Hafizul Faiz's Blog, page 3

October 16, 2017

Hubb (Sebuah Cerpen Cinta)

El Nino benar-benar menyengat. Jalan dari Menara Alor Star menuju Stadium sedikit sibuk kerana dihalang oleh dua simpang empat. Muhammad Darul Asyiq menguatkan penghawa dingin. Kereta mengambil laluan kiri. Lebih selamat.      "Kau bawa kad matrik tak? Dapat potongan 50 peratus. Aku dah ingatkan banyak kali tadi." Suara Zahanis memecah sepi.      Darul Asyiq membelok ke kiri. Keadaan lengang. Darul Asyiq memarkir di depan pintu masuk. Tiada siapa yang datang ke Muzium Negeri Kedah pada waktu remang begini. Hanya mereka berdua. Barangkali.      "Kau memang tak boleh panggil aku abang ke?" Darul Asyiq menutup penghawa dingin, radio dan mematikan enjin.      "Hello! Kita kawan enam tahun, kahwin baru tiga hari. Kau nak expect apa?" Zahanis mencapai beg galas bercorak vintage peta dunia lama di tempat duduk belakang. Melihat wajahnya di cermin sisi sebelum bingkas melulu keluar.      "Tapi kita kan dah sah menjadi suami isteri. Mana ada suami-isteri panggil kau aku." Darul Asyiq tidak mengalah. Tangannya cekatan membalas beberapa pesanan dan langsung menyimpan telefon bimbit ke dalam poket sejurus menekan penggera kunci kereta automatik.      Zahanis tidak mengendahkan. Sudah melulu menaiki tangga menuju ke kaunter. Skirt labuh coklatnya terselak sedikit. Darul Asyiq merenung lama sebelum berlari anak mengejar isterinya.      "Mana ada isteri tinggalkan suaminya di belakang." Darul Asyiq mengusik.      "Minta kad matrik kau." Zahanis membuat-buat muka monyoknya. Tahi lalat kecil yang tersangkut di bawah bibir sebelah kanannya dikerling Darul Asyiq.      Zahanis melibas beg galasnya hingga terkena lengan Darul Asyiq. "Jom. Ikut sini. Kita tengok filem pendek dulu. Filem pendek ini adalah teaser kepada pameran 1001 Inventions semasa Zaman Keemasan Islam."     "Mana ada isteri yang libas begnya sampai terkena suami sendiri." Darul Asyiq membuntuti dari belakang. Dan kadang-kadang sengaja melagakan badannya dengan Zahanis.      Filem pendek selama tujuh minit itu ditonton bersama. Hanya mereka berdua di ruang teater itu. Kemudian pegawai bertugas memandu mereka ke arah galeri pameran.      "Jadi, zaman kegelapan Eropah ialah zaman keemasan Islam?" Darul Asyiq sengaja mencuit pengetahuan isterinya.      "Boleh dikatakan begitu. Namun, tidak dinafikan di Eropah juga terdapat ciptaan-ciptaan daripada tokoh Muslim. Andalusia berperanan. Cordoba dan Sicily membantu. Itu semua pintu masuk keemasan Islam ke dalam kegelapan Eropah, dan lantas mencerahkan." Zahanis berjalan perlahan supaya berada tepat di sebelah bahu suaminya.      Darul Asyiq seakan membisik. "Oh, seperti masuknya keemasan cintaku ke dalam hatimu, dan lantas mencerahkan?" Zahanis menjeling dan berjalan lebih cepat menuju ke galeri pertama.      "Kau tahu siapakah orang pertama yang mengetahui bagaimana darah manusia mengalir di antara jantung dan paru-paru? Orangnya ialah Ibn al-Nafis. Beliau mengkaji banyak tulisan purba Yunani dan bertugas di hospital yang sangat sibuk pada waktu itu, iaitu di Kaherah. Ini buku beliau, "Sharh Tashrih al-Qanun". Buku ini telah menerangkan dengan tepat bahagian dari sistem kardiovaskular yang melibatkan jantung dan paru-paru. Teori Ibn al-Nafis mudah. Darah mengalir keluar dari satu ruang pada jantung ke paru-paru, dan kemudian mengalir ke ruang jantung yang lain untuk mengalir ke seluruh badan." Zahanis tidak lelah menerangkan. Darul Asyiq mendengar tekun. Mereka sama-sama melihat muka depan buku "Sharh Tashrih al-Qanun" dan juga grafik teori pendarahan oleh Ibn al-Nafis pada abad ke-13.      Darul Asyiq menyentuh grafik tersebut. "Jadi William Harvey yang mendapat pujian sebagai orang pertama yang menemukan bagaimana darah kita beredar pada tahun 1628 sebenarnya bukanlah orang pertama?"      Zahanis menggeleng. "Mungkin kita boleh katakan William Harvey dipengaruhi oleh karya Ibn al-Nafis. Yang bagusnya, beliau melengkapkan penemuan Ibn al-Nafis ini."     Mereka beremba berjalan ke bahagian perubatan. Petugas yang mungkin sebaya dengan mereka memandu arah. Zahanis cepat melangkah. Shawl labuh hijau tuanya tidak sedikit pun mengganggu. Kemas dililit. Darul Asyiq mengekor dari belakang. Matanya mengekor lebih tajam dari kakinya.     "Cuba kau bayangkan, hari ini kita sudah menggunakan pisau bedah, gergaji dan pengikis bedah, gerudi dan forsep bedah, bahkan banyak lagi alat pembedahan yang lain. Kau tahu? kesemua alat bedah itu tidak berubah banyak sejak dari ia diciptakan oleh Al-Zahrawi ini. Beliau dikenali sebagai Albucasis di Barat." Zahanis berdiri di sisi potret Al-Zahrawi dan menunjukkan tangan lagak pembaca berita. Comel!     Darul Asyiq terkekeh ketawa. "Jadi puan, boleh beritahu saya apakah pendekatan yang digunakan Al-Zahrawi ini?"     "Begini Encik Darul Asyiq yang tak asyiq sangat pun. Al-Zahrawi adalah pakar pembedahan dan, yang ini sangat mengujakan, beliau juga seorang inovator perubatan. Beliau banyak mencipta alat-alat baru khususnya dalam bidang pembedahan. Al-Zahrawi telah merekodkan sejumlah besar teknik dan pengetahuannya tentang perubatan di dalam 30 jilid ensiklopedia beliau yang berjudul "Al-Tasrif". Beliau menggeledah banyak teknik pembedahan purba dan memodenkannya pada zamannya, iaitu pada abad ke-10 di Sepanyol. Di dalam magnum opus-nya itulah Al-Zahrawi menerangkan bagaimana perihal pembetulan bahu terkehel, menetapkan tulang patah di-acuan plaster, menggantikan gigi yang hilang dengan replika, dan yang paling menarik, ah seronoknya, beliau beberapa kali cuba untuk merawat kanser yang kita hanya dengar tentangnya pada hari ini. Yang paling mengasyikkan wahai Encik Darul Asyiq, Al-Zahrawi telah dilantik sebagai doktor istana kepada pemerintah negeri-negeri Muslim Sepanyol. Karya beliau kemudiannya dirujuk, diterjemah dan dikaji di seluruh dunia." Zahanis mengepal mulutnya dan mengangguk beberapa kali sebelum keningnya diangkat menunjukkan ruang kepada suaminya jika ada lagi persoalan.      Darul Asyiq tidak mengalah. "Puan, Al-Zahrawi pernah tak discover bagaimana merawat penyakit kanser hati? Sebab hati saya telah dimamah oleh hati puan yang bercakap ini." Zahanis menahan gelak dan tidak melayan. Mereka berpapasan bergerak ke bahagian seterusnya.      Darul Asyiq berhenti tepat berhadapan dengan replika sebuah roket. "Aku rasa aku akan ke bintang. Lagari Hasan Celebi akan bawa aku ke sana. Evliya Celebi telah mencatatkan bahawa Lagari Hasan Celebi ialah orang pertama yang membuat penerbangan berkuasa roket ke langit pada abad ke-17, di Turki."      Zahanis mampir. "Roket yang direka Celebi sangat hebat. Berisi serbuk pistol dan dapat menujah dengan tinggi. Dan Celebi boleh mengawal sayapnya sendiri. Namun, Celebi akhirnya terjunam ke dalam Bosphorus. Beliau mendapat ganjaran berupa seuncang emas dan pangkat tentera untuk lagak ngeri beliau itu." Suara Zahanis semakin menghilang serentak dengan langkahnya yang semakin deras meninggalkan Darul Asyiq dalam keasyikan.      Zahanis berhenti di hadapan gambar salah satu muka surat dari buku karya Al-Sufi, "Book on the Constellations", buku tentang buruj dan bintang.     "Zah, ini bererti setiap tamadun ada impian untuk meneroka angkasa bukan?" Darul Asyiq bertanya dari belakang.     Zahanis tidak menoleh. "Betul. Buku ini telah memberi nama Arab kepada 48 corak bintang klasik. Pada abad ke-17, data Al-Sufi akhirnya muncul dalam tulisan Arab pada glob cakerawala di Eropah. Satu-satunya buku yang ditulis selepas Ptolemy pada abad ke-2 mencatat 48 buruj bintang dalam The Almagest beliau." Zahanis melangkah ke belangkang selangkah sebelum menyambung, "Penerokaan ke angkasa ini sebenarnya bermula sejak Khalifah Al-Ma’mun memulakan tradisi balai tinjau Muslim pada abad ke-9 lagi. Beliau mengasaskan balai tinjau pertama di Gunung Qasiyun, Damsyik. Kemudian ditubuhkan lagi balai-balai tinjau di bandar-bandar besar termasuk Isfahan, Samarkand dan Istanbul. Semuanya bertujuan untuk mengkaji bintang."     Darul Asyiq memegang bahu Zahanis. "Kau tahu Zah? ada lagi yang lebih tinggi dari bintang dan lebih mustahil untuk diteroka."     Zahanis mengerutkan wajah. "Apa?"     "Cintaku padamu." Zahanis melakonkan wajah loya dan meleraikan tangan Darul Asyiq dari bahunya.      Mereka membelok ke kanan. Muzium begitu padat dengan pameran, gambar dan replika-replika. Banyak selok-belok. Mereka mengikut tanda yang ditampal bagi memudahkan pergerakan.      Darul Asyiq menggenyehkan matanya. Zahanis melihat. "Kenapa kau?"     "Aku terlupa bawa kacamata. Aku rabun dekat. Tapi tak teruk sangat." Darul Asyiq berdiri di sebelah Zahanis. Ruang agak sempit. Mereka berlaga bahu.      "Mungkin kau ada masalah katarak. Jom kita jumpa Al-Mawsili. Ikut aku!" Zahanis berjalan laju ke suatu bahagian. Tertera grafik mata dan tulisan asal Al-Mawsili.     "Ini sumbangan yang besar juga dalam bidang perubatan. Al-Mawsili ini dari Iraq. Beliau telah menulis Buku Pilihan Rawatan tentang Penyakit Mata, "Book of Choices in the Treatment of Eye Diseases". Al-Mawsili telah menerangkan konsep kekaburan mata, rabun, dan masalah katarak. Bahkan, beliau juga telah mencipta jarum yang berlubang yang boleh dimasukkan ke dalam mata untuk menyedut katarak. Tentang trakhoma dan glaukoma, penyakit mata yang berjangkit itu juga diterangkan oleh Al-Mawsili. Hebat kan?"     Darul Asyiq mengangguk. Zahanis sudah pergi.      "Cepat, kita ada banyak lagi bahagian." Zahanis berhenti di suatu gambar lukisan berjubah biru dan berserban putih sedang memegang semacam peranti pintar.      "Ini Al-Jazari. Nama penuhnya Badi al-Zaman Abu al-‘Izz Isma’il ibn al-Razzaz al-Jazari. Beliau mencipta jam yang terperinci dengan menggabungkan mekanisme dari seluruh dunia. Bukan hanya jam, beliau juga membangunkan eksperimen membina peranti berkuasa air. Dengan eksperimen ini beliau mengemukakan aplikasi sistem engkol dan rod penyambung yang hari ini sangat penting kepada pam dan enjin. Ini semua boleh kita baca dalam buku beliau, Book of Knowledge of Ingenious Mechanical Devices yang siap ditulis pada tahun 1206."     Darul Asyiq melepaskan lelah dan merungut manja. "Nasiblah aku. Siapa suruh kahwin dengan pelajar graduan dalam bidang sejarah dan peradaban." Zahanis tidak peduli.      Zahanis berlari-lari anak. "Cepat. Kita hampir tiba ke penghujung. Sedikit sahaja lagi."      "Tunggulah. Mana ada isteri lari laju dari suaminya." Darul Asyiq memilih jalan pintas. Mereka tiba serentak di depan replika kincir angin.      "Oh. Seribu tahun yang lalu, Al-Masudi telah menulis tentang kincir angin yang pernah dilihatnya di Iran dan Afghanistan. Tulisan itu akhirnya berkembang sehingga para peladang pun menggunakan kincir angin seperti yang dirakamkan Al-Masudi." Darul Asyiq meniru gaya percakapan isterinya. Tanpa dia sedar Zahanis tidak berada di sebelahnya.      Darul Asyiq melilau sekitar. Mencari Zahanis. Selepas beberapa kali berkeliaran di bahagian akhir galeri itu, barulah terlihat Zahanis sedang berdiri di depan lukisan Al-Wasiti yang terhimpun di dalam karya Hariri berjudul "Maqamat". Lukisan berupa beberapa orang tua yang sedang berbincang di bawah himpunan buku.      "Kau pergi mana? Puas aku cari." Darul Asyiq sengaja merapati Zahanis. Melagakan bahu.     Zahanis memijak kaki suaminya. "Jangan mengada. Aku telah hilang. Huh. Sesat di dalam House of Wisdom."     "Jadi. Inilah yang dikatakan Bayt al-Hikmah, nama perpustakaan universiti kita itu. Ditubuhkan oleh Khalifah Harun al-Rashid dan dikembangkan oleh anaknya, Khalifah al-Ma’mun. Begitu?" Darul Asyiq bertanya.      "Betul. Di sinilah tempat segala ilmu bercampur, berkahwin, bergaduh dan di sinilah pusat ilmu berkembang. Segalanya di sini. Sehinggalah ia diranapkan oleh Hulagu Khan yang kejam." Zahanis menerangkan.      "Zah, setakat manakah kesan House of Wisdom ini terhadap dunia, khususnya Eropah?"     "Soalan kau ini aku boleh buat kuliah satu hari. Senang cakap, kita tengok dari segi perkataan sahaja. Ia sudah memadai. Terlalu banyak perkataan Bahasa Inggeris yang diambil daripada perkataan Bahasa Arab. Misalnya perkataan cheque berasal dari perkataan sakk yang bermaksud perjanjian untuk melunaskan bayaran. Perkataan traffic berasal dari perkataan taraffaqa yang bermaksud berjalan bersama-sama di sepanjang jalan dengan perlahan. Dan juga crimson yang berasal dari qirmizi. Cottan berasal dari qutn, maksudnya kapas mentah. Sofa pula dari suffah yang bermaksud takhta pemerintah. Dan kelab yang kau ghairah sangat itu pun, arsenal berasal dari perkataan Dar as-Sina’a. Bukan hanya Bahasa Arab sahaja yang mempengaruhi Bahasa Inggeris, Hindi dan Parsi juga. Misalnya perkataan orange berasal dari perkataan parsi, naranj. Perkataan shampoo pula dari perkataan champo dalam bahasa Hindi."     "Wow. Hebatnya isteri aku." Darul Asyiq terbeliak. Zahanis menyiku suaminya.     "Zah, kau tahu dari mana datangnya perkataan hubb yang bermaksud love dalam Bahasa Inggeris?"     "Aku tahu. Dari perkataan hope kan?"      "Salah." Darul Asyiq menggeleng.     "Habis tuh?" Soal Zahanis.     "Dari hatiku kepada hatimu." Darul Asyiq merenung Zahanis manja. Zahanis mencebik.     "Jom balik. Lapar air kelapa tepi Jalan Mergonglah." Darul Asyiq beredar dan menarik tangan Zahanis.      "Baiklah… bang." Zahanis menutup mulutnya. Malu!TAMAT
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 16, 2017 03:13

