Cari Mereka Sampai Dapat!

Dalam satu laporan Malaysiakini.com, pihak berkuasa agama sebuah negeri mengatakan mereka tergamam dan "Tak sangka begitu banyak Syiah." Klik sini.

Saya ingin menasihatkan pihak berkuasa agama supaya berpijak di alam realiti. Mazhab Ja'fari adalah mazhab ketiga terbesar dalam Islam setelah mazhab Hanafi dan Syafie. Tentu fikah mereka berbeza tetapi elok juga kita mendalaminya. Saranan saya, hulurkan tangan dan berdialog dengan penganut mazhab Ja'fari di Malaysia. Apakah ruginya?

Majlis Syiah Dunia pada tahun 2008 membuat anggaran populasi Malaysia: 25.347.000. Dan populasi Syiah: 200.000. Jadi dalam: 0.8% adalah Syiah.

Ramai juga yang tergelak mengenangkan 0.8% mengeluarkan fatwa untuk menghalalkan darah lebih 99% populasi rakyat Malaysia. Ini satu kenyataan Doraemon yang dipetik oleh media cetak dan elektronik kita lalu ditokok dengan sedikit aksi stunt (lari menerusi bumbung bangunan sambil bertakbir, klik sini.)

PEW Research Center's tahun 2009, melaporkan populasi Malaysia: 27.730.000, dengan populasi Muslim: 16.581.000. Populasi orang Syiah ialah: - 331.000. Jadi sekitar: - 2%.

Saya difahamkan dalam satu pertemuan ketua kumpulan Syiah di Malaysia dengan Suhakam, mereka menegaskan bahawa Ja'fari adalah mazhab asal mereka. Ketua mereka, bernama Kamil Zuhairi Ab Aziz mengatakan:

"Sekiranya hak kebebasan beragama dan kepercayaan telah diberikan kepada minoriti yang beragama Hindu, Buddha, Kristian, Sikhisme atau lain-lain agama, mengapa kami dicaci, dihina, difitnah dan kini diugut semata-mata kerana mengamalkan kepercayaan kami turun-temurun sejak nenek moyang kami, iaitu Mazhab Ahlul Bait atau Syiah Imamiah yang dianuti lebih 200 hingga 500 juta umat Islam seluruh dunia."

Syiah Malaysia juga menegaskan mereka mempunyai 'jatidiri yang khusus' yang tidak boleh disamakan dengan orang Syiah di negara lain yang tentu sahaja memiliki budaya dan adat tersendiri (saya fikir beliau merujuk kepada Syiah Pakistan dan India yang memukul badan sampai berdarah).

Klik sumber Malaysiakini di sini. Tonton sidang akhbar dalam video ini:

Jika dakwaan mereka benar, yang mana tentu didokongi dengan macam-macam bukti akademik serta warisan sejarah; maka kita tidak boleh memaksa fahaman kita sahaja untuk mereka.

Jika kita paksa juga, maka apa bezanya kita dengan Nazisme? Sementelahan ada teori mengatakan syiah ini pengasasnya Yahudi.

Sekali lagi, jika dakwaan mereka benar, maka saya kira, mulai saat ini masyarakat Syiah Malaysia akan menjadi tumpuan tenaga akademik alam Melayu. Tentu banyak kajian akan muncul untuk memerhati dan menekuni dakwaan mereka. Ustaz Kamil Zuhairi pun dalam laporan Malaysiakini ada mengatakan 'tiada dialog dan kajian yang tersusun daripada sarjana berhubung fahaman itu'.

Apakah benar ada Syiah Melayu turun temurun? Sebagai pengkaji hakikat ketamadunan alam Melayu, saya fikir dakwaan mereka berasas. Kerana lihat sahaja pantun yang terkandung dalam Kurik Kundi Merah Saga terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, edisi kedua, 2005. Pantun ini pada saya memuatkan doktrin Syiah yang amat jelas bersulam karya persuratan Melayu yang didaktik sifatnya. Harus diingatkan orang Melayu lama menjadikan pantun sebagai medium pendidikan dan pengajaran untuk generasi muda. Akan tetapi pantun sudah tidak dianggap bergaya lagi, maka ajaran orang tua memudar. Dan hilang perlahan-lahan. Namun, mungkinkah ada segolongan dari orang Melayu yang mempertahankan 'jati diri mereka' walau apa pun terjadi? Jumlah mereka mungkin tidak ramai, kurang dari satu persen, barangkali.

