salah seorang penghuninya?Filem ini bermula di sini; bukan Mary Adler yang tak biasa dan tak mahu membiasakan dirinya, tetapi kehidupan normal itu sendiri menolak Mary Adler, menghukum Mary Adler dengan segala pancarobanya dan segala helahnya, dan seperti nasib-nasib orang yang terlebih pandai daripada orang lain, kehidupan normal telah menjadikan orang-orang seperti Mary Adler makhluk asing yang tidak dihalau namun tidak pula dijemput. Sengaja meninggalkan Mary Adler dalam keentahan yang tidak berpenghujung.Watak kehidupan normal itu diwakili oleh neneknya, Evelyn, ibu kepada Frank Adler, ibu juga kepada Diane Adler (ibu Mary yang mati membunuh diri), yang mahu mengambil Mary dan menjaganya malah menghantarnya kepada institusi yang lebih layak untuk kemampuan otaknya. Atau sebenarnya, mahu Mary, seperti telahan Evelyn, mendapat apa yang layak untuknya.Evelyn watak antagonis yang berniat protagonis. Mengupah peguam untuk menfailkan kes penjagaan Mary Adler semula dan menuntuk haknya sebagai nenek, dan melawan dengan anaknya sendiri, Frank Adler. Padahal suatu ketika dahulu, Evelyn membuang Mary Adler kerana menyangka Mary anak luar nikah tanpa ayah yang sah. Dan Diane, ibu kandung Mary, membunuh diri dengan pelbagai sebab yang sangat rumit; yang tersimpul dengan mudah, sudah tentulah penolakan kehidupan normal terhadapnya. Diane ialah seorang ahli matematik yang mati tanpa sempat menyambut gelaran Millenium Prize gara-gara tidak sempat menyelesaikan masalah matematik yang rumit.Dimanakah Evelyn ketika Mary Adler membesar? Selepas diberitahu tentang kegeniusan budak ini, Evelyn tampil tiba-tiba. Wataknya ialah watak keduniaan, kehidupan, dan ketamakan manusia yang oportunis bertopengkan wajah "saya cuma nak buat baik".  Tetapi yang dimahukan ialah nama, kejayaan fizikal semata-mata, kemasyhuran dan segalanya akan dapat diperolehi dengan menggunakan Mary.Mary Adler ialah watak abnormal yang dimusuhi oleh normaliti. Segala yang dilakukannya jadi serba salah kepada dunia normaliti meskipun Mary boleh menyanggah teori normaliti dengan mudah sekali. Dan watak Mary Adler ialah watak-watak yang wujud di sekelililing kita; iaitu mereka yang genius tetapi dipergunakan dengan sangat abnormal.Yang Frank dan Mary Adler mahu cumalah satu, tidak dipisahkan daripada ketenangan ditanggapi sebagai manusia biasa, hidup yang biasa, dan memiliki peribadi yang diterima oleh semua. Tidak dipisahkan oleh kekaguman semata-mata, atau tidak dipisahkan kerana kuasa politik yang oportunis semata-mata.Rupanya, tidak semestinya Mary Adler, tidak semestinya genius, mereka yang melanggar normaliti, akan dimusuhi seketat-ketatnya oleh normaliti itu sendiri, atau dalam bahasa yang mudah; menjadi abnormal akan dimusuhi secara langsung atau tidak langsung oleh mereka yang normal.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 21, 2017 11:52

SURAT KEPADA MARYAM: MENGGELEDAH 'ABDUH

Apa khabar Maryam? Seringkali saya scroll di Facebook dan melihat status-status awak, saya senyum seorang diri. Maryam yang saya kenal ialah Maryam itulah juga. Seorang polos tetapi berkeyakinan penuh pada sesuatu perkara. Tidak, saya tidak kata awak tidak berubah, banyak tentunya perubahan yang berlaku. Tentu saujana pemikiran awak mula meluas lagi dengan buku demi buku yang awak baca dan habiskan. Tentu juga pemikiran itu memberi kesan kepada tindakan dan momentum kehidupan awak.Senja di Edinburgh sungguh sunyi. Sebenarnya kesunyian ialah kehidupan saya di sini. Kesunyian adalah makhluk yang sentiasa ada dalam diri kita. Meskipun kita ramai kawan dan kita begitu riuh, kesunyian tetap galak dengan caranya sendiri. Kesunyian inilah yang melahirkan kata-kata, nuansa rasa, dan mandala estetika yang padat dan indah. Dan kesunyian ini jugalah