Cinta Biasa-Biasa | Bab 4
ZAHRAH memperlahankan kayuhan basikalnya apabila kian hampir dengan rumah teres satu tingkat lot tepi di Jalan 11, Taman Kenchana. Senyum Zahrah meluas bukan main apabila lebih nampak papan tanda cap telapak tangan warna-warni dengan tulisan Tadika Nurseri Seri Kenchana. Papan tanda hasil buatan anak-anak buah dan anak-anak didik tadika nurseri itu. Malah, Zahrah pun ada bahagian cuit coet juga.
Yalah, hampir lima bulan kut dia di sini. Takkanlah tak ada sumbang kasih barang sedikit pun kan. Oh! Dia bukan ikut tadika sebab enam tahun atau umi hantar masuk nurseri sini sebab bawah enam tahun yek. Sila betulkan pandangan. Zahrah 18 tahun. Tulen, kak, punya 18 tahun semenjak 8 Mac lepas.Tadika Nurseri Seri Kenchana terdiri daripada dua buah rumah teres satu tingkat yang digabung menjadi satu. Pintu masuk utamanya hanya satu. Dua pintu rumah berdepan dengan halaman untuk rumah teres 20 X 70 itu dipecahkan lalu didirikan dinding dengan susunan batu-bata. Pintu pagar tinggi dibina di bahagian kiri. Halaman samping rumah lot tepi itu dijadikan halaman masuk ke Tadika Nurseri Seri Kenchana. Manakala halaman lamanya dijadikan taman kecil untuk kanak-kanak di situ bermain.Zahrah hentikan basikal di hadapan pintu pagar utama tadika nurseri itu. Sebelah kaki di atas jalan bertar dan sebelah lagi masih pada pedal basikal mini merahnya itu. Punggung masih pada basikal, membuatkan menyenget sedikit basikal tersebut. Zahrah jenguk antara separuh ruang pagar yang dua jengkal tinggi daripadanya. Dia tahu sebab dia pernah ukur dua bulan sebelum ini.Baru Zahrah jenguk muka gaya senget basikal, terus dia nampak seseorang jenguk muka sedikit dari pintu pagar. Tergelak kecil dia apabila nampak separuh saja muka si dia.“Cikgu Seri!” laung Zahrah sambil sebelah tangan lambai-lambai kepada penunjuk separuh muka itu.“Cak! Cak! Cak!” ujar Seri sambil sua muka sembunyi muka tiga kali, senada dengan caknya.Zahrah ketawa senang dengan acah mak labu wanita itu. Wanita yang minta dia panggil aunty. Sebabnya wanita itu kenalan uminya dan muda sedikit daripada uminya. Muda sedikit? Banyak angka kut. Kalau Zahrah nak panggil aunty, rasa macam buat dosa saja. Makanya, Zahrah tak boleh nak panggil wanita itu aunty. Kalaupun nak dipanggil aunty, wanita itu patutnya ada anak lebih kurang baya dia. Kalau lebih kurang baya dia, maknanya wanita itu dapat anak pada usia lebih kurang 15 tahun.Hilang akal ke apa! Jadi, Zahrah pun belum hilang akal nak panggil wanita itu aunty! Tak patut… tak patut…Lihatkan gaya wanita ini, jangankan dia, orang lain pun takkan sangka usianya sudah ke angka 31 tahun. Tengok cara tak ikhlas, gaya pertengahan 20-an saja. Pandang gaya ikhlas sebab lama tenung pandang, nampaklah macam lewat 20-an. Sebabnya, wanita ini sungguh comel bergaya orangnya. Dan sungguh ting-tong!Yalah, kalau tak ting-tong takkanlah nak ajak dia main cak-cak masa ini kan.