Muhaimin Safaruddin's Blog
July 27, 2021
Tiga Perkara Besar yang Saya Pelajari Sepanjang Berkerjaya

Bismillah. Alhamdulillah, hari ini (27 Julai 2021), genap setahun sudah saya direzekikan oleh Allah ﷻ untuk berkhidmat secara sepenuh masa dengan Pustaka Permata Ummah (PPU).
Jika dahulu, para senior acap kali membilang perihal bezanya alam pekerjaan dengan alam kemahasiswaan. Nyata, hari ini dan sehingga saat ini, saya benar-benar merasai maknanya yang tersendiri.
Terlalu banyak hal yang telah saya alami dan lalui sepanjang 12 bulan kembara dan kelana di ranah kerjaya ini. Hendak ditintakan satu per satu, sudah tentu bukan di sini ruangannya dan bukan pada masa ini kesempatannya.
Maka, cukuplah saya rumuskan tiga (3) perkara paling besar yang saya kira, molek untuk saya kongsikan bersama dengan sahabat-sahabat, waima daripada kalangan adik-adik mahasiswa, teman-teman seusia, mahupun yang lebih makan garam daripada saya.
Mudah-mudahan, bermanfaat hendaknya perkongsian fakir berikut:
1. Saya belajar bahawa setiap nikmat dan kesempatan yang dikurniakan oleh Allah itu, adalah untuk saya terus bersyukur.Umum mengetahui, saya sebelum ini pernah mengkhabarkan kepada kalian akan keterujaan saya bekerja dalam dunia penerbitan buku.
Betapa minat dan cinta saya yang mendalam terhadap dunia perbukuan ini, menjadi cita-cita pula dengan saya bergelumang penuh dalam arena ini.
Namun, di sebalik kegembiraan itu, saya hendaklah sentiasa menginsafi bahawa rezeki ini jua merupakan suatu amanah yang akan dipertanggungjawabkan oleh Allah ﷻ pada Hari Akhirat nanti.
Mungkin di luar sana, boleh jadi ramai lagi yang menginginkan hal yang serupa sebagaimana yang saya kecapi kini.
Untuk itu, saya mesti sentiasa mengingatkan diri supaya kekal berkhidmat dengan itqān (tekun, gigih, dan bersungguh-sungguh) dan jangan sesekali mengkufuri nikmat dengan bersikap culas, sambalewa, dan seangkatan dengannya.
2. Saya belajar bahawa rezeki itu bukan hanya tertakluk kepada wang ringgit semata-mata, bahkan lebih luas daripada itu.Saya sangat-sangat terkesan apabila saya sedar, dengan dikelilingi oleh majikan dan lembaga pengarah yang baik, sahabat-sahabat yang soleh, hatta peluang untuk menelaah buku-buku ilmiah karangan tokoh ulama – kesemua itu hakikatnya ialah rezeki yang tidak berbelah bahagi.
Hal ini membuatkan saya untuk kembali kepada konsep yang pertama tadi – belajar untuk terus bersyukur.
Mungkin pendapatan saya tidak sebanyak bidang atau profesion lain di luar sana yang tampak lebih gah, menyebabkan orang memandang seolah-olah ‘rezeki’ saya seciput cuma.
Akan tetapi, di sebalik itu, sungguh Allah ﷻ telah melimpahkan rezeki saya dari sudut yang lain pula. Malahan, motosikal yang saya gunakan saban hari untuk berulang-alik pejabat–rumah yang jarang amat mengalami kerosakan juga merupakan suatu rezeki!
3. Saya belajar bahawa pekerjaan saya ini bukan untuk diri saya semata-mata, bahkan yang lebih penting adalah untuk manfaat masyarakat dan masa depan akhirat saya jua.Terlalu jauh perbezaannya andai saya memikirkan dunia kerjaya ini hanyalah seputar jam 9:00 pagi sehingga 6:00 petang, walhal kehidupan bukan sekadar itu cuma.
Saya sedar bahawa saya merupakan salah seorang yang mengisi keanggotaan dalam masyarakat, kerana hidup ini tidak berkisar soal individu semata-mata.
Maka, setiap hari saat bangkit dari ketiduran, berangkat ke pejabat, dan duduk di hadapan skrin untuk menggerakkan jari jemari, saya perlu untuk terus dan senantiasa memperbaharui niat.
Mengapa hari ini saya bekerja?
Saya bekerja kerana apa?
Siapa yang akan memperoleh faedah daripada hasil kerja saya?
Apa bekalan yang boleh saya bawa daripada pekerjaan sehari-harian saya?
Set soalan sebegini yang sedikit sebanyak, Insya-Allah membantu untuk saya tidak sekadar menjadikan kerjaya sebagai suatu rutin.
Sebabnya, saat kali pertama saya memilih pekerjaan, hakikatnya saya telah memilih corak kehidupan yang akan saya habiskan sisa-sisa jiwa dan nyawa dengannya.
Oleh yang demikian, biarlah perkhidmatan yang saya pilih ini menjadi suatu ibadah yang berhasil menjemput pengampunan dan kasih sayang-Nya.
WaLlāhu a‘lam. Dengan penuh kerendahan hati, saya mohon doa daripada semua supaya Allah ﷻ senantiasa mengurniai saya istiqamah untuk terus menjadi insan yang hari ini lebih baik daripada semalam.
Terima kasih banyak semua atas pembacaan!
Muhaimin Safaruddin
Editor Bahasa,
Pustaka Permata Ummah.

