Muhaimin Safaruddin's Blog, page 2
July 1, 2020
Musim Panas yang Membunga
Malam-malam hening sebegini, entah dari mana angin (mood) untuk imbau kembali (throwback) itu menerpa fikiran hamba; hamba sendiri tidak pasti.
Setahun yang lalu, 1 Julai 2019 merupakan hari pertama Daurah Musim Panas (DAMSAS) 7.0 mula berlangsung di bumi yang pernah menjadi saksi akan kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.
Dua minggu berturut-turut DAMSAS 7.0 terlaksana di Pondok Baitul Qurro’ Wal Fuqoha’, Sungai Udang sepanjang 1–14 Julai 2019.
Beberapa siri DAMSAS yang awal telah pun berjalan saban tahun sebelum itu dengan sebahagian teman hamba sudah diizinkan oleh Allah untuk berteduh dan mencicip bait-bait ilmu nan melarutkan.
Namun begitu, hanya pada tahun 2019-lah, baru hamba direzekikan oleh-Nya untuk benar-benar menapakkan kaki hamba yang hina dan berteleku jasad di sana bagi mengikuti DAMSAS secara rasmi.
Kali pertama hamba menjalani pengajian secara serius di pondok yang dirindui tersebut adalah pada tahun 2018.
Pada masa itu, Saudara Mustaqim Razalli yang mengepalai Majlis Tarbiah dan Kepimpinan Nasional (MTKN) Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) 2018 telah menganjurkan ‘Daurah Mahasiswa Peringkat Kebangsaan: Kesesatan Ideologi Moden’.
Berbekalkan kitab ‘Ancaman Bahaya Sekularisme’, berturutan selama tiga hari dua malam (9–11 November 2018), Alhamdulillah, daurah itu berjaya menemui sasarannya.
Oh, keasyikan berada di sana dan tenggelam dalam suasana – hanya Tuhan sahaja yang tahu nyala rasanya bagaimana!
Walau bagaimanapun, betapa ceritera tahun ini mungkin sedikit berbeda daripada kebiasaan. DAMSAS edisi kali ini terpaksa ditangguhkan asbab pandemik virus korona (COVID-19) yang membadai dunia masih belum reda.
Berbicara mengenai DAMSAS, ada satu kalam mulia Tuan Guru Ustaz Zulkifli Ismail ḥafiẓahuLlāh ta‘ālā yang paling hamba kenang saat sesi pembukaan pengajian kitab ‘al-Kharīdah al-Bahiyyah’ pada suatu malam DAMSAS 7.0.
Kitab tersebut menurut Tuan Guru merupakan salah satu kitab yang menjadi sandaran bagi akidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamā‘ah dan telah dijadikan bahan pengajian peringkat menengah di Arḍ al-Kinānah Mesir.
[image error]
Ketika itu, Tuan Guru ada menceritakan serba ringkas bagaimana sejarah DAMSAS bermula di pondok seliaan beliau, yakni Baitul Qurro’ Wal Fuqoha’.
Ungkap Tuan Guru, DAMSAS ini dimulakan atas inisiatif pelajar-pelajar luar negara sendiri yang pulang berlibur sempena musim panas bagi mengisi masa cuti mereka dengan menjalani daurah.
Subhanallah, begitulah bagaimana nama ‘Daurah Musim Panas’ ini boleh timbul dan berkekalan hingga ke hari ini dengan tahun lalu, DAMSAS telah pun memasuki siri ketujuh sebagai rekod.
Nyata, anak-anak muda yang menjadi pencetus dan penggerak awal DAMSAS pada masa itu telah meninggalkan suatu legasi yang sungguh mulia buat generasi mendatang.
Manfaatnya tersangatlah besar, khususnya buat muda-mudi mahasiswa yang kebanyakannya juga sedang menikmati cuti semester pada fasa-fasa begini (sekitar bulan Jun–Julai).
Serius, hamba begitu kagum akan semangat teman-teman mahasiswa yang dapat mengisi sedikit sebanyak masa lapang cuti semester itu dengan berusaha pergi berlutut dan menuntut ilmu secara berguru.
Betapa hamba sungguh teruja menadah kisah inspiratif seumpama itu. Lantas, hati hamba terdetik; siapa kata anak muda tidak boleh menyumbang sesuatu demi agama walaupun sedikit?
Ya, inilah kuasa dan peranan yang dimiliki oleh anak muda. Siapa lagi anak muda itu kalau bukan kita?
Sekali langkahnya teracung, seisi dunia pun boleh turut berdentum!
Maka, pesan hamba yang fakir hai diri dan teman-teman yang dicintai, ayuhlah sama-sama kita gali apa manfaat yang kita miliki untuk kita sirami dan bajai.
Kelak, pepohon ini yang kita harapkan bakal tumbuh mengakar, menjulangnya dahan yang kekar, serta lengkap pula dengan daunan dan bungaan yang mekar. Kekal subur mewangi.
Mudah-mudahan, akan terus menjadi teduhan pula buat seluruh warga untuk ditumpang redup bayangnya dan sebagai sandaran belakang mereka.
Kepada Baitul Qurro’ nan dikasihi, Insya-Allah, semoga wabak ini segera diangkat pergi, dan semoga kami bisa diberikan kesempatan untuk kembali bertapa di sana lagi.
June 17, 2020
Tak Salah untuk Belajar daripada Dua Salah!
Setelah begitu lama Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2019/2020 ‘bercuti panjang’ asbab pandemik COVID-19 yang membadai dunia, termasuk negara asal EPL iaitu England, awal pagi tadi (waktu Malaysia), perlawanan EPL telah pun bersambung semula. Hoyeah!
Namun begitu, saya tidak pastilah kenapa dan bagaimana boleh bermula kembali jenaka terhadap salah seorang pemain prolifik EPL, Mohamed Salah dalam dunia maya sehingga muncul pelbagai ‘Internet meme’ yang berkaitan.
Sebenarnya, apa salah Salah? Haha, ada-ada saja perangai wargamaya (netizens) kita.
Walau bagaimanapun, dalam hantaran kali ini, bukan hal itu yang ingin saya fokuskan.
Saya cuma ingin mengajak pembaca sekalian untuk kita memaknai kalam pujangga “belajar daripada kesalahan”.
Ya, bukan sekadar maksud literal ‘salah’ itu sendiri, bahkan banyak sekali yang boleh kita belajar daripada figura yang bernama ‘Salah’.
Sebut nama ‘Salah’, fikiran saya bukan sekadar akan mengingati nama Mo Salah sahaja, bahkan pasti akan terkenang juga seorang lagi tokoh yang amat terkenal di seantero dunia: Sultan Salahuddin al-Ayyubi.