membuatkan saya menulis surat ini.Saya membaca alfu lailah wa lailah, 1001 malam, diterjemahkan kepada The Arabian Nights oleh Daniel Heller-Roazen. Karya ini adalah antara karya sastera yang besar lahir di zaman Safavid memerintah di India. Pada asalnya kitab ini berbahasa Parsi, ada yang mengatakan ia berbahasa Arab. Tetapi kitab ini, atau sebenarnya sebuah novel panjang, dengan pelbagai bahasa sekalipun tetap menyajikan kisah-kisah yang bermoral tinggi.Selang itu saya masih lagi gagal menghabiskan Islam: The Essentials karya Tariq Ramadan. Semua hal yang Tariq Ramadan bicarakan hal-hal prinsip dan asas dalam Islam, namun dengan interpretasi dan viewpoint yang baru. Hemat saya, karya ini perlu dan mendarat pada waktu yang tepat. Masyarakat hari ini bertelagah kerana kurangnya kefahaman asas kepada elemen-elemen yang asas. Perkara asas selama ini barangkali disampaikan dengan sangat superfisial sehingga ia terlalu goyah dan kegoyahan ini menyebabkan timbulnya salah faham dan pemikiran dogmatik melampau. Lihat sahaja bagaimana masyarakat masih gagal membezakan antara model dan prinsip. Misalnya, RUU 355 hanyalah model, bukan prinsip. Ketidaksetujuan terhadapnya hanyalah ketidaksetujuan terhadap model, bukan menentang prinsip Islam. Namun ketidaksetujuan itu dianggap suatu pengkhianatan dan pertentangan.Beberapa buku yang saya tempah melalui Amazon juga selamat sampai. Antaranya naskhah yang paling menarik dari Katarjun Amirpur berjudul New Thinkings in Islam. Katarjun Amirpun mengupas segala pemikiran kontemporari yang diperkenalkan oleh pemikir-pemikir semasa seperti Aminah Wadud, Fazlur Rahman, Nasr Hamid Abu Zaid, Asma Barlas, 'Abdolkarim Soroush dan Mohammad Mojtahed Shabestari. Awak mungkin lebih mengenali mereka ini berbanding saya sementelah awak mengambil jurusan yang berkaitan.Meskipun mereka saling mengkritik, dan ada yang bertentangan antara satu sama lain, tetapi melihat kepada warna-warni pemikiran-pemikiran kontemporari ini melahirkan semacam suatu rasa yang segar. Kebanyakan perbezaan pemikiran mereka bertitik tolak kepada suatu perkara sahaja, iaitu interpretasi kepada ayat-ayat al-Quran. Apabila interpretasi berbeza, maka dapatannya juga berbeza. Hal ini mengingatkan saya tentang sejarah bagaimana bermulanya idea-idea baharu tentang pelaksanaan Islam di zaman awal abad ke-19 ketika al-Afghani datang dengan idea pan-Islamism-nya. Sekaligus mengingatkan saya tentang suatu saat ketika kita berkampung di tingkat tiga bahagian sayap sebelah kanan menggeledah riwayat hidup tiga tokoh utama ini; Jamal al-Din al-Afghani, Muhammad 'Abduh dan Rashid Rida.Segar malar. Kenangan menjadi bundar. Bergerak dalam siklus waktu yang tidak berhenti berputar. Bagaimana agaknya saat itu dalam benak kenangan awak? Ada beberapa nota tambahan kepada nota yang kita hasilkan bersama. Tentang al-Afghani misalnya, Katarjun menjawab persoalan yang kita tak mampu jawab iaitu di manakah tempat lahir sebenar beliau. Kata Katarjun beliau lahir di Iran tetapi mengambil nama "al-Afghan" kerana beliau tidak mahu dilabel Syiah yang hanya akan menyekat idea-ideanya dari mengalir deras ke dasawarsa massa. Saya setuju dengan Katarjun, dan saya terkejut dan kagum dengan pilihan al-Afghan. Dia tahu, pelabelan hanya akan meremehkan idea-idea besar yang ingin disampaikan.Secara asasnya al-Afghani membawa dua idea besar iaitu: kesatuan Islam dan keperluan islah dan pemodenan Islam. Hal ini menyebabkan nama al-Afghani cepat naik. Namun sayangnya karya al-Afghani tidak cukup untuk menampung kedua idea besarnya ini. Ia disinambungkan dengan baik oleh Muhammad 'Abduh dan Rashid Rida. 