June 22, 2021
Ini Cerita Bagaimana Saya Terbitkan Buku Sendiri Sampai Jadi #3

“Apa langkah yang saya buat dalam menerbitkan buku sendiri sampai jadi?”
Bismillah.
Sebelum ini, banyak kali juga kalangan ahli keluarga dan teman saya yang bertanya saya soalan di atas.
Sebabnya, sebelum saya dikurniakan rezeki oleh Allah untuk berkhidmat sebagai seorang editor sepenuh masa, saya pernah menjadi ‘editor bidang terjun’ untuk tiga naskhah buku swaterbit.
Kesemua judul buku tersebut, saya membantu secara langsung, bermula dari bab susunan dan penyuntingan sehinggalah penerbitan dan percetakan. Alhamdulillah atas segala nikmat-Nya.
Jadi, bagi menghargai pertanyaan tersebut dan sebagai menunaikan janji saya dalam hantaran yang lalu, Insya-Allah saya kongsikan langkah-langkahnya bersama teman-teman berserta sedikit tip dan trik di bawah:
1. Kumpulkan penulisan kita dalam satu fail atau dokumen Microsoft Word.Jadikannya satu manuskrip yang kemas. Susun elok-elok setiap penulisan kita berdasarkan halaman hak cipta terpelihara, isi kandungan, bab, tajuk, seksyen, muka surat, dan sebagainya.
2. Sekatakan atau selaraskan kesemua perkara teknikal yang berkaitan dengan tulisan.Umpamanya, muka taip (font), saiz, langkau (spacing), ketebalan, kecondongan, pengimbangan (justify), jidar (margin), saiz kertas, dan lain-lain.
[Kedua-dua poin di atas, sangat memerlukan kalian untuk memiliki KEMAHIRAN dalam mengendalikan segala ciri yang ada dalam Microsoft Word].
3. Buat permohonan untuk mendapatkan Nombor Buku Piawai Antarabangsa (ISBN) dan Pengkatalogan-dalam-Penerbitan (PDP) daripada Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).Kalian boleh perhatikan kedua-dua perkara ini dalam ruangan ‘Hak Cipta Terpelihara’ mana-mana buku yang sedia ada. Ha, begitulah rupanya.
Dua item ini sangat penting bagi menjamin keaslian buku kita dan memastikan buku kita ada identitinya yang tersendiri.
Kalau kilang-kilang dan kedai-kedai makan pun misalnya sangat memerlukan sijil halal, semakan mutu (quality check), dan sebagainya, samalah juga dengan buku kita.
Oh ya, permohonan ISBN dan PDP boleh diketahui tatacaranya melalui laman sesawang PNM. Kalian boleh ikuti setiap langkahnya di sini.
4. Upah mana-mana pereka bentuk untuk bantu siapkan kulit buku dan reka letak (layout) buku kita.Boleh upah pereka bentuk yang sama atau orang lain untuk masukkan manuskrip kita yang asalnya daripada Microsoft Word tadi kepada Adobe InDesign.
Ini adalah bagi tujuan susun atur, reka letak, reka bentuk dalaman buku, hiasan tambahan, dan sebagainya.
Oh, nota penting! Tidak semestinya wajib untuk pindahkan daripada Word kepada InDesign, ya.
Sebabnya, buku-buku swaterbit saya sebelum ini pun, saya bantu siapkan susun atur dan reka letak semuanya dalam Word sahaja. Mudah dan pantas.
Boleh juga buka pratempahan (preorder), minta bakal pembeli untuk mengundi kulit buku pilihan, dan lain-lain yang dirasakan bersesuaian.
Ha, ini dah masuk bab pemasaran pula. Kalau nak cerita bab ini, memang kena buka topik baharu pada lain masa.
Kos percetakan bergantung kepada keadaan seperti berikut: Bilangan muka surat atau ketebalan buku, jenis kulit, jenis kertas, bilangan naskhah yang mahu dicetak, dan lain-lain.
7. Usai segala perkara dan tindakan di atas, maka ayuh mulakan cetakan!Insya-Allah, kebiasaannya, tempoh percetakan akan memakan masa sekitar dua minggu sehingga sebulan.
Ya, bergantung kepada jadual percetakan kilang, jenis buku, kuantiti buku, dan sebagainya juga.
8. Selesai cetak, maka jom kita mulakan edaran serta terus giatkan jualan dan pemasaran!Demikianlah sedikit perkongsian fakir hamba. Mudah-mudahan, bermanfaat hendaknya.
Selamat berusaha dan semoga berjaya buat teman-teman yang mencita-citakan penerbitan buku sendiri sampai jadi!
Muhaimin Safaruddin.
t.me/MuhaiminSafaruddin

June 15, 2021
Susah Rupa-rupanya Kerja Editor

“Masya-Allah, susah rupanya kerja editor ni ya. Nampak dari luar macam senang aja!”
Begitu respons saudari penemu duga selepas mendengar penjelasan saya.
Alkisahnya, Alhamdulillah, pagi semalam (14 Jun 2021), saya selesai menjalani satu sesi temu bual bersama salah seorang pelajar Akademi Pengajian Bahasa dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
Pertama kali orang luar hendak menemu bual saya sebagai seorang editor dalam sejarah hidup, walhal saya baru setahun jagung berkhidmat dalam dunia editorial dan penerbitan buku.
Terlalu kerdil rasanya hendak memberikan jawapan jika hendak dibandingkan dengan para sifu dan otai rumah penerbitan yang lain.
Apa-apa pun, Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik dan lancar.
Saya kongsikanlah serba sedikit celoteh saya semalam buat faedah teman-teman sekalian:
1⃣ Pengalaman penyuntinganBarang diingat, tugasan seorang editor bukan hanya semata-mata memperbetul kesalahan ejaan dan tatabahasa sahaja ya!
Sebenarnya, sangaaat banyak proses yang perlu dilalui sebelum senaskhah buku itu benar-benar boleh dihasilkan.
Bahkan, buku yang bakal dilancarkan dan dijual pada bulan ini, hakikatnya telah pun bermula perjalanan suntingannya selewat-lewatnya sejak tiga bulan lepas!
Itu belum termasuk lagi sekiranya dicampurkan segala susunan jadual penerbitan, suntingan daripada manuskrip asal, semakan dan bacaan pruf pertama, semakan dan bacaan pruf kedua, tambahan infografik dan peta, serta segala macam emak dan nenek perencah rasa…
Boleh jadi, paling awal perlu bersedia adalah setahun sebelum!
Ha, bolehlah ulang kembali dialog pada awal penulisan di atas.
Kami di Pustaka Permata Ummah (PPU) menyedari, bahawa betapa bukan hanya kami yang berpencak dalam industri perbukuan di seluruh negara.
Terlalu banyak pesaing di luar sana yang masing-masing berlumba-lumba mahu menghasilkan bahan bacaan yang terbaik dan memberikan kepuasan yang paling umph!
Atas kesedaran itulah, kami telah melaksanakan tinjauan pasaran (market outlook) terhadap beberapa rumah penerbitan yang terpilih.
Kami kaji segala kelebihan dan kelemahan, apa faktor penarik yang ada, apa strategi pemasaran yang digunakan, apa yang boleh kita tambah baik, dan banyak lagi.
Maka, rumusan daripada segala dapatan itu, kami usaha untuk menterjemahkan hanya yang terbaik lagi berkualiti tinggi dalam karya terbitan kami.
Paling penting, #MesejSampai dan menepati cita rasa setiap orang pembaca daripada semua peringkat umur.
Antaranya adalah dari sudut kawalan emosi dan kemahiran pengurusan diri.
Sebab itu, saya berani katakan bahawa, pengalaman sepanjang berpersatuan dan berorganisasi semasa bergelar pelajar di kampus;
Hakikatnya adalah sangat-sangat membantu kita untuk menghadapi dunia sebenar pascagraduasi.
Realiti alam kerjaya itu nyata amat berbeza sekali dengan kehidupan mahasiswa universiti ya, kawan-kawan.
Bebanan lambakan kerja, tekanan untuk mengejar tarikh akhir sesuatu tugasan, keperluan untuk berkomunikasi secara benar-benar berkesan sesama pihak atasan dan rakan sekerja, serta banyaaak lagi situasi bakal kita lalui dalam medan pekerjaan.
Namun, kemahiran insaniah (soft skills), kemahiran perorangan (interpersonal skills), dan lain-lain kemahiran yang telah kita peroleh sepanjang pembelajaran di luar bilik kuliahlah;
Insya-Allah, bakal menjadi azimat yang begitu berguna untuk kita terus memperbaik mutu diri dalam mendepani sekolah kehidupan.
Antaranya ialah; niatkan diri untuk terus menjadi insan yang bermanfaat kepada masyarakat.
Ini berasaskan hadis Nabi ﷺ:
خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ
“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia yang lain.”
[Sahih al-Jamiʿ, no. 3289, daripada Jabir]
Editor boleh memberikan manfaat melalui hasil suntingan dan semakannya.
Pereka grafik boleh memberikan manfaat melalui hasil seni dan susun aturnya.
Tim pemasaran boleh memberikan manfaat melalui persembahan medianya.
Pasukan jualan pula boleh memberikan manfaat melalui urusan jual beli bersama pelanggan dan hubungan sesama ejennya.
Pendek kata panjang cerita, semua boleh jadi bermanfaat mengikut ruang lingkup masing-masing.
Tambahan pula, kami di PPU – Alhamdulillah – diberikan rezeki oleh Allah SWT untuk dapat berkhidmat secara terus dengan Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Ayah Chik); seorang ulama negarawan yang tidak asing lagi di tanah air mahupun di seantero dunia.
Maka, kami perlu gunakan kesempatan khidmat yang ada ini sebaik mungkin selagi hayat dikandung badan. Doakan kami selalu ya.
Pertama sekali, paling penting ialah kita perlu ada minat dan matlamat yang betul-betul jelas.
Persoalan BIG WHY mesti sudah dibereskan dengan hujah yang lumat. Begin with the end in mind.
Kemudian, sentiasa libatkan diri dalam lingkungan pencinta buku dan pencinta bahasa. Beli bahan bacaan yang pelbagai di toko-toko buku, baca, dan buat penilaian kendiri.
Seterusnya, jangan lupa untuk sentiasa naik taraf pengetahuan dalam bidang tatabahasa, susun atur ayat, dan sebagainya.
Semakin kita belajar, semakin kita sedar akan kekurangan diri, dan itu akan membuatkan kita terus belajar lagi dan lagi.
Insya-Allah, mudah-mudahan, Allah sentiasa memberkati dan merahmati setiap usaha kita ke arah menunaikan amanah sebagai seorang hamba dan khalifah-Nya yang terbaik.
Oh ya, infiniti terima kasih juga saya ucapkan kepada seluruh jentera PPU serta semua penyokong dan pendukung kami!
Kehadiran kalian, sesungguhnya sangat-sangat membantu saya untuk terus mempertingkat kebolehan dan potensi diri, lantas menyedarkan saya agar kekallah bersyukur atas curahan rezeki-Nya yang tiada bertepi!
Muhaimin Safaruddin.
t.me/MuhaiminSafaruddin