July 20, 2017

MENGENALI DR. MASZLEE

"Minggu depan kita akan ada peperiksaan pertengahan semester."Tiba-tiba sahaja hari ini dr. mengumumkan berita mengejutkan ini. Kelas pertama dan terakhir saya dengan Dr. Maszlee Malik ialah introduction to fiqh, atau dalam bahasa Arabnya, al-madkhal ila al-fiqh. Semua pelajar yang mengambil jurusan Bahasa Arab wajib mengambil subjek ini sebagai subjek sampingan. Subjek ini ditawarkan dalam dua bahasa, satunya bahasa Inggeris yang hanya boleh diambil oleh pelajar-pelajar jurusan Sains Kemanusiaan. Dan satu lagi bahasa Arab yang mesti diambil oleh pelajar Ilmu Wahyu dan Bahasa Arab. Sebelum ini saya mengenali Dr. Maszlee hanya melalui televisyen dan radio. Beberapa kali beliau muncul menjadi panel menerangkan tentang politik, syiah, dan juga isu-isu global terrosism. Tetapi yang lebih membuatkan Dr. Maszlee terkenal ialah keterlibatan beliau di dalam senarai forum bertopikkan politik di Wacana Sinar Harian. Beliau menjadi moderator yang sangat memeriahkan (dan memedaskan) suasana majlis. Saya langsung tidak terfikir yang beliau bukan hanya pensyarah di Jabatan Sains Politik, rupanya juga merupakan pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh. Bererti, beliau berkhidmat di dua jabatan serentak. Di Jabatan Politik, subjek-subjeknya akan diajar di dalam bahasa Inggeris dengan pendekatan yang setanding dengan pelajar-pelajar jurusan ini. Dan di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, semua subjeknya akan diajar di dalam bahasa Arab dengan pendekatan yang berbeza dengan pelajar jurusan Sains Politik. Sungguh, tak ramai pensyarah yang boleh mengajar dalam dua bahasa dan dalam dua jabatan serentak. Lima tahun di sekolah menengah, dua tahun lebih kurang di sekolah pondok, tidak pernah saya mengenali fiqh seperti mana saya mengenalinya di dalam kelas al-madkhal ila al-fiqh yang diajar oleh Dr. Maszlee. Saya masih ingat lagi, di kelas pertama, dr. menerangkan satu perkara yang sangat menjadi masalah bagi semua orang; iaitu beza antara syariah dan fiqh. Perbezaan kedua terminologi ini perlu jelas kata dr., supaya kita tak keliru; tak membawa agama dengan keliru dan tak keliru dalam beragama. "Baik semua. Hari ini kita akan ada peperiksaan pertengahan semester," kata dr. dalam bahasa Arab dan terus bangun berjalan ke arah pintu dan menguncinya. Sesiapa yang lewat walaupun seminit duduk luar. Hari yang dinantikan telah pun tiba. Berdebar!"Keluarkan kertas dan ini soalannya." Dr. bangun dan menulis sesuatu di papan putih. "Tuliskan 10 perkara yang kamu belajar di dalam kelas ini!" Saya memandang Mujahid. Mujahid memandang saya. "Ini sahaja ke dr. soalannya?" Saya cuba berbasa-basi bertanya. "Nak lagi ke?" jawab dr. garang. Saya terus geleng kepala dan menjawab soalan 'peperiksaan pertengahan semester' ini. Habis kelas saya rancak berfikir dan berbual dengan Mujahid. Kenapa soalan peperiksaan pertengahan semester tadi hanya itu? Saya berkongsi hal ini kepada Ustaz Zahiruddin Zabidi. Jawab ustaz mudah sahaja, itulah maksud pendidikan. Dr. Maszlee mahu melihat sejauh mana pelajar-pelajarnya belajar dan memahami subjek yang diajarnya, dan dalam masa yang sama mendorong pelajar menggunakan kreativiti yang luas dalam menghadam setiap point dan memuntahkannya semula. Dalam kelas dr. tak ada soalan yang jawapannya hanya "ya" dan "tidak". Tak ada soalan yang jawapannya hanya "boleh" dan "tidak boleh". Kelas tempat berbincang dan memerah akal fikiran. Oh saya lupa! Bukan hanya dalam kelas sahaja. Kesemua momen saya dengan dr. tak ada polarisasi sebegini. Semuanya diskusi, wacana dan dialog. Wacana Sarapan PagiSetiap pagi, seawal jam tujuh pagi saya sudah bergerak ke Kafe HS. Sudah menjadi tabiat saya, bangun Subuh dan tidak tidur selepas Subuh. Saya terus bersiap dan bertapa di Kafe HS. Saya suka dengan kebekuan pagi. Bagi peminat sastera seperti saya; kesunyian pagi ialah rahim kata-kata. Semenjak saya tahu roti canai mamak Kafe HS boleh dapat seawal itu, dan di Kafe HS juga banyak pilihan untuk bersarapan, di situlah saya melepak setiap pagi. Dan di situ jugalah saya bertemu dengan Dr. Maszlee semula. Dan di situ jugalah bermulanya siri-siri 'kelas pagi' saya dengan beliau. Kadang-kadang, kami ditemani oleh Dr. Wan Azam, Ustaz Abdullah Bukhari, juga beberapa orang pelajar yang datang awal dan bersarapan di situ. Kadang-kadang ada pelajar cina muallaf dan kadang-kadang ada pegawai pejabat pos. Kadang-kadang kami melepak dengan makcik pencuci dan kadang-kadang dengan Abang Sarim technician universiti. Kadang-kadang, dengan mamak penebar roti canai pun kami sembang. Dr. Maszlee tak pernah kekok dan sangat peramah. Sebelum membeli apa-apa makanan, atau paling tepat membelanja saya, beliau akan berjalan dahulu ke semua kafe dan bersapa dengan penjaganya. Bertanya khabar dan bersembang hal-hal yang biasa. Bila sudah tawaf semua, baru beliau beli makanan dan baru kami duduk dan mula bersembang. Banyak topik melintang rentas, pergi ke Barat balik ke Asia Tengah, dan kadang-kadang berehat sebentar di nusantara. Bertenggek dengan sejarah, menyinggah sebentar di dunia politik sebelum berehat semula di wacana seputar hal-hal agama. Di media sosial, saya tahu, tak ramai yang mengenali Dr. Maszlee sepenuhnya. Mereka cuma mengenali Dr. Maszlee sebagai dr. yang cakapnya pedas di dalam forum dan beliau punyai pandangan politik tersendiri. Bagi penganut jemaah Islam, mereka tidak selesa dengan idea ummah centric yang dikemukakan. Bagi penganut parti politik pula, mereka tidak selesa dengan idea good governance dan civil society yang dikemukakan. (Rujuk Menuju Sejahtera Meraih Bahagia: 16). Hanya sesiapa yang mendekati sahaja akan mengenali. Kata pepatah, hanya jauhari yang mengenal manikam. Agama: Antara Nilai & PrinsipMemahami agama sehingga ke akar umbi hanya akan memeningkan sekiranya konsep umum dalam beragama gagal kita kuasai. Seperti memahami agama hanya dengan buku maza ya'ni, memahami sirah hanya dengan fiqh sirah, dan memahami fardhu ain dan fardhu kifayah pula hanya melalui silibus usrah jemaah, semuanya mendatangkan suatu hal yang bermasalah dalam beragama iaitu: uniformity, yang bermaksud "keseragaman" dalam beragama. Mentaliti beragama yang betul hanyalah cara beragama geng pondok kita, geng parti kita, geng aliran kita, dan geng usrah kita, telah mewujudkan keseragaman yang mencetekkan wacana agama. Seolah-olah, kita telah membentukkan agama sebagai suatu pakaian yang seragam dan mesti dipakai oleh sesiapa sahaja yang mengaku beragama Islam. Sekiranya mereka mengaku Muslim tetapi tidak memakai pakaian seragam tersebut, kita akan menganggap mereka 'kurang' beragama, atau paling teruk, 'gagal' dalam beragama. Bermulalah suasana prejudis dalam beragama. Menghukum dan mula membahagi-bahagikan orang mengikut sangkaan beragama kita yang sempit. Perkara ini terlalu mengekang saya. Sejarah hidup saya yang ringkas ini, belajar hanya dengan satu aliran hampir-hampir membenihkan cara beragama yang sempit dan sehala. Mentaliti beragama saya berubah banyak setelah mendekati Dr. Maszlee. Orang yang paling mudah akses, sentiasa melayan soalan-soalan bodoh saya, suka mengajak saya keluar makan dan minum, tak pernah membina gap sehingga saya merasa sungguh selesa berada bersama beliau, inilah yang merombak mentaliti beragama dalam kepala saya. Saya masih ingat lagi ketika saya bertanya kepada dr. perihal liberalisme, pluralisme, sekularisme, dan banyak lagi isme-isme yang lain, dr. menerangkan dengan sangat adil dan objektif. Di dalam usrah jemaah, kita hanya didedahkan bahawa semua isme ini adalah musuh agama. Kita meletakkan kesemua idea ini sebagai musuh total dan perlu ditentang habis-habisan. Dr. menerangkan kepada saya bahawa agama ini ada form dan ada pula substance-nya. Banyak perkara daripada form-nya mungkin bertentangan dengan agama, tetapi nilai (substance) yang dibawa itu selari dengan apa yang dibawa oleh agama. Bila menyebut tentang demokrasi misalnya, kita kena faham demokrasi bukan diciptakan oleh Islam tetapi nilai yang ada dalam demokrasi, selari dengan nilai yang dibawa oleh Islam. Begitu juga dengan isme-isme yang lain. Nilai yang ada di dalam isme-isme tersebut, ada dalam nilai yang dibawa oleh agama Islam. "Agama nih mudah saja. Ada prinsip dan ada nilai. Kedua-keduanya sangat penting dalam memahami