“Masuklah, anak dara. Macam tak biasa pulak dia.” Seri mengujar sambil tolak sikit bukaan pintu pagar yang sudah terbuka separuh daripadanya.Pintu pagar warna hitam dan bertutup habis bawahnya dan separuh daripada bahagian atasnya pula dengan design menegak gaya jeriji jarang-jarang. Pernah Zahrah komen betapa tidak cantiknya pagar hitam gaya begitu.Seri selamba balas, “Cantik tak cantik, asal budak-budak dalam ni cantik. Tak luka jatuh panjat pagar, tak hilang balik pagar cantik tapi tak ada safety.”Rupanya pagar gaya itu dipilih sebab Seri fikir pasal keselamatan budak-budak dan bukan kecantikan orang luar. Lagipun, dinding sekolah itu yang dibina daripada susunan batu-bata warna-warni itu kan sudah sungguh cantik dan sangat ceria. Dari jauh mata dah tangkap. Dah tahu itu rumah budak-budak.Zahrah senyum pandang Seri yang sebelah tangan pegang pintu pagar, sebelah lagi melambai-lambai dia ajak masuk. Terus dia turun dari basikal dan tuntun basikal masuk ke dalam tadika nurseri itu. Ditongkatkan basikal tersebut hampir dengan dinding sebelah kanan lalu dia bantu Seri tarik pintu pagar agar lebih tertutup. Hanya ruang seorang boleh masuk saja yang tinggal.“Semua budak tadika dah balik ke, Cikgu Seri?” Zahrah pandang wanita di sebelahnya. Wanita yang sungguh cantik berbaju kurung moden hitam putih.Wanita berkulit kuning langsat ini sungguhlah tak sama dengan Zahrah yang berkulit hitam manis. Zahrah ada muka anak mami Penang. Itulah komen banyak orang. Bukan komen kosong sebab memang pun Zahrah campur belah sana. Umi tu lagi terang kut nampak Penang mai. Dia separuh saja sebab terlekat gen bapanya sama.“Balik dah budak tadikanya. Tinggal dua aje.”“Dua?” Zahrah pelik sedikit. Selalunya hanya seorang. Budak tadika lain biasanya sudah diambil ibu bapa atau penjaga masing-masing awal lagi banding Zahrah.Semenjak tahun lepas, tadika nurseri ini dah macam rumah keduanya. Kerana semenjak tahun lepas barulah tadika nurseri ini dibuka. Walaupun hanya satu tahun lima bulan dia biasa-biasa ke sini, namun Zahrah selesa sangat dengan tempat ini, termasuklah dengan pemiliknya ini. Baginya Cikgu Seri seorang wanita yang mudah mesra dan senang dibawa berbual. Dan sangat menyokong Zahrah apabila Zahrah nyatakan impiannya. Bukan macam umi. Huh!“Hmm. Dapat kawan baru...”Zahrah sedar dan kembali ke tadika nurseri itu. Terus dia ekori Seri yang berjalan ke bahagian kiri di mana halaman hadapan asal dua rumah teres dijadikan taman permainan mini. Kakinya berhenti lalu pandang ke depan, tuntas.“Mungkin belum kawan lagi...” Seri sengih-sengih.Zahrah yang turut ikut langkah Seri sama pandang ke depan. Terkelip-kelip matanya lihat apa yang jadi hidangan mata.Paling hampir dengan tempat Zahrah dan Seri berdiri adalah dua buah buaian yang sesuai untuk anak kecil tujuh tahun ke bawah. Dan di atas salah satu buai itu duduk seorang budak perempuan enam tahun.Sungguh comel dengan baju tadika pinafore kosong warna maroon. Leher dan tangan bajunya, dijahit terus ke pinafore tersebut, berwarna putih. Baju putih tersebut pula dibutang tiga sampai atas. Leher bajunya bergaya macam baju Melayu cekak musang. Rambut keriting keperangan gaya Maggi yang panjang, diikat sederhana di kiri dan kanan dengan reben putih maroon. Manakala di depan pula diketip dengan pin rambut strawberi yang sungguh comel.