Mengukuhkan Yang Asas: Jarak, Jarak, Jarak

Hari ini saya memulakan larian panjang hujung minggu dengan niat untuk mendapat jarak 21.1 km (separuh maraton). Setelah beberapa hujung minggu terpaksa berpuas hati dengan jarak lebih dekat kerana berlumba dan sebab-sebab lain, saya tidak senang duduk kerana kuota jarak tidak mencukupi.

Selain itu, saya juga ingin mencuba (break in) kasut baru. Terdetik juga barangkali sebaiknya kasut itu dicuba untuk jarak lebih dekat terlebih dahulu, seperti 8 km yang saya lakukan pada hari bekerja. Namun, kast berkenaan sememangnya model untuk jarak jauh, dan akan saya gunakan untuk LSD dan perlumbaan berjarak HM ke atas.

Namun saya punya keraguan. Dua hari lepas, larian 8 km pun sangat melelahkan. Nampaknya, setelah berjaya menambah jarak dan frekuensi larian setiap minggu, saya belum bersedia dengan peningkatan kelajuan. Justeru, tanpa perubahan kepada jadual rehat dan nutrisi yang sama, sistem saya belum dapat menerima kemajuan baru ini.

Sungguhpun begitu, sayang sekiranya pagi Ahad dibazirkan begitu saja. Saya mengingatkan diri banyak kali, ini bukan tentang kelajuan, tetapi jarak, jarak, jarak. Saya memerlukan LSD untuk membina stamina dan ketahanan (fizikal dan mental), juga untuk melatih sistem melakuakan glycogen-loading dengan lebih berkesan.

Dengan ingatan itu, saya memulakan langkah. Langkah-langkah dengan kasut baru ini mengejutkan saya. Kasut terasa berat, tetapi lebih stabil. Ia memaksa kaki saya mendarat pada midfoot tetapi derapnya agak kuat bunyinya. Bunyi itu mulanya mengganggu kerana saya melalui laluan pejalan kaki di sisi jalan yang belum sibuk, namun tidak begitu saya fikirkan kemudiannya. Pembentukan lepuh mula terasa sebelum 10 km lagi, namun masalah utama saya dengan kasut-kasut sebelum ini iaitu ibu jari kaki yang mampat apabila berlari jauh tidak terasa. Memang sengaja memilih 1/2 saiz lebih besar sebenarnya. Selepas larian, saya boleh mengesahkan bahawa masalah utama ini bukan masalah lagi!

Hari ini, langit pagi biru tanpa awan. Panas, tetapi berangin. Saya berlari dengan kelajuan lebih kurang 7:30/km sahaja. Mungkin kerana rentak yang perlahan, saya tidak terasa lapar sehingga 11 km. Maka berhenti untuk refuel (Gu Energy Gel + air) di KM 12. Refuel lagi di KM 16++ sebelum refuel terakhir di KM 19. Kali ini saya membuat keputusan untuk mencukupkan jarak sebelum melakukan "home stretch" pada 3 km terakhir. Bukan apa, dengan cuaca yang panas terik, dan kemungkinan kaki yang letih, saya tahu saya sendiri tidak akan bermotivasi untuk mencukupkan jarak pada saat-saat akhir.

Akhirnya, alhamdulillah, jarak penuh hari ini adalah 21.3 km :)


3 likes ·   •  2 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on February 01, 2015 02:19
Comments Showing 1-2 of 2 (2 new)    post a comment »
dateUp arrow    newest »

message 1: by ❀ Hana (new)

❀ Hana Setuju. Sama juga konsepnya dengan berenang - jarak, jarak, jarak. Beberapa minggu 'merehatkan diri', 1 lap kolam renang (50 m) terasa sungguh susah untuk dihabiskan. Kalau dulu, isu meningkatkan kelajuan. Tapi sekarang terpaksa bermula dari awal - berenang perlahan-lahan, raih semula kawalan dan kestabilan.


message 2: by Rebecca (new)

Rebecca Hana wrote: "Setuju. Sama juga konsepnya dengan berenang - jarak, jarak, jarak. Beberapa minggu 'merehatkan diri', 1 lap kolam renang (50 m) terasa sungguh susah untuk dihabiskan. Kalau dulu, isu meningkatkan k..."

Asas nampak seperti mudah, tetapi ia adalah yang paling sukar. Ganbatte ne ~ jangan sampai injured ;)


back to top