Berbilang Jamaah: Antara Saranan Stephen Covey dan Sa’id Hawwa

20130104-191150.jpg


Gambar Hiasan


Fenomena berbilang jemaah dan kumpulan dakwah adalah realiti.


Sesuatu yang kita tidak dapat lari daripadanya, dan menuntut keupayaan diri untuk menguruskannya.


Jika ulama membahagikan berbilang (ta’addud) itu kepada yang harus dan tidak harus, realitinya perjuangan kita adalah untuk menarik apa yang ada kepada yang harus, bermanfaat, serta mengecilkan mudarat yang sedia menanti. Ta’addud yang tudhad (تضاد) kepada ta’addud yang saling melengkapkan.


Namakan ia impian, namakan ia angan-angan. Hakikatnya ia sesuatu yang telah pun Allah berikan amaran:


ۖ أَنْ أَقِيمُوا الدِّينَ وَلَا تَتَفَرَّقُوا فِيهِ ۚ

“Dan tegakkanlah urusan agama, namun jangan sekali-kali kamu berpecah belah dalam melakukannya” [Al-Shura 42: 13]

Berbilang jemaah ini semakin merumitkan apabila bebanan sejarah silam, dibiarkan tanpa meraikan perubahan yang berlaku terhadap cara berfikir generasi semasa. Apatah lagi mereka merupakan generasi yang tidak mengalami luka-luka semalam, seperti abang kakak serta pakcik makcik mereka.


Maka mengulang-ulang cerita semalam, jika maksudnya adalah untuk meraih sokongan mungkin boleh bertukar menjadi sebaliknya.


Fakta tidak boleh diubah.


Hanya yang berdusta sahaja berani mengubah fakta. Semoga Allah melindungi jemaah dakwah daripada sifat dusta yang amat dikeji ini.


Tetapi fakta yang sama boleh diolah secara yang lebih positif. Secara yang boleh meraih sokongan, tanpa mencipta musuh dan pertentangan.


Bagi jemaah PAS, fakta PAS sebagai jemaah terawal, tertua, pertama dan mendahului jemaah kontemporari yang lain, adalah fakta yang kekal di dalam sejarah. Tetapi bagaimana ia ditafsir dalam konteks berbilang jemaah?


Apabila fakta ini dilihat daripada sudut SCARCITY MENTALITY, pendukung PAS akan berkata, “oleh kerana PAS jemaah pertama, maka jemaah inilah yang mesti diikut. Kemunculan jemaah lain selepasnya adalah tidak syar’i, justeru memilih PAS adalah tuntutan syara’!”


Pendapat seperti ini, diterima dan tidak dicabar secara terbuka di era abang kakak dan pakcik makcik. Tetapi sejauh manakah ia mampu mencapai objektif semasa?


Apabila hakikat PAS sebagai jemaah pertama dioleh sedemikian rupa, ia meletakkan hanya dua pilihan di hadapan. Dua pilihan yang saling bertentangan. Bahawa memilih PAS adalah memilih kebenaran dan tidak memilih PAS adalah memilih kebatilan. Jika tawaran itu (jika boleh dinamakan sebagai tawaran) disambut maka bertambahlah rakan dan saudara seperjuangan. Tetapi jika ditolak (atas apa jua alasan dan sebab), maka secara otomatik ia menjadikan prospek kawan itu tadi kepada LAWAN.


Maka terhasillah ramai LAWAN PAS di dalam program PAS sendiri.


Kerangka sebegini disebut sebagai SCARCITY MENTALITY. Ia melihat dunia ini sangat sempit pilihan, kemenangan lawannya adalah kekalahan, maka risiko menerima kekalahan sentiasa dihindari. Akibatnya, kekalahan jua yang sering berlaku.


Itu belum lagi dikira ada anak muda yang menempelak dengan berkata, “sebab itulah jemaahnya nyanyuk. Sudah tua!”


Bagaimana jika fakta yang sama diolah dalam bentuk yang lebih meraikan?


PAS sebagai jemaah pertama, maka PAS kaya dengan pengalaman. Sudah menempuh pelbagai ijtihad dakwah dan politik. Pernah bekerjasama dengan kerajaan pemerintah, pernah dikhianati, pernah kehilangan Presiden dan Timbalan Presiden yang berpaling arah, dianggotai oleh segenap lapisan masyarakat dan mencerminkan realiti sebenar masyarakat Malaysia, justeru dengan memilih PAS, inilah yang ‘kami’ tawarkan!