[image error]
Jika kita teliti, nama ‘Salah’ sebenarnya merupakan kalimah Arab (صَلَاح) yang membawa maksud yang sangat mulia – ‘kebaikan’ (righteousness).
Jika namanya ‘Salahuddin’ (صَلَاحُ الدِّيْن) pula, namanya memberi makna ‘kebaikan agama’ (righteousness of the faith).
Daripada kata akar ‘ṣalaḥa’ (صَلَحَ) atau ‘aṣlaḥa’ (أَصْلَحَ) ini jugalah, muncul perkataan terbitan yang lain seperti ‘ṣāliḥ’ (صالح – orang soleh, baik), ‘iṣlāḥ’ (إصلاح – pembaikan), ‘muṣliḥ’ (مصلح – orang yang melakukan islah), dan sebagainya.
Kita kembali semula kepada kisah dua orang Salah.
Jadi, setelah saya membuat beberapa pemerhatian dan pembacaan, ada beberapa persamaan atau sikap yang boleh kita belajar dan ambil pedoman daripada kedua-duanya:
1⃣ Keterkaitan dengan Mesir dan sifat kepemimpinan.
• Mohamed Salah sememangnya anak jati Nagrig, Basyoun, Mesir. Beliau telah berjaya mengemudi barisan hadapan pasukan bola sepak kebangsaan negaranya untuk mara ke perlawanan akhir Piala Negara-Negara Afrika 2017.
• Selain itu, beliau juga menjadi penjaring terbanyak dalam edisi Kelayakan Piala Dunia Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) 2018 bagi membantu Mesir layak ke Piala Dunia Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2018.
[image error]
• Sultan Salahuddin atau nama sebenarnya Yusuf ibn Ayyub pula, baginda bukanlah anak jati Mesir kerana baginda berbangsa Kurdi dan dilahirkan di Tikrit, Mesopotamia (Iraq) pada tahun 1137M.
• Namun begitu, baginda telah berjaya menewaskan Kerajaan Syiah Fatimiyyah yang berpusat sebelumnya di Mesir. Baginda juga mengasaskan dan mentadbir Dinasti Ayyubiyyah yang merangkumi wilayah Mesir, Palestin, Syria, dan lembah Hijaz.
[image error]
2⃣ Dihormati kawan dan lawan kerana pengaruh kebaikan.
• Sahabat-sahabat pernah dengar cerita bahawa ada seorang pemegang tiket bermusim Nottingham Forest bernama Ben Bird telah memeluk Islam kerana terinspirasi dengan Mo Salah?
[image error]
• Bird pada asalnya perlu membuat satu disertasi akademik yang mengulas topik berkenaan lagu Mo Salah ciptaan para penyokongnya. Lagu tersebut turut memuatkan satu bait lirik “if he scores another few, then I’ll be Muslim too”.
• Hanya dengan satu baris lirik itu sahaja telah memberikan kesan mendalam kepada dirinya; tentang bagaimana pengaruh Mo Salah itu begitu besar dalam menongkah arus Islamofobia di bumi United Kingdom (UK).
• Pengaruh Mo Salah yang juga terlibat secara aktif dalam kegiatan amal, khususnya di kampung kelahirannya Nagrig nyata telah memberikan dampak yang begitu besar dalam kalangan rakyat Mesir.
• Semasa Pilihan Raya Presiden Mesir 2018 yang dimenangi oleh penyandang Abdel Fattah el-Sisi, sejuta orang rakyat Mesir telah memilih undi rosak dan mahukan wira Liverpool FC ini sebagai Presiden baharu Mesir. Fuh.
[image error]
• Sultan Salahuddin pula, siapa saja yang tidak mengenali baginda? Pahlawan dan kesatria ini sangat dikenali lagi digeruni kerana berjaya membuka kembali kota Jerusalem daripada tangan Tentera Salib pada tahun 1187M.
• Sungguhpun begitu, baginda yang dikenali di dunia Barat dengan nama ‘Saladin’ sebenarnya sangat dihormati oleh semua pihak, termasuk daripada kem musuh.
[image error]
• Pada saat Baitulmuqaddis telah berhasil dibuka semula, awalnya Salahuddin merancang untuk membalas semula pembunuhan yang dilakukan oleh Tentera Salib terhadap umat Islam pada tahun 1099M.
• Namun sebaliknya, hal tersebut tidak berlaku kerana baginda telah memberikan jaminan keselamatan dan nyawa kepada semua masyarakat Kristian Katolik, termasuklah kepada Tentera Salib yang kalah.
• Subhanallah, begitu besar sekali jiwa dan sifat pemaaf baginda sehingga mengagumkan Raja Richard dan para bangsawan Kristian lainnya.
[image error]
3⃣ Sentiasa menghamba kepada Tuhan.
• Antara gaya sambutan yang sangat ikonik dan menjadi identiti bagi diri Mo Salah saat beliau berjaya menjaringkan gol ialah, beliau pasti akan melakukan sujud syukur.
• Beliau tanpa segan silu telah menzahirkan simbol penghambaan seorang Muslim dan agama Islam ini di hadapan ribuan, bahkan mungkin jutaan orang penonton di seluruh dunia.
[image error]
• Sultan Salahuddin pula, jika kita menyoroti sejarah panjang sebelum kelahiran watak seorang Salahuddin lagi, betapa generasi awal sebelumnya telah banyak melakukan beberapa agenda pengislahan dalam masyarakat.
• Antara yang paling terkenal ialah Imam al-Ghazali yang menubuhkan Madrasah Nizamiyyah dan Syeikh Abdul Qadir al-Jilani yang juga membangunkan Madrasah Qadiriyah dengan mengambil konsep pendidikan seumpama Madrasah Nizamiyyah di Baghdad.
[image error]
• Kaedah pendidikan yang diterapkan di kedua-dua buah pusat pendidikan ini merangkumi pelbagai disiplin ilmu seperti tauhid, fiqah, tasawuf, dan ilmu keduniaan yang lain. Akhirnya, kesan pendidikan ini sangat besar terhadap pembinaan generasi berkualiti pada zaman tersebut.
• Mengapa tidak? Ada antara alumni yang pernah dididik secara langsung oleh Syeikh Abdul Qadir telah menjadi penasihat kepada Sultan Salahuddin dalam bidang politik dan ketenteraan. Walhasil, kisah kejayaan pembukaan kota Jerusalem dapat kita saksikan pada hari ini.
[image error]
Masya-Allah.
Apa-apa yang saya kongsikan ini cumalah picisan daripada kisah panjang dan penuh inspirasi daripada mereka berdua.
Jika teman-teman ada mengetahui lagi isi-isi yang bisa dan sesuai ditambah, boleh terus tuliskan dalam ruangan komen di bawah ya!