agama." Dr. Maszlee menerangkan sambil saya menghabiskan lasagna Syria yang dibelanjanya. "Timbul sahaja apa-apa isu, perkara pertama kena buat ialah letakkan isu itu di tempat yang betul; adakah ia di dalam soal prinsip, atau ia di dalam soal nilai. Contoh mudah, tutup aurat ialah prinsip, tetapi nilainya ialah kebebasan fesyen dalam bertudung," sambung dr. lagi. "Ramai orang gagal mengisi nilai kerana terlalu mementingkan prinsip. Sedangkan keduanya perlu selari. Sebagai contoh lagi, seorang lelaki berprinsip mahu menjaga pandangannya sampaikan dia menjadi lelaki yang pasif, bertegur sapa pun tidak, bersenyum apatah lagi. Berjalan hanya tunduk kepala. Sedangkan nilai yang indah dalam agama ini ialah saling bertegur sapa, senyum, menghormati antara satu sama lain. Mana tahu kot-kot ada orang perempuan nak tanya pasal assignment ke. Terlalu menjaga prinsip sampai bercerai-berai nilai akan menjadikan kita cacat dalam beragama." Puas dr. menerangkan. Secawan teh habis diteguk kami berdua. Konsep ini nampak mudah sahaja tetapi saya gagal memperolehinya sebelum bertemu dengan dr. Dengan konsep ini, saya melihat agama dengan sangat tersusun. Tahu dimana perihal thawabit dan tahu di mana perihal khilaf. Tahu dimana nak bersatu dan tahu pula dimana nak berlapang dada. Dr. Maszlee dan HAMKAHAMKA dengan saya begitu erat. Separuh fikiran saya diisi oleh HAMKA. Pemikirannya, karya-karyanya, juga segala perihal tentangnya, begitu ranum dalam kepala. Saya mengenali HAMKA sebelum saya mengenali Dr. Maszlee lagi. Beberapa artikel saya buat hanya berkisarkan tokoh ini. Tak kurang juga kertas kerja yang tak ada dana nak bentang. Begitu juga diskusi tepi sungai teh tarik UIAM yang begitu banyak membahaskan karya HAMKA dari novelnya sampailah kepada karya-karya ilmiahnya. Sewaktu itu, tak banyak karya HAMKA dapat saya akses. Hanya novelnya dan beberapa buah buku agama beliau, dan tafsir beliau sahaja. Saya tak pernah menahu HAMKA ada teori sejarah kedatangan Islam ke nusantara yang menarik. Tak pernah tahu konsep bahasa dan idea HAMKA tentang bahasa Melayu di dalam al-Quran. Segalanya tersangat asing. "Dr. Saya mahu memahami sejarah Islam dengan baik. Nak dapat big picture. Macam mana ya?" soal saya petang itu sambil berjalan menemani dr. menuju ke pejabatnya. "Bagus nih. Cuba cari buku Sejarah Umat Islam karya HAMKA. Sangat bagus untuk permulaan membaca sejarah Islam," jawab dr. spontan. Saya terkejut. "Dr. membaca HAMKA?" tanya saya semula. "Tokoh penting nusantara tuh. Kenalah baca," jawab dr. lagi. Rupa-rupanya, Dr. Maszlee sudah mendalami HAMKA dan idea-idea penting HAMKA. Termasuklah idea kenegaraan, politik, falsafah, dan juga agama. Dr. Maszlee juga tak pernah lekang membaca novel-novel HAMKA. Dr. Maszlee ialah agamawan dan ilmuwan pertama yang saya temui tidak hanya menekuni karya-karya ilmiah, tetapi juga menguliti karya-karya sastera dengan mendalam sekali. Beliau membaca kesemua karya Paulo Coelho. Karya-karya Albert Camus, George Orwell, Hemingway, memang dalam kepalanya. Tak usah sebut tentang alfu lailah wa lailah, Taha Hussein, Naquib Mahfuz, Bintu Syati', semuanya akan mengundang satu jam lagi perbualan. Sasterawan tanah air yang paling beliau gemari ialah Azizi Haji Abdullah dan beliau juga mengenali secara peribadi arwah Azizi.Kami pernah membahas karya-karya arwah Azizi lebih dari dua jam. Tidak hanya membaca, beliau juga menulis novel. Jika mahu mencari sebuah novel yang sesak dengan wacana ilmiah, bacalah "Shqiptar di Champ Elysees" (2016). Tidak tahulah saya di Malaysia ini adakah lagi ilmuwan yang membaca sastera dan menekuni sastera? Saya masih ingat lagi, Ramadhan 2016, Dr. Maszlee menganjurkan kuliah secara mingguan di kediamannya dengan membahaskan buku HAMKA berjudul Tuntutan Puasa, Tarawih & Shalat Aidilfitri. Fitnah"Teruk dr. kena." Saya menghantar mesej ringkas setelah mendapat khabar buruk berkaitan fitnah yang dilemparkan oleh pihak-pihak tertentu terhadap buah bicara dr. di forum berjudul "Deceitful? Distracting? Or Dedicated? Evangelicals and Current Controversies" tempoh hari. Ini semua berlaku apabila portal berita Menara.my memetik berita tanpa konteks dan terus menyebarkannya. Berbondong-bondonglah orang yang selama ini memang membenci dr. datang, menggunakan peluru yang sedia ada dan terus menembak. "Biasalah," balas dr. Ringkas tetapi saya tahu apa perasaan kena fitnah dan dikecam dengan sangat meluas di media sosial. Ada yang menfitnah, sampai mengeluarkan dr. daripada agama Islam, menuduh murtad, kafir dan sebagainya. Kebanyakan yang menfitnah, atau setuju dengan fitnah tersebut, mengatakan dr. menghina Nabi Allah. Saya tahu apa yang berlaku kerana saya cukup mengenali Dr. Maszlee. Hal ini jugalah yang beliau ajar kepada saya; segala teks mesti datang bersamanya konteks supaya kita tak jadi harfiyah atau literal. Bagaimana ayat 191 Surah al-Baqarah menjadi pegangan puak ISIS untuk terus membunuh orang kafir, begitulah juga bahananya mengambil teks tanpa konteks. Teks 191 daripada Surah al-Baqarah ialah ayat perang yang sangat terikat dengan konteksnya, jika tidak ia berbaur keganasan yang melampau. Begitulah juga dengan perkataan "sainthood" yang sangat terikat dengan konteksnya, iaitu 'kenabian' versi Kristian, bukan kenabian versi Islam. Jika kita cakap nabi bagi Kristian, dalam kepala mereka ada Jesus, bukan Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam. Bingkai kefahaman audien sangat perlu difahami bagi memberikan definisi kepada setiap perkataan yang dikeluarkan. Tetapi itulah fad de jou (trend zaman kini -- perkataan ini pun Dr. Maszlee yang beritahu) yang suka mengambil teks tanpa konteks sehingga apa sahaja wacana jadi rosak dan caca merba. Memahami konteks di sebalik teks sangatlah asas tetapi inilah yang paling jarang diamalkan, terutama sekali oleh media-media yang hanya mencari berita sensasi. Hal ini sukar dijelaskan kerana kebanyakan pembaca di media sosial tidak selera menerima penjelasan versi ilmiah. Mereka hanya mahu membaca sekiranya ada bauran sindir, kecam, label, marah atau sedih. Kalau fokus kepada fakta tanpa ada bauran-bauran emosi, yang get the point-nya sangatlah minima. Sebab itu ada dr. dan prof. yang menulis macam ilmiah tetapi bauran emosinya bersepah. Sindir, kecam, gelar, perkataan-perkataan kotor dikeluarkan dengan sangat bersahaja walaupun mereka mewakili 'jemaah' Islam mereka. Kerana hal itu mendapat sorakan, tepukan, sokongan yang bertubi-tubi. Ini zaman media sosial yang sangat parah. Dunia yang kita hidup pada hari ini ialah dunia yang penuh kekeliruan. Melihat kepada isu-isu yang berlaku di Malaysia mahupun di seluruh dunia, telahan Imran N. Hosein di dalam bukunya Surah al-Kahf and The Modern Age sangat tepat. Oh, sebelum itu lagi Abul Hasan ali an-Nadwi sudah membahaskannya di dalam buku beliau al-sira' baina al-iman wa al-maddiyyah. Ini dunia yang sudah 'dajjalik' meskipun dajjal tidak datang lagi. Siapapun kita, bergelar tok guru, dr., prof, presiden parti, ustaz, syeikh, maulana: akhlak beragama adalah asas kepada segalanya. Orang biasa yang memberikan pandangan yang 'kurang cerdik' bagi kita tetapi bahasanya sungguh beakhlak, jauh daripada menggelar dengan gelaran yang buruk, mengecam, menyindir dan menghina, jauh lebih murni dan 'beragama' daripada agamawan dan ilmuwan yang memberikan pandangan seribu ulama', tetapi akhlak bahasanya rosak, tidak selari dengan tuntutan Surah al-Hujurat. Sebagai Muslim, kita akan berbeza dan perbezaan itu mesti ada kerana agama kita bukan agama 'pakaian seragam'. Tetapi ada perkara yang kita akan bersatu, iaitu akhlak dan etika beragama. Tiada siapa boleh berbeza atau menawarkan wacana baru yang mengharuskan tindakan menggelar, mencaci, menghukum, mengkafirkan dan menyindir ini kerana inilah asas menjadi Muslim. Fitnah telah mengetepikan semua ini. Media sosial tidak mempunyai filter ini. Semua orang bebas bercakap dan menulis sehingga asas agama sudah hilang. Maka, khilaf tak akan pernah diuruskan dengan baik kerana ia bukan lagi tentang faham atau tidak, tetapi ia ialah tentang 'bagaimana' perbezaan itu diambil dan dicernakan. Saya sentiasa mendoakan Dr. Maszlee sihat dan tenang kerana begitulah sifat dr. Tenang dan sentiasa gembira meskipun dikecam seluruh dunia.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 20, 2017 14:44

