The 7 Great Habits of Little Fatih di KMS

[image error]


"Wah, kenapa ramai yang teresak-esak tu?" saya bertanya.


"Baru habis sesi muhasabah" ujar Cikgu Shahir.


Saya tersenyum.


Walaupun agak kehairanan melihat anak saya Saiful Islam tidak menyertai tangisan berkenaan.


Saya tiba di Khalifah Model School kira-kira jam 9 malam. Saya dijemput sebagai penceramah ke Perkhemahan Kepimpinan Murid, iaitu program yang dirangka untuk memberi latihan dan kemudian memilih muhasib (pengawas) sekolah. Tajuk yang diamanahkan untuk saya bincangkan dengan murid-murid KMS adalah tentang beberapa kualiti kepimpinan Sultan Muhammad al-Fatih. Jika boleh, kaitkan dengan modul The 7 Habits oleh Stephen Covey.


PROAKTIF


[image error]


"Kamu semua rasa sejuk tak?" saya memulakan ceramah.


"Sejuukkkk!" jawab mereka.


"Kenapa sejuk?" saya bertanya.


Aduh… pantang ditanya, penuh tangan terangkat-angkat mahu menjawab.


"Ya, silakan" saya memberi laluan kepada mereka untuk memberikan pendapat.


"Sebab airconditioner" kata seorang.


"Sebab kipas" tambah seorang lagi.


"Hujan, hujan!" jerit seorang lagi.


"Jadi, kalau kamu rasa sejuk, apa yang kamu boleh buat?" saya cuba memecahkan cerita kepada beberapa langkah kecil.


"Tutup 'aircond'" jawab seorang.


"Tutup kipas" tambah seorang lagi.


"Pakai baju sejuk!" jerit seorang lagi.


"Bagus. Bagus! Boleh tak ubah hujan? Suruh hujan berhenti" saya melontarkan provokasi.


"Tak boleh!" semua menjawab dengan penuh semangat.


"Betul. Pengajarannya ialah, setiap kali kita ada masalah dan kesusahan, buatlah sesuatu. Jangan ubah apa yang tidak boleh diubah. Tetapi ubahlah yang paling boleh diubah. Terutamanya… diri kita sendiri. Betul tak?" saya bertanya.


"Betul….!!!" jawab mereka.


"Itulah namanya, PROAKTIF!"


Sultan Muhammad al-Fatih semasa kecil, sama seperti kanak-kanak lain. Dia mahu bermain, kadang-kadang malas. Malah dia pernah rasa tertekan menjadi anak Sultan. Tetapi bolehkah sebagai seorang anak, beliau menukar bapanya? Menukar ibunya? Menukar hakikat bahawa dirinya adalah seorang anak Sultan kepada sebuah negara besar dunia?


Tentu sahaja tidak.


Sultan Muhammad al-Fatih pernah dipukul oleh tuan gurunya.


Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk membuat perubahan.


Bukan ubah ayah atau ubah ibu, bukan ubah sekolah atau ubah tuan guru. Tetapi mengubah sikapnya sendiri.


Saya agak kurang pasti sejauh mana anak-anak di KMS memahami apa yang saya terangkan, namun belajar daripada Sean Covey di dalam bukunya The 7 Habits of Happy Kids, saya tidak mahu memandang rendah kepada keupayaan anak-anak ini memahami prinsip-prinsip yang fitrah itu.



BEGIN WITH THE END IN MIND


"Kenapa semasa habis belajar di tadika dahulu kamu memakai topi empat segi, jubah dan memegang skrol?" saya bertanya.


"Tak tahu!" jawab mereka. Jujur.


"Siapa yang sebenarnya pakai pakaian seperti itu?" saya menyoal lagi.


"Orang dekat universiti" salah seorang murid menjawab.


"Kenapa semasa di tadika, kamu pakai pakaian orang universiti?" saya menambah soalan.


"Supaya kita rasa macam kita belajar dekat universiti" kata seorang murid perempuan yang pintar sekali.


"Yang itu betul-betul ke atau kamu hanya berimaginasi?" saya meneruskan provokasi.


"Imaginasi!!!" mereka menjawab.