Insya-Allah, semoga setiap daripada kita sentiasa diberikan kekuatan untuk menyerap kebaikan daripada kedua-dua orang susuk tubuh hebat ini, seterusnya menebarkan kembali benih-benih kebaikan tersebut kepada masyarakat.
Selamat belajar daripada ‘ke-Salah-an’!
June 10, 2020
Rutin Orang Kaya Berjaya yang Tidak Ramai Orang Tahu
Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) secara rasminya berkuat kuasa hari ini (10 Jun 2020).
Pelbagai perasaan dapat kita alami sendiri atau menjadi saksi terhadap orang lain; gembira, terharu, teruja, bangga, bahkan mungkin ada sedikit duka. Bercampur-baur.
Dah boleh rentas negeri.
Dah boleh melancong dalam negara.
Dah boleh buka lebih banyak lagi sektor ekonomi.
Seolah-olah, kesemua rasa itu dibancuh sebati menjadi satu menu minuman baharu. Okey, tiba-tiba rasa nak teguk air.
Betapa pengorbanan para pemimpin, barisan hadapan (frontliners), dan seluruh rakyat Malaysia akhirnya kini mulai memancarkan sinar.
Tahniah dan terima kasih semua! #KitaJagaKita benar-benar terpapar jelas mesejnya! *Selitkan emoji girang di sini*
Jujur, fasa PKP dan PKP Bersyarat (PKPB) yang panjang selama lebih dua bulan berturut-turut yang lalu telah memberi saya suatu tempoh masa yang amat mengesankan.
Ditambah pula dengan sebulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri ibarat benar-benar mencarik adat dengan sepenuhnya jasad berada di dalam kediaman. Kalian rasa?
Betapa tempoh masa yang ada itu telah saya usahakan sebaik mungkin untuk kembali bermuhasabah, introspeksi diri, memerhatikan seupayanya gelagat wargamaya (netizens), serta cuba keluar dari zon selesa untuk belajar beberapa perkara baharu.
Fuh, banyak ya amat kalau mahu dinukilkan satu persatu!
(Rindu pula rasa nak PKP lagi, ye dok? Huhu).
Namun teman-teman, ada seperkara yang paling menarik perhatian saya saat konsisten mengintai dan menghendap (stalk) beberapa orang profil pempengaruh (influencers) tertentu dalam akaun media sosial mereka.
Sebahagian besar pempengaruh ini juga terdiri daripada kalangan mereka yang kaya lagi berada, disertai dengan banyak pula pengikut (followers)nya.
Kenapa ya boleh jadi sebegitu?
Selidik punya selidik, dan setelah digabungjalinkan dengan pembacaan melalui beberapa rencana yang saya ketemu dalam Internet, akhirnya saya dapat membuat suatu rumusan.
Mereka ada empat (4) persamaan yang melatari corak dan gaya kehidupan mereka sehingga menatijahkan mereka sebagai seorang yang kaya dan–Insya-Allah, juga bertakwa (bagi Muslim).
Nak tahu apa dia?
1⃣ Orang kaya senantiasa berpagi-pagi.
Apa maksud berpagi-pagi di sini? Ya, orang kaya itu rajin bangun pada waktu dinihari dan langsung meneruskan kerja mereka selepas terbitnya sang mentari (baca: Tidak sambung tidur).
Bagusnya kalau kita hidupkan waktu pagi ini, selain bisa menjadi lebih proaktif lagi produktif, kita juga berupaya memperoleh doa yang istimewa daripada Rasulullah SAW sendiri:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِيْ فِيْ بُكُوْرِهَا
“Wahai Tuhan, berkatilah untuk umatku pada awal waktu pagi.”
Fuh, bukan kaleng-kaleng! Tidak mahukah kita termasuk dalam golongan mereka yang didoakan oleh baginda SAW?
Oh ya, siapa sini peminat jenama Apple dan Starbucks?
Pernah dengar tak cerita bahawa Tim Cook dan Howard Schultz–masing-masing merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi syarikat Apple dan Starbucks–mereka bangkit dari tidur seawal jam 4.30 pagi?
[Baca sini]
[image error]
Wah, itu tahap bangun pagi orang-orang kaya daripada kalangan ‘obi’ (orang belum Islam)!
Bagaimana dengan kita selaku Muslim yang sesungguhnya sudah lama dituntut untuk bangun awal, mengerjakan solat malam, dan beribadat sebelum fajar menyingsing?
Kemudian, digalakkan pula untuk mengisi waktu pasca-Subuh dengan zikir dan solat sunat Duha?
Tepuk dada, tanya iman!
2⃣ Orang kaya tidak lokek untuk sentiasa bersedekah, memberi, dan berkongsi.
Terlalu banyak sudah kisah dan kelebihan yang kita dengar mengenai kelebihan sedekah ini.
Bukan sekadar fadilat yang bakal kita perolehi di akhirat nanti, bahkan di dunia pun, Allah dan Rasul-Nya sudah menjamin bahawa rezeki si pemberi sedekah akan senantiasa bertambah.
Saya petik satu sabda Rasulullah SAW:
مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ، وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْداً بِعَفْوٍ إِلاَّ عِزّاً، وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ لِلَّهِ إِلاَّ رَفَعَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ
“Sedekah itu tidak akan mengurangi harta. Tidak ada orang yang memberikan maaf kepada orang lain, melainkan Allah akan menambah kemuliaannya, dan tidak ada orang yang merendahkan diri kerana Allah, melainkan Allah akan mengangkat darjatnya.”
[Baca: Ada yang Lebih Baik]
Peringatan mesra! Sedekah di sini usah disempitkan maknanya kepada hanya sedekah melalui harta, ya.
Bahkan, saya teringat mafhum kalam al-Fadil Ustaz Dr. Ahmad Faisal Abdul Hamid, Pensyarah di Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) dalam satu perkongsian pada bulan Ramadan lepas:
“Apa-apa jua kebaikan yang boleh kita kongsikan dan berikan kepada orang lain, maka hal tersebut juga boleh dinilai sebagai sedekah.”
Kita ada harta dan wang ringgit? Maka, bersedekahlah dengan harta dan wang ringgit kita.
Kita boleh menulis? Maka, tulislah apa jua perkataan dan karangan yang berhasil mendatangkan bermanfaat.
Kita boleh bersyarah? Maka, sampaikanlah atau pidatokanlah ucapan kita dengan sebaik-baik penyampaian.
Kita ada tenaga dan tubuh badan yang sihat? Maka, ringankanlah badan untuk membantu dan memberikan khidmat pertolongan kepada mereka yang memerlukan.
Pendek kata panjang cerita, tiada alasan untuk kita langsung tidak boleh memberi!
3⃣ Orang kaya ketagih benar membaca buku-buku yang berisi.