July 17, 2017

PERBUALAN BERSAMA DR. HAFIZAN

"Kenapa dr. mengambil keputusan untuk berpindah dari Birmigham ke Edinburgh? Perpindahan yang besar walaupun dalam satu negara. Berpindah dari komuniti English kepada Scottish."Lebih kurang begitulah bunyinya permulaan perbualan bersama Dr. Hafizan. Seorang doktor pakar yang sudah berkhidmat selama 25 tahun di UK. Baru sahaja beberapa tahun kebelakangan ini dr. mengambil keputusan untuk berpindah dari Birmingham ke Edinburgh. Walaupun dr. masih lagi bekerja di Birmingham dan sudah tentulah perlu berulang-alik setiap minggu. "Nak tahu yang kecil-kecil ke, yang besar terus?" soal Dr. Hafizan. Kek keju bersalut krim dicedoknya sedikit dan kopi kampung yang baru sahaja terhidang diteguknya. Beberapa orang mengambil tempat. Tekun mendengar. Sayuti sudah menongkat dagunya dan merenung tepat ke wajah dr. "Yang besar teruslah," jawab Sayuti spontan. Saya dan beberapa orang yang lain tak sabar menunggu. Tentunya ada cerita menarik dari seorang Melayu yang sudah bekerja 25 tahun di Birmingham tiba-tiba membuat keputusan agak drastik untuk berpindah. Raya baru-baru ini kami buat rombongan mengunjungi rumah baru beliau. Edinburgh ini tak ramai Melayu dan rumah dr. lah yang paling gah dan besar sekali. Rumah banglo di kawasan Murrayfield yang sangat sergam dan indah. Meskipun rumah besar gedabak begitu, Dr. Hafizan, isterinya Kak Meg dan anak-anaknya tidak sombong dan sangat ramah melayan kami. Selalu Dr. Hafizan bergaul bersama kami, tak macam ada sesetengah Melayu yang tidak pernah bertegur sapa dan kami pun tak pernah mengenali mereka. Hidup di luar negara ini, bergaul dan bersosial bersama komuniti sebangsa dan seagama adalah tuntutan yang sangat murni. Dari situlah kita dapat kekuatan, keluarga, ada self-belonging dan paling penting, dapat menunaikan tugas menjadi khalifah di mukabumi. Jatuh bangun kita dalam dunia yang terasing ini, bangsa dan agamalah yang menjadikan sebab kita masih percaya dan kuat untuk meneruskan kehidupan. Percayalah, menjadi orang asing di mata seseorang sangatlah menyedihkan. "Faktor terbesar sekali ialah penerimaan masyakarat English terhadap orang asing macam kita," kata Dr. Hafizan, kemudian menyambung, "English tak macam Scottish. Satu perkataan yang sangat membezakan dua bangsa ini; prejudice." Dr. sangat menekankan nada ketika menyebut perkataan itu; prejudis. Mudahnya, prejudice bermaksud "preconceived opinion that is not based on reason or actual experience" dan ini akan menyebabkan timbulnya bias atau berat sebelah tanpa ada logik yang valid. Menariknya lagi, jika dicari di Google contoh mudah memahami prejudice melalui ayat, ayat inilah yang keluar: "English prejudice against foreigners."Semacam ada sebab yang sangat kukuh kenapa ayat ini yang paling terkenal dan mudah digunakan untuk memahamkan orang tentang prejudice. Disebut pula English, bukan Scottish, bukan pula Irish. Gordon Allport memberikan definisi yang mudah bagi prejudice ini iaitu "feeling, favorable or unfavorable, toward a person or thing, prior to, or not based on, actual experience". Beliau menyebutkan ini dengan detil sekali di dalam buku terkenal beliau berjudul The Nature of Prejudice yang terbit pada tahun 1979.Di sini, beberapa persoalan mula timbul. Kenapa Dr. Hafizan menjadikan "prejudice" adalah wacana untuk membincangkan perbezaan Scottish dan English? Dan apa yang dimaksudkan oleh Dr. Hafizan dengan perkataan ini?"English sangat membenci Islam, Muslim, atau apa yang berkait dan terkait, atau apa yang terlihat sepertinya. Anak saya hampir tiap-tiap hari terpaksa menempuhi verbal abbuse di dalam bas pulang dari sekolah ke rumah." Dr. Hafizan menceritakan lagi. Perbualan menjadi semakin menumpu, hangat dan sangat kena dengan situasi sekarang ini. Lebih kurang lima tahun kebelakangan ini, Islamofobia kembali merebak, menjadi wabak yang menyerang English sehingga segala khazanah pengetahuan yang berteraskan logik yang selama ini diperjuangkan hilang ditelan hanyutnya wabak Islamofobia ini. Tak guna punya khazanah yang besar dalam ilmu, tetapi gagal mendidik akal untuk berfungsi dengan baik. Lihat sahaja isu yang sedang berleluasa sekarang. Bukan lagi serangan verbal, juga serangan fizikal yang sangat melampau yang hanya ditujukan kepada Muslim. Ketika saya menuliskan ini, empat jam yang lalu BBC mengeluarkan berita tentang penyiasatan lelaki yang tiba-tiba merentap kuat hijab seorang perempuan di stesen Tube, London. Baru-baru ini lagi, seorang perempuan melaporkan kepada polis tentang seorang lelaki yang katanya memakai baju tebal berjalan ke masjid membawa bom. Apabila polis menangkap lelaki tersebut, tiada apa-apa yang mencurigakan. Beliau cuma mahu ke masjid menunaikan solat. Di mana-mana sahaja di England, masyarakat sudah tidak peduli tentang toleransi. Mereka hanya mahu menyahkan Muslim dari negara mereka walaupun Muslim itu juga ialah warganegara mereka. Menjadi warganegara tidak bermakna apa-apa. Tetap tidak dihormati dan tetap dibenci. Kebencian akar umbi ini sangat subtle dan halus meresap sehingga kanak-kanak sekolah pun tanpa segan silu melakukan verbal abuse tanpa rasa bersalah. "You will not notice it if you're naive," sambung Dr. Hafizan lagi. Memang ramai orang yang naif, yang hanya tahu meromantisasikan English dan menyangka bahawa barat adalah segala-galanya. Sistem di barat memang baik, tapi sistem pemikiran orangnya sangat bermasalah. Berlakunya brexit adalah bukti bahawa mereka sangat prejudis dan terlalu sombong untuk berkongsi kehidupan. "Jadi. Biarlah saya sahaja yang letih berulang-alik dari Edinburgh ke Birmingham, tetapi anak-anak selesa dan tenang. Saya doktor, tapi English tetap layan saya macam sampah dan orang asing walaupun saya termasuk dalam golongan atasan; orang yang bekerja dan berkhidmat untuk mereka." Dr. Hafizan menghabiskan kopi, mengambil tisu dan menggenyeh mulutnya. Kesan-kesan kek keju berkrim hilang dan tisu dibuang. Tidak pasti apakah nasib Muslim di penggal kedua wabak Islamofobia ini. Bersyukur juga Scottish tidak seteruk mereka. Orang Scotland masih ramah, tidak prejudis, dan paling tidakpun, menjaga perilaku dan menghormati antara satu sama lain. Nak hidup di UK? Fikirlah masak-masak dulu. 
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on July 17, 2017 02:14