June 7, 2021
Ini Cerita Bagaimana Saya Terbitkan Buku Sendiri Sampai Jadi #2

“Assalamualaikum akhi. Macam mana nak jadi penulis? Apa langkah akhi untuk menjadi penulis dan terbitkan buku sendiri?”
Satu kiriman mesej daripada salah seorang junior yang saya hormati singgah ke dalam peti masuk WhatsApp saya tengah hari tadi.
Dia bertanya soalan sedemikian sambil mengirim bersama tangkapan layar berikut:

Sejujurnya, saya segan hendak menjawab soalan tersebut. Hakikatnya, saya belum layak pun untuk bergelar seorang penulis.
Hal ini demikian kerana, semua buku yang terekod dalam profil Goodreads saya itu, semuanya ialah sama ada saya sebagai seorang penyunting (editor) mahupun penulis bersama sahaja.
Masih tiada senaskhah buku pun yang saya menulis secara individu.
Namun begitu, demi meraikan pertanyaan jujur adik saya tersebut, saya cuba menjawab sekadar yang termampu:
1. Niat dan matlamat yang jelas.Pastikan kita betul-betul dapat mengenal pasti nawaitu dan menjawab setiap set persoalan kita, contohnya:
Kenapa saya perlu menulis?Saya menulis untuk siapa?Apa yang saya harapkan daripada penulisan saya ini?Bagaimana masyarakat boleh mengambil manfaat daripada penulisan saya?2. Lazimi membaca.Membaca ialah suatu keperluan, bukan kemahuan. Disiplinkan diri dalam membaca.
Bukan tunggu masa lapang baru hendak membaca, tetapi tetapkanlah sekian masa dalam sehari untuk membaca buku. Nikmati pembacaan tersebut.
3. Jadikan menulis sebagai satu rutin atau tabiat.Tak semestinya kena menulis dalam media sosial. Menulis dalam diari, buku nota, Microsoft Word, dan sebagainya pun boleh.
Apa yang penting: Istiqamah menulis.
4. Tambah ilmu dan kemahiran mengenai dunia perbukuan dan penerbitan.Segala benda yang kita hendak perbuat di atas muka bumi, tidak boleh tidak, perlulah disulami dengan ilmu.
Begitu juga dalam bidang penulisan dan penerbitan buku. Apa proses sebelum, semasa, dan selepas percetakan; pastikan dibereskan sebaiknya.
(Insya-Allah, nantikan dalam hantaran akan datang, tentang bagaimana pengalaman saya dalam menerbitkan buku sendiri sampai jadi!)
5. Libatkan diri dalam lingkungan (circle) teman-teman yang mempunyai minat dan wawasan yang sama, yakni dalam bidang pembacaan dan penulisan.Berkawan dengan tukang pembuat minyak wangi, lama-kelamaan, tempias harumannya itu pasti akan melekat jua pada diri kita.
Saya doakan, semoga kita terus berjaya dalam konsisten menulis hal-hal yang bermanfaat demi ummah!
June 3, 2021
Susahnya Hendak Buat Baik

“Ya Allah, susahnya nak buat baik zaman sekarang ni…
”
Pernah tak timbul omong sedemikian dalam benak fikiran kita?
Susah betul rasanya hendak melakukan amal kebaikan ya pada akhir zaman ini, ditambah pula dengan leluasanya kejahatan dan kebobrokan yang melanda.
Benda yang baik dianggap buruk. Benda yang buruk pula dianggap baik. Aduhai.
Lantas kita mungkin terdetik:
“Kenapalah aku dilahirkan pada masa yang penuh fitnah ini?
Alangkah baiknya kalau aku dapat hidup bersama-sama Rasulullah, hidup pada zaman kegemilangan Islam dahulu, pemimpinnya adil, masyarakatnya baik…”
Kawan-kawan, jangan begitu. Okey, kita tenangkan diri sekejap ya.
Yep, sejujurnya saya pun pernah berasa seperti itu. Siapa aja yang tidak mahu hidup dalam suasana penuh kedamaian tanpa kemungkaran, bukan?
Namun, Allah ﷻ dengan kudrat dan iradat-Nya Amat Mengetahui apa yang terbaik untuk diri kita.
Allah ﷻ mengizinkan kita untuk lahir pada fasa akhir zaman ini pun, tentunya adalah untuk kebaikan diri kita juga.
Siapa boleh berikan jaminan bahawa seandainya kita dilahirkan pada zaman Rasulullah ﷺ, kita boleh benar-benar beriman kepada Baginda dan tidak menentang dakwah Baginda?
Bukankah Abu Lahab, Abu Jahal, ‘Abdullah bin Ubay, dan lain-lain berkesempatan untuk hidup sezaman dengan Rasulullah ﷺ juga? Namun, mengapa mereka tidak beriman?
Alhamdulillah, walaupun kita hidup sudah terlalu jauh dengan zaman Rasulullah ﷺ, dan walaupun kita hidup dalam persekitaran yang sudah sangat rosak sistemnya;
Allah ﷻ dengan kasih sayang-Nya masih berkenan memberi kita taufik dan hidayah untuk dapat menjadi seorang Muslim dan mengimani ajaran Baginda ﷺ.
Inilah nikmat yang sangat-sangat perlu untuk kita syukuri dan hargai!
Kawan-kawan, jom kita lihat satu kaedah fiqah di bawah:
الثَوَابُ عَلَى تَحَمُّلِ المَشَاقِّ لَا عَلَى عَين المَشَاقِّ
“Diberikan pahala atas kesabaran menanggung kesusahan, bukan atas kesusahan itu sendiri.”
[Qawa‘id al-Ahkam fi Masalih al-Anam, 36]
Makna kata, seseorang akan diganjarkan dengan pahala yang lebih besar berbanding orang lain apabila dia bersabar dalam menanggung kesukaran yang terpaksa dihadapi untuk melaksanakan satu-satu ibadah.
Contoh:
Seseorang yang menyempurnakan wuduk ketika cuaca sejuk mendapat lebih pahala berbanding seseorang yang berwuduk ketika cuaca biasa.Seseorang yang berjalan kaki untuk pergi ke masjid mendapat lebih pahala berbanding seseorang yang berkenderaan.Nah, kita yang hidup pada fasa akhir zaman ini, yang merasai sulit dan payahnya untuk berbuat kebaikan di celah-celah kejelikan;
Bukankah hal ini merupakan suatu rahmat dan peluang daripada Allah untuk kita bisa memperoleh ganjaran pahala yang lebih besar seandainya kita benar-benar bersabar?
Allah, ampunilah kami yang sesungguhnya, sangatlah lemah untuk bersabar dalam mentaati-Mu, bersabar dalam meninggalkan larangan-Mu, dan bersabar dalam menghadapi setiap ujian-Mu.
Moga-moga, Allah ﷻ selalu memandu hati kita agar kekal teguh di atas jalan kebenaran serta melindungi kita daripada segala macam fitnah hidup dan mati.
Insya-Allah, terus kuat ya kawan-kawan. Sama-sama kita terus istiqamah menjaga iman pada fasa-fasa sukar ini!
Muhaimin Safaruddin.
t.me/MuhaiminSafaruddin