'Abduh lebih cenderung merembeskan unsur kenegaraan di dalam pengislahan agama kerana keperluannya pada waktu itu, khususnya Mesir. Beberapa perkara bercanggah antara 'Abduh dan al-Afghani. Al-Afghani mencadangkan perlunya proses pengadaptasian sistem barat dalam kerangka negara Islam pada waktu tersebut (di akhir fatrah kejatuhan Uthmaniah 1924). Namun 'Abduh tidak bersetuju dan percaya bahawa untuk membangun Mesir memerlukan sistem pendidikan tersendiri yang lebih memesrai dan sesuai dengan social setting. Di sini fahamlah kita betapa 'Abduh sangat passionate dengan pendidikan dan menanam dengan baik idea al-Afghani dalam sistem pendidikan.1876 'Abduh menamatkan pengaijannya dan dua tahun kemudian dipilih menjadi pensyarah di Dar al-'Ulum. Dalam masa yang sama 'Abduh menjadi kolumnis di majalah Al-Ahram dan mengutarakan ideanya dengan bersungguh-sungguh. Disebabkan kritikannya terhadap British 'Abduh terpaksa meninggalkan Mesir setahun sebelum pulang semula ke Mesir dan mula menerbitkan akhbarnya sendiri bercerita tentang keperluan Islah pada waktu tersebut.Pada tahun 1882, 'Abduh terpaksa meninggalkan Mesir lagi setelah menyatakan prinsipnya terhadap kebangkitan 'Urabi menentang kerajan. 'Abduh bergerak ke Paris dan di sini bertemulah 'Abduh dengan gurunya semula, al-Afghani. Mereka bergabung dan mengeluarkan majalah al-Urwa al-Wuthqa yang bermaksud "The Strongest Bond". Di sini Maryam jika awak masih ingat saya ada tunjukkan beberapa salinan majalah al-Urwa al-Wuthqa dan bagaimana majalah ini memberikan suluhan yang cerah kepada gerakan Islah dan tajdid di Malaysia. Kebanyakan kolum, tajuk, tema, isu dan konsep penerbitannya sama dengan majalah Saudara, Al-Imam dan Ikhwan yang dipelopori oleh Syed Syeikh al-Hadi dan rakan-rakannya.Kembali ke Kaherah pada tahun 1889, 'Abduh memulakan perjuangan sebagai hakim dan kemudian dilantik menjadi Mufti Mesir. Di sinilah 'Abduh banyak mengutarakan pendapatnya seperti persoalan adakah orang Islam boleh makan daging yang diimport dari negara non-Islam. Menariknya Maryam, jika ditinjau daripada tulisan-tulisan 'Abduh ketika menjadi mufti, beliau banyak berbahas tentang teologi dan mula menuliskan tafsir al-Quran sendiri yang diterbitkan secara bersiri di jurnal Al-Manar, "The Lighthouse". Tafsir ini sayangnya tak sempat dihabiskan tetapi disambung semula oleh Rashid Rida.Satu perkara yang diperjuangkan oleh 'Abduh sehinggalah akhir hayatnya ialah taqlid, blind imitation. 'Abduh begitu lantang mengeluarkan masyarakat daripada kepompong taqlid yang sangat merbahaya. Hal ini sangat jelas jika kita membaca karya penting beliau iaitu, "Risalat al-Tawhid", yang bermaksud "Epistle of Unity". Dalam karya ini 'Abduh fokus kepada perbahasan iman (kepercayaan). Saya menemui suatu istilah menarik oleh 'Abduh iaitu universal faith based on reason. Kita senantiasa menganggap iman tidak pernah berhubung dengan masyarakat plural, kerana iman yang difahami hanya milik individu. Namun 'Abduh menggunakan terma universal bagi iman supaya, kata 'Abduh, iman yang ada dalam diri kita berfungsi sebagai manusia yang memberi kepada dunia.Saya akan meneruskan sedikit bacaan lagi berkaitan idea 'Abduh yang dipanjangkan oleh Rashid Rida dan 'Ali  'Abd al-Raziq. Mungkin nama-nama ini agak asas bagi beberapa orang tetapi entah kenapa saya sangat asyik membacanya. Apatah lagi membacanya daripada kacamata barat kerana sekarang yang namanya "barat" ialah negara, suasana dan sistem yang saya duduk di dalamnya.Setakat ini sahaja dahulu surat saya. Teruskan menggeledah ilmu dan menjawab soalan-soalan yang semakin menyerbu di dalam kepala fikiran kita. Biarlah kita ragu, keliru, buntu dan resah dalam mencari tahu kerana itulah jalan menuju Tuhan, menuju kebenaran. Bak kata Bertrand Russel, “The whole problem with the world is that fools and fanatics are always so certain of themselves, and wiser people so full of doubts.”
