Jika penindasan terhadap masyarakat Syiah menjadi petanda, rekod hak asasi Malaysia dijangka bertambah merosot tahun ini. Laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, 13 Mei 2010, memperihalkan dalam satu laporan The UN General Assembly (SFC, 5/14/10, p.A2) pelbagai badan hak asasi manusia meletakkan 7 negara anggota Human Rights Council memiliki rekod hak asasi yang rendah. 7 negara tersebut ialah: Angola, Libya, Malaysia, Mauritania, Qatar, Thailand and Uganda (
sini). Sejak kejadian 9 Muharram lalu media asing memberi perhatian kepada keadaan hak asasi minoriti Syiah di Malaysia (
lihat sini dan
sini). Phil Robertson, Timbalan Pengarah rantau Asia untuk Human Rights Watch mengatakan; "The Malaysian government is all talk and no action when it comes to human rights," (
klik sini)
Sebagai seorang pengarang, saya meyakini tugas saya bukan sekadar menjadi pencerita. Tukang sampai cerita sudah ramai. Saya lebih cenderung menjadi pengarang yang menjadi pengimbang dan pembenih kebenaran dalam masyarakat. Cerita hanyalah kenderaan kepada mesej hak asasi. Oleh kerana itu undangan bertemu Massoud Shadjareh dari London, Pengerusi kepada Islamic Human Rights Commission (IHRC) adalah satu kerja yang harus saya isi meskipun di tengah-tengah sibuk mengejar tarikh akhir beberapa karangan.
Perbincangan kami menganjur tiga jam membincangkan pelbagai persoalan hak asasi di pelbagai negara. IHRC meminta saya berperanan lebih dalam mempromosi hak asasi kumpulan yang relevan menerusi karya-karya saya. Anjuran itu saya sambut dengan baik sekali. Malah saya memaklumkan kepada beliau yang saya ada menulis mengenai keadaan orang asli di Malaysia (
klik sini) serta sedang menggarap sebuah novel tentang isu yang beliau bangkitkan, sebagai 'my most ambitious work to date'.
Saya dimaklumkan oleh Pengerusi
IHRC tersebut bahawa badan-badan hak asasi manusia sedang memantau kes terhadap Syiah di negara ini. Penganiayaan terhadap minoriti Syiah tempatan telah turut mendapat perhatian aktivis hak asasi seperti Dr Chandra Muzaffar (
klik sini) dan S.M Idris (Persatuan Pengguna Pulau Pinang/Citizens International:
klik sini). Tindakan segelintir kuarters dalam pentadbiran kerajaan yang tidak memahami komitmen Perdana Menteri Malaysia untuk melaksanakan 1Malaysia juga meletakkan hubungan negara dengan Republik Islam Iran dalam keadaan kurang selesa,
klik sini dan
sini.
Esok, buat pertama kalinya perhatian badan hak asasi akan dihalakan kepada nasib minoriti mazhab. Antara kempen di peringkat antarabangsa yang jelas mengenai hal ini ialah seperti terlihat di laman Committee For Justice For Malay Shia yang berkempen bagi pihak minoriti tersebut,
klik sini.
Malahan, yang lebih mengejutkan, penindasan pencabulan dan penganiayaan terhadap minoriti Syiah di negara ini adalah bertentangan dengan deklarasi OIC yang ditandatangani oleh Malaysia sendiri pada tahun 2007. Butiran tersebut terkandung pada halaman 91- 93: RESOLUTION NO. 28/34-POL ON STRENGTHENING THE ISLAMIC UNITY. Didokumentasikan di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu: file A/61/981 S/2007./656. Ini bermakna apa yang berlaku terhadap minoriti Syiah Malaysia adalah bertentangan dengan komitmen Malaysia di peringkat antarabangsa.
** Pembaca dipelawa mengundi, lihat birai kanan blog. Semua dipersilakan menekan punat seberapa yang anda suka malah boleh mengkafirkan penganut Syiah lebih dari sekali. Tetapi ingat, hidup di dunia ini akan disusuli dengan kehidupan di akhirat kelak.