“Comelnya... Rasa nak picit-picit.” Zahrah buat gaya tangan nak picit-picit.“Kan...” Seri senyum, angguk. Kemudian tiba-tiba senyumnya mati dan dia pandang Zahrah serius. “Eh, Zara cakap adik kesayangan Zara ke budak perempuan tu?”Zahrah mendecit. Tadi geram nak picit anak orang, sekarang geram nak picit bakal emak orang!“Cikgu Seri ni pun. Takkanlah. Kalau adik Zara, tak payah rasa dah. Picit aje terus. Live lagi.” Zahrah senyum nakal dan kenyit mata.Seri ikut senyum sambil angguk kepala. Seterusnya mereka sama-sama pandang depan semula.Zahrah bagai tercari-cari. Sudahnya dia nampak juga tubuh kecil yang dia hendak mata nampak agar hati jadi tenang yang sangat. Melihat dia, datanglah ribut taufan yang bagaimanapun, hati Zahrah selalu menang untuk rasa tenang. Inilah ubat penenang Zahrah!“Zharif...” getus bibir Zahrah di luar sedar, semakin luas senyum. Lalu, apa saja perasaan tak sedap yang berselirat sejak tadi, hilang pergi begitu saja.Seri menoleh. Dia jadi ikut luas senyum. Berjangkit. Melihat warna ceria bahagia pada muka Zahrah masa ini, takkanlah dia tak terjangkit kan. Sesungguhnya, dia tak pernah lihat hubungan macam Zahrah-Zharif ini. Kalau Zharif tu bukan enam tahun, sah-sah ada yang salah sangka. Ini ibu dan itu anak.“Tak jealous ke?” Seri berbisik hampir dengan telinga Zahrah dengan badan menyenget.Zahrah alih muka seketika.“Bagi canlah. Playboy in the making nak tunjuk bakat,” ucap Zahrah sambil jelir lidah nakal.Seri dan Zahrah hampir-hampir cetus ketawa. Namun, cepat-cepat mereka tutup mulut. Spontan sama-sama, waktu yang sama. Kemudian mereka saling pandang dengan mulut tertekup begitu dan gelak dalam tangan. Suara tak ada, badan lebih gegar ada.Seri awal dulu kontrol gelak dalam tangan. Berdeham tanpa bunyi, Seri kontrol diri habis-habisan kemudian tampar bahu Zahrah agar ikut ajaran tak sesatnya. Zahrah angguk dan ikut saja kelaku Seri yang tadi, kemudian jongket sebelah. Seri tunjuk tanda bagus. Berpeluk tubuh, mereka sama-sama lihat depan semula.Playboy in the making punya show!Di bahagian belakang buaian, terdapat binaan sederhana permainan papan gelongsor yang hanya sesuai untuk budak tujuh tahun dan ke bawah. Di balik papan salah satu daripada dua papan gelongsor itu berdiri Zharif, bermain dengan tic-tac-toe panel di situ. Main main-main saja sebab Zharif terang-terang kut sedang berpura-pura beri tumpuan sedang tumpuan sebenar Zharif adalah kepada budak perempuan berambut keperangan di depannya.Dari bahagian permainan papan gelongsor itu, Zharif bergerak satu langkah, satu langkah ke kiri, sampai pula ke jongkang-jongket yang tempat duduknya bentuk ikan paus di kiri dan kanan, penuh warna-warni.Budak perempuan itu toleh ke arah Zharif. Zharif buat-buat belek tempat duduk ikan paus. Budak perempuan rambut keperangan itu tengok depan semula sambil anjak badan ke depan, berbuai perlahan. Berkerut muka sekejap, budak perempuan itu toleh kepada Zharif semula. Zharif yang mulanya tengok, buat-buat tak tengok dan belek ikan paus lagi, sambil sesekali curi kerling cik adik di buaian sana.Tiga kali budak perempuan itu tengok depan kemudian