June 26, 2017

POSKAD LEBARAN DARI EDINBURGH KAT MAK

Minta maaf, mak. Ini adalah tahun pertama cek tak dapat beraya dengan mak. Ini juga tahun pertama cek duduk sangat jauh daripada mak. Kami di sini baik-baik saja. Esok hari raya pertama kami buat rumah terbuka. Pakat-pakatlah dua tiga orang. Ada yang nak masak lemang, lodeh, ketupat, lontong, dan ada yang nak bawa kuih raya. Tak ramai orang melayu kat sini mak. Lebih kurang 100-200 orang saja. Yang nak mai esok ni katanya adalah dalam 100 orang. Kami buat BBQ kambing boleh ratah saja sebab tengok orang lain dah masak yang berat-berat. Tentunya meriah kat kampung. Tahun ini trik semua balik raya dengan mak ayah. Seronoklah. Ammar dengan Adib mesti dah kelahi pasal siapa paling banyak dapat duit raya. Una tentunya dah solek tebal-tebal comel-comel berjalan satu kampung walaupun malu. Afrah dengan Asyfa tuh sudah besar, depa kena jaga adik-adik sepupu yang lain. Nak harapkan Along dengan Aqilah depa sudah ada hal sendiri-sendiri, maklumlah dah remaja belaka. Hari raya pertama cek tau. Kalut. Kita pula selalu buat nasi campur. Rumah kita tengah-tengah kampung. Orang surau yang berjalan rumah ke rumah tuh selalu sampai kat rumah kita nih jam 12. Lapar terketar semua. Kita bagi depa makan puas-puas. Suruh Paklong Rosli makan cukup-cukup. Tak ada dia, tak hidup surau kita. Kalau Paklong Bidin datang usik mak, mak jangan layan. Dia tuh kalau bab mengusik nombor satu. Ayah kena lepas lembu awal sikit. Biar duduk jauh-jauh. Ais kiub kena pergi Gajah Putih ambil dari lori terus. Kedai dah tutup belaka. Tapi Paktam Ki buka kedai juga sekejap. Boleh lari pergi beli kalau dah habis. Kalau mak tak sempat nak bancuh air panas kat Nodin tuh tak apa, bagi saja air kosong. Jenuhlah dia seorang nak minum air panas mak kena buat. Kat Paklang Kit jangan bagi makan yang manis-manis, bahaya. Sedih mak. Selalunya kecoh sudah pukul 9 pagi Cik Him datang jerkah sana-sini. Tapi Allah dah jemput dia baru-baru ini. Sunyi rumah kita. Dah tak ada orang nak usik mak, nak curi makanan mak, dan nak datang makan banyak-banyak lepas itu merungut tidak sedap apa semua. Dah tak ada orang yang nak kacau mak kat dapur. Dah tak ada orang yang nak menyembang dekat parkin luar. Dah tak ada orang nak duduk tonton bola dengan ayah. Semoga rohnya dicucuri rahmat, mak. Mak cakap dalam telefon, mak tak bolehlah cek tak ada. Cek nih anak bongsu mak. Mak bukan suka tunjuk yang mak teriak. Cek tau. Tapi mak jugalah yang lepaskan cek. Pergi jauh-jauh, belajar, kembara, tuntut ilmu bagi puas-puas dan timba pengalaman bagi luas-luas. Mak nadi cek. Cek pergi sebab mak ada di dalam hati cek nih. Mak jangan sedih. Tak lama kita tak raya sekali. Setahun dua lagi habislah Dayana mengaji. Cek di sini selalu doakan mak. Dan cek juga tau, mak tak pernah lupa nak doakan kat cek. Mak. Cek tau banyak mak mengalah dengan cek. Anak yang paling berpeluang dan selalu saja pi mana-mana bak kata Kak Ishah. Cek tau mak risau tapi mak tak pernah kata "tak payah". Mak percaya sungguh apa yang cek putuskan walaupun benda itu tak pernah ada sejarah keluarga kita buat. Mak ada doa yang mengatasi segala ketakutan. Mak ada Tuhan tempat mak menggantungkan segala keresahan. Jadi cek nak minta maaf atas semua salah silap cek. Semua yang buat mak risau, resah, tak sedap hati tapi diam, dan segala yang tiba-tiba yang mak selalu terkejut. Sebagai contoh, bila cek buat keputusan nak terbang ke Edinburgh esok walaupun hari ni masih kat kampung. Mak tak kata "tak payah", mak suruh cek kemas barang cepat-cepat walaupun mak tahu mak tak akan jumpa cek dalam masa dua tahun paling kurang. Mak, terima kasih kerana sangat kurang kata "tak payah" kat cek. Selamat hari raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin, mak. Mak adalah nafas yang cek hirup setiap masa di mana-mana, mak. 
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 26, 2017 02:51