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 21, 2017 08:54

PRAKATA BUKU "YANG SINGGAH DAN PERGI" OLEH PAHROL MOHAMAD JUOI

Sungguh aku terkesima walaupun baru mula membacanya. Ini pengalaman, bisik hatiku. Membaca pengalaman berbeza dengan membaca pengetahuan. Pengalaman akan menyebabkan fikiran teruja, emosi terusik dan hati merasa. Anak muda ini berjaya menarik aku ke zaman muda mudanya. Zaman yang darah dan tenaga masih membara dan menyala-nyala. Sungguh, Hafizul Faiz bukan sekadar menulis, tetapi dia berjaya menata satu rasa hingga kita sendiri ‘dipaksa’ membaca diri sendiri ketika membaca dirinya!Kejahatan sangat menawan. Ramai yang tertawan. Maksiat sungguh memikat. Ramai yang terjerat. Godaan keduanya menyebabkan ‘masa lapang’ dan ‘masa sihat’, dua aset yang dimiliki oleh setiap anak muda terbuang dan menyimpang. Namun, bacalah perjuangan anak muda ini di pelbagai gelanggang, kembaranya yang merentas lautan dan daratan. Kita pasti kagum malah cemburu bagaimana dia memanfaatkan masa lapangnya. Lalu relung masa itu terisi, dengan pelbagai cita dan citra. Ada tafsir, ada sajak, ada kembara, ada suka, ada duka… dan pastinya ada cinta!Jauh anak muda ini berlari, tetapi ayah dan ibunya terus di hati. Lalu ditulis tentang pokok getah, sawah padi dan desa tempat dia membina jati diri. Dari situ dia ‘terbang’ ke teater, filem, kuliah tafsir dan banyak lagi tanpa kehilangan nilai dan makna. Memang, masa muda adalah tempoh transisi yang sangat menguja. Daya kreativiti dan gejolak inovasi seakan tiada batasannya. Bebas yang boleh terbabas. Berani tetapi semberono. Namun fikrah Islam dan roh iman jua yang menjadi teras dan asas segala. Dengan itulah Hafizul Faiz ‘berenang’, umpama ikan yang tidak terjejas oleh masinnya lautan!Buku ini bukan sahaja saja untuk remaja, kerana saya yang ‘retua’ ini juga turut teruja. Membaca kisah Hafizul Faiz, menyebabkan saya membaca kisah saya dan kisah kita. Walaupun jarak generasi dan zaman berjauhan, namun perasaan, fikiran dan rasa hati insani tetap sama hingga akhir masa. Yang berubah hanya latar dan suasana, tetapi prinsip, nilai dan keyakinan tetap kekal. Kebenaran tidak dimakan usia. Begitu juga kebatilan. Lalu pertempuran antara keduanya sedang dan akan terus berlaku… dan inilah yang akan kita rasai apabila Hafizul Faiz menulis tentang sejarah. Seolah-olah sejarah itu masih berdarah dan mengalirkan air mata….Penulis menulis dirinya! Bukan segala yang picisan dan pinggiran mengenai dirinya  tetapi tentang perjuangan, cita-cita dan keyakinannya. Anak muda ini akan terbang tinggi dan jauh. Insya-Allah. Jika dia dan sesiapa sahaja menjaga keikhlasan, meningkatkan keterampilan dan kepakaran, dan mengawal diri dari dosa, sungguh… dia akan terus singgah. Dan pergi. Singgah lagi…dan pergi lagi! Biarlah dia terbang jauh dan tinggi, asalkan kakinya tetap ruku’ dan dahinya tetap sujud ke bumi.—Ustaz Pahrol Mohamad Juoi*Tempah segera buku ini di pautan http://bit.ly/bukufaiz.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 21, 2017 08:47