Kita mesti berdialog dengan mereka, sarjana dan ahli akademik mesti turun padang 'memburu' mereka. Mereka ini adalah 'our lost society' sekian lama. Mereka adalah khazanah tradisional kita yang wajar diarkibkan. Mereka adalah pintu misteri, pintu ilmu dahulu kala. Kalau kita membaca Kitab Kashf al-Ghaibiyyah oleh seorang ulama terkenal dunia Melayu, al Allamah as Syeikh Zain al-'Abidin al-Fatani rh kita akan mendapati adanya tersenarai nama-nama Imam dua belas dari mazhab Syiah Imamiyyah. Kitab ini masih terjual di kedai-kedai buku agama Jalan TAR, Kuala Lumpur.

Cuba baca pantun ini:

Ada berempat sahabat Nabi,
Ada seorang jadi khalifah,
Abu Bakar, Omar, Osman, dan Ali,
Saidina Ali suami Fatimah.

Keyakinan Ali sebagai pengganti Rasulullah saw hanya diimani oleh masyarakat Syiah. Saya pernah berdebat dengan seorang Syiah Melayu. Kata beliau, sunni percayakan manusia berhak melantik pengganti Rasulullah saw. Akan tetapi syiah percayakan hanya Allah sahaja berhak melantik pengganti Rasulullah saw. Siapakah yang berhak melantik pengganti Nabi Muhammad saw jika begitu? Syiah percaya lantikan Allah, sunni percayakan lantikan manusia.

Pantun tadi juga menunjukkan alam Melayu kita memang menyimpan rahsia yang luar biasa luasnya. Tindakan pencabulan hak asasi minoriti Syiah pada 9 Muharam 1432H lalu telah memburaikan segala-gala rahsia yang terempang selama ini. Saya benar-benar tidak menyangka begini caranya. Mereka cuba diaibkan pada majlis tahlil Saidina Husin. Dan Saidina Husin memberi isyarat yang menaikkan bulu roma. Jumlah Syiah yang ditahan di Gombak itu ialah 72 orang kanak-kanak (ini juga jumlah pengikut Saidina Husin di Karbala), dan 128 dewasa (128 adalah kod angka untuk nama Saidina Husin dalam ilmu numerikal Islam).

Penyerahan memorandum Syiah Malaysia ke Suhakam menunjukkan mereka tidak takut. Mereka yakin mereka benar. Dan mereka mahu hak-hak mereka diiktiraf. Jika benar mereka ini ingin menghalalkan darah sunni, tidak mungkin mereka keluar dengan selamba dan berada di bawah spotlight seperti selebriti.

Tidak ramai tentunya pengkaji yang ingin masuk ke alam tabu dan kelabu. Akan tetapi saya beroleh 'doktor' dengan penat lelah yang tidak terhitungkan. Maka izinkan saya sebagai pengkaji dan sarjana untuk melakukan tugas yang tidak diingini orang ini. Saya - Dr Faisal Tehrani - sebagai pengkaji persuratan Melayu berikrar akan 'memburu' dan 'menyiasati' mereka ke lubang-lubangnya. Insya-Allah kita akan dapat membongkar kekuatan sebenar bangsa Melayu-Islam satu masa dahulu untuk kebaikan masa depan. Itu telah pun saya lakukan dalam Manikam Kalbu, Bedar Sukma Bisu, Tuhan Manusia dan Saasatul Ibaad. Mungkin ada yang akan berpandangan serong, atau saya mungkin 'tertangkap', akan tetapi kerja pengkaji memang melawan arah mata angin.

Mohd Khusrin Munawi mungkin telah (akan) mendapat keuntungan dengan dilantik sebagai setiausaha kerajaan negeri Selangor. Akan tetapi beliau telah membuka keuntungan yang lebih besar seluas semesta alam - serbuan itu telah memburaikan rahsia alam Melayu beratus tahun lamanya. Oleh kerana itu, Demi Masa! Saya dapat katakan ada pihak yang memang mengalami khusr meski tampak menang di umum. Sedang yang kerugian di mata umum, sebenar-benarnya mengalami keuntungan dan laba besar. Dan berdasarkan kod 'Demi Masa' itu, apakah mungkin mereka adalah kumpulan 'orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan berpesan (nasihat menasihati) dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran.'

Sebagai pengkaji yang ada sifat advencer, saya tidak sabar untuk mencari mereka. Saya akan cari mereka sampai dapat.

** Anda dipelawa mengundi, lihat birai kanan blog. Boleh tekan punat banyak kali jika mahu.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 27, 2010 05:29
No comments have been added yet.


Faisal Tehrani's Blog

Faisal Tehrani
Faisal Tehrani isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Faisal Tehrani's blog with rss.