June 13, 2017

BERPUASA DI EROPAH: BERBUKA WAKTU MEKAH

"Kami mahukan sedikit pencerahan." Begitulah pinta Tasnim, Ifah dan Anis Kamilin selepas mendengar Kak D bercerita yang saya berbuka puasa waktu Mekah. Ketika mereka meminta pencerahan, saya dan rakan-rakan yang lain sedang rancak berbual. Melihat mereka bertanyakan hal yang itu, Faizi tiba-tiba bertanyakan hal yang sama, katanya, "Aha, dari mana dan bagaimana yang dikatakan berbuka waktu Mekah tuh?"Disebabkan soalan itu saya terpanggil untuk menulis tentangnya. Saya pernah menghantar beberapa mesej kepada Dr. Rozaimi Ramli, Dr. MAZA, dan beberapa orang yang lain supaya memberikan pandangan, atau menulis semula fatwa ini di dalam Bahasa Melayu supaya ia menjadi rujukan buat kami yang duduk di luar negara ini. Tetapi tiada sebarang maklum balas. Mungkin kerana fatwa ini hanya sekadar ijtihad atau mungkin terlalu banyak soalan yang perlu mereka utamakan. Lagi pula, mereka bukan dibayar untuk menjawab soalan saya. Kembara Ramadhan 2.0 berlangsung di Trossach, bahagian utara Scotland. Memandu dari Edinburgh selama 1 jam 40 minit dan berkampung di cottage yang disewa selama tiga hari dua malam. Ini ialah kali pertama saya menyertai program bersifat keluarga, tak ada tentatif rapat macam tamrin dan tak ada tentatif skema macam Taaruf Week. Semuanya santai-santai tetapi berisi. Disebabkan sudah menjadi kebiasaan, semua orang berbuka mengikut waktu yang biasa iaitu 9.55 malam. Saya tak pernah mengatakan apa-apa, hanya ikut dan berseronok dengan program yang disediakan. Dan tak adalah lapar sangat memandangkan program penuh dari pagi sampai ke malam. Kebanyakan mereka mempunyai anak-anak kecil yang baru sahaja belajar berpuasa. Pabila anak mereka tak cukup kuat untuk berpuasa, mereka menyuruh sahaja anak mereka berbuka dengan niat mahu menggantikannya di lain hari. Amalan qadha kerana tak tahan ini sudah sebati bagi mereka yang duduk di luar negara, khususnya di kawasan yang lebih panjang siangnya seperti di Scotland ini. Saya mengkritik tindakan itu. Bukan saya mengkritik keharusan berbuka jika sakit tetapi tindakan memberikan persepsi bahawa puasa di Ramadhan ini hanya semata-mata tentang lamanya berpuasa, tanpa menyentuh langsung makna di sebalik berpuasa. Soalan 'salah nilai' seperti "Berapa lama kau berpuasa?" terlalu menjadi kebiasaan sehingga puasa hanya semata-mata dilihat menahan diri daripada makan dan minum, tidak lebih daripada itu.Samalah amalan mengqadha solat hanya kerana tak sempat menunaikan solat disebabkan kerja dan kesulitan-kesulitan tertentu yang lain. Amalan memilih qadha ini tanda bahawa kita bersikap tak ambil tahu perihal agama kerana di sana, agama menyajikan alternatif yang serba sempurna seperti menjamakkan solat kerana kesulitan tertentu. Menjamakkan solat lebih diutamakan daripada mengqadha solat. Qadha hanya dibuat apabila kita sudah tak berdaya untuk melakukannya seperti pengsan, koma, atau tertidur dan sebagainya. Qadha tak boleh buat kalau kita masih ada pilihan yang lain. Begitu juga dengan berpuasa ini. Adanya fatwa berbuka waktu Mekah, meskipun terdengar begitu asing, tetapi memberikan alternatif kepada mereka yang baru menjinakkan diri dengan Islam. Ketepikan orang Islam yang sudah biasa seperti golongan Pakistan dan Arab yang sudah biasa berpuasa selama 18 jam, mereka memang tak ada masalah. Tetapi golongan muallaf, kanak-kanak, pelajar-pelajar yang kali pertama berpuasa lama begitu, tentu menyusahkan dan menyukarkan mereka. Sheikh Dr. Usama Hasan menyuarakan kebimbangannya ketika mendengar laporan mengatakan ramai sekali kanak-kanak dihantar ke hospital kerana sakit perut lantaran berpuasa terlalu lama. Memandangkan hal ini, kita perlu review semula konsep puasa di Eropah agar ia menepati apa yang Allah perintahkan di penghujung ayat 185 Surah al-Baqarah, "Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran." Dan untuk memastikan analisa ini tepat dan menyeluruh, beberapa soalan mesti dikemukakan (ini ialah soalan yang muncul dari pihak saya yang sedikit ilmunya, moga Allah bimbing saya), antaranya ialah:(1) Masihkah relevan tempoh berpuasa bagi seseorang sekiranya ia sudah mencapai tahap kesukaran seperti sakit dan sebagainya? (2) Perintah puasa diturunkan di Mekah dan Madinah, juga di negara-negara awal yang memeluk Islam yang waktu siang dan waktu malam mereka normal dan seimbang, iaitu 12 jam siang dan 12 jam malam (lebih kurang), adakah ia tetap dianggap normal di negara yang siangnya panjang dan malamnya pendek, seperti di sini siangnya 19 jam dan malamnya 5 jam sahaja? (3) Adakah di sana ada alternatif dan kelonggaran tentang perubahan waktu ini? Bagi menjawab persoalan ini, kita perlu melihat semula waktu berpuasa itu sendiri. Waktu berpuasa ini berkait dengan waktu sembahyang. Kita mula berpuasa pada waktu Subuh dan berbuka pada waktu Maghrib seperti yang umum diketahui. Maka, sekiranya mahu kita review tempoh berpuasa, kita perlu review waktu solat juga kerana disitulah pokok perbahasan. Di manakah dalil yang menunjukkan waktu solat ini? Banyak hadis membicarakan tentang waktu solat tetapi yang paling masyhur ialah hadis yang terdapat di dalam Sahih al-Bukhari iaitu:حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْلَمَةَ، قَالَ قَرَأْتُ عَلَى مَالِكٍ عَنِ ابْنِ شِهَابٍ، أَنَّ عُمَرَ بْنَ عَبْدِ الْعَزِيزِ، أَخَّرَ الصَّلاَةَ يَوْمًا، فَدَخَلَ عَلَيْهِ عُرْوَةُ بْنُ الزُّبَيْرِ، فَأَخْبَرَهُ أَنَّ الْمُغِيرَةَ بْنَ شُعْبَةَ أَخَّرَ الصَّلاَةَ يَوْمًا وَهْوَ بِالْعِرَاقِ، فَدَخَلَ عَلَيْهِ أَبُو مَسْعُودٍ الأَنْصَارِيُّ فَقَالَ مَا هَذَا يَا مُغِيرَةُ أَلَيْسَ قَدْ عَلِمْتَ أَنَّ جِبْرِيلَ نَزَلَ فَصَلَّى، فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ثُمَّ صَلَّى فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ثُمَّ صَلَّى فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ثُمَّ صَلَّى فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ثُمَّ صَلَّى فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ثُمَّ قَالَ ‏ "‏ بِهَذَا أُمِرْتُ ‏"‏‏.‏ فَقَالَ عُمَرُ لِعُرْوَةَ اعْلَمْ مَا تُحَدِّثُ أَوَإِنَّ جِبْرِيلَ هُوَ أَقَامَ لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَقْتَ الصَّلاَةِ‏.‏ قَالَ عُرْوَةُ كَذَلِكَ كَانَ بَشِيرُ بْنُ أَبِي مَسْعُودٍ يُحَدِّثُ عَنْ أَبِيهِ‏.‏ قَالَ عُرْوَةُ وَلَقَدْ حَدَّثَتْنِي عَائِشَةُ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ يُصَلِّي الْعَصْرَ، وَالشَّمْسُ فِي حُجْرَتِهَا قَبْلَ أَنْ تَظْهَرَ‏.‏Maksudnya:  Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Maslamah berkata; Aku membacakannya di hadapan Malik dari Ibnu Syihab bahwa ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz pada suatu hari mengakhirkan pelaksanaan solat. Kemudian ‘Urwah bin Az Zubair datang menemuinya dan mengabarkan kepadanya bahwa Al Mughirah bin Syu’bah pada suatu hari juga pernah mengakhirkan solat, dan saat itu dia tinggal di ‘Iraq. Kemudian Abu Mas’ud Al Anshari datang menemuinya seraya berkata, “Apa yang kamu lakukan ini wahai Al Mughirah? Bukankah kamu telah mengetahui bahwa Malaikat Jibril shallallahu ‘alaihi wasallam pernah turun kemudian melaksanakan salat, kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga ikut melaksanakan solat? Kemudian Jibril solat lagi dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga ikut solat kembali? Kemudian Jibril solat lagi dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga ikut solat kembali? Kemudian Jibril solat lagi dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga ikut solat kembali? Kemudian Jibril solat lagi dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga ikut solat kembali. Kemudian Jibril berkata, “Inilah waktu-waktu yang diperintahkan kepadaku untuk menyampaikannya kepadamu” ‘Umar lalu berkata kepada ‘Urwah, “Ketahuilah apa yang kamu ceritakan! Sesungguhnya Jibril datang untuk menjelaskan kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tentang waktu- waktu salat.” ‘Urwah berkata, “Begitulah adanya bahwasanya Basyir bin Abu Mas’ud menceritakan dari bapanya. 'Urwah berkata, ” Aisyah isteri Nabi menceritakan kepadaku bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah melaksanakan salat ‘Ashar, ketika sinar matahari masih ada dalam rumahnya sebelum bayang dinding rumah beliau kelihatan”Namun, setiap teks perlu dilihat dalam konteksnya. Hadis yang berkaitan waktu sembahyang ini ialah teks yang juga terikat kepada konteks. Konteksnya ialah Mekah dan Madinah yang waktu siang dan waktu malamnya normal sahaja. Teks perlu diinterpretasi semula sekiranya konteks berbeza. Ibn Hajar al-'Asqalani menyebutkan di dalam Fath al-Bari, "Teks perlu ditafsirkan mengikut keadaan yang normal, bukan keadaan yang tidak normal." (Rujuk Fath al-Bari 2/62). Ibn 'Abdin, tokoh ulama' yang terkenal dari Mazhab Hanafi menuliskan di dalam bukunya, Rad al-Muhtar 'ala al-Dur al-Mukhtar (2/123), "Teks secara umum perlu dirujuk kepada apa yang kebiasaan, bukan kepada apa yang bukan kebiasaan dan apa yang tidak diketahui." Hal ini turut disentuh juga oleh Ibn Taimiyyah dalam Mukhtasar al-Fatawa al-Misriyyah beliau. Kata beliau:"Waktu solat yang diajar Jibril kepada Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam, yang mana Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam pula mengajar para sahabat yang dirakamkan oleh para Ulama' hanyalah merujuk kepada hari-hari yang normal. Ia akan berbeza pada hari yang Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam sebut panjangnya umpama satu tahun (hadis akhir zaman). Sekiranya hal ini berlaku maka Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam menyuruh mengagak waktu solat."Menyandarkan kepada prinsip inilah Syeikh Muhammad Abduh (Meninggal 1905M) ketika menjadi Mufti Besar Mesir menfatwakan (hal ini dirakam oleh anak muridnya Rashid Rida di dalam Tafsir Al-Manar): "Arahan menunaikan solat ialah bersifat umum dan waktu solat yang ditentukan oleh Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam sesuai dengan konteks negara-negara yang seimbang waktu siang dan malamnya, yang merupakan majoriti di dunia ini. Inilah norma yang digunakan sehinggalah Islam akhirnya menjejak negara-negara yang siangnya lebih lama dari malamnya. Muslim yang tinggal di negara ini diharuskan mengagak waktu solat bergantung kepada sebab-sebab peribadi sebagai analogi kepada agakan waktu solat di dalam hadis dajjal (merujuk kepada hadis dajjal seperti yang dirujuk juga oleh Ibn Taimiyyah)."Syeikh Mahmud Shaltut, bekas Imam Besar al-Azhar menuliskan di dalam Fatawa beliau, "Tidak ada keraguan yang menyatakan waktu solat pada waktu siang dan malam dan bulan dalam satu tahun itu mengikut cara yang mana telah diketahui dan diikuti dari satu generasi ke generasi yang lain, adalah berdasarkan pengaturan masa negara-negara dengan waktu yang seimbang. Negara-negara ini merupakan sebahagian besar dunia. Apabila hukum agama telah digubal, orang ramai tidak tahu bahagian-bahagian dunia di mana tahun ini dibahagikan ke dalam satu hari dan malam, atau di mana waktu siang lebih panjang daripada malam sehingga malam sangat pendek, atau sebaliknya." Merujuk kepada konsep inilah, Dar al-Ifta al Misriyyah (Fatwa nombor 2806) menfatwakan bahawa diharuskan untuk mereka yang berpuasa di negara yang tidak normal waktu siang dan malamnya mengikut waktu berbuka di Mekah. Hal ini kerana Mekah itu sendiri ialah tanah turunnya wahyu, dan Allah sendiri telah mencipta Mekah bukan hanya sebagai negara kiblat, tetapi tempat untuk kita tuju; tuju di sini juga boleh dikategorikan sebagai tempat yang menjadi sumber rujukan, bukan hanya tuju naik haji atau sebagainya. Masjid di Oulu, Finland, juga di Belgium, telah menggazetkan waktu Mekah sebagai waktu rasmi bagi sebulan berpuasa kerana didapati sukarnya untuk mengikut waktu yang biasa. Ini sangatlah memudahkan para jemaah Muslim di sana dan berpuasa tidak hanya menahan lapar dan dahaga, tetapi mengisinya dengan aktiviti yang memburu keberkatan Ramadan itu sendiri. Sebelum itu, saya ingin mengingatkan jugalah bahawa yang dikatakan mengikut waktu Mekah itu bukan hanya mengikut waktu berbuka di Mekah, sebaliknya ikutlah juga waktu solat di Mekah supaya kita tidak terkeliru, dan konsep solat terawih jadi lebih mudah dan praktikal kerana Isyak masuk lebih awal dan kita boleh berehat lebih lama untuk mula bertugas semula esoknya. Apa-apapun, fatwa ini bukanlah keutamaan, hanyalah pilihan. Sesiapa yang mahu terus mengikut waktu yang sedia ada tiada masalah. Sesiapa yang mahu ikut fatwa ini, juga tiada masalah. Fatwa ini hanyalah ijtihad para ulama'. Apabila ruang ijtihad terbuka, ruang berbeza pandangan pun akan terbuka, dan di sinilah kita dilatih untuk saling hormat-menghormati kerana diakhirnya, kita berpuasa hanyalah kerana Allah yang sama, Allah Yang Esa. Sumber fatwa berkaitan berbuka waktu Mekah ini boleh didapati di:Ar: http://www.dar-alifta.org/ViewFatwa.a... En: http://www.dar-alifta.org/ViewFatwa.a... Fr: http://www.dar-alifta.org/ViewFatwa.a...
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 13, 2017 03:49

June 6, 2017

DI MANAKAH SAKINAH DI DALAM HATI KITA?

