Formula Faisal

Sumber, sisipan Varsiti, Berita Harian 14 Oktober 2010.

HAMPIR 20 tahun mengabdikan diri dalam bidang penulisan, Dr Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali dengan nama pena Faisal Tehrani kini cukup matang menelusuri perjalanan dalam penghasilan kreatif dan akademik berunsurkan Islam.

Satu demi satu karyanya diterima dan diiktiraf masyarakat, malah lebih membuatkannya teruja apabila beliau kini mempunyai pengikut serta pembaca setia yang sentiasa menyokongnya.

Tampil dengan tajuk karya seperti 1515, Angin Madinah, Bila Tuhan Berbicara, Tuhan Manusia, Nama Beta Sultan Alauddin dan Perempuan Politikus Melayu, Faisal disifatkan sebagai penulis yang berani apabila berjaya mengupas isu, konflik dan dilema yang agak kontroversi dalam setiap karya penulisannya.

"Dalam penulisan, saya berpegang kepada falsafah, setiap karya yang dihasilkan mampu memberi manfaat kepada masyarakat. Contohnya, dalam karya Tuhan Manusia, saya mengupas apakah semua agama itu sama dan di luar dugaannya, karya itu mencatat jualan paling tinggi.

"Ia jelas petanda masyarakat di luar sana mahukan jawapan dan penjelasan mengenai isu itu serta cara bagaimana hendak berdepan dengan realiti isu itu. Dalam menentukan idea sesuatu penulisan, saya turut melihat sikap keterbukaan masyarakat menerima sesuatu isu dan mereka kini bijak menyaring karya untuk pembacaan.

"Saya juga sedar apabila menghasilkan karya yang 'berat dan serius', saya meletakkan diri dalam kedudukan kontroversi kerana pasti ada pihak yang mengkritik dan sukar menerima. Bagi saya, penulisan sesebuah karya kalau ia tak kontroversi, maka ia bukan karya yang baik. Karya yang berkualiti dan baik seharusnya provokatif, kontroversi serta mampu memberi manfaat dan penyelesaian kepada masyarakat," katanya.

Akur pasti ada yang tidak 'sekepala' dengan pendapatnya, beliau berkata, terpulang kepada pemahaman individu atau masyarakat di luar sana untuk menilainya.

Mengimbau kejayaan dalam penulisan, Faisal mula dikenali apabila dua cerpennya, Anak dan Opah serta Malam Ini Philadelphia Menangis, masing-masing memenangi Hadiah Sastera Utusan Malaysia-Public Bank 1994 dan Hadiah Sastera Siswa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)-Bank Rakyat.

Faisal kemudian mendapat perhatian pengkritik sastera apabila novel beliau, Cinta Hari-hari Rusuhan (Creative Enterprise Sdn Bhd) dan Perempuan Politikus Melayu (Penerbitan Pemuda), kedua-duanya diterbitkan pada 2000 dianggap karya paling berani.

Pernah menjadi anak didik Sasterawan Negara (SN), Datuk (Dr) A Samad Said dan SN Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad, Faisal turut mewakili Malaysia ke Program Penataran Sastera anjuran Majlis Sastera Asia Tenggara di Jakarta dan Bogor.

Karya lain yang turut meraih anugerah adalah novel Bedar Sukma Bisu, Manikam Kalbu (novel remaja), Rindu Ini Luar Biasa (cerpen) turut meraih johan Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP 2007.

Beliau turut berjinak dalam dunia pengarahan teater dan filem, antara karya yang berjaya dipentaskan adalah Kopitiam Ghadir pada 2009, manakala karya filem pertama Pelampau Anti Kebun Binatang (2008). Kini, lebih 100 koleksi cerpen, 20 novel kreatif, koleksi himpunan puisi berjaya dihasilkannya.

Menceduk pengalaman sendiri, cerita rakan-rakan, masyarakat sekeliling dan pembacaan sendiri sebagai sumber serta idea dalam penulisan, Faisal yang kini bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Penulisan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) turut mengakui minat mengembara ke serata pelusuk dunia memberi 1,001 pengalaman yang mungkin orang lain tidak berpeluang merasainya.

"Banyak manfaat kita peroleh dengan mengembara, kita boleh kaji benda baru, cabang ilmu atau falsafah orang asing. Apa yang saya peroleh mungkin orang lain tak dapat. Itu sebabnya ramai yang sukar memahami saya, warna dan acuan saya berbeza dan secara tak langsung, ia membezakan perwatakan saya dengan orang lain. Apapun, perjuangan saya dalam penulisan diteruskan selagi aura dan karya saya diterima," katanya.

Faisal Bimbang Lihat Senario Penghasilan Karya Kurang

MELIHAT kepada perkembangan karya sastera masa kini, Faisal cukup bimbang dengan corak penulisan karya sastera yang disifatkannya sebagai kurang substance dan pengisian.

Tidak menuding kepada sesiapa, beliau bagaimanapun beranggapan corak dan pengisian pengetahuan diterima generasi penulis hari ini yang mempengaruhi mereka.

"Banyak unsur luar yang mencorakkan mereka dan acuan sebegitu yang dibawa dalam penulisan karya mereka. Sebaiknya, mereka perlu melakukan lebih baik dan banyak pembuktian yang perlu dilakukan. Saya bimbang melihat bidang sastera di negara ini sering direndahkan ke taraf cerita atau sekadar karya khayalan.

"Malah masyarakat sendiri kurang memahami fungsi dan peranan sastera secara mendalam. Sejak di sekolah hingga ke universiti, sastera sering dianggap sebagai subjek yang disarati maklumat plot, watak dan perwatakan, latar serta sudut pandangan," katanya.

Justeru, katanya, pemahaman itu perlu diperbetulkan agar sastera dilihat penting pada mata pelajar selain bermanfaat dan bernilai dalam kehidupan.

Menyifatkan sastera sebagai sebahagian daripada falsafah, Faisal berkata, karya sastera yang baik mengandungi ilmu, falsafah dan penyelesaian untuk masyarakat.

Kepada pihak bertanggungjawab, Faisal berkata, mereka perlu mengembalikan kandungan Sastera kepada ilmu dengan memastikan pelajar memahami bahawa sastera adalah sumber ilmu yang luas merangkumi pelbagai genre.

Selain itu, katanya, generasi hari ini juga perlu disogokkan dengan lebih banyak karya ilmiah secara berterusan dan tidak hanya tertumpu kepada bahan bacaan bersifat ringan dan hiburan.

Oleh Khairina Yasin
 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on October 15, 2010 05:11
No comments have been added yet.


Faisal Tehrani's Blog

Faisal Tehrani
Faisal Tehrani isn't a Goodreads Author (yet), but they do have a blog, so here are some recent posts imported from their feed.
Follow Faisal Tehrani's blog with rss.