May 5, 2021
Melaksanakan dengan Tidak Melaksanakan

Kalau sahabat-sahabat perasan, dalam banyak-banyak rukun Islam, puasalah satu-satunya rukun Islam yang dilaksanakan dengan ‘tidak melaksanakan’.
Eh, bagaimana itu?
1. Andai diperhatikan, rukun-rukun Islam yang lain kesemuanya dijalankan dengan melakukan perbuatan atau amalinya.
Syahadah dengan menuturkan kalimahnya. Solat dengan bertakbir sehingga memberi salamnya. Zakat dengan mengeluarkan hartanya. Haji pula dengan segala manasiknya.
Namun begitu, ibadat puasa cukup unik. Kita melakukan ibadat tersebut dengan cara tidak melakukan, yakni meninggalkan. Kita berpuasa dengan meninggalkan segala perkara yang boleh membawa kepada pembatalan puasa.
Subhanallah, sesuailah dengan makna puasa itu sendiri dari sudut bahasa iaitu al-imsāk (menahan diri; to abstain).
2. Ada beza antara al-imsāk (الإمساك) dengan al-tark (الترك).
Walaupun makna kedua-duanya dilihat seakan-akan sama, yakni ‘meninggalkan’, ada garis halus yang menjadi pembeza antara kedua-dua istilah tersebut.
Jika al-tark itu dengan maksud meninggalkan perkara yang sememangnya perlu ditinggalkan, maka al-imsāk pula membawa erti meninggalkan perkara yang asalnya dibolehkan untuk kita melakukannya.
Begitulah yang kita praktikkan saat berpuasa. Kita meninggalkan perkara-perkara harus seperti makan, minum, persetubuhan, dan sebagainya pada siang hari demi menyahut perintah Allah agar berpuasa.
3. Kemuncaknya, apabila kita berjaya melaksanakan apa yang diperintahkan, meninggalkan apa yang ditegah, malah menahan diri pula daripada apa yang asalnya diharuskan, itulah matlamat takwa yang mahu kita capai dan gapai.
Kalaulah perkara-perkara halal pun kita mampu untuk meninggalkan, maka sepatutnya tiada masalah untuk kita menjauhi setiap perkara yang haram pula.
4. Kesan al-imsāk ini kalau kita perhatikan, sebenarnya memberikan impak yang sungguh positif dalam kehidupan melalui tiga kriteria berikut:
Shakhṣī (adab, peribadi)Iqtiṣādī (ekonomi)Siyāsī (politik)5. Menahan diri dari sudut pembentukan peribadi (ta’dīb) itu, umpamanya mengekang diri daripada sifat marah tidak tentu hala, mengelak daripada terlibat dalam perdebatan yang tidak sihat, menjauhi pertelingkahan tanpa kesudahan, meninggalkan perbuatan sia-sia, dan lain-lain.
Seterusnya, menahan diri dari aspek ekonomi pula, misalnya ialah menyekat kemahuan diri kita daripada berbelanja terhadap perkara-perkara yang tidak perlu, mengawal aliran tunai kita, dan merancang kewangan sebaiknya.
Demikian juga, menahan diri dalam bab siasah adalah seperti kekal memilih kehidupan yang sederhana dan bersikap qanā‘ah, walaupun pada masa di puncak kekuasaan, serta pada saat dunia telah berada dalam genggaman, kita bisa memiliki segala-galanya.
6. Qudwah di atas turut telah dipertontonkan oleh para pimpinan kita seperti Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz raḥimahuLlāh, Tuan Guru Haji Abdul Hadi (Ayah Chik) ḥafiẓahuLlāh, dan ramai lagi.
Disebabkan para pemimpin kita berhasil menahan diri, Allah SWT dengan limpahan rahmat-Nya masih memelihara jemaah dan kerajaan yang ditadbir oleh mereka.
7. Bahkan, junjungan mulia kita, RasūluLlāh ﷺ sendiri menunjukkan contoh yang sungguh terpuji.
Diriwayatkan pada suatu hari, Baginda bertanyakan isteri Baginda, Saidatina ‘Ā’ishah raḍiyaLlāh ‘anhā; adakah terdapat makanan di rumah untuk dijamah pada hari tersebut. Lalu dijawab oleh Saidatina ‘Ā’ishah dengan ketiadaan makanan.
Maka, RasūluLlāh ﷺ terus berpuasa sunat pada hari itu. Walhal, dengan taraf Baginda ﷺ sebagai pemimpin masyarakat dan negara, boleh sahaja seandainya Nabi ﷺ meminta untuk dipenuhi kemahuannya.
Walau bagaimanapun, RasūluLlāh ﷺ tidak berbuat demikian, bahkan memilih untuk berpuasa, yakni menahan diri. Masya-Allah.
Bukankah orang yang paling mampu memelihara masyarakat ialah mereka yang paling mampu memelihara diri?
8. Allahuakbar, begitu sekali puasa mendidik kita dalam menahan diri. Menahan diri daripada dunia yang sementara demi manfaat akhirat yang selamanya.
Ketika ada sesuatu yang halal, ada kemahuan, dan mampu untuk kita buat, tetapi kita memilih untuk tidak melakukan. Masya-Allah, kelihatan kecil, namun sangat besar ertinya.