Ada suatu fakta menarik berkenaan hal ini.
Menurut Tom Corley, pengarang buku ‘Rich Habits: The Daily Success Habits of Wealthy Individuals’, kajian beliau mendapati bahawa kunci utama yang membezakan antara mereka yang berpendapatan tinggi dengan yang berpendapatan rendah adalah dari sudut tujuan dan pemilihan bahan bacaan mereka.
Sungguhpun mereka berkongsi perbuatan yang sama iaitu ‘membaca’, namun jurang besar yang menjadi pemisah antara dua kelompok tadi ialah:
Golongan kaya membaca untuk kemajuan diri (self-improvement), sedangkan golongan kurang kaya membaca sekadar untuk hiburan atau suka-suka (entertainment).
[Baca sini]
Nah, rupa-rupanya, tabiat pembacaan juga sedikit sebanyak memainkan peranan dalam menentukan tahap kewangan seseorang!
Paling penting, biarlah pembacaan kita itu pada akhirnya adalah supaya kita kenal benar akan Maha Pencipta. Bukankah itu seruan wahyu pertama?
Ayuh, tajdid niat dan lakukan perubahan!
4⃣ Orang kaya sanggup berhabis wang semata-mata demi ilmu.
Saya langsung teringat kata-kata seorang penulis terkenal dari negara tetangga Indonesia, Mas Kurniawan Gunadi (Masgun) yang begitu memanah hati:
“Selagi masih muda, jangan ragu untuk menghabiskan uangmu buat menuntut ilmu, itu adalah investasi jangka panjang yang tak ternilai. Kamu memang tak bisa memegangnya seperti memegang emas, tapi ilmu adalah mata uang yang berlaku di manapun kamu berada tanpa sekat batas negara.”
Saya rasa terdorong!
Walau bagaimanapun, sungguh, siapa saja yang tidak terasa berat hati apabila terpaksa mengeluarkan sedikit perbelanjaan pada awalnya, namun berkali-kali saya memujuk diri:
“Tak apa, Min. Ini demi masa depan kau dan masa depan generasi kau yang terbaik. Jom, mulakan dengan diri sendiri!”
Lalu, berbekalkan semangat dan juga masa lapang yang sudah luas terbentang, saya terus gigih mencari dan melaburkan sedikit simpanan kewangan peribadi demi setitis ilmu dan kemahiran diri.
Pencarian ini juga ialah hasil bantuan dan sokongan daripada ramaaai kenalan dan sahabat saya di luar sana. Pada detik ini saya sedar, betapa pentingnya untuk memiliki lingkungan (circle) yang baik.
Kalian yang sedang membaca hantaran ini; kalian tahu siapa diri kalian. Terima kasih banyak saya ucapkan dan semoga Allah senantiasa mengurniai kalian balasan yang terbaik!
Hendak tahu apa sebahagian atur cara yang telah saya sertai dan sangat memberikan dampak besar terhadap diri saya sepanjang PKP? Nanti rujuk ruangan komen di bawah ya.
Benar, peluang sudah banyak terhidang di hadapan mata. Kini, segala-galanya terletak atas diri kita; MAHU atau sebaliknya!
Begitulah sahabat-sahabat.
Mana mungkin seseorang itu bisa kaya secara tiba-tiba. Tentu di sebalik kekayaan itu, ada jerih lelah dan susah payah yang harus dikorbankan terlebih dahulu.
Kita selalu nampak akan hakikat yang terzahir sahaja, namun cerita di sebalik tabir, siapa saja yang tahu?
Paling utama, beringatlah kita senantiasa untuk berdamai dengan Yang Maha Kaya. Jangan lupa untuk kekal bersyukur dan berterima kasih atas segala nikmat kurniaan-Nya, ya.
June 5, 2020
Ada yang Lebih Baik
Pagi tadi, saya memang betul-betul ‘koyak’. Sungguh.
Segala-galanya berpunca setelah saya membuka perbankan dalam talian (online banking) Bank Islam saya.
Saat melihat bahagian ‘Account Summary’ dan pergi ke pautan ‘Account History’, dengan tidak semena-mena, mata saya terus terbeliak.
‘Apa? LinkedIn sedut duit aku RM100++? Bila masa aku bagi persetujuan ni?!’
Hati saya tiba-tiba mendengus marah. Panas.
‘Hari tu sebut, cuma nak bagi free-trial sebulan ja? Apasal tiba-tiba nak sesuka hati main tolak akaun tanpa persetujuan aku?!’
Ah, sudah! Begitu sekali kalbu saya membentak melepaskan geram.
Lantas, saya cepat-cepat buka tab baharu, log masuk ke dalam LinkedIn, pergi ke tetapan ‘Premium Subscription’, dan terus batalkan langganan saya serta-merta.
‘Ya Allah, duit aku melayang, ya Allah. RM100 lebih tu bukan satu jumlah angka yang kecil…’ Saya betul-betul tidak dapat menahan rasa dukacita pada masa itu.
Entah bagaimana, bebola mata saya seakan-akan bocor sebocor-bocornya.
Saya cuba pujuk dan tenangkan diri. Istighfar, Min. Selawat. Tarik nafas dalam-dalam. Hembus perlahan-lahan.
Lantas, fikiran saya teringat akan senaskhah buku kecil yang telah ditunjuki oleh salah seorang teman saya melalui mesej malam semalam.
Entah kenapa, dia memberi maklum akan kewujudan buku itu umpama suatu peringatan gamaknya setelah saya benar-benar hampir terlupa akan bahan bacaan tersebut di rak buku.
Lalu, saya bingkas bangun dan mencapai karya mini yang dimaksudkan.
[image error]
Naskhah yang berjudul ‘Mudahnya Menjemput Rezeki’ hasil nukilan Fathuri Salehuddin itu telah saya peroleh secara percuma ketika menjadi jawatankuasa “Konvensyen MAWAR 2.0 – Manifestasi Wanita Realistik” anjuran Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) di EDC Hotel Kuala Lumpur pada tahun lalu.
(Jangan tanya saya macam mana boleh jadi AJK untuk program yang menyasarkan peserta muslimat, lol).
Namun begitu, biasalah, bak kata orang, benda yang kita dapat secara gratis ini selalunya memang jarang sekali untuk kita hargainya betul-betul. Teruk betul saya.
Selepas membelek dan menelaah helaian karya tersebut satu persatu, Masya-Allah, ternyata buku mini ini bukan sebarangan buku; kandungan isinya membuatkan pandangan saya terhadap konsep rezeki berubah 180 darjah!
Melalui nama tajuknya sahaja sudah cukup memberikan gambaran umum bahawa hakikatnya, rezeki itu amat mudah sekali untuk ‘dijemput’, bukan sekadar ‘dicari’ semata-mata.
