Recep Tayyip Erdogan Kini Berfahaman Syiah?

OLEH DR FAISAL TEHRANI
BEBERAPA hari lepas, bekas pelajar ketika saya mengajar di Istanbul menghubungi menerusi skype. Berita paling hangat di Turki mutakhir ini ialah, apakah kemungkinan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, yang juga kepala parti paling berpengaruh di negara tersebut iaitu Parti AK, telah pun menganut fahaman syiah Imamiyyah.
Khabar ini meski belum disahkan telah bertiup kencang, sejak tokoh masyarakat bermazhab Jafari atau syiah di Turki, Selahattin Ozgunduz mengumumkan dalam khutbah Jumaatnya pada 3 Disember lalu bahawa Recep Tayyip Erdogan, bersama-sama sejumlah ahli parlimen dari parti AK dan menteri kabinet akan menyertai majlis Asyura pada 16 Disember 2010 ini di Meydan Ashura, Halkalı. Hal ini tidaklah mengejutkan, kerana pada tahun lalu ketua parti pembangkang di Turki menerusi parti CHP, iaitu Deniz Baykal, bersama-sama bekas menteri kebudayaan Namık Kemal Zeybek, Datuk Bandar Turki dari parti AK, Abdul Kadir Topbaş, dan Datuk Bandar Şişli, Mustafa Sarıgül, termasuklah Mufti Istanbul, Mustafa Çağırıcı, telah pun menghadiri majlis asyura yang sama. Erdogan yang tidak dapat menghadiri majlis asyura ketika itu bagaimanapun mengutus sepucuk surat yang dinamakan "Surat Muharram 10".
Antara isi kandungan surat tersebut menekankan kepedihan dan kedukaan kaum muslimin atas kesyahidan Saidina Husin. Erdoğan menegaskan mesej besar dari sambutan Asyura adalah untuk membolehkan seluruh umat Islam memahami bahawa tragedi Karbala, menjadi lambang pengorbanan, keadilan dan kebenaran menentang tirani, despotisme and pengkhianatan. Erdogan menegaskan supaya umat Islam bersatu dan berazam untuk memahami satu sama lain. Maka kekuatan sesama sendiri dapat dijadikan asas untuk berdepan dengan musuh. Erdogan menamatkan surat beliau dengan ayat, "Peristiwa 10 Muharram adalah rujukan kita dalam memperjuangkan keadilan dan kebenaran."
Majlis asyura masyarakat syiah Turki mendapat perhatian besar sejak beberapa tahun lalu memandangkan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu UNESCO mengiktirafnya sebagai 'majlis Asyura contoh yang unik'.

Sejak parti AK berkuasa, masyarakat syiah di Turki menikmati 'kebebasan yang lebih'. Tanggapan selama ini bahawa penduduk Turki adalah 99 peratus sunni adalah salah. Sebahagian besar Turki hari ini merupakan wilayah Parsi yang dirampas ketika era Othmaniyyah. Jika kita ke Anatolia, terdapat sisa-sisa masyarakat syiah misalnya di Bektash. Masyarakat syiah di Turki berjumlah kira-kira 15 ke 20 juta orang dan sering disalahertikan (seperti di Malaysia) sebagai masyarakat sesat dan dilabelkan sebagai Alawi (kumpulan yang menuhankan Imam Ali).

Pun setelah Erdogan memerintah, masyarakat syiah Turki kurang mahu terlibat dan menonjol diri. Ini kerana Erdogan masih dikaitkan dengan imej lembut terhadap barat. Pendirian parti AK untuk menyertai Kesatuan Eropah dan hubungan baik Erdogan dengan Presiden Bush menimbulkan rasa jengkel. Tambahan pula bukanlah rahsia, Erdogan adalah anak didik Fethullah Gulen (Gerakan Gulen) seorang tokoh Islam yang kini bermukim di Texas, Amerika Syarikat. Stail Gulen diketahui sangat selesa, iaitu menyentuh Islam pada hal-hal permukaan, membincangkan sirah nabi Muhammad secara terpilih dan menekankan dialog dengan Barat.
Namun hari ini, masyarakat syiah Turki semakin gigih keluar dari kepompong mereka. Terdapat tiga sebab besar mengapa ini berlaku.

Sekembalinya Erdogan ke Istanbul, beliau diberi sambutan hangat sebagai wira. Dr Ahmadinejad kemudian menghubungi Erdogan untuk mengucap tahniah dan menjemput Erdogan ke Tehran untuk bertemu pemimpin agung Iran Ayatullah Ali Khamenei selain menerima pingat keamanan tertinggi dari kerajaan Iran.
Kedua, antara sebab mengapa masyarakat syiah Turki semakin mengukuh ialah kerana pengaruh Iran yang semakin kuat di rantau Timur Tengah. Ini termasuklah dalam isu hak pembangunan nuklear Iran. Tenaga dan semangat Ahmadinejad, berserta kemenangan Hezbullah ke atas Israel dalam perang musim panas 2006 menjadikan masyarakat syiah di Turki semakin berani menzahirkan diri. Untuk mengimbangi pengaruh Iran, tidak dapat tidak, Turki di bawah Erdogan harus samada, menyaingi Iran atau menjadikan Iran sebagai kawan. Erdogan bertindak bijak dengan memilih jalan untuk menjadikan Iran sebagai kawan. Bukankah kedua-duanya sama muslim dan mewakili tamadun umat Islam yang besar dan bersejarah? Hal ini paling ketara apabila melihat Erdogan menjadi jurucakap Iran dalam mempertahankan hak republik tersebut membangunkan kuasa nuklearnya. Meski ditekan Amerika, Erdogan nampaknya berkeras bahawa Iran layak membangunkan teknologi nuklear tersebut. Malah 16 Mei 2010 lalu, dengan inisiatif Erdogan, termeterai perjanjian 'nuclear fuel swap deal' antara Iran, Turki dan Brazil. Tayyip Erdogan turut terbang ke Tehran menyertai Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva dalam 'menyelamatkan program nuklear Iran' dari terus-terusan mengalami stand-off dengan kuasa Barat.





Terdapat banyak petunjuk bahawa Erdogan semakin mesra dengan syiah Imamiyyah. Selain dari perubahan radikal Turki terhadap Israel dan penglibatan Turki secara aktif dalam isu umat Islam seperti Palestina; kecedenderungan beliau mempertahankan Iran juga membayangkan sesuatu. Membaca gerak permainan Erdogan dan Ahmadinejad membuat kita umat Islam sedikit terhibur. Alangkah baik jika kita beroleh pemimpin yang bijak seperti mereka. Tentu, umat Islam akan beroleh manfaat yang besar dari hubungan baik Turki-Iran ini. Jika Turki mewakili kuasa sunni yang berpengaruh, persaudaraan dengan Iran sebagai kuasa syiah yang utuh pasti menggerunkan musuh Islam. Siapa lagi kalau bukan zionis Israel?
Erdogan, Hoşgeldiniz!
Published on December 16, 2010 06:40
No comments have been added yet.
Faisal Tehrani's Blog
- Faisal Tehrani's profile
- 586 followers
Faisal Tehrani isn't a Goodreads Author
(yet),
but they
do have a blog,
so here are some recent posts imported from
their feed.
