Kisah Ashabul kahfi sambungan.
Tazkirah16Zulhijjah 1434@21/10/2013
...sambungan
Ashabul Kahfi
Andainya mereka berfikir untuk mencari-cari hujah. Bukan mengikut emosi, bukan hanya mengikut sahaja cara hidup tradisi. Sudah tentu mereka tidak menolak. Mereka bukan tidak cerdik. Ada yang memimpin masyarakat. Ada yang bijak mencari kekayaan. Ada yang memimpin kota dan berkuasa sebagai penguasa.
‘Tidak sepatutnya mereka menolak dan berdusta terhadap Allah Tuhan yang sebenarnya’.
Akhirnya Allah tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu. Hari berganti hari, minggu bertukar, musim berubah…Biarpun matahari terbit dan memacar cahaya menembusi gua di sebelah kanan dan tenggelam di sebelah kiri mereka. Mereka terus lena.
Sesekali posisi badan mereka berubah, anggota mereka bergerak-gerak dan mata mereka tidak rapat tertutup lantaran cemas dan waspada. Tetapi mereka tidur bertahun-tahun dalam jagaan Allah dengan seekor anjing serigala penjaga di pintu gua.
Kemudian Allah bangkitkan mereka dari tidurnya, dan membuatkan mereka tertanya-tanya sesama sendiri.
‘Berapa lama kita tidur?‘Mungkin kita tertidur seharian atau separuh hari’‘Allah jua yang lebih mengetahui’
Tetapi hal tidur ini bukan utama bagi mereka. Biarlah waktu dan tempoh tidur itu terus menjadi rahsia di antara rahsia-rahsia Allah. Itu kesimpulan akhir mereka. Bukankah dalam kerja-kerja dakwah ini penuh dengan rahsia-rahsia dari Allah. Termasuk bilakah akan tibanya hari keimanan dan kemenangan. Andainya manusia tahu semua perkara, maka apa perlunya lagi usaha, langkah, rancangan dan waspada.
‘Ayuh, seorang dari kita perlu keluar mencari makanan’ Ujar seorang pemuda. Lantas salah seorang dari mereka dipilih. Mereka perlu makan, jika tidak makin mudarat jadinya nanti. Jika ada seorang yang sakit seluruh langkah usaha mereka akan perlahan atau lumpuh dengan gangguan itu.
Tidak, mereka tidak ingin mati kelaparan di sini. Andainya itu berlaku, sia-sialah usaha mereka selama ini. Biarpun memang akan ada risiko yang bakal berlaku dalam setiap tindakan dan keputusan mereka, tetapi biarlah mereka mengambil risiko yang paling kecil. Itulah pendirian mereka.
‘Bawa wang perak kamu ke bandar dan pilihlah makanan yang baik dan halal’
‘Bawalah pulang ke sini makanan dari kota, tetapi ingat saudara perlu berhalus dan berhati-hati dalam semua segi dan perlakuan’. Pesan mereka lagi kepada saudara mereka itu agar jangan sampai mata-mata musuh kenal dan sedar kehadirannya di tengah khalayak.
‘Jika tidak, mereka akan merejam dan bunuh atau mereka akan paksa kamu meninggalkan akidah ini’
InsyaAllah bersambung...
Published on November 17, 2013 14:30
No comments have been added yet.