‘Ya Allah, kenapa begitu lalai sekali aku dalam memahami rezeki pemberian-Mu…’
Saya jadi sebak, terutamanya apabila sampai di bab yang bercerita mengenai sedekah.
Kisah ajaibnya sedekah ini memang acapkali kita dengar dari mana-mana sumber, namun berapa ramai antara kita yang benar-benar meyakini dan memaknai hakikat sedekah ini?
Di samping bisa menjemput rezeki, sedekah juga ‘berkuasa’ dalam menjadi sebab tertolaknya bala daripada menimpa ke atas diri kita.
Saya lekas teringat akan cerita seorang teman lain mengenai pengalamannya yang berada di hujung tanduk apabila melalui situasi kemalangan yang betul-betul terjadi di hadapan matanya ketika bulan Ramadan.
Dia berada di dalam kereta bersama-sama ayahnya. Katanya, andai terlibat dalam kemalangan tersebut, akan ada dua pilihan sahaja; sama ada parah ataupun maut.
Kaget seketika.
Dia lalu teringat, berbetulan pada pagi itu, dia adalah sedekah seringgit dua kepada kawannya yang memerlukan. Mungkin dengan sebab sedekah itu, Allah telah selamatkannya dan ayahnya daripada bencana.
Subhanallah. Hati saya seolah-olah terawat dan menemui penawarnya untuk kembali membalut ‘kerabakan’ tadi.
‘Hari ini pun hari Jumaat, kan. Apa salahnya kamu niatkan sahaja sedekah untuk duit kamu yang melayang tu,’ saya bermonolog dan memujuk diri.
Lalu, dengan berat hati, saya kuatkan diri untuk menerima ‘kepergian’ jumlah wang itu seadanya. Biarkan saja ia berlalu pergi dan lepaskan dengan tenang.
Insya-Allah, Allah pasti akan gantikan dengan yang lebih baik. Saya kena senantiasa yakin akan hal itu. Senyum.
May 27, 2020
Sebelum 30, Kita Mahu Apa?
Persoalan kehidupan yang selalu hadir bertimpa-timpa bak hujan di sebelah petang itu acapkali buat saya merenung panjang.
Kalau berdasarkan foto yang saya ketemu dalam e-buku ‘Lelaki, Wang, dan Rumah Pertama’ ini, Dr. Azizul Azli Ahmad, salah seorang sifu kewangan tempatan yang amat saya ikuti rapat perkembangan penulisannya sangat menggalakkan anak muda untuk berjaya memiliki sebuah kediaman sendiri sebelum mencecah usia 30-an.
[image error]
Fuh, satu cabaran yang sangat besar, sesungguhnya!
Maka, kita tanya semula soalan yang sama kepada diri kita; apa yang kita hendak sebenarnya sebelum usia 30? Sambung belajar? Bekerja dengan pendapatan minimum RMxxxx sebulan? Berkahwin dan berkeluarga?
Anak muda, biasalah. Impiannya besar, harapannya menggunung. Cuma begitulah, kebiasaannya akan diselaputi jua dengan pelbagai kekeliruan dan kemusykilan yang tiada berpenghujung.
Baik, ini cerita saya.
Kalau anda tanya saya soalan tersebut, maka jawab saya, selain rumah, sebenarnya saya ada satu lagi cita-cita besar yang mahu dicapai sebelum umur menginjak tiga dekad: Menunaikan haji.
[image error]
Ya, anda tak salah baca. Saya sangat-sangat mahu menunaikan haji sebelum berusia 30 tahun. Itu pun setelah saya terinspirasi benar daripada kisah penyelia saya berserta seorang akak rakan sekerja semasa saya berlatihan industri dahulu di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Mereka berkata (dengan sedikit nada menyesal), kenapalah dulu masa muda-muda sebelum umur 30, tak pasang niat awal-awal untuk pergi haji dan umrah.
Walhal, mereka yang bercerita ini kesemuanya masih 30-an dan belum masuk angka empat siri lagi. Kiranya, masih boleh dianggap mudalah, bukan?
Namun begitu, mereka tetap sebut juga, “Min, kamu kena niat juga untuk nak pergi haji dan umrah sebelum masuk 30 tahun nanti.”
Sebab sebenarnya, sekali kita niat betul-betul dan sungguh-sungguh untuk ke sana, Insya-Allah, jalan selepas itu, pasti Allah akan permudahkan.
Mungkinkah rezeki akan melimpah ruah selepas ini, atau kita memperoleh tajaan daripada mana-mana pihak, atau apa-apa saja yang mungkin tidak pernah pun terlintas langsung dalam benak fikiran. Siapa tahu?
Bukankah terlebih molek andai dengan tenaga kita yang masih gagah ini, kita maksimumkan potensi yang ada sebaik mungkin bagi menyelesaikan urusan Rukun Islam kelima ini?
Mustahil? Yup, awalnya memang saya pun terasa begitu dan kelihatannya seperti kurang masuk akal. Yalah, faktor paling besar mestilah disebabkan oleh kekangan kewangan, bukan?
‘Aku budak fresh grad dan baru mula bekerja kot, simpanan mana ada lagi. Celah mana nak cari duit untuk pergi haji tu?’
Begitulah, hidup kita ini seringkali dilingkari dengan keraguan sahaja. Walhal, apa yang kita perlukan sebenarnya cumalah sedikit keyakinan dan azam yang benar-benar jitu.
Paling kurang, niatlah dahulu dalam hati, “ya Allah, sungguh, aku betul-betul hendak menziarahi rumah-Mu dan makam mulia kekasih Nabi-Mu. Izinkanlah aku untuk ke sana sebelum usia 30 tahun ini.”
Ya, perkara pertama yang sebetulnya perlu diubah oleh diri kita terlebih dahulu sepertimana yang selalu disebut oleh Tuan Afyan Mat Rawi dalam E-Seminar Bijak Merancang Wang (BMW) ialah: Set minda (mindset) kita!
Kita selalu menyalahkan itu ini dan beralasan begitu begini, tetapi sikap dan minda kita yang masih dalam ruang lingkup penguasaan dan kemampuan kita, ada atau tidak kita usaha betul-betul bagi mengubah dan menaik tarafkannya?
Apabila kita sudah benar-benar memasang azam yang tinggi, maka sudah tentu jalan ke arah sana pun akan kita usahakan sedaya upaya untuk mencapainya.
Kita akan bersungguh-sungguh melakukan simpanan, belajar bersungguh-sungguh ilmu berkaitan kewangan, tahu mana yang patut didahulukan dan yang patut dikemudiankan, memperbanyak sedekah, serta pelbagai lagi kudrat dan tulang empat kerat lain yang akan kita laksanakan.