Demikianlah sedikit catatan fakir daripada pengisian sebelum iftar semalam (4 Mei 2021) yang disampaikan oleh Tuan Syahir Che Sulaiman.
Perkongsian itu walaupun temanya ringkas dan santai, tetap cukup memberikan sudut pandang baharu, khususnya kepada diri ini berkenaan hakikat puasa.
Alhamdulillah, tidak cukup dengan kebahagiaan melalui sungkai (buka puasa) secara berjemaah, diadun pula keseronokannya dengan kekenyangan pengisian rohani bersama Lembaga Pengarah dan teman-teman Pustaka Permata Ummah (PPU).
Inilah indahnya Ramadan.
April 17, 2021
Ini Cerita Bagaimana Saya Terbitkan Buku Sendiri Sampai Jadi #1

Kawan-kawan, saya takut.
Setiap kali saya cuba untuk melakukan sesuatu yang baharu dan tidak pernah saya buat sebelum ini, perasaan takut pasti akan timbul.
Kawan-kawan pun mesti berasa begitu, bukan?
Yalah, dengan memikirkan segala risiko lagi, dengan keberkesanannya lagi, dengan cakap-cakap orang lagi.
Sehingga kini, perasaan takut itu tetap ada.
Akan tetapi, apabila saya berada dalam situasi seperti itu, perkara pertama yang harus selalu saya ingat dan bulatkan tekad ialah:
Saya mesti serahkan segala-galanya kepada Allah.
Apa yang saya lakukan sekarang hanya sekadar menggunakan logik sendiri yang amat fakir. Namun sebaliknya, Allah SWT pasti lebih mengetahui dalam merencanakan yang paling baik untuk saya.
Jadi, saya belajar untuk memberanikan diri.
Sekitar suku pertama tahun 2019, saya beranikan diri untuk bertentang mata dengan Pengasas Projek Anak Muda Islam (PAMI), Abang Fahmi Mokhtar.
Separuh masa kedua 2019, saya buang perasaan takut saya untuk bertemu pula dengan Pengurus Unit Penerbitan Media Presiden PAS (kini Pustaka Permata Ummah), Ustaz Afiq Awang.
Saya betul-betul rendahkan diri dan sediakan minda saya sebaiknya untuk belajar. Belajar dan dapatkan khidmat nasihat daripada mereka berdua yang berpengalaman dan berkemahiran dalam bidang pembikinan buku fizikal.
Mereka jugalah yang saya anggap sebagai titik mula dalam mencambahkan lagi minat saya dalam dunia penyuntingan, penerbitan, dan pemasaran buku.
Itu belum dicampur lagi perasaan seram ketika mahu menghantar mesej jemputan kepada para penulis bagi menyumbangkan penulisan mereka.
Mahu tidak mahu, perasaan ini tetap saya redah jua.
Alhamdulillah, penghujung tahun 2019, buku pertama 30 Tahun GAMIS bersama tim Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) 2019 berjaya diterbitkan!

Impian saya untuk berhasil menerbitkan buku sebelum graduasi tercapai dengan izin-Nya.
Siapa sangka, bermula dengan angan-angan, kini menjadi suatu kenyataan!
Berbekalkan sedikit pengalaman yang pernah ditempuhi, saya mahu teruskan perjalanan ke hadapan dengan lebih jauh lagi.
Takdir Allah, sebelum Ramadan 2020 menjelma, ditambah pula dengan suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di rumah, saya terserempak dengan suatu iklan yang betul-betul menangkap hati dan pandangan saya:
Virtual Summit Sekolah Penulisan Ramadan (SPR) 2020.

Masya-Allah, menariknya tajuk! Siap dengan pembahagian kluster penulisan, penerbitan, dan pemasaran lagi! Panel pengajar dan pembentang kuliah pun bukan calang-calang.
Memang betul-betul suatu peluang yang tidak boleh dilepaskan!
Maka, dengan lafaz bismillah, saya klik butang daftar untuk teruskan kembara ilmu ini.
Seiring masa berlalu, Alhamdulillah, kini saya telah pun bergelar alumni SPR 2020.
Segala ilmu dan modul yang diperoleh sepanjang menduduki SPR 2020 benar-benar saya hadam dan usaha untuk amalkan.
Saya menjadi lebih ‘gila’ untuk menerbitkan buku lagi.
Kali ini, saya memperoleh dua jemputan daripada teman baik untuk membantu mereka dalam menghasilkan senaskhah buku sampai jadi.
Pertama daripada Saudara Yazid Aiman, mantan Timbalan Pengerusi Kelab Mahasiswa Penyokong PAS (SiswaPAS) yang berhasrat untuk menerbitkan buku Kenapa Anak Muda Pilih PAS?.
Kedua pula daripada Saudara Hafiz Azhar, mantan Pengerusi Majlis Dakwah dan Kebajikan (MDK) GAMIS Perlis 2019 yang mencita-citakan pembukuan naskhah Baitul Qurro’ Wal Fuqoha’.
Alhamdulillah, kedua-dua naskhah buku tersebut berjaya diterbitkan, sekali lagi dengan izin-Nya. Masing-masing pada Oktober 2020 dan Januari 2021!


Penerbitan swaterbit ini dirasakan memang suatu kerja yang tidak masuk akal, ditambah dengan suasana industri perbukuan masa ini yang sedang mengalami kesuraman.
Rezeki Allah, saya pun turut telah memulakan kerjaya sebagai editor sepenuh masa di Pustaka Permata Ummah (PPU) sejak penghujung Julai 2020.
Akan tetapi, dengan azam dan tekad yang jitu untuk mengatasi ketakutan, diselitkan juga dengan keyakinan dan tawakal kepada Allah, rupa-rupanya memang boleh terlaksana!

Saya percaya, tiada jalan mudah dalam impian kita hendak mencapai satu-satu perkara.
Kisah saya dalam membikin buku ini pun perlu melalui pelbagai perasaan dan kepayahan, antaranya:
Atasi ketakutan.Belajar daripada orang berpengalaman.Menuntut ilmu daripada guru yang berkelayakan.Kesemua hal di atas, saya kira banyak sekali telah saya dapatkannya melalui SPR 2020.
Kehidupan ini memang suatu proses pembelajaran. Walaupun kini saya telah bergelar seorang editor, saya tetap perlu terus belajar, belajar, dan belajar.
Akan tetapi, saya tidak mahu dapatkan manfaat ini seorang diri sahaja. Saya mahu kawan-kawan ikut serta.
Jadi, jom kawan-kawan, kita belajar tip dan trik dunia penulisan ini bersama-sama. Boleh tekan di sini ya.
Insya-Allah, moga-moga usaha kita dalam menuntut ilmu penulisan ini, Allah pandang sebagai amal soleh di sisi-Nya, malah berpanjangan pula manfaatnya demi masyarakat dan ummah.
Ya Allah, perkenankanlah!
Muhaimin Safaruddin
Editor Bahasa,
Pustaka Permata Ummah.
October 4, 2020
Empat Perintah yang Tuntas untuk Sekalian Orang Beriman

Lama sekali rasanya tidak bertapak dan menjejakkan kaki di sini. Saat kerinduan itu telah mula dilunaskan, suatu perasaan yang amat sukar untuk diungkapkan itu seakan-akan berkeinginan benar untuk meledak semahu-mahunya. Alhamdulillah, syukur ya Allah!
Tanggal Ahad 4 Oktober 2020 yang indah nian, suatu rakaman sejarah sekali lagi ditempa. Hamba bersama beberapa orang teman seperjuangan telah diizinkan oleh Allah ﷻ untuk tiba lagi di Baitul Qurro’ Wal Fuqoha’, pondok barakah yang sangat dicintai suasana tarbiah dan keilmuannya.
Pada asalnya, kehadiran kami ke sini hanyalah mahu bertentang mata dengan al-Fāḍil Tuan Guru Zulkifli Ismail ḥafiẓahuLlāh ta‘ālā, Mudir Pondok Baitul Qurro’ Wal Fuqoha’.
Tujuannya adalah bagi menunjukkan manuskrip lengkap karya yang sedang sahabat-sahabat tatap ini kepada Tuan Guru, seterusnya memohon kata pengantar beliau untuk dititipkan sekali dalam naskhah ini sebagai tausiyah khusus buat para pembaca.