Jika tawaran disampaikan dalam bentuk menawarkan kelebihan, ia tidak memerangkap manusia dalam dilema. Jika prospek menerima pelawaan, maka dia menjadi rakan dan saudara seperjuangan. Namun jika tidak menolaknya, ia tidak secara otomatik menjadikan beliau itu musuh. Malah jika dia kemudiannya menyertai jemaah lain, ada ahli dalam jemaah itu yang memahami PAS!


Akhirnya, dia menerima atau menolak, dakwah ‘kita’ tetap menang. Dia terima, kita menang. Dia tolak pun, kita menang.


Itulah kuasa pendekatan positif.


Pendekatan yang berada di dalam kerangka ABUNDANCE MINDSET. Satu cara pandang yang melihat kebaikan di dalam masyarakat itu sangat luas dan banyak.


Biar seteruk mana sekali pun sebuah jemaah itu dikhianati oleh jemaah lain (malangnya), keupayaan untuk memilih sikap positif sentiasa menjadikan sebuah jemaah itu menang.


Menang ahli.


Menang moraliti.


Dan inilah yang disebutkan oleh Allah:


وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۚ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ

Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. [Fussilat 41: 34]

Mampukah kita meyakini janji Allah ini, dan mengubah sikap kita dalam mengajak kepada sokongan?


وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ

Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat. [Fussilat 41: 35]

SA’ID HAWWA DAN DUA JENIS PENGGABUNGAN


saidhawwa


Lebih awal daripada itu, Sa’id Hawwa sudah pun mencetuskan hal ini lebih 20 tahun yang lalu.


Pendapat yang sangat sulit untuk masuk ke wacana arus perdana golongan Islamis.


Pandangan kritis Sa’id Hawwa di dalam kitab Jundullāh Takhtītan, dimulakan dengan bab pertama buku berkenaan di bawah tajuk Penggabungan Secara Emosi (الإنتماء العاطفي) dan Penggabungan Secara Organisasi (الإنتماء التنظيمي). Penggabungan ‘ātifī itu bermaksud, kebersamaan yang tidak membabitkan pendaftaran (jika membabitkan pendaftaran) dan penyertaan rasmi sebagai ahli sesebuah pertubuhan. Manakala penggabungan tanzīmī adalah penyertaan secara rasmi sebagai ahli.


Biar pun kita memang mengimpikan umat Islam itu satu negaranya, satu khilafahnya, satu imamnya dan kini satu jemaahnya, kita akur bahawa umat Islam sudah lebih seribu tahun hidup dalam kepelbagaian perhimpunan di peringkat mikro dan makro.


Kebersamaan seorang Muslim dalam perjuangan Islam tidak disyaratkan bahawa ia hanya diterima jika kebersamaan itu adalah dalam bentuk penyertaan dan penggabungan sebagai ahli kepada sebuah jamaah. Sebaliknya gerakan Islam mesti membuka ruang untuk kebersamaan tanpa menjadi ahli kerana umat Islam mempunyai sebab yang pelbagai untuk tidak menjadi ahli, sedangkan mereka menyumbang secara signifikan dalam pelbagai bentuk dan cara.


Dalam bahasa yang lebih semasa, gerakan Islam perlu bersikap dengan sikap yang inklusif dan bukan eksklusif.


Dalam banyak-banyak jenis kumpulan Islam, gerakan yang menyertai politik adalah yang paling perlu mematangkan sikap inklusif mereka. Bagaimana mungkin masyarakat boleh memberikan kepercayaan kepada golongan Islamis memegang kuasa legislatif jika mereka mengamalkan sikap menyingkir.


Dunia ini penuh kebaikan, jika kita memilih untuk melihatnya.


Demikian juga keimanan kepada keluasan bahagian dunia dan Akhirat, menjadikan kita berupaya untuk menghayati pemikiran menang-menang, lebih daripada teori Scarcity Mindset vs Abundance Mindset yang diutarakan oleh Stephen Covey di dalam gagasan 7 Habits beliau.


Ini bukan soal mengutamakan akal lebih daripada nas.


Ini soal menjauhkan akal dari nas.


Hingga nas diabaikan.


Hingga akal menumpulkan.


Kita juga yang rugi.


Ummah juga menanggung rugi.


Pertimbangkanlah!


Jika


HASRIZAL

43000 BSP


Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (10290) Pelawat

1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 30, 2014 20:48
No comments have been added yet.