Walau bagaimanapun, teman-teman usah lupa, apabila kita telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah. Sungguh, Dia jualah yang Maha Kaya, Maha Memberi, lagi Maha Memiliki segala sesuatu.
Akhirnya, antara ayat yang paling saya terkesan yang juga disampaikan oleh penyelia saya melalui lisan seorang mutawif: “Orang yang pergi haji, apabila balik dari sana sahaja, tidak akan pernah jatuh miskin.” :’)
Jadi, apabila direnung-renung semula, antara cita-cita dunia dengan akhirat, mana satu yang akan selalu kita utamakan dahulu?
May 11, 2020
Apa Sebenarnya yang Buat Kita Takut Menulis?
Pernah saya terbaca dalam satu hantaran, kemahiran menulis adalah antara kemahiran yang sangat diharapkan untuk dapat dimiliki oleh seorang manusia selepas kemahiran menyanyi.
Berkenaan kemahiran menyanyi itu, kita kena akui bahawa bukan semua orang dikurniakan kelebihan memiliki suara emas oleh Sang Maha Pencipta.
Jadi, pemilik suara perak, gangsa, besi, atau selainnya, termasuklah saya mungkin sudah boleh melupakan hasrat bagi mengasah kemahiran tersebut.
Kalau suara itu sudah tidak sedap, nyanyilah macam mana sekalipun, tetaplah orang tidak betah mendengarnya berlama-lama, betul?
(Harap ada orang boleh bantah kenyataan di atas).
Namun begitu, hal ini berbeza pula dengan kemahiran menulis.
Sungguhpun bukan semua orang juga dilahirkan dalam keadaan serba hebat menulis asbab direzekikan bakat tersebut, namun kita kena sedar bahawa kemahiran menulis masih boleh dipelajari dan diasah.
Andai seseorang itu benar-benar gigih dan berusaha bersungguh-sungguh, dia boleh dan pasti boleh menjadi seorang yang sangat hebat dalam bidang penulisan walaupun pada asalnya, dia tidak dikurniakan bakat sedemikian.
Letaklah dalam apa-apa jua situasi sekalipun, pada akhirnya, usaha tetap akan melebihi bakat. Kalau ada bakat tetapi pemalas pun, apa gunanya, betul?
(Kali ini, saya harap semua orang bersetuju dengan kenyataan di atas).
Jadi, kita berbalik kepada persoalan asal; apa sebenarnya yang buat kita takut menulis?
“Aku tak ada bendalah nak tulis tentang apa.”
“Seriuslah kau nak menulis? Ada tak orang yang nak baca penulisan kau?”
“Eh, aku tak cukup masalah nak menulis! Sibuk sangat dengan kerja itu ini, begitu begini, ke sana ke sini.”
Ops, jangan nyanyi!
Biasa kita jumpa ketakutan (atau sebenarnya alasan) sepertimana di atas, bukan? Ketakutan yang berlegar-legar itu tidak lain hanyalah sekadar ketakutan emosi bersifat keduniaan.
Guru penulisan saya ada memberi saya nasihat; hendak tangani segala ketakutan di atas mudah sahaja, iaitu dengan cara “atasi ketakutan dengan ketakutan”.
Ha, macam mana itu?
Segala ketakutan yang bersifat duniawi tadi, cuba atasinya dengan ketakutan terhadap persoalan akhirat pula.
Kita biasa dengar bukan mengenai hadis berikut?
إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
“Apabila salah seorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat baginya, dan anak soleh yang selalu mendoakannya.”
[HR Muslim no. 3084]
لاَ تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمْرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ عِلْمِهِ فِيمَا فَعَلَ وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَا أَنْفَقَهُ وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَا أَبْلاَهُ
“Kedua-dua kaki setiap hamba pada Hari Kiamat tidak akan beranjak hingga ia ditanya tentang usianya, untuk apa ia habiskan? Tentang ilmunya, sudahkah ia amalkan? Tentang hartanya, dari mana ia mendapatkannya dan untuk apa ia belanjakan? Dan tentang tubuhnya, untuk apa ia gunakan?”
[HR Tirmidhi no. 2417]
Hal ini yang dimaksudkan dengan ketakutan terhadap persoalan akhirat itu tadi. Mendengar hadis di atas sahaja sepatutnya sudah cukup untuk menggetarkan hati setiap daripada kita.
Andai masa kita sudah tiba nanti untuk pergi menghadap Ilahi, apa agaknya karya, legasi, atau penulisan yang boleh kita tinggalkan untuk anak-anak kita dan keturunan mendatang?
Segala usia muda dan kekuatan yang kita miliki saat ini untuk belajar dan melakukan segala pekerjaan, adakah kita benar-benar menggunakan sisa waktunya juga untuk mempelajari ilmu yang bermanfaat, seterusnya menyebarkannya kepada orang lain melalui medium penulisan?
Bukankah persoalan-persoalan sebegini hakikatnya amat menggerunkan andai kita fikirkan sedalam-dalamnya?
Begin with the end of mind!
Untuk itu, marilah bersama-sama kita jadikannya sebagai suatu inspirasi:
‘Impian aku, cita-cita aku, sebelum aku tiada nanti, aku mesti tinggalkan sekurang-kurangnya satu naskhah buku yang bernilai isinya.’
‘Moga-moga dengan itu, segala penulisan yang aku tinggalkan nanti akan terus bermanfaat buat tatapan generasi akan datang dan mengalir pahalanya sebagai sedekah jariah buat aku.’
‘Biarlah anak-anak aku pula dapat terus mendoakan kebaikan kepadaku melalui penulisan yang telah aku kirimkan kepada mereka.’
Maha Suci Allah. Semoga Allah memperkenan setiap doa dan permohonan kita, amin.
Sebelum itu, ayuh sama-sama kita hantarkan juga doa dan kebaikan buat seluruh ulama dan sarjana kita yang telah pergi terlebih dahulu sebelum kita.
Walau jasad mereka telah dikebumi, namun berkat karya dan penulisan mereka yang masih terus melatari, jasa dan sumbangan mereka kekal segar membumi, seolah-olah mereka masih hidup seribu tahun lagi!
Untuk kita pula, jom, capailah sebatang pena dan mulalah menulis!
Tiada pena? Okey jom, gerakkan jemari kita di atas papan kekunci dan mulalah menaip!
―
Muhaimin Safaruddin,
Penyunting buku ‘30 Tahun GAMIS’.
#SekolahPenulisanRamadan
#TulisBiarSampaiJadi
[image error]Nak tulis buku sendiri pula nanti. Doakan!
April 16, 2020
Kerana Satu Tanda Baca, Berselisihlah Sang Pujangga
Ceritanya begini. Pada tahun 1969, …
Okey, abaikan. Ish, cengkerik betul.