Namun begitu, berbetulan pula pada pagi hujung minggu yang dilimpahi kedamaian itu, kuliah duha pengajian kitab ‘Tafsir Nūr al-Iḥsān’ turut serta dijalankan dan disampaikan sendiri oleh Tuan Guru.
Maka, kami pun terlebih dahulu menyertai majlis ilmu tersebut dan sungguh-sungguh mengutip lontaran mutiara kalam oleh Tuan Guru yang penuh hikmah – seolah-olah mengenang kembali zaman kami berdaurah dahulu kala di sana sebelum zaman pandemik virus korona (COVID-19) menjelma.

Sūrah al-Baqarah dan Āli ‘Imrān. Kedua-dua surah ini menceritakan secara terperinci segala cabaran yang mesti dihadapi oleh golongan yang beriman, termasuk cabaran daripada orang munafik serta golongan Yahudi dan Nasrani.
Namun begitu, adakah segala ujian yang dilalui ini hanya percuma atau sia-sia sahaja? Semestinya tidak! Bahkan, Allah ﷻ yang Maha Menepati Janji pasti akan membalas dengan kejayaan di dunia dan di akhirat apabila setiap tantangan yang mendatang itu dapat diharungi dengan sehabis baik.
Syaratnya ialah, hendaklah mematuhi empat perintah Allah yang tuntas dalam ayat terakhir Sūrah Āli ‘Imrān (ayat ke-200) yang sebenarnya, turut menjadi kesimpulan terhadap kedua-dua surah yang maha panjang ini:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱصۡبِرُواْ وَصَابِرُواْ وَرَابِطُواْ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kalian (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kalian lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan), serta bertakwalah kalian kepada Allah, supaya kalian berjaya (mencapai kemenangan).”

Sabar itu ada tiga jenis:
Sabar dalam menghadapi musibah.Sabar dalam menjalani ketaatan.Sabar dalam meninggalkan kemaksiatan.Tidak mudah sebenarnya hendak bersabar ini, lebih-lebih lagi bersabar dalam hendak menjauhkan diri daripada maksiat yang seolah-olah kita sudah merasai ‘kemanisannya’.
Maksiat dalam hati hanya dapat dicabut dengan ubat khusus, iaitu ketakutan yang amat dahsyat kepada Allah. Bagaimana ingin mendapatkan ketakutan ini?
Tidak lain dan tidak bukan, jalannya adalah dengan ilmu. Bukankah asas kita menuntut ilmu atau mengaji adalah supaya kita dapat menyelamatkan diri kita daripada azab Allah serta melahirkan jiwa hamba?
2. صَابِرُواْ (saling bertahan sabar)Dalam usaha kita untuk mendukung dan mendaulatkan syariat Islam, pasti ada sekelompok manusia yang tidak senang dengan kegiatan kita dan akan menentang usaha dakwah kita.
Maka, pada masa itu, kita hendaklah saling bertahan sabar ibarat kita menahan nafas di dalam air. Boleh bayang bukan macam mana kita perlu menarik nafas dalam-dalam terlebih dahulu sebelum hendak menyelam ke dalam air agar kita dapat bertahan di bawahnya dalam suatu tempoh masa yang lama?
Di samping itu, kita semestinya tidak akan kuat andai membawa tugas dakwah berseorangan. Maka, di sinilah keperluan berjemaah untuk kita saling membantu, membahu, dan mengukuh antara satu sama lain dalam pesan-pesan kesabaran.
3. رَابِطُواْ (bersiap siaga dan bersedia)Di sini, kita kena senantiasa peka terhadap segala perkara di sekeliling yang bisa mencambahkan benih-benih kemungkaran. Tidak boleh ada sifat seumpama “tak apalah”, “biarlah”, dan lain-lain.
Persediaan di sini bukan sekadar persiapan dari sudut kelengkapan semata-mata, bahkan yang lebih utama pada masa akhir zaman ini ialah, semestinya persiapan pemikiran bagi menangkis segala fahaman dan ideologi yang menyeleweng daripada didikan Dīn al-Islām yang hakiki.
4. ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ (bertakwa kepada Allah)Pada akhirnya, takwa jualah paksi segala-galanya. Ketiga-tiga perintah yang disebut di atas itu tadi bolehlah disimpulkan sebagai wasilah untuk kita mencapai ghāyah (matlamat akhir) hidup kita, iaitu takwa.
Supaya dengan itu, kita berhasil memperoleh natijah al-falāḥ (kejayaan) di dunia dan di akhirat, Insya-Allah.
Wallahualam.


