MPIB Run 2014: Yang Pertama 2014

Saya mendaftar untuk menyertai Multi Purpose Insurance Berhad (MPIB) Run pada 5 Januari 2014 semenjak bulan Oktober tahun lalu. Ketika itu, saya baru dua kali berani menyertai larian iaitu Standard Chartered KL Marathon 2013 dan BSN Putrajaya Night Marathon 2013; kedua-duanya dalam kategori 10 km. Justeru, untuk larian pertama larian tahun baru, saya meyakinkan diri bahawa saya mampu menyudahkan 12 km.

Ada tiga bulan, saya meyakinkan diri sendiri, takkan masih mahu berada pada status quo? Tambahan pula, saya ada misi lain pada tahun 2014. Larian 12 km ini sebenarnya latihan untuk mencapai misi berkenaan.

Alhamdulillah, dalam tempoh tiga bulan berkenaan, saya berjaya menambah jarak larian selang sehari daripada 5 km kepada 8 km, dengan satu interval berbukit. Pada hari cuti pula, saya berlari pagi, dan beberapa kali saya berjaya menyudahkan larian berjarak 10 km. Sepatutnya saya mula melakukan larian LSD (long slow distance - jarak jauh tetapi perlahan), tetapi kerap kali ada sahaja alasan saya. Panas, kaki bengkak, dahaga, lapar, mahu menggunakan bilik air, lutut sakit, jalan sunyi - ya, seribu satu jika mahu beralasan!

Rentak (pace) larian saya juga menunjukkan peningkatan walaupun jauh di sudut hati saya masih sedikit kecewa kerana belum mampu berlari lebih pantas. Namun saya memujuk diri: You're not born to be fast, never have been. You're born to go far.

Setakat ini, tidaklah sejauh mana pun. 12 km yang berjaya disudahkan pagi ini adalah jarak paling jauh. Malah, semenjak beberapa hari lalu, satu soalan bermain-main di benak: What happens after 10k? Jawapannya: tiada apa-apa di luar kebiasaan, walaupun saya sedikit khuatir kerana mula berlari dalam keadaan "kurang sempurna."

Kurang sempurna di sini merujuk kepada beberapa ritual yang tidak dilakukan kali ini

1. Memanaskan badan dan meregang otot
2. Menggunakan portable potty sebelum mula berlari
3. Fueling
4. Mendengar muzik

Sebab-sebabnya:
1. & 2. Saya tiba di tapak mula ketika peserta lelaki kategori 12 km dilepaskan, iaitu pada jam 7.00 pagi. Kereta api pertama dari bandar tempat saya tinggal berlepas pada jam 6.05 pagi dan mengambil masa 20 minit untuk tiba di Kuala Lumpur. Selepas solat Subuh di KL Sentral, saya menukar kereta api. Kebetulan pagi minggu, kereta api tidak kerap. Saya menunggu selama enam minit, perjalanan kereta api kira-kira lima minit dan berjalan kaki ke tapak mula mengambil masa 10 minit.

Pelepasan kategori yang saya sertai adalah pada jam 7.10 pagi. Saya mula beratur, tetapi barisan di hadapan beberapa portable potties kira-kira 20 meter panjangnya. Ketika itu jugalah juruacara mengumumkan agar peserta wanita kategori 12 km berkumpul di dalam starting pen. Tak apa, saya menenangkan diri walaupun mula mencongak berapa banyak masa akan terbazir kerana berhenti di portable potty semasa larian kelak.

Hanya apabila berada di dalam starting pen saya teringat bahawa saya belum melakukan regangan. Power walk selama 10 minit boleh dikira sebagai dynamic stretching, kan? :D

Saya tidak berhenti di mana-mana portable potty.
Di hentian pertama (3 km), ada dalam 5 orang sedang beratur. Pass.
Di hentian kedua (6 km), ada dalam 5 orang sedang beratur. Pass.
Di hentian ketiga (9 km), I can hold it for another 3 km. Pass.

3. Saya tidak boleh berlari selepas makan. Oleh itu, walaupun membawa satu tiub gel tenaga sebagai bekal (just in case), saya run on empty. Malah malam tadi sebelum tidur, saya sudah terasa lapar. Namun alhamdulillah, energy crash tidak berlaku. Sememangnya semenjak beberapa hari lalu saya banyak makan nasi sebagai bekal tenaga. Semalam pun saya memaksa diri makan nasi lebih walaupun akal rasional saya kata "jangan, jangan." :)

4. Kesilapan teknikal.
Atau memang sudah tiba masanya untuk menukar telefon.

Pada mulanya saya bimbang juga. 12 km itu jauh, bagaimana jika saya tidak bersemangat tanpa muzik? Namun selepas 3 km, laluan membawa kami memasuki Bukit Tunku. Ketika itu, kicauan burung dan ketenangan pagi di kawasan perumahan ini meresap ke seluruh deria. Setiap sesuatu memang ada hikmahnya, asal kita cukup sabar untuk tidak segera menghakimi :)

Strategi saya kali ini seperti strategi sebelum ini juga iaitu to run as I always did. Saya tidak memaksa diri berlari lebih laju. Apabila berlari menaiki berbukit, saya menggunakan effort yang sama seperti di kawasan landai. Saya percaya pada konsistensi.

Alhamdulillah, larian 12 km pertama ini berjaya disudahkan dalam masa 01:32: 49 (net time tidak rasmi). Sebetulnya, saya menginginkan 1:30:00. Barangkali saya sepatutnya memecut pada kilometer terakhir. Namun, tidak mengapa, 1:32:49 adalah yang terbaik untuk saya hari ini :)

Ganjaran untuk diri sendiri.
Melur and Thyme.





 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on January 05, 2014 05:38
No comments have been added yet.