#3

Aku menatap wajah Maryam dengan tekun sekali. Aku meneliti satu persatu telinga Maryam, hidung Maryam yang mancung,  tetapi tidaklah seperti burung belatuk. Pipi Maryam yang gebu. Mata Maryam yang bundar, kening Maryam yang halus, jari jemari Maryam yang runcing.
Cantik.
Ditambah pula dengan suaranya yang lembut.  Budi bahasanya tinggi. Kadang kadang dia suka membalas pertanyaan aku dengan bahasa kias yang susah aku nak faham dan malas aku nak fikir. Yang aku boleh jawab hanya dengan membalas satu senyuman paling sweet pernah aku buat. Tak tahulah pada dia sweet ke tidak.  Tapi pada aku memang paling sweet.
Kami duduk berdua di atas batu besar,  menghadap ke laut sambil menanti matahari hari itu terbenam. Cantik suasana hari ini. Secantik wajah dan pekerti Maryam.
"Maryam,  boleh saya tanya sesuatu?" aku tergagap gagap untuk memulakan bicara. Dia merenung mata aku. Lama. Sampai aku terpaksa melarikan pandangan aku seketika. Tak boleh tahan dengan renungan tajamnya.
"Boleh.. apa dia?" Lembut sahaja suaranya.Aku diam sebentar. Mengumpul kekuatan.
"Apa kata kalau kita berdua.. " Aku mencantumkan hujung jari telunjukku di hadapannya. Mohon dia mengerti.
"Bain.. Bain.. "Aku kaget. Tercari cari suara tadi.  Siapa pula yang mengendap ni. Potong betul.
"Bain.. Bain..! " Kali ini agak keras sedikit. Ah lantak lah. Maryam masih menanti aku menyambung perbualan yang tergantung tadi.
"Bain! Bangun!" dah sembahyang Subuh belum?!" Terasa pedih belakang badanku. Cepat cepat aku menggosok mata. Cilakak,  mimpi rupanya. Masa buka mata tadi,  benda pertama yang aku nampak ialah mak, sambil memegang tali pinggang arwah abah. Benda tu la yang meratah belakang aku tadi.
"Mak! Apa ni mak? Kejut pakai tali pinggang pula? Sakit la." Terasa berbirat belakangku. "Kau tu apa nak jadi. Dah besar panjang pun nak kena lilit dengan rotan baru nak bangun. Dah,  pergi sembahyang!" Tegas dia berpuasa,  sambil berposing depan pintu bilik gaya warden asrama.
Itulah mak aku. Dia sporting sebenarnya. Tapi kalau bab solat dia memang tegas. Paling kurang satu minggu mesti satu kali tali pinggang tu singgah badan aku.  Lagi satu dia ni pantang tengok orang masih tidur waktu matahari dah naik. Mata dia lemas katanya. Aku pula malas nak bangun awal kalau hari minggu. Haa memang matching la tu.
***
Selesai mandi tadi,  aku terus gegas ke dapur. Bau cekodok mencucuk cucuk hidung sejak aku dalam bilik air tadi. Hari ni mak buat sarapan cekodok. Cekodok biasa sahaja,  cicah dengan sambal tumis. Peh,  memang terliur. Kalau dah hadap ni,  Maryam lalu dekat belakang pun aku tak perasan. Inikan lagi Mail Kerabu yang lalu.
Mak aku memandang aku,  kemudian mengangkat muka tanda menyuruh aku memakai pakaian dahulu. Dengan lekas aku menyalin pakaian. T shirt Nice Stupid Playground menjadi pilihan hari ini. Seluar?  Seluar bola sudahlah. Duduk rumah sahaja pun.Asyik betul aku lihat mak menggoreng cekodok, sambil memasang radio klasik. Sekali sekala aku lihat mulutnya cuba mengikut ikut nyanyian di dalam radio. Ah,  dia orang lama.  Mestilah tahu lagu lagu fesyen macam ni. Aku menarik kerusi di meja makan sambil mencedok sambal tumis ke dalam piring.
I Love you
Jantung hati cintaku sayang Hatiku goyang siang malam terbayang bayang Tidur dan baring tak boleh tenang Makan dan minum tak dapat kenyang Selalu ingat pada cik abang..

Aku tersengih sengih tatkala telingaku menangkap bait bait lagu dendangan  Tiga Bidara ini. Aku juga dapat rasakan Maryam juga pasti akan tersenyum bila mendengar lagu ini.
Kalau dia bangun pagi dan dengar radio macam mak aku lah.
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 18, 2014 01:30
No comments have been added yet.


AKU NAK MEMBEBEL NI.

Andi  Eshak
Apa yang aku membebel di fesbuk dan blog, juga aku bebel di sini.
Follow Andi  Eshak's blog with rss.