Catatan:
Nukilan di atas merupakan salah satu topik penulisan yang telah dimuatkan dalam naskhah ‘Baitul Qurro’ Wal Fuqoha’: Madrasah Tarbiah Generasi Muda Islam‘ terbitan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) sempena 20 tahun perjalanan daurah di Pondok Baitul Qurro’ Wal Fuqoha’, Sungai Udang, Melaka.
Untuk bacaan lanjut, ayuh tempah naskhah ini sekarang dengan mengetik di sini!
July 15, 2020
Bukan Sekadar Hitam dan Putih
(Amaran: Bukan hantaran #BlackLivesMatter).
“Awak pernah terfikir tak?
Kenapa boleh jadi ada budak-budak dekat luar sana yang pukul dua tiga pagi masih boleh main basikal lajak dengan kawan-kawan dia orang?
Kalau ikut logik akal kita, mesti kita akan kata macam manalah mak ayah dia orang boleh biar aja anak-anak dia orang buat benda gitu tengah-tengah malam buta.
Tak reti jaga anak ka?”
Penyelia (SV) latihan industri (LI) saya, Inche Zainal cuba ‘memprovokasi’ minda saya agar bertindak balas secara kritis.
Tahun lalu, kami bersembang santai di dalam kenderaan milik Inche SV sambil merenung panjang ketika kembara singkat kami ke luar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) bagi membereskan suatu tugasan.
Banyak hal yang kami bualkan, namun topik seputar hal-hal kemasyarakatan ini menjadi antara bab yang paling saya kenang dan simpan rapi-rapi dalam kepala.
“Awak pernah dengar tak cerita fasal seorang ayah dengan dua orang anaknya dalam satu bas?” Inche Zainal kembali bertanya saya semula.
“Ah, ya! Ada pernah dengar masa terbaca dalam satu buku zaman sekolah rendah dulu,” jawab saya sambil otak ligat berputar mengulang tayang semula plot penceritaan tersebut.
Ceriteranya adalah mengenai seorang bapa bersama dua orang anak kecilnya yang menaiki bas untuk menuju ke sebuah destinasi.
Sepanjang perjalanan tersebut, dua orang anak kecil itu tersangatlah bingit lagi tidak boleh dikawal aksi hiruk-pikuk mereka sehingga menimbulkan rasa kurang senang dan tidak puas hati dalam kalangan penumpang bas yang lain.
‘Dah kenapa budak-budak ni, tak reti nak duduk diamkah?’
‘Bapak dia orang ni pun satu, tak reti nak ajar anak dia orang duduk elok-elokkah?’
Begitulah yang berlegar-legar dalam sanubari para penumpang yang ada.
Bapa mereka setelah menyedari riak wajah para penumpang bas yang menampakkan kemeluatan itu lantas tampil memberikan penjelasan kepada mereka.
“Minta maaflah ya rakan-rakan penumpang sekalian. Sebenarnya, isteri saya atau emak kepada dia orang ni baru saja meninggal dunia beberapa minggu yang lalu.
Jadi, dia orang sangat rindu dan dahaga akan kasih sayang seorang emak.
Saya nak marah dia orang pun tak sampai hati sebab dia orang pun belum kenal sebenar-benarnya lagi akan hakikat kehidupan.
Kita orang ni pun dalam perjalanan pulang ke kampung sebelah emaknya. Jadi, harapnya dengan kepulangan ke kampung ni dapat meredakan sikit gejolak jiwa yang ada dalam diri budak-budak ni.”
Para penumpang lain setelah mendengar penjelasan tersebut, daripada perasaan marah bercampur geram terus berubah kepada perasaan kasihan dan simpati serta-merta.
Mata para penumpang tertumpu kepada aksi kanak-kanak tersebut dengan penuh pandangan sayu dan hiba.
Lantas, mereka membiarkan sahaja anak-anak itu terus membuat bising walau terpaksa mengganggu ketenteraman mereka untuk beristirahat.
“Macam itulah, Min. Awak kena faham yang dunia ni bukan hanya ada hitam dan putih. Dalam sesetengah hal, kita sebenarnya bermain-main dalam zon kelabu,” Inche Zainal menyimpulkan.
Berkali-kali saya menganggukkan kepala. Perlahan.
Begitulah rumitnya dunia dan kompleksnya suatu jenis makhluk yang memakmurkannya – manusia.
Kadangkala, kita berasa hairan mengapa sebahagian orang itu boleh bertindak sekian dan sekian, padahal kalau mengikut perkiraan logik akal kita, perkara tersebut adalah begitu tidak munasabah sama sekali.
Persepsi kita mungkin begitu. Tetapi dari sudut persepsi orang itu, begini pula.
[image error]
Kita ambil misal basikal lajak itu tadi.
Kalau dengan hanya sekali pandang, kita mungkin akan terus menilai atau menghukum bahawa ibu bapa mereka tidak reti menjaga anak dengan hanya membiarkan sahaja mereka bersosial bersama rakan-rakan pada waktu lewat malam sebegitu.
Walhal, jika diteliti secara lebih halus, boleh jadi ibu bapa mereka sedang atau masih bekerja di luar mencari rezeki walaupun pada masa-masa tersebut disebabkan oleh faktor tekanan ekonomi.
Anak-anak mereka di rumah, asbab kekontangan kasih sayang daripada sang emak dan ayah, cuba mengisi kantung emosi mereka dengan berpelesiran bersama teman-teman di luar pula.
Itu cuma satu contoh sahaja. Bagaimana pula dengan realiti contoh-contoh yang lain?
Siapa sebenarnya yang benar-benar bersalah dalam hal ini? Ibu bapa, anak-anak, rakan sebaya, masyarakat setempat, sistem kehidupan yang mencengkam, atau pihak kerajaan?
Seandainya kita berusaha untuk cuba memandang dunia ini melangkaui batasan tiga dimensi, pasti banyak pandangan kita akan berubah, umpamanya daripada pandangan yang penuh amarah dan benci kepada pandangan yang penuh kasihan lagi simpati.
Perkembangan kefahaman seseorang manusia itu, di samping batu-batanya dibina oleh ilmu, turut disimen oleh pengalaman di sekitar yang membentuk bangunan kefahaman tersebut.
Begitulah sepatutnya kita melihat dunia, dan begitulah seharusnya kita menilai dalam perkara lain jua.
Justeru, andai selepas ini, kita ketemu sama insan di mana-mana ceruk dunia yang mungkin tidak sefahaman atau sealiran dengan kita, sentiasalah cuba untuk pujuk hati:
‘Tak mengapalah, dia mungkin tak nampak dan tak faham lagi apa yang kita faham. Insya-Allah, satu masa nanti, Allah akan berinya kefahaman yang sebenar lagi mendalam.’
Mudah-mudahan, Allah senantiasa memandu hati kita untuk kekal tegap di atas jalan kebenaran.
July 6, 2020
Bagaimana Junior Shopee Bisa Menewaskan Senior Lazada
Sekarang ini, Shopee sedang hangat mempromosikan ‘7.7 Mid Year Sale’.
Tak keruan dibuatnya orang yang ‘bernafsu beli-belah’ ini. Alhamdulillah, saya terkecuali (harapnya begitulah).
Tapi kan, hendak dijadikan cerita, sempena promosi ini juga, saya sebenarnya ada belanja satu barang dalam Shopee pada hujung bulan lepas.
Rupa-rupanya, usai melakukan pembayaran, baru saya tahu bahawa produk tersebut baru hendak dihantar dari China dan bukan sudah sedia ada di Malaysia.
Aduh, kena tunggu lama sedikitlah untuk item tersebut sampai dengan selamat ke dalam dakapan mesra saya! Harap-harap, tiada viruslah melekat pada bungkusan itu.
Ya Tuhan, mohon simpang!
“Sekejap, kau beli barang apa sebenarnya, Min?” Jeng jeng jeng…
Sambil-sambil melayan Shopee, terbaca pula data menarik berkaitan platform e-dagang yang satu ini.
Menurut data daripada iPrice Group, pada suku pertama 2020, Shopee telah mengalahkan Lazada dengan 81.82 juta bilangan kunjungan dalam tempoh tersebut berbanding Lazada (36.96 juta) di Malaysia.
Jadi, secara puratanya, jumlah bilangan lawatan yang diterima oleh Shopee adalah sebanyak 27.27 juta kunjungan sebulan; jauh meninggalkan pesaing Lazada dengan cuma 12.32 juta sebulan!