REFLEKSI SURAH AL-KAHFI: PERMULAAN YANG MENJADIKAN KITA HAMBA

Allah memulakan dan mengakhirkan surah al-Kahfi dengan tema yang sama iaitu "khabar gembira bagi orang yang beriman". Kisah yang bermula dengan satu kesimpulan ini adalah teknik "pancing" pembaca untuk terus membaca, malah berakhir pula dengan "happy ending" supaya pembaca puas hati dan terkenang-kenang akan kisahnya.Sayyid Qutb membahagikan surah ini kepada lima bahagian yang coraknya merupakan pesanan penting dari Tuhan. Bermula dengan kehalusan akidah dan kepercayaan (Bahagian 1), arahan untuk terus bersabar dan analogi "jannataini": dua kebun (Bahagian 2), fenomena hari kiamat dan kisah Adam dan iblis (Bahagian 3), Nabi Musa AS dan seorang hamba yang soleh (Bahagian 4) dan akhirnya kisah Zulqarnain (Bahagian 5).Mufassir seperti Sayyid Qutb dan HAMKA begitu analitif dalam mengkaji sesuatu surah. Itu tidak lagi kita pergi ke daerah Ibn Katsir dan Ar-Razi, atau sesekali hanyut dengan keindahan bahasa Al-Zamakhshari.Al-Kahfi juga dimulakan dengan pengenalan yang menggembirakan. Lihat bagaimana kalimah "alhamdu" yang positif dimulakan dan lihat pula pada maksud ayat pertamanya; "Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong)".Sayed Qutb di dalam tafsir Fi Zilalil Quran mengatakan bahawa inilah khabar gembira yang dimulakan sebagai pokok cerita." (Al-Kahfi:1)Kaedah ini juga Allah gunakan di dalam permulaan Surah Yusuf. Al-Kahfi, sebagai sebuah kumpulan cerita (ada 6 cerita semuanya) dimukaddimahkan dengan "khabar gembira" dan membentangkan "perwatakan" orang yang beriman dan terpilih; "dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh balasan yang baik."(Al-Kahfi:2)Permulaannya surah ini terdapat perkataan "qayyima" yang bermaksud "tetap benar", beerti juga sebagai "istiqamah", ketetapan, ketegasan di atas jalan kebenaran. Seperti Allah meletakkan sasaran kepada semua cerita ini agar dipulangkan kepada Allah jua.Segala cerita mesti dituju kepada kebenaran, tidak dipesongkan dengan bias dan kecenderungan. Seolah-olah ia mengkritik sebahagian penglipurlara yang enak menokok-nambah cerita sejarah.Memang, bila kita renung lagi sebab turunnya ayat ini ialah apabila penduduk Mekah menyuruh sahabat bertanya tentang kisah Zulqarnain dan pemuda yang tidur kepada Nabi Muhammad SAW — kerana kisah ini sudah termasyhur semasa Jahiliyyah lagi — lalu Allah tampal dengan pelbagai kisah dalam Surah Al-Kahfi, di sini Allah ingin memberitahu betapa Allah itu Maha Tahu kerana sekecil-kecil kisah di zaman dahulu dapat diceritakan dengan penuh jelas dan terperinci.Setiap cerita mesti ada tujuannya. Setiap hikayat mesti ada teladannya. Salam Jumaat semua, semoga Surah Al-kahfi lebih menjadikan kita hamba.Hafizul FaizEmel: hafizulfaiz92@gmail.comWebsite: www.hafizulfaiz.comFacebook Page: https://www.facebook.com/hafizulfaiz9... https://twitter.com/hafizulfaiz92Inst... https://www.instagram.com/hafizulfaiz...
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 21, 2017 08:45