Hanya Kerana Satu Tanda Baca
Okey, kali ini cerita sebenar.
Saya cuma teringat akan kisah yang pernah diceritakan oleh seorang Pensyarah merangkap Guru mulia saya, Dr. Wan Adli Wan Ramli ḥafiẓahuLlāh ketika dalam satu sesi tutorial kursus ‘Metodologi Penyelidikan Islam’ di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.
Bagaimana ada suatu ketika, dalam suatu perbincangan mengenai kaedah atau format penulisan ilmiah, hanya disebabkan oleh satu tanda baca, maka terjadilah perselisihan pendapat dalam kalangan para ilmuwan yang berada dalam sesi perbincangan itu.
Apa isunya?
Isunya ialah, antara dua contoh ayat berikut, mana satu yang menunjukkan posisi tanda noktah atau titik yang betul?
“Muhaimin sangat kacak.”
“Muhaimin sangat kacak”.
Para ahli akademik dan sekalian ahli bahasa pun salinglah berbalas hujah tentang mana satu kaedah yang paling tepat.
Jika noktah atau tanda baca yang lain mesti kena berada sebelum penutup kata, bagaimana pula dengan ayat seumpama ini:
Hal ini yang disebut oleh cendekiawan sebagai “zaman keemasan” atau “zaman kegemilangan.”
Tidakkah kelihatan pelik jika tanda baca di akhir ayat diletakkan di kedudukan sedemikian rupa, walhal yang kita mahu tekankan ialah frasa dalam pembuka dan penutup kata itu, bukan tanda bacanya?
Sebelah pihak lagi pula berpandangan, noktah atau tanda baca yang lain wajib dan mesti berada di penghujung ayat, hatta selepas penutup kata sekalipun.
Baik, jika begitu, bagaimana pula dengan contoh ayat berikut:
Tidak berpuas hati, Ali menengking sahabatnya, “aku dah pernah sebut dulu, tapi kau tak nak terima”!
Aih, tidakkah nampak janggal ayat tersebut dan kelihatan amat tidak kena? Yang kita mahu tekankan ialah ayat tengkingan itu, namun mengapa tanda seru yang mengisyaratkan dialog nada tinggi itu berada di luar penutup kata?
Maka, disebutkan oleh Guru mulia Dr. Wan Adli, perselisihan sebegini bahkan boleh memakan masa sehingga berjam-jam lamanya!
Walau bagaimanapun, bagusnya mereka ini ialah, mereka hanya berbahas berkenaan permasalahan tersebut dalam sesi perbincangan itu sahaja. Selesai sesi perbincangan, maka selesailah segalanya.
Tiada isu sembang-sembang belakang atau disambung pula sesi perdebatan dalam mana-mana media massa asbab ketidakpuasan hati yang masih belum berakhir.
Perselisihan antara Ilmuwan adalah Biasa
Begitulah teman-teman,
Perselisihan, perdebatan, dan perbezaan pendapat dalam kalangan ilmuwan atau ahli akademik itu sebenarnya merupakan perkara biasa sahaja dalam arena keilmuan, selagi ruang lingkup perbincangan mereka itu adalah dalam bidang kepakaran yang diceburi oleh mereka.
Tidak hairanlah mengapa dalam Islam sendiri, boleh lahir pelbagai aliran atau mazhab fiqah kerana masing-masing daripada para Imam mazhab ada metodologi tersendiri dalam mengeluarkan ijtihad dan hukum-hakam.
Namun begitu, yang menjadi masalahnya ialah apabila perselisihan atau perbezaan pendapat yang membawa kepada perdebatan ini dibawa keluar pula ke dalam arus masyarakat awam.
Hinggakan, implikasi negatif yang lahir akibat daripada perdebatan terbuka ini membawa kepada kekeliruan dan salah faham dalam kalangan masyarakat marhaen, memecahkan kesatuan, melahirkan sifat mazmumah dalam diri pendebat, serta pelbagai lagi kesan buruk yang lain.
Biarlah Perdebatan Berlegar dalam Kalangan Ilmuwan Sahaja
Betapa perselisihan pendapat atau perdebatan yang tidak dikawal dan salah pelaksanaannya pasti akan menuju ke arah natijah yang tidak baik dan merosakkan nilai keilmuan.
Oleh kerana itulah, Imām al-Ghazālī raḥimahuLlāh telah membahaskan persoalan khilaf ini dalam bab keempat Kitāb al-‘Ilm daripada Iḥyā’ ‘Ulūm al-Dīn, magnum opus beliau yang―SubḥānaLlāh, sangat bernilai mutunya.
Kitāb al-‘Ilm ini juga telah dihuraikan secara sangat bermakna oleh Guru mulia Prof. Madya Dr. Wan Suhaimi Wan Abdullah ḥafiẓahuLlāh melalui karyanya ‘Khulasah Faham Ilmu’ terbitan Pertubuhan Pendidikan Futuwwah.
Dalam sekalian lapan syarat yang dikemukakan oleh Imām al-Ghazālī sebagai panduan bagi mereka yang terlibat dalam perdebatan ilmiah, salah satu yang disebut oleh beliau ialah hendaklah debat dilakukan secara tertutup.
Selaras dengan sifat debat yang ikhlas dan bertujuan untuk mencari kebenaran serta mengelakkan fitnah, betapa pentingnya perbahasan perlu dijalankan dalam suasana tertutup adalah supaya mereka yang terlibat akan sentiasa bersikap tenang, bersifat lebih peka, dan jauh daripada sifat riyak.
Namun begitu, malang menimpa kita pada masa ini apabila wujud dalam kalangan ilmuwan atau ahli akademik yang gemar sekali membahaskan cabang-cabang keilmuan di khalayak awam, termasuk dalam media sosial sehingga menyebabkan berlaku kekacauan dan kucar-kacir.
Kononnya mahu dilihat sebagai dialah orang yang paling berilmu dan paling mengetahui kebenaran, maka diborakkan segala hujah dan obrolnya di ruang yang sangat terbuka.
Bukankah terlebih baik seandainya si penyembang kencang itu bertentang mata sendiri dengan pihak yang tidak dipersetujuinya untuk berbincang dan berbahas berkenaan topik sekian dan sekian secara tertutup?
Bukankah tindakan tersebut lebih harmoni dan lebih menenangkan keadaan serta mendekatkan diri ke arah kebenaran? Apa yang dicari sebenarnya; kebenaran atau kemasyhuran?
Sayang, benarlah sepertimana yang diungkapkan oleh Imām al-Ghazālī, perselisihan atau perdebatan secara terbuka tidak lain hanyalah akan membenihkan berbagai-bagai akhlak buruk sahaja seperti sifat takbur, hasad, mengangkat-angkat diri sendiri, sangat cenderung untuk membangkang, dan gila akan perhatian umum.