Begitu juga sepertimana yang dikemukakan oleh Statista. Shopee bukan sekadar mendahului carta pentas beli-belah dalam talian di Malaysia sahaja, bahkan jua di Indonesia dan Vietnam.
Kalian pernah terfikir tak, macam mana penangan Shopee ini boleh jadi begitu berpengaruh ya, khususnya dalam kalangan masyarakat Asia Tenggara?
Jika hendak dibandingkan antara dua pelantar e-dagang gergasi di Asia Tenggara iaitu Shopee dengan Lazada, Lazada ternyata lebih ‘abang’ berbanding si adik Shopee.
Lazada yang dimiliki oleh Alibaba Group ditubuhkan pada tahun 2012, sedangkan Shopee yang berada bawah kendalian Sea Group pula cuma dilahirkan tiga tahun selepas itu, yakni pada 2015.
Persamaan antara kedua-dua e-dagang ini ialah, kedua-duanya beribu pejabat di Singapura.
Namun begitu, apa sebenarnya rahsia dan faktor yang membuatkan kehadiran si adik Shopee lebih digemari dan diminati ramai, seterusnya memintas populariti si abang Lazada yang pernah merajai kedudukan beberapa tahun sebelum ini?
Sehinggakan, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIBF) 2020 Dalam Talian yang sedang berlangsung kini pun memilih Shopee sebagai pusat perjalanan aktivitinya!
1⃣ Penumpuan terhadap Penggunaan Peranti Mudah Alih.
Shopee sedar bahawa pada masa akan datang, peranti mudah alih (mobile device) bakal menjadi ‘medan tempur’ utama bagi tujuan e-dagang, bukan lagi komputer meja (desktop) atau komputer riba (laptop).
Dengan purata penggunaan Internet mudah alih oleh seorang warga Asia Tenggara setinggi 3.6 jam sehari berdasarkan kajian oleh Google dan Temasek, maka pelaburan terhadap penggunaan peranti mudah alih secara optimum dilihat sangat mustahak.
Tambahan pula, seorang pengguna aplikasi (app user) lebih cenderung untuk lebih banyak berbelanja berbanding jika dia melayari platform beli-belah dalam talian melalui laman sesawang.
Maka, kesempatan ini telah dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Shopee dalam membangunkan dan memajukan aplikasinya.
2⃣ Pengalaman Penjualan dan Pembelian yang Mudah.
Bermula sebagai model pelanggan-kepada-pelanggan (C2C), Shopee berhasil membangunkan jaringan yang sangat besar antara pembeli dengan penjual tanpa masalah inventori.
Sesiapa sahaja boleh menjadi penjual dalam Shopee dan menggunakan perkhidmatan logistiknya dengan cara yang sangat mudah, ditambah pula dengan suasana Asia Tenggara yang banyak dilatari dengan perusahaan kecil dan sederhana (SME).
Kesan rangkaian (network effect) yang dimainkan telah berjaya menarik banyak lagi para penggerak SME untuk masuk ke dalam platform Shopee menggunakan kaedah pemasaran yang berbeza, seterusnya membawa kepada kepelbagaian produk.
Walhasil, sebagai akibat daripada peningkatan mendadak para pengguna ini juga telah memudahkan Shopee untuk memulakan model perniagaan-kepada-pelanggan (B2C) pula dengan meletakkan para pembekal (suppliers) utama untuk bersaing secara anak jantan dengan Lazada.
3⃣ Selalu Meriah dengan Promosi dan Diskaun.
Perkara ini memang sangat tidak boleh dinafikan.
Kalian masih ingat lagi tak bagaimana sekitar dua tiga tahun lepas; apa teknik pemasaran yang telah digunakan oleh Shopee?
Ya, tak lain dan tak bukan adalah dengan lagu Shopee Shark (Di Shopee pi pi pi pi pi pi pi…) berserta pakej tarian mereka. Hinggakan, Cristiano Ronaldo pun dapat ‘dibeli’ untuk tujuan pengiklanan mereka!
[image error]
Saya tahu, awal-awal dahulu, memang ramai yang berasa semacam “apakah ini?”, loya tekak, dan bersumpah seranah.
Sudahlah setiap tempat mahu ditembusinya. Buka YouTube, tertonton iklan Shopee. Buka Spotify, terdengar iklan Shopee. Jalan-jalan di luar pula, terserempak lagi dengan iklan Shopee. Ah, serabut!
Namun, setelah berlalu beberapa ketika, perkara sebegitu seolah-olah sudah dapat diterima dan seringkali terngiang-ngiang saja dalam benak fikiran.
Puncanya disebabkan apa? Ya, sebab selalu diulang, ulang, dan ulang kembali.
Mungkin sekali Shopee konsisten mengamalkan suatu peraturan dalam pengiklanan yang disebut sebagai ‘The Marketing Rule of 7’.
Katanya, seseorang prospek atau pelanggan itu perlu melihat atau mendengar sesuatu mesej iklan sekurang-kurangnya TUJUH KALI sebelum mereka mengambil keputusan untuk membeli apa-apa barangan atau mendapatkan satu-satu perkhidmatan.
Bukan sekadar itu, bahkan Shopee juga istiqamah menjalankan kempen promosi dan diskaun setiap bulan (7.7, 8.8, 9.9, dan seterusnya) dengan tawaran penghantaran percuma, jualan kilat, dan baucar diskaun.
Siapa yang tidak tergiur!
4⃣ Meraikan Uruf Masyarakat Setempat.
Fuh, seriuslah? Ya, sebab itu acapkali orang bisnes menyebut, “perkara paling asas dalam sesuatu perusahaan ialah KEPERCAYAAN antara penjual dengan pembeli.”
Bagi memastikan kesetiaan jenama Shopee sentiasa dikenang dan menempel dalam sanubari setiap penggunanya, Shopee telah melakukan suatu tindakan yang amat bijak sekali.
Difahamkan, di setiap negara yang telah ditembusi oleh Shopee termasuk di Malaysia, Shopee akan menggajikan kakitangan tempatan yang bisa memahami budaya dan adat istiadat satu-satu negara itu.
Sebagai tambahan, Shopee juga bekerjasama dengan bank tempatan dan rakan logistik di setiap negara terbabit bagi memahami bagaimana pengalaman beli-belah dan khidmat penghantaran dapat ditingkatkan kelancarannya, seterusnya lebih menjimatkan kos.
Nampak tak? Sebab itu tidak pelik jika laman atau aplikasi Shopee di negara kita sudah tersedia dalam bahasa Melayu dengan bahasa yang amat mudah difahami.
Bagi setiap perayaan kaum-kaum utama di negara kita pula, pasti akan ada promosi khusus sepanjang musim perayaan tersebut.
Demikian juga, proses pembayaran pun sangat lancar dan mudah dengan pelbagai pilihan boleh dibuat; bayar secara tunai, perbankan dalam talian, kad debit atau kredit, dan sebagainya.
Banyak perkara yang boleh kita belajar sebenarnya daripada kaedah dan strategi yang diambil oleh Shopee dalam menembusi relung jiwa marhaen.
Dalam bidang dakwah atau penyampaian mesej Islam misalnya, apa ikhtiar dan perancangan teliti yang boleh kita terapkan bagi memastikan jenama ‘Islam’ ini benar-benar bisa diterima dan ‘digilai’ oleh semua pihak?
Bagaimana mahu memastikan agama Allah yang diredai ini benar-benar dilihat sebagai suatu cara hidup yang sangat mudah, praktikal, penuh dengan keindahan, dan amat meraikan kearifan tempatan (local wisdom) masyarakat setempat?
Hal-hal sebeginilah yang amat perlu untuk kita senantiasa ambil renungan sebagai tauladan, cuba perbaiki segala kekurangan, dan tambah baik segala kelebihan dalam meningkatkan keupayaan diri dan umat.
Kita sedar, masa depan umat Islam adalah dalam tangan kita. Disebabkan hakikat ini, persiapan pengetahuan dan persediaan kemahiran, lebih-lebih lagi pada era Revolusi Industri Keempat (4IR) masa ini amat perlu dilengkapkan sebaiknya.
Agar dengan itu, kita berhasil meneruskan junjungan nama Islam dengan bergaya lagi mesra masyarakat murba selaras dengan kecanggihan teknologi dan tuntutan semasa.
Ternyata, beginilah Shopee mengajar kita!
Oh ya, sebelum terlupa, hantaran ini BUKAN bertujuan untuk mempromosi Shopee atau Lazada ya. Jadi, jangan salahkan saya seandainya duit kalian bakal banyak dihabiskan di sana selepas membaca penulisan ini!