Qalb[u] Al-´Asad, Danab al-Jady & al-Zuban al-Samāliyyah

Kalau saudara pembaca pernah menatap novel saya 1511H Kombat, di bahagian Prolog saya ada mencatatkan bahawa ketika Rasulullah saw lahir, segala bintang bergemerlapan mengerlip di langit sana. Fenomena bintang sedemikian di langit menurut pengkaji ilmu bintang berlaku empat belas kali sahaja. Ia tidak akan berlaku lagi. Saya tidak dapat menjelaskan secara saintifik mengapa. Dan tentu, sebagai manusia agung, selaku kekasih Allah swt, seisi langit dan bumi menyahutnya (lihat 1511H Kombat halaman xi dan xii).

Bintang manakah yang mengerlip di langit saat anda dilahirkan?

Ketika saya dilahirkan, bintang yang bercahaya di langit tinggi ialah Qalb[u] Al-´Asad. Sejenis bintang tunggal yang tersendiri. Sunyi. Dalam banyak peradaban ia dikaitkan dengan raja-raja. Regulus kata astronomer. Entah mengapa ia juga dihubungkan dengan singa. Dan menurut 'mitos' ilmu zodiak ia menentukan sikap dan perangai saya.

Ketika isteri saya dilahirkan, bintang yang bercahaya di langit tinggi ialah Danab al-Jady. Sejenis bintang agam yang sangat terang. Tumpuan. Dalam banyak peradaban ia dikaitkan dengan pengorbanan. Delta Capricorni kata astronomer. Entah mengapa ia juga dihubungkan dengan kambing. Dan menurut 'mitos' ilmu zodiak ia menentukan sikap dan perangainya.

Ketika anak kami dilahirkan, bintang yang bercahaya di langit tinggi ialah al-Zuban al-šamāliyyah. Segugus bintang biru-hijau yang bertebaran dan memberi kedamaian. Ia bintang yang berputar seratus kali lebih laju dari matahari. Dalam banyak peradaban ia dikaitkan dengan kehebatan, 'berkuku'. Beta Librae kata astronomer. Entah mengapa ia juga dihubungkan dengan timbangan. Dan menurut 'mitos' ilmu zodiak ia menentukan sikap dan perangainya.

Dalam tradisi Cina, saya jatuh di bawah simbol harimau kayu. Saya dikatakan 'giving individual'. Dalam tradisi Cina, isteri saya jatuh di bawah simbol khinzir air. Dia dikatakan 'trustworthy almost to a fault'. Dalam tradisi Cina, anak kami jatuh di bawah simbol harimau besi. Dia dikatakan 'center of attention'.

Tarikh lahir saya bersamaan dengan ramai pengembara dari pelbagai pelusuk dunia. Mungkin kerana itu saya berkelana dari satu pemikiran ke satu pemikiran, mengkaji dengan penuh pesona dan ingin memberi kepada yang menghargai, 'as giving individual'. Tarikh lahir isteri saya, aneh sekali, bersamaan dengan ramai seniman dari pelbagai pelusuk dunia. Mungkin kerana itu dia lebih diam, menyimpan, misterius, sentiasa dapat disandarkan sesuatu, 'trustworthy almost to a fault'. Kadang, kalau saya menatapnya, saya teringat sebaris dialog dari filem Titanic, 'a woman's heart is a deep ocean of secrets'.

Tarikh lahir anak kami, bersamaan dengan ramai ahli falsafah dari pelbagai pelusuk dunia. Salah seorang ahli falsafah yang saya maksudkan adalah Ali bin Musa Al-Reza, Perdana Menteri Khalifah Ma'moun zaman Abbasiyyah. Beliaulah yang mengungkapkan kata-kata: "Dunia ini adalah penjara buat orang mukmin dan syurga buat orang kafir."

Saya tertanya-tanya bagaimana rupanya langit tatkala al-Zuban al-šamāliyyah mengerlip. Seorang sahabat akrab mencari dan mengemel wajah langit ketika itu. Persis manakah bintang al-Zuban al-šamāliyyah? Itulah, di atas sana bintang kami. al-Zuban al-šamāliyyah kami. Duhai, sungguh indah bintang di langit itu. Serasa cahayanya memberi ketenangan dan membuatkan kami terpusat hanya kepadanya. Moga ia menjadi bintang yang memanfaatkan, 'center of attention' seperti mana filsuf Ali bin Musa tersebut. Lantas kami menamakannya bersempena sebutir bintang megah yang mengerlip menyinari seluruh semesta sehingga diratukan menjadi penghulu di syurga.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 28, 2010 09:52
No comments have been added yet.


Faisal Tehrani's Blog

Faisal Tehrani
Faisal Tehrani isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Faisal Tehrani's blog with rss.