Sesi Bertemu Pembaca di MPH Alamanda

[image error]


Kredit foto: Saudari Khadijah Nasir via FB


Programnya ringkas tetapi bermakna.


Terima kasih saya ucapkan kepada MPH Alamanda, Putrajaya dan Galeri Ilmu Sdn. Bhd.


Sesi wacana buku yang dianjurkan bersempena dengan MPH Book Fair di ruang Concourse Alamanda siang tadi, telah lama dirancang. Biar pun saya sendiri tidak begitu pasti bagaimanakah bentuk kendalian sesi berkenaan, namun saya menyiapkan diri untuk apa jua bentuk penyampaian yang bakal diadakan.


Dalam kesibukan para pengunjung berlegar ke sana sini di pusat membeli belah terkemuka ini, saya menerima mikrofon untuk mempromosikan buku Aku Terima Nikahnya Edisi Istimewa (Trilogi ATN). Gayanya ala-ala jurujual, namun saya ubah set minda kepada sesuatu yang lebih positif.



"Bercinta cara Hollywood, ada banyak buku, drama dan filem yang sudah kedapatan di pasaran, bercinta cara Bollywood juga begitu. Namun bercinta cara Islam, tuan-tuan harus mendapatkan buku-buku seperti ini. Belajar bercinta di dalam Islam bukan bermula dengan membetulkan cara bercinta, tetapi membetulkan pandangan tentang kehidupan…" saya memulakan celoteh.


Beberapa orang pengunjung, mula menghampiri meja kami sedikit demi sedikit.


Teringat kepada sesi 'ceramah bebas' yang pernah saya hadiri di Speakers' Corner di kota London suatu ketika dahulu.


Cakap sahaja.


Jika berkualiti orang akan dekati.


Jika tidak berkualiti, cepat-cepatlah berhenti.


Selepas 15 minit berceloteh, saya memberhentikan ucapan dan menumpukan diri kepada beberapa orang pengunjung yang datang ke meja.


Saya difahamkan, di MPH Book Fair itu sahaja, sudah lebih 150 naskhah buku ATN Edisi Istimewa terjual. Alhamdulillah. Sebahagian besar pembeli yang sempat saya temui menyatakan bahawa buku itu mahu dijadikan hadiah perkahwinan kenalan, malah juga sebagai hantaran! Lebih menarik, sebahagian mereka tidak mengenali saya atau blog Saifulislam.Com, justeru kredit besar mesti diberikan kepada designer buku ini, saudara Mislan Samsuri dan Haji Badrul Hisham Shari di Galeri Ilmu.


Sempat juga, beberapa orang pengunjung mengambil peluang untuk bertanya banyak soalan hasil pembacaan mereka terhadap buku-buku saya.


Salah seorang yang hadir, merupakan ahli 'Kelab Suami Doktor' seperti saya. Banyak yang sempat kami bualkan tentang liku-liku mengendalikan rumahtangga bersama seorang doktor apatah lagi isteri beliau baru sahaja menyelesaikan internship. Tentu sahaja mereka berada di 'marhalah kritikal' dan saya bersyukur kepada Allah jika perkongsian di dalam buku ATN dapat membekalkan tips dan panduan kepadanya.


Tidak dilupakan, sekumpulan pelajar bertandang ke meja dan memohon perkongsian tentang krisis cinta, dakwah kampus hingga kepada soal memilih jemaah.


"Pertimbangkan daripada semua jemaah yang lulus keabsahan prinsipnya, mana yang paling membolehkan kita memberi yang terbaik, dan mana yang orang ramai boleh menerima yang terbaik daripada kita. Cuma, oleh kerana dakwah itu adalah ibadah, maka hati-hati dengan gangguan nafsu dan syaitan yang melengah-lengahkan, menimbulkan rasa lemah dan semua cabaran seperti yang kita hadapi dalam ibadah-ibadah yang lain" saya menyimpulkan pesanan.


Sesi di ruang legar Alamanda petang tadi berakhir pada jam 4.


Insya Allah satu lagi sesi yang lebih optimum akan diadakan di POPULAR Book Fair di Alor Setar City Plaza pada 25 Disember 2010 akan datang.


Bertemu di sana.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG


[image error]


 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on December 12, 2010 07:31
No comments have been added yet.