[image error]


"Tapi adakah ia boleh dibuat atau hanya angan-angan?" saya menyambung soalan.


"Boleh. Kena fikir macam mana nak bagi sampai universiti" salah seorang rakan sekelas anak saya menjawab.


"Lepas fikir dan buat perancangan, buat apa pula?" saya membanyakkan soalan supaya mereka banyak mencari jawapan sendiri.


"Action!" kata salah seorang mereka.


"Betul!!! Imagine, Think and….. Action! Remember all those three words!" saya membuat kesimpulan.


Begin with the end in mind bermaksud, mengajak mereka untuk mereka berwawasan futuristik, kemudian bertindak secara realistik. Jika pagi esok sudah dibayangkan mahu segera ke sekolah, maka kasut jangan dicampak merata-rata. Susunkan elok-elok. Lagi bagus kalau reverse parking. Jika esok Khamis dan ada kelas Taekwondo, maka sebelum tidur, pastikan pakaian sekolah dan Taekwondo sudah tersedia. Jika di hujung nanti ada Syurga dan Neraka, maka semasa terfikir antara hendak berbuat baik atau jahat, fikir dan lakukan apa yang membawa ke Syurga, bukan Neraka.


Sultan Muhammad al-Fatih juga sering membayangkan dirinya sebagai penakluk Constantinople. Beliau berimaginasi, berfikir dan membuat perancangan, kemudian bertindak!


Hebatnya al-Fatih bukan kerana bapanya Sultan atau rumahnya istana. Hebatnya al-Fatih adalah kerana sikapnya. Kerana akhlaqnya. Sesiapa sahaja yang berakhlaq dengan akhlaq seperti Muhammad al-Fatih, boleh menjadi sehebat beliau.


Ceramah saya selesai kira-kira sejam kemudian. Ada juga yang sudah pening-pening malah menjawab soalan sambil mata separuh pejam. Sudah mengantuk pun masih tidak mahu ketinggalan. Itulah yang menyeronokkan saya dengan anak-anak yang comel dan bijak-bijak belaka di KMS ini. Tahniah cikgu-cikgu, tahniah pasukan sukarelawan Khalifah Institute, tahniah ibu bapa.


[image error]


Sebelum pulang, saya hadiahkan senaskhah buku The 7 Habits of Happy Kids tulisan Sean Covey kepada pihak Khalifah Model School untuk dimanfaatkan oleh guru-guru. Seronok jika murid-murid sekolah mempunyai common language sesama mereka.


"Come on, let's be proactive"


"Let's think win win"


"Apa yang penting? Bersinergi!"


Wow, saya sungguh teruja.


[image error]


KEESOKAN HARINYA


"Sekejap ya Abi. Yop ambil beg" Saiful Islam berjalan longlai masuk semula ke bangunan sekolah selepas terlihat saya.


"Eh, Ustaz Hasrizal!" kata salah seorang rakan anak saya.


Beliau datang ke kereta saya dan menongkat dagu di tingkap kereta.


"Hah, Azri (bukan nama sebenar) apa khabar?" saya bertanya.


"Ok. Mengantuk sikit aje. Ustaz Hasrizal, sejak bila Ustaz Hasrizal jadi popular?" tanya beliau.


Saya ketawa mendengar soalan yang ditanya. Terkedu lidah.


Azri juga ketawa.


"Ayah dah sampai?" saya bertanya kepadanya.


"Bukan ayah, mama. Ayah main golf!" jawab Azri.


"Ooo. Ustaz tak main golf" saya mengulas.


"Kenapa Ustaz Hasrizal tak main golf?" tanya Azri lagi.


"Sebab Ustaz dah popular! Hehe…." saya menjawab sambil ketawa.


Beliau dan Saiful Islam juga ketawa.


Kami saling babai-membabai.


Saya pulang ke rumah dengan senyuman.


Terpulanglah kepada semua pihak yang mahu menjahanamkan masyarakat dengan rasuah, korupsi dan maksiat. Bagi kami, ibu bapa dan guru, usaha mendidik anak-anak dan menyiapkan mereka agar CERDIK dan BAIK, adalah suatu JIHAD.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 15, 2011 20:01
No comments have been added yet.