Jujurlah dalam Mencari Kebenaran
Teman-teman yang mulia,
Sedarlah, ilmu kita ini setakat mana sahaja peringkatnya. Kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga. Maka, usahlah bersikap ghairah tidak tentu hala dengan hanya mahu berdebat dan mencari salah orang sahaja.
Andai kita menemukan ilmuwan yang bersikap sebegitu pun, usahlah kita pergi menambah perisa lagi dengan melibatkan diri dalam pertelingkahan tersebut. Samalah juga situasinya andai kita menghadapi isu dengan teman-teman di sekeliling kita.
Percayalah, tak akan ke mana-mana pun nanti pengakhirannya. Bazir tenaga sahaja untuk hanya berleter, menari-narikan jari, atau memusingkan akal untuk memenangkan jawapan masing-masing. Sudahnya, saham dosa pula yang meningkat, hmm.
Sekiranya kita benar-benar ikhlas dan jujur dalam mencari kebenaran, maka segeralah lakukan pertemuan dua pasang mata sesama pihak yang kita perselisihi itu.
Jawapan akan terus diperolehi secara jelas, malah kesimpulan akhir pun akan lebih tuntas. Bukankah hal itu lebih membahagiakan?
Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya!
―
Muhaimin Safaruddin,
Semoga Allah panjangkan umur kita untuk bisa ketemu lagi sama Ramadan dengan saling berdamai dan bermaafan, amin.
April 12, 2020
Kenapa Semua Sibuk dengan TikTok?
Apa? Muhaimin pun sibuk nak ulas tentang TikTok jugakah?
Tak, saya bukan nak menambah lagi perencah, cuma nak bawa kita untuk menilai dan lebih sepatutnya berikan fokus terhadap satu lagi platform muat naik video yang lebih popular.
Bahkan, rekod telah menunjukkan bahawa pelantar ini telah menghimpunkan sebanyak dua bilion orang pengguna aktif setiap bulan di seantero dunia! [Rujuk sini]
Ya, apa lagi kalau bukan YouTube.
[image error]
Potensi dan prospek YouTube sebenarnya sangat besar lagi luas pada masa akan datang, namun orang kita (baca: rakyat Malaysia) masih ramai lagi yang kurang mendapat pendedahan terhadap perkara ini.
Lihat sajalah, generasi sekarang sudah jarang sekali untuk duduk menonton di hadapan televisyen, apatah lagi hendak melanggan siaran berbayar seperti Astro dan Unifi TV.
Perlu diingat, siaran berbayar tersebut pun bukan semua saluran kita akan tonton setiap masa—hanya saluran-saluran tertentu sahaja yang kena dengan selera bakal kita layan.
Berbaloikah bayar tiap-tiap bulan untuk sesuatu yang bukan setiap masa kita gunakan?
Disebabkan sekarang ialah zaman Internet dan gajet digunakan dengan begitu meluas, maka anak-anak muda kita pun mulalah beralih arah kepada saluran YouTube.
Dahlah percuma, nak beli televisyen jenis apa pun dah tak perlu pening kepala, ditambah pula dengan variasi video yang pelbagai kategori. Fuh!
Katakanlah, satu hari atau satu masa, tiba-tiba terdetik dalam kepala untuk kita menonton video sekian sekian.
Apa perlu kita buat? Cuma hidupkan komputer atau peranti, buka laman web atau aplikasi YouTube, dan mulakan pencarian. Mudah, bukan?
Tambahan pula, dengan lahirnya pelbagai YouTubers bak cendawan tumbuh selepas hujan, memang bertambah rancaklah arena YouTube tersebut.
Cuba tanya adik-adik atau anak-anak kecil kita, siapa pengguna YouTube yang menjadi kegemaran mereka?
Percayalah cakap saya, mereka dengan semudah memetik jari akan terus dapat menamakan bermacam-macam nama yang mungkin kita pun tak pernah dengar siapa nama-nama yang disebutkan oleh mereka itu!
Alhamdulillah, kita amat bersyukur kerana sudah ramai YouTube Creators tempatan kita yang menghasilkan kandungan video yang bermanfaat sudah semakin berpusu-pusu dan aktif dalam YouTube di celahan saluran YouTube antarabangsa yang ada.
Saya sebutkan di sini beberapa nama: Ajar, Cocombee, Tarbiah Sentap, APHD Channel, ML Studios, Berani Buat, dan baaaaanyak lagi (boleh tambah dalam ruangan komen).
Bahkan, figura awam negara seperti Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ebit Lew, dan Aiman Azlan juga mantap sekali dalam menghidupkan saluran YouTube masing-masing.
Namun begitu, suatu persoalan yang setiap daripada kita perlu jawab dengan jujur; adakah cukup sekadar kita berpuas hati dengan usaha bagi mengangkat mesej Islam melalui media baharu ini hanya dengan mengharapkan mereka sahaja?
Adakah saluran-saluran dan video-video kita sudah cukup gah bagi melawan atau menyaingi segala macam bentuk kandungan video lain di luar sana, sama ada yang memberikan gambaran salah terhadap Islam ataupun video yang menayangkan kandungan sia-sia?
Hal ini yang setiap daripada kita yang mengaku sebagai seorang penggerak dakwah Islamiah perlu sama-sama fikirkan.
Maka, zaman media baharu ini sepatutnya mendesak kita untuk sama-sama bertindak secara lebih serius bagaimana mahu menguasai platform sebegini.
Kelas-kelas atau bengkel-bengkel yang menceritakan dari A hingga Z tentang bagaimana mahu menjadi seorang YouTuber sejati (lol), bagaimana mahu menilai dapatan data atau statistik daripada saluran kita, bagaimana mahu menyasarkan video kita agar sampai kepada golongan yang sepatutnya, dan selebihnyaaaaa patut sama-sama kita gerakkan.
Tahu tak teman-teman bahawa YouTube Creators boleh buat duit dengan hanya muat naik video? Ha, sungguh ni.
Kita selalu bicarakan bahawa “sesiapa yang menguasai media, maka dia telah menguasai dunia.”
Namun begitu, setakat mana ikhtiar kita?
Jom anak muda, sebagaimana kita sangat memandang penting majlis dakwah dan tarbiah dalam satu-satu organisasi sebagai usaha menyampaikan dakwah, maka majlis media baharu atau apa-apa saja nama seumpamanya pada era media baharu ini juga patut dilihat dan diberikan penekanan sebegitu rupa!
―
Muhaimin Safaruddin,
Jemput langgan saluran YouTube saya, percuma sahaja, ehek.
Terima kasih banyak!
[Nota: Bacaan lanjut tentang keburukan TikTok dari sudut reka bentuk dan teknologi boleh dibaca di sini]