Kita akan bertempur di dalam hidup ini, bukan dengan orang lain, tetapi kebanyakan masa kita akan bertempur dengan diri kita sendiri. Ada 'diri' di dalam diri kita yang tidak bersetuju dengan keputusan kita, ada juga 'diri' di dalam diri kita yang tidak mahu menyokong kita, malah ada yang asyik memusuhi kita. Hidup ini berombak, bukan kerana goncangnya dunia kerana porak-perandanya manusia, tetapi kerana goncangnya perasaan kerana porak-perandanya jiwa. Ramai sekali orang yang dunia luarnya bergoncang dan porak-peranda, tetapi dunia perasaannya tenang dan bahagia. Dunia luar Nabi Ibrahim alaihissalam ialah api yang marak menyala, tetapi dunia perasaannya ialah sakinah semata-mata. Dunia luar Nabi Nuh alaihissalam ialah banjir yang menggila, tetapi dunia perasaannya hanyalah sakinah semata-mata. Dunia luar Nabi Musa ialah jutaan tentera mahu membunuhnya, tetapi dunia perasaannya hanyalah sakinah semata-mata. Dunia luar Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam ialah tentera Quraisy yang mengejarnya, tetapi dunia perasaannya hanyalah sakinah semata-mata. Apakah piala yang mahu kita dakapi melalui peperangan di medan perasaan kita ini? Kita bertempur dengan diri sendiri, dengan pelbagai sangka, duga, kemahuan, ketidakmahuan, tidak lain tidak bukan hanyalah satu; mahu merebut apa yang Nabi Ibrahim alaihissalam, Nabi Nuh alaihissalam, Nabi Musa alaihissalam dan tak lupa Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam punya, iaitu sakinah -- ketenangan yang hakiki.Di dalam kitabnya yang tersohor, Madarij al-Salikin, al-Imam Ibn Qayyim (Meninggal 751H) menyebutkan suatu hal yang indah tentang nubari kita:"Dalam jantung hati ada keserabutan yang tidak dapat dibersihkan melainkan dengan menghadap Allah, padanya ada kesunyian yang tidak dapat dihilangkan melainkan berdamping dengan Allah, padanya ada dukacita yang tidak dapat ditanggalkan kecuali dengan kegembiraan mengenali Allah dan ketulusan berhubungan denganNya, padanya ada kegusaran yang tidak ditenangkan melainkan bersama Allah dan kembali kepadaNya, padanya ada api kedukaan yang tidak dapat dipadamkan melainkan redha dengan perintah, larangan dan ketentuan Allah, dan menghayati kesabaran sehingga bertemuNya, padanya ada kefakiran yang tidak dapat ditampung melainkan dengan cinta dan penyerahan diri kepada Allah, sentiasa mengingatiNya, dan keikhlasan yang benar kepadaNya”.Di dalam Tibb al-Qulub pula al-Imam Ibn Qayyim menyebut, "Sakinah itu ketenangan dan ketenteraman hati nurani. Asalnya dari hati nurani dan zahir kesannya pada anggota."Di dalam Surah at-Taubah ayat 40, Allah menceritakan bagaimana 'sakinah' ini Allah berikan khusus kepada Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam sehingga sekiranya tidak ada bantuan daripada sesiapapun, Allah tetap ada bersamanya:إِلّا تَنصُروهُ فَقَد نَصَرَهُ اللَّهُ إِذ أَخرَجَهُ الَّذينَ كَفَروا ثانِيَ اثنَينِ إِذ هُما فِي الغارِ إِذ يَقولُ لِصاحِبِهِ لا تَحزَن إِنَّ اللَّهَ مَعَنا ۖ فَأَنزَلَ اللَّهُ سَكينَتَهُ عَلَيهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنودٍ لَم تَرَوها وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذينَ كَفَرُوا السُّفلىٰ ۗ وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ العُليا ۗ وَاللَّهُ عَزيزٌ حَكيمٌ"Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita". Maka Allah menurunkan SAKINAH kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (9:40)Tidak hanya Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam, orang beriman juga Allah berikan sakinah ini. Di dalam Surah al-Fath ayat 4 Allah menyatakan:هُوَ الَّذي أَنزَلَ السَّكينَةَ في قُلوبِ المُؤمِنينَ لِيَزدادوا إيمانًا مَعَ إيمانِهِم ۗ وَلِلَّهِ جُنودُ السَّماواتِ وَالأَرضِ ۚ وَكانَ اللَّهُ عَليمًا حَكيمًا"Dialah yang menurunkan SAKINAH ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." (48:4)Ramadhan yang hadir buat kali ke seterusnya ini, sayugianya memberikan kita ruang untuk lebih kuat bertempur demi menggenggam sakinah yang sudah lama kita perlukan bagi menempuhi gelora dunia hari ini. Dengan bertanya, "Di manakah SAKINAH di dalam hati kita?" peperangan merebutnya sudah pun bermula. 
1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 06, 2017 08:24

June 1, 2017

SEBUAH INGATAN TENTANG DR. MAZA

Kali pertama saya mendengar nama Dr. Asri ialah ketika saya masih belajar di tingkatan dua. Tentunya bukan hal yang enak-enak saya dengar. Gelaran seperti "wahabi" itu sudah sebati dengan namanya sampaikan saya pun bersetuju sahaja dalam diam. Tak ada kemampuan rasional untuk bertanya. Dan tak ada kemampuan hujah untuk mempersoalkan kembali. Sebagai budak baru belajar, diam dan tak ambil pusing sangat ialah pilihan yang paling menyenangkan. Di Kedah, nama Dr. Asri tidak pernah enak. Mungkin juga kerana di Kedah ini banyak pondok, atau mungkin juga ada sebab lain selain Mufti Kedah sendiri melemparkan fitnah kepadanya [1]. Atau mungkin juga kerana beliau umpama memakuk dengan belakang lading [2]. Tetapi segala mesej dan cakap-cakap orang yang menular banyak sekali di Kedah (tak lupa juga negeri-negeri lain) tentang beliau yang dikaitkan pembawa aliran Wahabi. Hari ini pun masih menular di telefon bimbit saya tentang tanda-tanda pemikiran Wahabi di Malaysia. Antaranya kata mesej tersebut pengikut Wahabi ini hanya merujuk Albani dan Zahabi dalam hadis. Terkejut saya. Albani, meskipun ada beberapa perkara yang mungkin boleh kita persoalkan, tetap antara muhaddis besar yang tak boleh kita pertikaikan sumbangan dan ketokohannya. Begitu juga dengan Zahabi (yang ini lagilah). Tanpa kedua orang ulama' ini, barangkali tidak sempurna tradisi hadis yang sampai kepada kita hari ini. Menuduh mereka berdua sebagai Wahabi adalah kemerapuan yang teramat sangat.Di sekolah jugalah ada yang sebut, antara tanda Wahabi ini ialah tidak membaca qunut dan wirid. Saya pun apa lagi, setiap kali bersolat di mana-mana masjid, sering sahaja melihat kalau-kalau ada orang yang tidak membaca wirid. Tuduhan terus menerpa dalam kepala saya, "Wahabi!". Mengenang kembali hal ini, beristighfar saya, sungguh besar dosa jika dihimpunkan tuduhan-tuduhan saya kepada mereka yang tidak bersalah itu. Terdorong kaki badan merasa. Terdorong lidah emas padahnya [3]. Semoga Allah ampunkan saya. Saya berjumpa dengan salah seorang pelajar UIAM di sebuah pondok. Lelaki berpangkat abang tersebut memberitahu saya, "UIA sekarang diserang Wahabi. Masjid pun dah Wahabi." Terkejut bukan kepalang saya mendengarnya, bagai ikan di dalam keroncong [4].Allah mentakdirkan saya menjadi pelajar UIAM. Besar rahmatnya buat saya. Rupanya di sinilah akal fikiran saya dipokah, gaya fikir diperluas, dan segala cabang ilmu mula berurai-urai dalam kepala. Nama-nama seperti Prof. Dr. Israr Ahmad Khan dan Prof. Dr. Mohammed Abul Lais mula menyinggah. Saya curi-curi masuk dalam kelas mereka. Kelas hadis pertama saya gagal. Kelas hadis kedua saya dapat markah yang paling menyenangkan. Memang sengajalah Tuhan meminta saya belajar banyak kali ilmu hadis ini. Kelas hadis rupanya lebih mencabar dari kelas-kelas sastera Arab. Pernah juga terlintas dalam kepala, "Baik aku hafal syair saja berbanding belajar hadis. Lebih mudah! Belajar hadis ini bagai ingin di hati memandang pulau; sampan ada pengayuh tiada [5]."Dan di sinilah pemikiran kecil saya tersaujana dengan sendirinya. Saya mula meluaskan bacaan. Sedikit sebanyak mahu memunggah semula 'cakap-cakap' orang yang bersarang sepanjang saya bersekolah dan berpondok. Saya membacalah perihal Wahabi. Membaca karya Syeikh Muhammad Bin Abdul Wahab. Mendengar satu persatu video Dr. MAZA. Membaca artikel-artikel, buku-buku; dan hampir kesemua buku beliau saya baca kecuali yang ditulis dalam Bahasa Arab yang diterbitkan di Jordan itu. Niat saya ketika menonton dan membaca beliau ialah mahu mencari di manakah sudut yang dikatakan beliau ini Wahabi. Ajaibnya, tak ada satupun yang saya jumpa. Malah, saya lebih merasai nikmat perbahasan ilmu, perbandingan fakta, pendalilan, dan begitu banyak sekali wacana yang diperkenalkan yang menarik minat saya. Rupa-rupanya, ayam hitam terbang malam, hinggap ke rimba dalam, bertali ijuk bertambang tanduk [6]. Takut juga nak tulis tentang ini. Takut dikatakan juga saya Wahabi. Sejarah pelabelan Wahabi hanyalah sejarah para penjajah dan penguasa yang takut kelesesaan kedudukannya tercabar. Label Wahabi adalah jalan paling mudah untuk menyelamatkan kedudukan, dan untuk menutup mulut para pengkritik yang tidak berdaya dilawan dengan hujah. Kerana takut tuah anjing, celaka kuda [7]. Kalau kita meninjau sejarah pertentangan Kaum Muda dan Kaum Tua, kita dapati inilah irama yang diulang-ulang oleh Kaum Tua yang sudah mendapat tempat oleh penguasa. Kehadiran Kaum Muda yang dituduh "keluar mazhab" atau "tidak hormat ulama'" semuanya dikelompokkan sebagai Wahabi supaya ia menjadi 'sebab' untuk ditentang dan disekat. HAMKA begitu banyak menulis perihal ini di dalam buku-bukunya. Baca sahaja Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor, Kenang-kenangan Hidup, Ayahku, dan hampir kesemua buku beliau yang berbahas seputar agama akan disebutnya tentang tuduhan-tuduhan tidak berasas ini. Semuanya kata HAMKA hanyalah cakap tong kosong [8].Di bulan Ramadhan ini, bersama dengan sedikit anekdot saya ini, ingin saya menyeru supaya bulan Ramadhan kembali menjadi bulan yang disebutkan padanya al-Furqan (2:186) [9] yang bermaksud pemisah antara yang benar dan salah. Kitalah yang mesti menjadi al-Furqan kepada diri sendiri. Mencari kebenaran, bertabayyun apabila sampai sesuatu berita dan meninjau dalil dan bukti berbanding cakap-cakap orang yang penuh sangka dan duga. Tidak perlu berfanatik dengan sesiapa. Kita cuma perlu menggunakan akal yang saksama, yang tidak cepat menerima dan menolak, sebaliknya berfikir dengan akal yang sihat dan adil. Supaya kita mengati sama berat, mengukut sama panjang [10]. Kalaupun tidak kepada orang, tetapi kepada diri kita sendiri.Selamat menjadi al-Furqan kepada diri sendiri di bulan Ramadhan ini. Hafizul Faiz 1 Jun 2017Edinburgh, UK----------[1] https://youtu.be/_CVTt0BmjBE (Dr. MAZA menjawab semula di https://youtu.be/_i-H2Hqvflg)[2] Selalu memberikan pendapat yang menyanggah keselesaan pendapat yang ada. [3] Terlepas cakap yang membawa penyesalan diri sendiri. [4] Ramainya orang sakit kerana suatu pemikiran atau wabak, tak dapat diselamatkan lagi. [5] Mahu, tetapi tidak berdaya memilikinya. [6] Kejahatan yang sukar dibuktikan kerana tiada bukti atau kejahatan itu sendiri tiada. [7] Merugikan kedudukan sesuatu pihak, termasuklah diri sendiri. [8] Cakap tak ada hujah. [9] شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ    Terjemahannya:  Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. (2:185)[10] Membuat keputusan yang adil. 
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on June 01, 2017 13:05

May 25, 2017

KEPENTINGAN "AL"