cepat-cepat lihat Zharif dan secepat itu juga Zharif belek ikan paus, siap kuis-kuis gaya ikan paus itu kotor.Kali keempat, budak perempuan itu pandang Zharif, tunak, tak alih-alih muka lagi dan Zharif kuis-kuis ikan paus gaya nak makan sushi ikan paus malam ini.Zahrah dan Seri yang melihat sudah saling pegang bahu. Zahrah paut bahu Seri, Seri genggam bahu Zahrah. Tubuh masing-masing tertunduk separuh manakala sebelah lagi tangan kepam mulut sendiri daripada ketawa kuat semahu hati.Playboy in the making, BIG FAILURE!“Awak tengok kita, kan?”Soalan budak perempuan rambut keperangan itu buat Zahrah dan Seri sama-sama pandang semula ke depan, antara sentut gelak yang nak juga-juga curi keluar.Zharif menggeleng laju-laju sambil sungguh-sungguh kuis ikan paus. Sahlah malam ni sushi ikan paus.“Kita nampak awak nampak kita. Awak tengok kita, kan?” ulang budak perempuan tersebut sambil perlahankan buaian.Zharif menggeleng.Budak perempuan itu lompat turun cermat dari buaiannya lalu melangkah menghampiri ikan paus. Kini, dia dan budak laki itu dipisahkan oleh ikan paus warna merah jambu.“Awak nak tengok kita ke nak tengok ikan paus?” tanya budak perempuan itu polos.Zharif angkat muka, terus pandang budak perempuan yang baru pagi tadi jadi kawan satu kelasnya. Zharif besar mata lihat budak perempuan depannya kelip-kelipkan mata dengan senyum manis.Seri ia-ia siku perut Zahrah. Siku lembutlah. Bukan kuat pun. Manja-manja saja.Zahrah pula ia-ia mengangguk. Playgirl in the making, SUCCESS!“Siapa tu, Cikgu Seri?” tanya Zahrah nak tahu sangat. Dia yakin itu budak baru belajar.Selama hampir lima bulan dia di sini, tak pernah dia nampak budak itu. Dia cam sangat muka budak-budak di tadika nurseri ini. Lima bulan kut jadi bahan buli dia orang!“Dia baru mula hari ni. Mama papa dia baru pindah balik sini. Mama dia asal sini dulu. Aunty kenal mama dia gitu-gitulah sebelum ni. Kami keep in touch pakai FB...”“Cikgu Seri ada FB?” Terkeluar topik pula soalan.“Eh, mestilah! Nak promo...” Seri buat gaya muka dan bahasa badan nak promosi diri. “Oh my tadika nurseri.”Zahrah gigit bibir bawah kemudian buat muka ke depan gaya geram. “Saja nak pekena orang.”“Janganlah marah, anak dara...” Seri cuit hujung hidung kecil Zahrah yang mancung terletak.“Hisy! Mahal ni!” Zahrah jelir lidah kepada Seri kemudian pandang depan. Budak perempuan tadi masih main mata sama adiknya. Amboi!“Awak tengok kita, kan?”Soalan itu, Zahrah boleh terima lagi. Tapi gaya yang menyusul selepas soalan itu, pergh! Sah besar nanti playgirl!Budak perempuan itu sengetkan muka dan tersenyum semanis alam untuk Zharif, yang sudahnya berhenti kuis ikan paus dan mula kuis dada kiri dengan mata lupa nak kelip pandang depan.“Sudah...” Zahrah sentuh dahi.Seri senyum lucu. Terus paut sebelah tangan Zahrah dan goncang. “Tahniah, anda bakal dapat adik ipar nama Ihah.”

Published on November 01, 2013 07:27
No comments have been added yet.
Bikash Nur Idris's Blog
- Bikash Nur Idris's profile
- 78 followers
Bikash Nur Idris isn't a Goodreads Author
(yet),
but they
do have a blog,
so here are some recent posts imported from
their feed.