Sekadar teguran ringkas dan sederhana. Sebaiknya diletakkan "al" kepada "quran". Dalam tulisan Bahasa Melayu kita tak nampak apa kepentingannya, tetapi dalam bahasa Arab, perkataan "al" yang ditransliterasikan daripada "ال" sangat membawa makna yang besar dan berbeza sekali dengan perkataan yang tiada "ال".Perkataan "ال" menandakan bahawa sesuatu kalimah itu ma'rifah, diterjemahkan sebagai "definiteness", atau mudahnya sesuatu kalimah itu sangat diketahui, "known". Misalnya perkataan اله yang bermaksud "tuhan", kita tambahkan "ال" untuk menjadikanNya الله. Dalam syahadah kita menyebut لا اله الا الله, yang diikutkan terjemahannya ialah "tiada tuhan selain Tuhan", tetapi sudah ada "ال" pada اله yang kedua bererti ia sudah menjadi sangat khusus dan spesifik, berbeza dengan اله yang pertama tadi. Kita pun menyebutnya bukan lagi tuhan, tetapi Allah.Selain membawa makna "definiteness" dan "known", kalimah ma'rifah juga membawa maksud "lengkap" atau "kesegalaan". Apabila Allah menyebut dalam Surah al-Fatihah, الحمدلله رب العلمين yang bermaksud "segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam", kita mesti meletakkan perkataan "segala puji", bukan hanya "puji" kerana di situ ada "ال" dan perkataan "segala" boleh membawa maksudnya. Begitu juga dengan "sekalian alam", kena ada "sekalian" tidak boleh hanya "alam" kerana pada ā'lamin itu ada "ال" yang membawa maksud lengkap.Contoh yang lain agar lebih jelas ialah di Surah Al-Baqarah, ayat 126, iaitu apabila Nabi Ibrahim berdoa kepada Allah,وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ اجْعَلْ هَٰذَا بَلَدًا آمِنًا وَارْزُقْ أَهْلَهُ مِنَ الثَّمَرَاتِ مَنْ آمَنَ مِنْهُمْ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۖ قَالَ وَمَنْ كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ قَلِيلًا ثُمَّ أَضْطَرُّهُ إِلَىٰ عَذَابِ النَّارِ ۖ وَبِئْسَ الْمَصِيرُDan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka". Allah berfirman: (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali". (2:126)Perkataan "بَلَدًا" yang bermaksud negeri di sini tidak ditulis dengan makrifah, iaitu tiada "ال". Sedangkan, di dalam Surah Ibrahim, ayat 35, Nabi Ibrahim berdoa kepada Allah,وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ اجْعَلْ هَٰذَا الْبَلَدَ آمِنًا وَاجْنُبْنِي وَبَنِيَّ أَنْ نَعْبُدَ الْأَصْنَامَ"Wahai Tuhanku! jadikanlah negeri Makkah ini negeri yang aman, dan jauhkanlah daku dan anak-anakku dari perbuatan menyembah berhala." (14:35)Di sini Al-Quran menggunakan perkataan الْبَلَدَ iaitu makrifah. Berbeza dengan kalimah "بَلَدًا" di Surah Al-Baqarah tadi, walaupun keduanya menuju maksud yang sama iaitu negeri Mekah.Kenapa hal ini berlaku?Kata At-Tabari dan Ibn Katsir, ketika Nabi Ibrahim mengungkapkan doa ini yang dirakam di Surah Al-Baqarah, negeri Mekah belum siap dibina sepenuhnya. Ketika doa ini diungkap lagi dan dirakam di Surah Ibrahim, negeri Mekah sudah siap dan lengkap dibina. Itulah perbezaan kenapa digunakan makrifah, iaitu membawa maksud kelengkapan atau kesempurnaan sesuatu.Jika kita buang "ال" ini bererti, atau dikhuatiri, dua makna besar ini iaitu "diketahui" (definiteness) dan "kesegalaan" (completeness) akan gugur. Dan al-Quran pastinya mengandungi dua sifat penting ini.Transliterasi daripada bahasa Arab ke Bahasa Melayu harus seupaya mungkin membawa bersama kandungan hierarki maknanya, meskipun tidak dapat semua tetapi mestilah seboleh yang mungkin. Memang dalam Kamus Dewan Edisi Keempat terdapat perkataan "Quran" yang didefinisikan sama juga dengan perkataan "al-Quran' (juga terdapat dalam kamus dewan), tetapi lebih baik kita guna yang lebih dekat maknanya dengan bahasa asalnya, iaitu bahasa Arab.Jika ada sebab dan hujah berbeza boleh dikemukakan kerana perbincangan ini tentunya menarik. Maafkan saya kerana saya tidak dapat membaca isi di dalamnya, teringin nak baca, tetapi saya duduk luar negara. Harapnya Thukul Cetak buatkan EBook, jual di Google Books atau Kindle, atau E-Sentral, untuk memudahkan akses. Jadi saya hanya mampu melihat tajuknya sahaja, dan kritikan ini hanyalah kritikan terhadap penggunaan istilah yang tertera pada tajuknya.Apa-apapun, menulis tentang al-Quran adalah satu kemestian dan tindakan yang sangat besar manfaatnya. Terima kasih. :) 
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 25, 2017 23:19

RAMADHAN: ANTARA IBADAH DAN HADIAH

"Kesian kat kawan-kawan ni, mereka dok sedih. Ramadhan dah nak masuk tapi tak boleh puasa." Begitu cerita isteri saya. Dan saya tahu, begitulah juga rungutan perempuan-perempuan di luar sana ketika memikirkan nasib terpaksa cuti di awal Ramadhan dan merasakan lagi malang bila terpaksa cuti hujung Ramadhan."Puasa mungkin tak dapat dah, tapi Ramadhan masih dapat," balas saya pula."Aik. Macam mana tuh bang?" soalnya terus."Cuba lihat ayat 183 Surah al-Baqarah itu semula." Dia pun membuka al-Quran segera menerusi aplikasi di telefon bimbit. [1]"Ayat itu bercakap tentang puasa ke tentang Ramadhan?" soal saya. Dia masih meneliti ayat tersebut, membaca terjemahannya."Tentang puasa. Tapi kita kan memang berpuasa pada bulan Ramadhan? Apa yang bezanya?" tanyanya."Betul. Tapi kenapa Allah bercakap pula tentang bulan Ramadhan di ayat 185? Dua ayat selepasnya? Kenapa Allah tak cantumkan sahaja ayat tentang kewajipan berpuasa dan Ramadhan ini sekali?" Saya membuka persoalan."Firman Allah, ...bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.Permulaan ayat ini sangat penting untuk ditekuni. Allah hanya bercakap semata-mata tentang keistimewaan Ramadhan secara spesifik." [2]Suhu di Edinburgh mula meningkat. Tak perlu lagi kami pasang pemanas di rumah. Dan di petang-petang begini, enak sahaja duduk berbual sambil ditemani secangkir teh."Apabila Allah memisahkan ayat ini, bererti ia membawa mesej yang tersendiri. Berpuasa ialah ibadah. Tetapi Ramadhan bukan ibadah, sebaliknya hadiah. Berpuasa dan Ramadhan mempunyai makna berbeza, objektif berbeza, tetapi datang dalam satu tempoh yang sama." Secawan teh dihirup penuh nikmat."Mereka mungkin tak dapat menunaikan ibadah, tetapi mereka masih layak untuk menerima hadiah... hadiah sebuah barakah." Saya menyimpulkan dengan mudah."Tapi ayat ini juga selepas itu Allah bercakap tentang puasa," pintasnya segera. Memang peka sekali orangnya."Betul. Mari kita lihat lagi ayat ini. Dalam ayat 184, Allah mengatakan bahawa barangsiapa yang tak dapat berpuasa atas sebab-sebab tertentu, mereka didenda. Dalam ayat 185 pula, setelah Allah bercakap tentang istimewanya bulan Ramadhan, Allah bercakap tentang pengecualian ini tetapi diakhiri dengan... "Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran." Isinya sama tapi jika dilihat konteksnya sangat berbeza. Ini bererti, ayat 185 bukan sahaja bercakap tentang penetapan hukuman puasa, tetapi makna di sebaliknya yang lebih mendominasi. Penetapan sudah selesai. Sekarang mari kita telusuri keindahan, keistimewaan dan kehebatannya... seolah-olah begitulah maksudnya." Saya membebel lagi."Jadi, ayat 183 lebih kepada penetapan hukum. Ayat 185 pula lebih kepada hadiah di sebalik hukum, iaitu makna dan hikmah?" Dia menyimpulkan."Tepat," balas saya."Walaupun kami orang perempuan ini tak boleh beribadah, tapi kami tetap mendapat hadiah, iaitu keistimewaan Ramadhan yang penuh barakah. Wah!" simpulnya mudah, tepat dan indah.Selamat berpuasa dan menyambut Ramadhan 2017 ini buat semua yang membaca. Daripada saya Mohd. Hafizul Faiz Bin Hashim dan isteri Nur Dayana Binti Mohamed Ariffin.-------------[1] يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَTerjemahannya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (2:183)[2] شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَTerjemahannya: Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. (2:185)
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 25, 2017 10:44

May 23, 2017

RAMADAN DAN JAWAPAN SEBUAH DOA

Ayat 186 Surah al-Baqarah ini hadir sejurus sahaja selepas ayat tentang Ramadhan Allah turunkan. Saya serahkan kepada pembaca sendiri bagaimana mahu meneliti perkaitan indah ayat ini dengan keistimewaan Ramadhan. Di dalam ayat ini Allah menggunakan perkataan أجيب yang bermaksud "Aku menjawab". Bererti Allah menjawab sekarang dan akan-akan datang. Fe'el Mudhori' membawa maksud sekarang dan akan datang. Allah tidak menggunakan perkataan "أستجيب" yang membawa maksud "Aku akan menjawab" kerana ia tertakluk dalam ruang masa "akan datang". Allah mahu menjawabnya sekarang dan juga akan datang.Juga perkataan دعوة yang bermaksud satu doa. Bukan دعاء yang bermaksud banyak doa. Bererti meskipun hamba itu hanya sekali sahaja berdoa dalam hidupnya, meski satu sahaja doanya, Allah tetap akan menjawabnya juga, sekarang dan akan datang.Kemudian perkataan الداعي yang datang dalam bentuk "Ma'rifah" (ada ال) yang bermaksud kata nama khas, atau "known". Bererti Allah tidak menganggap sang pendoa itu "anonymous", sebaliknya Allah mengenali mereka secara dekat meski mereka ramai tidak terkira.Dan dalam ayat ini Allah menggunakan kata nama "Aku", bukan "Dia" dan bukan "Kami". Kata nama "Aku" kata nama pertama. Syarat kata nama pertama ialah yang bercakap mesti berada dekat dengan yang mendengar.Betapa Allah menanti doa-doa hamba-hambaNya. "Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa dekat; Aku jawab doa orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul." (2:186).Hafizul Faiz8 Mac 2016
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on May 23, 2017 12:37